Oleh Wan Nik Wan Yussof
Mana mungkin boleh berbaik PAS dengan  Umno, kerana banyak perkara yang Umno/kerajaan BN buat terhadap  PAS/kerajaan PAS dan orang PAS yang bercanggah dengan hasrat  berbaik-baik, antaranya mendiskriminasikan kerajaaan negeri Pakatan  Rakyat. Sehingga sampai satu peringkat, menggunakan pelbagai agensi di  bawah kerajaan pusat untuk mengenakan tekanan dan menyekat beberapa  kemudahan serta menggagalkan rancangan kerajaan negeri. Pengalaman  sebegini cukup dirasai dan secara berterusan dialami oleh PAS di  Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir negeri.
Kes diskriminasi
Di antara kes-kes diskriminasi tersebut ialah:
1.Melarang  sekolah di bawah kerajaan pusat daripada menyertai sebarang kejohanan  dan pertandingan anjuran kerjaaan negeri. Perkembangan terbaru antaranya  tidak membenarkan sekolah-sekolah menengah menyertai peseta wau  antarabangsa anjuran Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan  yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hasaan yang diadakan di  Pantai Irama Bachok pada pertengahan Julai 2010.
2.Membatalkan  kebenaran pihak Sekolah Menengah Chung Hwa Kota Bharu kepada kerjaaan  negeri Kelantan untuk menggunakan gelanggang bola keranjang semasa  pengajuran Kejohanan Bola Tampar peringkat negeri di bawah kelolaan ahli  exco Abdul Fattah Mahmood.
3.Menubuh Jabatan Pembangunan  Persekutuan (JPP) yang disifatkan sebagai kerajaan dalam kerajaan  didapati telah merampas hak kerajaan negeri Kelantan dari segi menerima  agihan wang pembangunan yang dipertuntukkan di bawah Rancangan Malaysia  (RMK) sejak daripada RMK6 sampailah sekarang memasuki RMK10.
4.Lanjutan  penubuhan JPP di Kelantan, terbaru pula (pada bulan Mei lalu) ialah  satu lagi agensi di bawah telunjuk pemimpin Umno telah ditubuhkan  semula, iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan  (JKKP). Langkah tersebut merupakan kelangsungan daripada pewujudan  jawatan Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) bagi mengantikan Penghulu Mukim  selepas Umno kalah di Kelantan tahun 1990. JKKP adalah sebenarnya agen  Umno yang berselindung di balik tabir JPP yang berperanan untuk menjadi  mata telinga dan pengawas serta sekaligus sebagai agensi kerajaan pusat  yang erat dengan pemimpin dan cawangan Umno peringkat akar umbi. Secara  tersirat ia adalah wadah bagi pemimpin Umno untuk demand sesuatu demi  survival cawangan Umno yang rata-rata hampir ranap di Kelantan.
5.Menyalurkan  pelbagai projek pembangunan kepada rakyat, tetapi diagihkan mengikut  selera politik Umno. Sehingga ramai kalangan rakyat yang bukan menyokong  Barisan Nasional telah dinafikan hak menerima agihan tersebut.  Misalnya, baja padi subsidi telah dicap dengan lambang dacing kemudian  diagih-agihkan kepada ahli Persatuan Peladang yang merupakan penyokong  Umno. Semasa bancian, semua ahli persatuan dinamakan sebagai penerima,  tetapi apabila pihak PPM menyaring nama-nama penerima dan mereka yang  bukan penyokong Umno dinafikan. Ia berbeza dengan pendekatan kerajaan  negeri Kelantan yang menyediakan baja padi berharga RM3 yang diagihkan  kepada semua petani asalkan membayar pada harga ditetapkan
6.Melengah-lengahkan  penyaluran geran kewangan tahunan yang sepatutnya dibayar dua kali  setahun, tetapi dilewatkan pembayaran dan dibayar secara sekaligus pada  penghujung tahun. Amalan ini berlaku sampai sekarang, terutama dari segi  penyaluran geran tahunan kepada majlis-majlis daerah atau pihak  berkuasa tempatan (PBT). Cara melengah-lengahkan pembayaran itu juga  berlaku ke atas pemberian geran wajib yang kepada Kumpulan Wang Rezab  Negeri seperti mana termaktub di dalam Perkara 109 dan Perkara 110,  Perlembagaan Persekutuan: geran perkapita penduduk, geran  penyelenggaraan jalan negeri dan geran pembangunan.
7.Mempolitikkan  bantuan pelajar miskin apabila Kementerian Pendidikan melalui  sekolah-sekolahnya dipaksa oleh kepimpinan Umno supaya melaksanakan  agihan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada pelajar yang  terpilih mengikut senarai Umno. Di samping itu, borang permohonannya  pula hendaklah disahkan oleh PPM. Sekiranya ada pelajar yang ibu bapa  mereka bukan penyokong Umno, maka ibu bapa tersebut dikehendaki  bersumpah di hadapan PPM untuk menyokong Umno di dalam pilihan raya.  Sementara perkembangan terbaru pula, satu lagi bantuan pelajaran untuk  pelajar sekolah rendah dan menengah atas nama ‘wang ehsan’ turut  disalurkan. Cara penyalurannya juga sama dengan KWAPM. Apa yang jelas  setiap majlis penyampaiannya bantuan itu akan dimulakan dengan kempen  politik Umno oleh ketua bahagian atau mana-mana menteri yang kebetulan  hadir. Sudah tentu, kempen itu dipenuhi dengan sindiran dan fitnah  terhadap pemimpin dan penyokong PAS serta kerajaan negeri pimpinan.
8.Paling  besar sikap berbalah Umno terhadap umat Islam dan seluruh rakyat  Kelantan ialah tidak membayar wang royalti petroleum kepada kerajaan  negeri. Semenjak perjanjian dibuat antara Petronas dengan Kerajaan  Negeri Kelantan tahun 1975, wang royalti tidak pernah berbayar. Ia  adalah di bawah kerajaan pusat yang dikawal oleh Umno. Justeru Presiden  Umno selaku Perdana Menteri telah mengumumkan secara rasmi (kenyataan  yang dianggap salah) di parlimen pada 4 November 2009 bahawa Kelantan  tiada hak menerima wang royalti itu. Pihak kerajaan negeri Kelantan pula  telah mengutus surat secara rasmi mohon wang royalti itu dibayar.  Sehingga kini surat itu tidak dijawab. Malah beberapa pemimpin Umno  Kelantan menafikan langsung hak rakyat Kelantan ke atas hasil petroleum  di perut bumi perairan Kelantan. Apa yang jelas telaga minyak sudah  dikeluarkan hasil, jutaan ringgit sudah dikaut, wang royalti tidak  dibayar, tiba-tiba kerajaan pusat akan bayar wang ehsan sebanyak RM40  juta.
9.Sikap menganaktiri Kelantan adalah cara Umno berkeluarga  dengan rakyat Kelantan. Saban hari mereka berjanji untuk membantu rakyat  dan setiap kali pilihan raya pula mereka ulangi janji-janji yang  tertunggak, malah janji baru terluah sampai berbuih mulut. Hasilnya  tidak kurang tujuh projek besar tergendala kerana salah urus dan  tertangguh kerana mainan politik adu-domba sesama pemimpin Umno. Antara  projek-projek itu ialah belum buat apa-apa lagi lebuh raya Gua  Musang-Kuala Krai, siap separuh jalan jalan Simpang Pulai-Gua Musang dan  Gua Musang-Kuala Berang, Universiti Malaysia Kelantan belum muncul  janji di Bachok dan Jeli tetapi yang beroperasi dalam terbatuk-batuk di  Pengkalan Chepa, pelebaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra,  pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra, 20 buah sekolah seluruh Kelantan  dan pembinaan Projek Terminal Makanan Negara (TEMAM) di Tunjong.
10.Siaran  televisyen dan akhbar perdana milik kerajaan Umno-Barisan Nasional  sering kali membuat liputan berita yang berat sebelah, berbau fitnah dan  provaktif. Di samping sengaja melakonkan sesuatu peristiwa (seperti isu  bekalan air, kedaifan hidup rakyat dan kemudahan asas rakyat yang  terabai) yang kononnya rakyat tidak dipedulikan dan segala kemudahan  rakyat tidak dilayan dengan baik.
11.Paling mendukacitakan lagi,  pihak berkuasa Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pernah melarang  guru-guru daripada memakai kopiah semasa bertugas. Ia dikatakan berpunca  daripada desakan pemimpin Umno yang kononnya tidak mahu melihat guru  berkopiah di sekolah-sekolah kerana ia menyamai dengan budaya berkopiah  kalangan pemimpin PAS. Rentetan larangan itu, seterusnya semua sekolah  agama-Arab telah disekat bantuan pelajaran, dan mengenakan syarat mesti  mendaftar di bawah Kementerian Pendidikan barulah bantuan disalurkan.
12.Masih  segar dalam ingatan, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib ke  Kelantan telah tidak mahu bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Ia terbukti apabila pihak Red Carpet yang  mengurus Kelantan Fiesta telah menolak kehadiran Menteri Besar di dalam  majlis perasmiannya yang menyaksikan kegagalan majlis tersebut. Tindakan  itu dilihat sebagai manifestasi sikap berbalah bukannya mahu  berbaik-baik.
13.Sementara yang terbaru, kehadiran lawatan  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin ke jajahan Jeli dan  Tanah Merah yang kononnya mahu berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan  sebagai respon kepada kesediaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjumpa beliau  sehari sebelum lawatan berlangsung. Namun, respon itu dilihat berlaku  secara spontan adalah suatu keadaan terdesak kerana tidak hubungan rasmi  antara pejabat Timbalan Perdana Menteri dengan Menteri Besar. Katanya  ia sekadar diuruskan melalui pihak ketiga yang memang tidak sesuai dan  di luar nilai berbaik-baik.
Bercanggah dengan sunah Nabi
Sehubungan  itu, kesemua sikap ingin berbaik dari pihak Umno itu adalah tersirat  keadaan di mana pada masa sama terjemla sikap berbalah dengan PAS. Maka  ia merupakan sandiwara pemimpin Umno yang kononnya cintakan perpaduan.  Sekaligus ia adalah bercanggah dengan teori perpaduan sejagat yang  mengkehendaki persefahaman dan penyatuan sikap serta tujuan sebagai  teras ke arah termeterai perpaduan sejati. Sebagaimana sunah nabi  Muhammad taktkala berhijrah dari Mekah ke Madinah, lalu dianjurkan  perpaduan umah antara golongan Mekah dengan golongan Madinah. Bukti  perpaduan adalah menerima Nabi Muhammad selaku pemimpin dan termeterai  Piagam Madinah yang menyatukan kesemuanya di atas landasan Islam. Maka,  sikap diskriminasi pemimpin Umno ke atas PAS dan Pakatan Rakyat masa  kini adalah bercanggah dengan sunah Nabi Muhammad SAW.
Paling  lekeh untuk dilihat sebagai praktik kepada teori perpaduan ialah realiti  kerjasama kerajaan campuran PAS-Perikatan tahun 1971-1974 di Kelantan.  Perpaduan itu terjadi atas dorongan dan nilai political will antara  pemimpin PAS dan Umno yang mahu mengukuhkan ikatan umat Islam ketika  berdepan dengan kesan rusuhan kaum13 Mei 1969. Maka, teori dan praktik  perpaduan itu tidak terbayang di dalam suasana ajakan perpaduan PAS-Umno  pada hari ini. Tiada asas komitmen pemimpin Umno untuk meninggalkan  dasar sekular dan pragmatis ke arah menerima dasar Islam. Sedangkan  kesediaan menerima Islam telah diungkap sejak sekian lama olerh PAS  kerana PAS memperjuankan Islam. Justeru teori perpaduan sahaja yang  wujud tetapi praktik perpaduan sebenarnya tidak timbul di dalam parti  Umno.
Persoalan untuk umat Islam
Renungi dan fahami  beberapa persoalan untuk umat Islam. Apakah mungkin bagi Umno, ia  berteori kemudian mempraktikkan teori perpaduan itu dengan cara  keikhlasan sejati? Bagaimanakah pula rupanya perpaduan yang berkonsepkan  keikhlasan sejati? Secara mudah mungkin boleh diterima idea seorang  blogger (kalam perantau), yang mencadangkan langkah rasional ke arah  berbaik-baik antara PAS dengan Umno ialah dengan memulakan kerjasama  antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Kerjasama kerajaan itu  boleh berlaku kalangan top level dalam kerajaan dan tidak semestinya  melibatkan PerdanaMenteri dengan Menteri Besar ataukah padan sekadar  Datuk Seri Utama Dr. Rais dengan ahli exco kerajaan negeri, Dr. Mohamed  Fadli. Pendekatan perpaduan kerajaan-kerajaan itu sudah tentu akan dapat  meredakan banyak permasalahan berbangkit selama ini. Sanggupkah  pemimpin Umno?
Apa pun, perpaduan sejati hanya boleh dicapai  setelah penghayatan dan daya istiqamah tertinggi kalangan pemimpin,  iaitu berpaksikan prinsip perpaduan Islam yang telah dibuktikan oleh  Nabi Muhammad SAW. Saya yakin, pemimpin Umno belum bersedia untuk  mengikut sunah Nabi Muhammad SAW!
Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.



