by Dr. Dzul
Saya ditanya oleh pihak media mengapalah FDI begitu  penting sangat untuk Malaysia dalam situasi kini, sejurus selepas  penglibatan saya dalam Forum Ekonomi Negeri Selangor sempena Majlis  Dialog Bejt 2011. Saya cuba rumuskan di sini jawapan tersebut untuk  pengetahuan umum.
Benar, mengikut Laporan Pelaburan Dunia (WIR,  2009), yang diterbitkan baru baru ini oleh Perdagangan dan Pelaburan  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) telah mengesahkan bahawa  pelaburan asing langsung (FDI) Malaysia merosot 81 peratus kepada  US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada 2009 daripada US$7.32 bilion  (RM23.47 bilion) pada 2008.
Meskipun negara-negara ASEAN juga  mengalami penurunan kemasukan FDI, ternyata tidaklah separah Malaysia.  Thailand mendapat pelaburan sebanyak US$4.44 atau RM14.24 bilion  sementara Indonesia sebanyak  US$2.60 billion  atau RM8.32 billion  sekaligus meletakkan Malasyia, antara negara tercorot sebagai negara  pilihan pelaburan pelabur asing langsung bersama dengan Cambodia, Brunei  dan Timor-Leste. Vietnam juga mendahului kita sekarang ini.Keadaan  menjadi lebih buruk lagi tatkala diperhatikan bahawa bukan sahaja  kemasukan FDI menjunam, pengaliran keluar dana tempatan adalah juga yang  terbesar berbanding semua negara ASEAN sebanyak RM25.77 bilion.
Apakah makna semua ini? Mengapa FDI faktor penting dalam ekonomi negara?
Jawapannya  mudah. Ketika negara tidak mampu lagi melakukan perbelanjaan besar  (G-factor, termasuk mengepam ekonomi atau pump-priming)) kerana telah  terbeban dengan hutang awam (kerajaan) sehingga ke paras 52.6% dari KDNK  (RM362bilion), maka pertumbuhan negara mesti dipacu oleh pelaburan  pihak swasta.
Pihak pelaburan swasta ada dua komponen. Satu  pelaburan tempatan dan kedua pihak luar. Kini apa yang kita tahu ialah  bukan sahaja dari luar kurang masuk (FDI) dari dalam pun banyak yang  keluar. Antara lain ini bermaksud, keyakinan terhadap negara sebagai  destinasi pelaburan yang baik, belum pulih.
Apabila ini berlaku  ia membawa dua kesan besar. Satu, kesan pada pertumbuhan. Kerana  kekurangan dana untuk memacu kegiatan ekonomi dan pelaburan dalam  pelbagai bidang khsususnya pembuatan dan perkhidmatan, maka pertumbuhan  6% yang disasar tidak akan dapat dipacu. Keadaan akan menjadu lebih  buruk apabila permintaan global dan serantau merosot kerana akan  menjejaskan faktor Ekspot dalam KDNK.
Lebih parah lagi kalau  sentimen pengguna juga turut terjejas. Terkini laporan MIER (Malaysian  Institute of Economic Reserach) turut menunjukkan bahawa indeks sentimen  pengguna merosot. Faktor Penggunaan (Consumption) akan turut memberi  kesan negatif terhadap pertumbuhan. Penarikan subsidi terkini bahkan  pengenalan GST nanti, tentunya akan memburukkan faktor Perbelanjaan  khususnya ketika tercetusnya inflasi.
Apabila sasaran 6%  pertumbuhan gagal dicapai, ini meninggalkan kesan lansung secara negatif  kepada usaha untuk menjana pendapatan per kapita yang tinggi seperti  yang diharapkan PM. Situasi ini jelas adalah tidak selesa sama-sekali  untuk Najib bahkan ini mencemaskan dan berpotensi menyebabkan kesemua  ’target-makro’ dalam RMK-10 tersasar.
Oleh kerana Malaysia adalah  sebuah model ekonomi terbuka yang kecil (KDNK sebanyak ~RM700 bilion)  serta bergantung kepada kegiatan ekspot maka menghasilkan barangan  ekspot yang bernilai-tambah tinggi adalah penting untuk mengekalkan  dayasaing negara.
Lain kiranya kalau kita mampu memacu  pertumbuhan secara permintaan dan dana domestik seperti negara negara  Scandinavia yang punya ekonomi kecil seperti Denmark, Norway atau Sweden  yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dengan permintaan domestik.
Untuk  memenuhi matlamat pertumbuhan negara, dana untuk pelaburan adalah cukup  kritikal. Dana itu datang dari luar(FDI) atau dari pelabur tempatan.  Kedua-dua ini mengikut laporan UNCTAD ini jelas merosot.
Itulah  sebabnya pimpinan Najib dan BN mesti melihat apakah faktor-faktor yang  menyebabkan situasi ini berlaku ataukah kita akan kekal dalam penafian  seperti yang ditanggapi umum oleh kenyataan adik Najib, DS Nazir Razak,  boss atau CEO CIMB itu, sebuah Investment Bank yang terulung di negara  ini yang banyak mendapat habuan besar dari kegiatan kewangan korporat  seperti M&A, IPO, terbitan Bon dan Sukuk dsbnya.
Sementara  saya memahami apa yang beliau maksudkan dengan ‘quality investment’ dan  ‘timing’nya, namun komentarnya itu tidak dapat menyangkal bahawa  Malaysia, sebagai destinasi pelaburan, sudah tidak lagi berada dalam  ‘radar utama pelabur’ asing dan juga tempatan. Tidak dapat dielakkan  tanggapapan bahawa ia semacam mahu membela abangnya. Ia agak semacam tak  kena atau misplaced, dengan izin.



