KOTA BHARU - Lokman Ahmad, bapa penulis  lirik, pelakon dan pelawak, Bob  Lokman, memasang hasrat supaya Bob  menjadi wakil rakyat kepada parti  yang disertainya suatu hari nanti.
Lokman  berkata, tindakan anak sulungnya itu, yang  membuat kejutan apabila  menyertai Pas pada 19 Februari lalu di Kedah itu  sebagai tindakan baik.                 
“Bob ada  menelefon selepas menyertai Pas dan saya meminta Bob jadi wakil  rakyat  seperti arwah bapa saudaranya (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN)  Lundang, Allahyarham Wardi Ahmad), tetapi dia sertai parti itu  kerana  mahu mengembangkan Islam, bukan jadi wakil rakyat.
“Saya  restuinya kerana dia bergerak untuk Islam sama seperti  datuknya, Tok  Kenali, tetapi bukan bermakna saya menyokong mana-mana  parti kerana  saya berkecuali dan hanya mahu menjaga Masjid Tok Kenali,”  katanya  kepada Sinar Harian, di sini.
Menceritakan penglibatan Bob dalam  dunia seni, beliau berkata, nama  anaknya disebut-sebut setelah beliau  menulis lirik lagu ‘Isabella’ yang  dinyanyikan kumpulan Search suatu  masa dahulu.
“Saya akui memang saya pernah tidak mengaku Bob anak  saya dengan  sering memberikan alasan saya tidak mempunyai anak yang  bernama Bob,  tetapi ada anak nama Mohd Hakim kerana ketika itu saya  cukup benci  melihat penampilannya dalam industri seni.
“Pada  masa itu, saya marah kepadanya, tetapi dia tetap balik menemui  saya  setelah memberitahu bapa saudaranya untuk berjumpa saya dan saya   mengenakan syarat dia perlu mencukur rambutnya (ketika itu rambut Bob   panjang) dan Bob akur,” katanya.
Menurutnya, antara syarat lain  yang dikenakan kepada Bob, beliau  perlu memakai kopiah ketika balik ke  rumah dan sekarang Lokman bersyukur  kerana penampilan Bob sudah  berlainan dan menjurus kepada kebaikan.
“Bob sering meminta saya  mendoakan dia berjaya dalam perniagaan,  sebelum ini dia jual Kopi Bob,  saya pun turut jual sebab saya tidak mahu  dia jadi pelakon. Sekarang  dia menceburi perniagaan kad prabayar dan  berjaya.
"Kemudian  terbaru masuk Pas; malahan saya bersyukur kerana doa saya  supaya Allah  beri petunjuk kepadanya dimakbulkan,” katanya sambil  menyapu linangan  air mata.
Lokman berkata, anaknya pernah menerima pendidikan di  Maahad  Hamidiah, Kajang, pernah menang pertandingan syarahan dan bahas  dan  belajar di sekolah swasta di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala  Lumpur.



