Harakahdaily    |  KUALA LUMPUR, 27 Julai: Tindakan drastik  Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Roket  dapat difahami sebagai kebimbangan kritikal Umno BN menghadapi  kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan  muktahir ini.
Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen  (KAMI), Tarmizi Mohd Jam berkata, jika Umno BN dalam keadaan kuat,  stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan  penggantungan permit dua lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat dan DAP itu  tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.
Ini  kerana, katanya tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej Umno  BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak  demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara  ini.
“Mengapa Umno BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar  kepercayaan rakyat jika tidak kerana mereka benar-benar dalam keadaan  terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan  maklumat berani, telus dan bersifat reformasi.
“KAMI yakin,  kekangan terhadap media cetak sejak muktahir ini terpaksa dilakukan oleh  kerajaan Umno BN sebagai langkah mengurangkan fakta tepat kepada  rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan  menghakis pengaruh Umno BN,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya,  sebagai persediaan nekad menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, dan  mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah,  Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakatan  Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan Umno BN terpaksa bertindak  'membunuh' suara rakyat melalui dua lidah rasmi itu, kerana ia menjadi  perhatian rakyat.
Baginya, mustahil jika Suara Keadilan dan Roket tidak berbisa, permitnya ditahan.
Begitupun,  ujarnya ini tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah  menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional KDN.
Sebaliknya,  kata beliau amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan  dibesarkan perkataan "Hanya Untuk Ahli Sahaja" pada maskhead akhbar itu  jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam Akta Mesin Cetak  dan Penerbitan.
Sehubungan itu, tegasnya, KAMI terus mendesak  agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi  berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan  semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Roket kepada parti-parti  berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang  tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah.
Menurutnya,  sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat  tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warga negara ini dalam  menegaskan suara mereka.
Katanya, tindakan tidak memberikan  permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, memaku minda dan  mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.
Beliau  berkata, berbanding penguasaan Umno BN terhadap media tradisi seperti  RTM, TV3, NTV7, NTV9, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News  Strais Times, beberapa akhbar berbahasa Cina dan India; kekangan KDN  terhadap Suara Kedailan, Roket dan Harakah boleh digambarkan sebagai  tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan Umno BN  hilangnya segenggam kuasa yang membukitkan kekayaan kepada pemimpin dan  kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman.



