Kepada,
YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, IG,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
12hb.September 2011, 
Assalamualaikum wbt.
KENYATAAN TERTUDUH-BENARKAH ANWAR DIANIAYAI. 
Beberapa  pihak telah memberikan pendapat berkaitan tindakan Dato Seri Anwar  Ibrahim (Anwar) membuat kenyataan pembelaan diri dalam perbicaraan kes  Sodomy II dari kandang tertuduh pada 22.08.2011 yang lalu. Setiap  seorang termasuk saya,adalah berhak keatas pendapat masing-masing.
2.  Membuat kenyataan dari kandang tertuduh( Kenyataan Tertuduh) adalah  salah satu dari tiga opsyen yang dibenarkan olih undang-undang kepada  seorang Tertuduh. Olih yang demikian, tidak timbul sama ada Anwar telah  melakukan suatu kesalahan dari sudut undang-undang atau sebaliknya.  Beliau pasti telah diberi nasihat berkaitan konsekuen atau faedahnya  memilih opsyen tersebut.
3.  Pada pendapat saya, perkara yang sepatutnya dititikberatkan ialah  samada ada keseluruhan kandungan Kenyataan Tertuduh itu adalah benar  atau terdapat diantaranya, penegasan yang direka atau palsu. Kedapatan  Anwar turut membuat dakwaan salahlaku jenayah yang spesifik, terhadap  beberapa individu yang dinamakan dengan jelas. Apa pun opsyen yang  dipilih, beliau telah mengemukakan kenyataan tersebut dihadapan seorang  Hakim dalam suatu prosiding terbuka. Anwar tetap tertakluk kepada  pendakwaan jenayah, sekiranya beliau dibuktikan telah membuat kenyataan  yang direka atau palsu. 
4.  Dalam mengulas isu ini,saya memilih untuk menumpukan perhatian kepada  beberapa perenggan Kenyataan Tertuduh seperti berikut:- 
4.1.  Dakwaan spesifik terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail(Gani Patail),Tan  Sri Musa Hassan (Musa Hassan) dan Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden  (Yusof) dalam peristiwa tahun 1998. Khususnya berkaitan mereka atau  memberi keterangan palsu serta dakwaan “cover-up” dalam penyiasatan  melibatkan Anwar. Termasuk tetapi tidak terhad kepada insiden  mata-lebam.
4.2. Dakwaan berkaitan keterangan Forensik dan DNA.
4.3. Dakwaan keterlibatan dan salahguna kuasa mantan Perdana Menteri dalam penyiasatan melibatkan Anwar.
5.  Saya mendapati hampir keseluruhan Kenyataan Tertuduh itu adalah  merupakan “kenyataan ulangan untuk menyegarkan ingatan”.Dakwaan-dakwaan  yang Anwar lontarkan terhadap mantan Perdana Menteri Y.A.Bhg. Tun  Mahathir Mohamed, Gani Patail, Musa Hassan dan beberapa yang lain,  termasuk terhadap Jabatan Peguam Negara dan Polis, bukanlah perkara  baru.Beliau pernah membuat kenyataan secara rasmi pada 3.3.1999 ketika  prosiding Suruhanjaya Di-Raja siasatan insiden mata-lebam  diadakan.Bagaimanapun dakwaan-dakwaan berkenaan tidak dicabar olih  mana-mana pihak, walaupun daripada Gani Patail atau Musa Hassan sendiri.
5.1.  Selanjutnya,dakwaan salahlaku jenayah secara lebih spesifik terhadap  Gani Patail,Musa Hassan dan Yusof telah beliau kemukakan kepada Mahkamah  dalam beberapa afidavit yang telah difailkan sejak 2008 ketika  perbicaraan masih diperingkat Mahkamah Sesyen lagi. 
5.2.  Selain afidavit, Anwar juga telah membuat beberapa laporan Polis  terhadap Gani Patail,Musa Hassan serta beberapa Timbalan Pendakwa  Raya.Laporan-laporan berkenaan kesemuanya berkisar kepada dakwaan mereka  keterangan atau membuat afidavit palsu.
6.  Olih hal yang demikian, isu beliau membuat Kenyataan Tertuduh  sedemikian, sebagai helah untuk mengelakkan diri daripada disoal balas  olih Pasukan Pendakwaan, pada pendapat saya tidak tepat untuk  dipersoalkan.
6.1.  Malahan,Pasukan Pendakwaan atau sesiapa juga yang telah didakwa dalam  afidavit atau laporan Polis berkenaan, bolih membuat aduan terhadap  Anwar jika terbukti beliau telah mengikrarkan afidavit atau membuat  laporan Polis palsu.Bagaimanapun sejak 1998 lagi, Gani Patail dan Musa  Hassan tidak mengambil tindakan sedemikian.
7.  Peraturan Mahkamah Tinggi berkaitan penegasan dalam sesuatu afidavit  adalah jelas. Banyak case laws yang bolih dijadikan teladan. Antaranya  dalam kes Sunrise Sdn.Bhd. vs First People (M) Sdn.Bhd & Anor [1996]  3 MLJ 533.Hakikatnya telah diterima olih Mahkamah bahawa, mana-mana  penegasan mustahak dalam afidavit yang tidak dijawab atau dicabar  hendaklah dianggap sebagai telah diakui kenyataan yang benar. 
7.1.  Contoh semasa yang terbaik ialah; dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu,  bilamana Hakim telah membebaskan seorang tertuduh Abdul Razak Baginda  tanpa dipanggil membela diri, semata-mata bersandarkan afidavit Razak  yang tidak dicabar olih Pendakwa Raya. 
GANI PATAIL DAN MUSA HASSAN
8.  Berbalik kepada dakwaan-dakwaan spesifik terhadap beberapa individu  dalam Kenyataan Tertuduh tersebut, kesimpulan saya adalah seperti  berikut;
8.1.  Dakwaan bahawa Gani Patail pada 26.10.1998 telah mengarahkan seorang  Dr. Abdul Rahman Yusof (Dr. Rahman) untuk menyediakan satu laporan  Forensik palsu berkaitan kecederaan yang Anwar alami dalam insiden mata  lebam itu adalah betul.Pemalsuan ini telah disusuli dengan 2 lagi  pemalsuan olih Dr. Rahman yang dikatakan telah diarahkan sendiri olih  Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara ketika itu, dalam  bulan Disember 1998.
8.2.  Dakwaan bahawa Musa Hassan telah bersubahat dengan memberi kemudahan  kepada Gani Patail dan Dr.Rahman menyempurnakan pemalsuan-pemalsuan  tersebut diatas juga adalah betul.8.3. Fakta bahawa 2 (dua) daripada 3  (tiga) laporan forensic palsu tersebut telah dikemukakan dalam prosiding  Suruhanjaya Di-Raja insiden mata-lebam yang bersidang diantara  22.2.1999 hingga 4.3.1999, juga adalah betul.
9.  Apapun keadaannya, keujudan 3 laporan forensik olih Dr.Rahman itu  sendiri, merupakan keterangan yang kukuh bagi membuktikan berlakunya  perbuatan mereka keterangan palsu terhadap Anwar.Saya menekankan bahawa  keterangan ini adalah lebih konklusif daripada keterangan DNA.
YUSOF
10.  Dakwaan bahawa Yusof mengetahui keujudan ketiga-tiga laporan palsu  tersebut dan penggunaanya dalam prosiding Suruhanjaya diatas, dalam  sifat beliau sebagai wakil Peguam Negara sepanjang prosiding berkenaan,  adalah berasas dan dipercayai betul.
10.1.  Yusof sewajarnya mengistiharkan kepada Mahkamah, sama ada posisi beliau  sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan kes Sodomi II berada dalam konflik  dengan posisi beliau sebagai wakil Peguam Negara dalam prosiding  Suruhanjaya mata-lebam. Situasi ini timbul, memandangkan isu Gani Patail  dan Musa Hassan memalsukan keterangan dan menggunakannya dalam  prosiding Suruhanjaya itu telah dibangkitkan sejak 1.7.2008.Ini disusuli  pula dengan dakwaan menerusi afidavit-afidavit dalam pembicaraan Sodomi  II. Yusof sendiri turut ditohmahkan sebagai telah menyembunyikan  keterangan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan.
10.2.  Hakikatnya tidak dapat dinafikan bahawa Yusof adalah seorang saksi yang  mustahak kepada dakwaan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa  Hassan yang telah dilaporkan olih Anwar pada 1.7.2008 itu, manakala  pada masa yang sama juga, Yusof adalah Ketua Pasukan Pendakwaan dalam  perbicaraan Sodomy II terhadap Anwar.
10.3.  Yusof hanya perlu untuk mengesahkan sama ada benar atau tidak ujud 3  laporan forensic yang disediakan olih Dr. Rahman diatas arahan Gani  Patail dan Peguam Negara dalam penyiasatan insiden mata-lebam itu. Yang  lainnya adalah untuk Mahkamah memutuskan.
KETERANGAN FORENSIK DAN DNA
11.  Dakwaan menerusi afidavit menyatakan Musa Hassan dan SAC Datuk Mohamad  Rodwan Yusof (Rodwan) cuba mengambil tanpa kebenaran (“mencuri”) sample  darah Anwar, daripada simpanan / kawalan seorang Dr.Zahari Noor pada  15.10.1998 untuk kegunaan ujian DNA adalah dipercayai betul. Dr.Zahari  sendiri telah memberikan keterangan kearah demikian pada 30.12.1998  ketika perbicaraan Anwar dalam kes salahguna kuasa dihadapan Hakim Dato  Augustine Paul (mendiang). 
11.1.  Setidak-tidaknya, Musa Hassan masih terhutang kepada rakyat jelata,  untuk menjelaskan apakah keterangan yang beliau ada ketika memberi  taklimat kepada Tun Mahathir ,sehinggakan mantan Perdana Menteri itu  begitu yakin untuk mempercayai Anwar terlibat dengan aktibiti seks luar  nikah dan homosexsual. Manakala beberapa bulan selepas itu pula, Musa  Hassan terdesak untuk mengumpulkan keterangan lanjut berkaitan DNA,  sehingga terpaksa mencuri sample darah tersebut.Walhal pada ketika itu,  Anwar telahpun dituduh di-Mahkamah dan sedang menunggu tarikh  perbicaraan. Sepatutnya proses pengumpulan keterangan asas telah  selesai. 
11.2.  Musa Hassan juga patut jelaskan samada tindakan “mencuri” sample darah  sebelum perbicaraan kes dimulakan itu, adalah dalam pengetahuan dan  direstui olih Tun Mahathir atau sebaliknya. Ataupun tindakan itu adalah  diatas inisiatif beliau sendiri semata-mata untuk menjustifikasikan  taklimat meyakinkan yang beliau beri kepada Tun Mahathir beberapa bulan  sebelum itu.
11.2.1.Fakta  bahawa Musa Hassan telah menemui Dr. Zahari berkaitan sample darah  Anwar untuk tujuan DNA pada 15.10.1998 itu sahaja, sudah memadai untuk  membuat kesimpulan bahawa Musa Hassan TIDAK mempunyai keterangan yang  lengkap ketika mentaklimatkan Tun Mahathir berkaitan Anwar beberapa lama  sebelum itu.
11.2.2.Sila  rujuk laporan lengkap dalam “surat tertutup” saya bertarikh 27.12.2010  dialamatkan kepada Tan Sri KPN, Solicitor General dan YAB Perdana  Menteri berkaitan pemalsuan DNA ini.
DAKWAAN KETERLIBATAN TUN MAHATHIR
12.  Menerusi Kenyataan Tertuduh dan afidavit-afidavit yang Anwar telah  failkan sebelumnya,beliau telah mendakwa pada tahun 1998 Tun Mahathir  telah menyalahgunakan kuasa beliau dalam memberi tekanan keatas Jabatan  Kehakiman, Peguam Negara dan Polis sehingga mendapatkan beliau (Anwar)  disabitkan dengan kesalahan yang beliau tidak pernah lakukan dan  dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 15 tahun.
12.1.  Saya menegaskan bahawa Anwar TIDAK mempunyai keterangan untuk  mengaitkan Tun Mahathir dengan tindakan Gani Patail dan Musa Hassan  dalam perbuatan merekacipta atau memberi keterangan palsu terhadap  beliau (Anwar).
12.2.  Sebaliknya, saya wajar menyatakan bahawa mengikut rekod rasmi dan apa  yang tercatit diatas kertas dalam fail siasatan Polis, Tun Mahathir yang  telah memberi nasihat dan amaran keras supaya tidak ada sebarang  “cover-up” dilakukan dalam penyiasatan kes-kes melibatkan Anwar.
12.3.  Nasihat dan amaran Tun Mahathir sedemikian itu telah saya rakamkan  dalam diari penyiasatan kes mata-lebam pada 8.10.1998 setelah saya  menemui beliau di-Jabatan Perdana Menteri yang dipanggil memberi  taklimat kemajuan siasatan Polis dalam kes tersebut.
12.4.  Nasihat dan arahan tersebut telah disampaikan kepada pucuk pimpinan  tertinggi PDRM pada hari yang sama dan kepada Gani Patail dua hari  kemudian.Laporan secara bertulis menerusi kertas siasatan kes,  disampaikan kepada Gani Patail pada 15.10.1998 yang diakui penerimaannya  secara rasmi.
13.  Olih yang demikian,berdasarkan keterangan yang ada,saya menegaskan,  segala penipuan dan pemalsuan keatas Anwar telah dilakukan olih Gani  Patail dan Musa Hassan dengan kehendak mereka sendiri untuk faedah  masing-masing,melainkan mereka berdua bolih membuktikan terdapat ada  pihak ketiga yang terlibat.
MENGENAI SABITAN SALAH DAN HUKUMAN PENJARA 15 TAHUN 
14.  Sejak 1998 lagi, Anwar secara konsisten mengekalkan pengakuan tidak  bersalah sambil mendakwa, bahawa pertuduhan-pertuduhan salahguna kuasa  dan liwat yang dikenakan terhadapnya adalah pertuduhan palsu dan berniat  jahat dan suatu konspirasi nekad, untuk memusnahkan kerjaya  poliktiknya. Beliau turut mendakwa bahawa sabitan salah dan hukuman  penjara 15 tahun yang dijatuhkan keatas diri beliau adalah suatu  penganiayaan pihak Pemerintah keatas diri dan keluarga beliau.
15.  Berdasarkan kepada keterangan dokumentari dan peristiwa-peistiwa  penipuan dan pemalsuan yang dilakukan keatas diri beliau, yang bolih dan  mampu dibuktikan, maka saya menyatakan bahawa dakwaan Anwar sedemikian  itu adalah berasas dan mempunyai meritnya yang tersendiri.
15.1.  Perbuatan “mencuri” sample darah Anwar untuk tujuan DNA olih Musa  Hassan dan Rodwan telah dilakukan pada 15.10.1998. Manakala pemalsuan  keterangan Forensic olih Dr.Rahman pula dilakukan pada 26.10.1998.  Kedua-dua peristiwa yang berlaku, adalah diatas arahan dan  atau/penyeliaan Gani Patail yang disempurnakan sebagai persediaan untuk  keterangan tersebut digunakan terhadap Anwar, sebelum perbicaraan kes  salahguna kuasa terhadap beliau dimulakan pada 2.11.1998.
15.2.  Tanpa perlu mengulangi secara detail peristiwa diatas,saya menyatakan  bahawa kedua-dua kejadian tersebut adalah antara beberapa keterangan  kukuh untuk membuktikan keujudan niat jahat (mala fide) dan sikap bias  Gani Patail dan Musa Hassan dalam penyiasatan dan pendakwaan kes ini. 
15.3.  Walaupun Hakim mendiang Dato Augustine Paul menolak (expunged)  keterangan DNA akibat penjelasan yang menimbulkan kecurigaan daripada  Ahli Kimia Encik Lim Kong Boon, tidak bermakna bahawa perbuatan  “mencuri” sample darah bagi tujuan DNA dan mereka keterangan palsu dalam  perkara ini, terbatal sama sekali. Malah ianya mengukuhkan lagi  dakwaan-dakwaan bahawa sample darah yang dicuri dari kawalan Dr.Zahari  itu telah ditanam (planted) diatas “tilam masyhor” yang diusung  turun-naik Mahkamah ketika perbicaraan.
15.4.  Perbuatan Musa Hassan memberi keterangan palsu (“perjury”) dalam  perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar, tiba-tiba terbongkar,  apabila keterangan beliau berikan sendiri sebagai saksi PW75 dalam  perbicaraan Kes Pendakwa Raya vs Ramli Yusuff di-Mahkamah Sesyen Kota  Kinabalu, dibandingkan dengan keterangan yang beliau berikan dalam kes  salahguna kuasa terhadap Anwar tahun 1998. Seorang Ahli Parlimen telah  membuat laporan Polis terhadap Musa Hassan kerana melakukan kesalahan  “perjury” ini dalam bulan Mac 2010, tetapi penyiasatannya disenyapkan  begitu sahaja. 
Analogi
16  Jika Musa Hassan dan Rodwan tidak pernah menemui Dr.Zahari berkaitan  sample darah Anwar seperti yang dinyatakan diatas, maka Dr. Zahari Noor  tidak akan memberikan keterangan sedemikian dalam perbicaraan kes  salahguna kuasa terhadap Anwar dalam bulan Disember 1998. Rodwan juga  tidak akan menyebut perkara DNA ini tanpa sebab dalam percakapan yang  dirakamkan darinya pada 1.10.1998.
16.1.  Jika Musa Hassan sememangnya seorang yang jujur, termasuk apabila  memberi keterangan bersumpah,maka Hakim Supang Lian dari Mahkamah Sesyen  Kota Kinabalu, tidak akan melabelkan beliau sebagai seorang saksi yang  tidak bolih dipercayai, dan kesaksiannya juga ditolak. Walhal beliau  adalah seorang Ketua Polis Negara dan memakai pakaian seragam lengkap  ketika memberikan keterangan tersebut. Pendek kata Hakim Supang Lian  tidak akan membuat komen sedemikian melainkan beliau mempunyai  keterangan yang kukuh.
16.2.  Jika Musa Hassan tidak ada memberi keterangan palsu ketika perbicaraan  kes salahguna kuasa terhadap Anwar, dihadapan Hakim mendiang Dato  Augustine Paul dalam tahun 1998, maka tidak akan ujud nota keterangan  sedemikian yang bolih dibandingkan pula dengan nota keterangan beliau  di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu sebelas tahun kemudian. 
16.3.  Jika Musa Hassan tidak pernah memberi kemudahan dan membantu Gani  Patail dalam membuat dan mereka keterangan-keterangan palsu dalam  penyiasatan insiden mata-lebam tahun 1998, maka saya sendiri tidak akan  merakamkan dalam diari penyiasatan saya ketika itu, mengenai peranan dan  penglibatan beliau dan Gani Patail dalam salahlaku jenayah ini.
Memoirs
17.  Jika Musa Hassan telah berjaya meyakinkan Tun Mahathir untuk  mempercayai Anwar terlibat dalam aktibiti homosexsual,lantas beliau  dipecat dan dikenakan beberapa pertuduhan jenayah sehingga disabitkan  kesalahan dan dipenjarakan, maka nota keterangan Musa Hassan berikan  dalam perbicaraan salahguna kuasa terhadap Anwar itu sendiri, akhirnya  telah membongkarkan segala pemalsuan dan penipuan lampau yang Musa  Hassan telah lakukan.
17.1.  Begitu juga apa yang berlaku keatas Gani Patail. Sungguhpun beliau  berjaya meyakinkan Tun Mahathir dan Jemaah Menteri ketika itu,dengan  memperkecilkan hasil penyiasatan Polis terhadap insiden mata-lebam,  sehinggakan Jemaah Menteri percaya bahawa PDRM tidak telus dan  professional dalam tugas mereka,lantas menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja  penyiasatan pula. Maka keterangan-keterangan yang terkandung dalam  laporan Suruhanjaya itu sendiri,akhirnya telah mengesahkan segala  pemalsuan dan penipuan yang Gani Patail telah lakukan.
17.2.  Tanpa diduga 13 tahun kemudian,Tun Mahathir telah mengeluarkan memoirs  beliau dalam “A Doctor in the House”, pada bulan Mac 2011. Secara  sengaja atau kebetulan, memoirs Tun dalam membincangkan peristiwa  mata-lebam dan dakwaan terhadap Anwar, sebaliknya telah mengukuhkan lagi  keterangan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan pula.  
17.2.1.Jika  Tun Mahathir dalam memoirs sendiri telah berterus terang pernah  tersalah anggap, bahawa kecederaan mata-lebam yang Anwar alami itu  adalah dilakukannya sendiri (self-inflicted), hanya untuk kemudiannya  sedar bahawa kecederaan tersebut akibat serangan mantan Ketua Polis  Negara,maka Tun juga bolih tersalah anggap mengenai aktibiti homosexsual  Anwar. Tun Mahathir tidak bolih mengenepikan kemungkinan beliau telah  diperdayakan olih Musa Hassan dengan butir taklimat yang ditokok-tambah  atau dimanipulasikan.
17.2.2.Menilai  semula penglibatan Musa Hassan dalam peristiwa, yang ramai tidak  menyangka beliau sanggup lakukan,iaitu, “mencuri” sample darah untuk  tujuan DNA,bersubahat dengan Gani Patail dalam mereka 3 laporan Forensik  palsu serta kemudiannya memberi keterangan palsu dalam perbicaraan  melibatkan Anwar, yang kesemuanya berlaku selepas beliau memberikan  taklimat kepada Tun, maka kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan  menjadi lebih credible. 
17.2.3.Saya  menyatakan Tun sememangnya serius apabila beliau pada 8.10.1998  mengarahkan menerusi saya supaya tidak ada sebarang “cover-up” dalam  penyiasatan kes-kes terhadap Anwar. Bagaimanapun Tun tidak mempunyai  kawalan terhadap tingkahlaku Gani Patail dan Musa Hassan.
17.2.4.Tun  Mahathir sendiri mengaku telah mengarahkan KPN supaya berhati-hati  apabila menangani Anwar. Malah Tun (memberitahu saya ketika menemui  beliau) telah meminta supaya Anwar tidak digari apabila ditangkap, jika  bolih. Namun, Anwar tetap juga dibelasah olih mantan KPN tersebut sebaik  ditangkap ketika kedua belah tangannya masih bergari.Begitu juga  keadaannya,walaupun Tun telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang  “cover-up” terhadap kes-kes melibatkan Anwar, dan arahan tersebut telah  saya sampaikan kepada mereka yang berkenaan,secara lisan dan bertulis,  namun Tun tidak berupaya untuk menghalang Gani Patail dan Musa Hassan  daripada melakukan pemalsuan dan penipuan keatas Anwar dibelakang  beliau.
17.2.5.Sekiranya  Gani Patail sanggup melibatkan diri melesapkan dokumen yang mengaitkan  beliau dengan salahlaku jenayah, sebelum laporan Suruhanjaya Di-Raja  mata-lebam dipersembahkan kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong, maka apalah  manipulasi keatas rakyat biasa kepada beliau.
17.2.6.Dengan  berat hati saya menyatakan,bahawa terdapat beberapa kenyataan mustahak  Tun dalam Chapter 53 “Doctor in the House”, khususnya menyentuh  berkaitan siasatan kes mata-lebam dan tindak-tanduk Pendakwa Raya dalam  perkara sama, adalah berbeza dengan fakta terkandung dalam fail siasatan  rasmi yang dibuat pada 1998. Saya percaya pekara ini bolih berlaku  akibat Tun telah diberikan maklumat atau taklimat yang telah  dimanipulasikan dan mengelirukan. 
Kesimpulan Perkara
18.  Berdasarkan kepada hujah-hujah yang tersebut diatas yang disokong  dengan dokumen-dokumen dan keterangan yang ada dalam milik dan  pengetahuan saya sendiri, saya berpendapat bahawa sabitan salah keatas  Anwar dalam pertuduhan salahguna kuasa keatas beliau,telah diperolehi  olih pihak Pendakwaan melalui jalan penipuan dan pemalsuan yang telah  dilakukan dengan niat bersama olih Gani Patail dan Musa Hassan untuk  faedah bersama mereka. 
18.1.  Tidak salah untuk menyatakan hukuman penjara yang Anwar telah lalui  adalah penganiayaan terhadap beliau olih mereka berdua.
PENUTUP
19.  Selain daripada diri saya sendiri, saya mendapat maklum terdapat  sekurang-kurangnya dua lagi pihak yang pernah menemui Perdana Menteri,  YAB Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak (PM Najib), bertujuan menyarankan  supaya sesuatu tindakan diambil terhadap Gani Patail dan Musa Hassan.  Ini memandangkan salahlaku jenayah yang telah mereka lakukan, adalah  sangat ketara dan telah membebankan Negara, selain daripada memusnahkan  kepercayaan Rakyat terhadap Institusi-Institusi Kerajaan.Saya mempunyai  alasan untuk menyatakan, PM Najib turut sedar bahawa keterangan terhadap  Gani Patail dan Musa Hassan adalah jelas dan kukuh. Malahan, tidak ada  jalan keluar bagi mereka berdua.Namun begitu, PM Najib nampaknya masih  belum bersedia untuk melaksanakan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri  diatas sesuatu pertimbangan yang hanya beliau ketahui. Mungkin beliau  sedang menunggu masa yang sesuai. Saya yakin PM Najib tidak akan  timbulkan soal ketiadaan atau kekurangan keterangan terhadap mereka  berdua.
20.  Sebagai seorang yang terlibat secara langsung menangani isu-isu  berkaitan Anwar sejak 1998, serta mempunyai pengalaman bersemuka dan  berinteraksi dengan kesemua “pemain-pemain utama” perkara dalam  persoalan ini,terutamanya Tun Mahathir sendiri, Gani Patail, Musa  Hassan, Anwar Ibrahim, selain daripada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya  Suruhanjaya Di-Raja siasatan mata-lebam dan juga PM Najib, maka saya  mampu menegaskan, bahawa segala pendedahan fakta yang saya buat dalam  surat keluaran ini dan juga dalam beberapa banyak Surat Terbuka saya  sebelum ini, tidak pernah lari sedikitpun daripada landasan kebenaran.
21.  Saya menyimpan hak saya untuk menyambung ulasan mengenai isu ini pada  masa yang sesuai, memandangkan perbicaraan kes Sodomi II akan disambung  semula pada 19 September 2011, walaupun saya sedar akan risikonya.
Sekian, untuk makluman dan tindakan YDH Tan Sri dimana berkaitan mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada. 
Salam sejahtera. 
Yang benar,
Mat Zain Ibrahim



