Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengganggap serangan  bertali arus Umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berlaku  disebabkan parti pemerintah itu semakin gelabah berikutan kehilangan  sumber kewangan melalui kegiatan mencuri pasir.
Beliau tidak  hairan dengan gelagat pimpinan dan juak-juak Umno yang bermati-matian  membangkitkan isu pasir hingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk   demontrasi bagi memastikan kerajaan negeri  tidak menutup periuk nasi  kroni mereka.
Khalid berkata demikian pada majlis pelancaran Gerak Kerja Penyelaras Komunikasi Selangor (Pikom).
Sejak  peringkat awal pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, isu kecurian  pasir antara perkara yang dijadikan belantan bagi membantai kesungguhan  kerajaan negeri mempertahan hak rakyat.
Pimpinan Umno, dari bekas  Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo, Timbalan Perhubungan  Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan terbaru, Ezam Mohamed Noor  menjadi watak utama dalam menyerang kewibawan kerajaan Selangor.
Ironinya,  kerajaan Umno Barisan Nasional ketika berkuasa gagal sama sekali  membanteras kegiatan curi pasir hingga menimbulkan cakap-cakap di  kalangan ramai bahawa Umno sebenarnya dalang kecurian pasir.
Tan  Sri Khalid berkata, sebaliknya, kerajaan Selangor membawa pembaharuan  supaya memastikan pasir tidak sewenang-wenang dicuri dan hasilnya masuk  dalam poket pihak tertentu sedangkan rakyat hanya melongo.
Bagaimanapun,  Umno dengan berbekalkan pena media arus perdana memutar belit isu  kecurian pasir dengan menuding jari kepada Pakatan Rakyat dengan  pelbagai tohmahan tanpa bukti dan memanipulasi fakta.



