Harakahdaily | 25 OGOS – Sejak akhir-akhir ini kelihatan Umno dan MCA sering bercakaran  sesama sendiri, bersengketa dalam hal-hal perkauman sempit,  kata-mengata antara satu sama lain.
Persengketaan kedua-dua parti  utama komponen Barisan Nasional ini mengheret kepada pertikaman lidah  antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan  Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek.
Apa yang dibangkitkan MCA,  dalam usaha mereka untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina yang  sudah beralih kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP, mungkin dilihat  relevan untuk survival MCA.
Namun Umno melihatnya pada perspektif  yang berbeza. Umno mendakwa MCA sudah terlalu rasis, menjejak langkah  DAP. Sehinggakan TPM sering memberi amaran kepada MCA supaya jangan  sesekali menggugat persefahaman BN dengan pelbagai kenyataan yang  menghiris hati orang-orang Melayu dalam Umno.
Persengketaan ini berlaku sehingga wujud pertikaian di kalangan BN bahawa MCA sudah tidak setia dan tidak boleh dipercayai lagi.
Pertelagahan  Umno-MCA bukannya baru. Hampir setiap kali Perhimpunan Agung Umno atau  MCA, masing-masing sering mengeluarkan ucapan dan usul yang berbaur  rasis.
Apa pun, di sebalik pertelagahan Umno-MCA, ada yang kata  persengketaan ini sebagai sandiwara. Ada yang kata, cetusan api  perkauman Umno-MCA boleh berulang seperti peristiwa perbalahan bekas  Timbalan Presiden MCA, Dato’ Lee Kim Sai dengan Ketua Pemuda Umno, Dato’  Seri Mohd Najib Tun Razak tahun 1987 sehingga membawa tangkapan ISA.
Jika  MIC sudah dikambing hitamkan oleh Umno, sehingga ditubuhkan parti  Makkal Sakhti, barangkali pemimpin Umno boleh berfikir untuk mewujudkan  parti baru untuk menggantikan MCA.
Sebenarnya masalah MCA sama  dengan masalah Umno, sama dengan masalah Gerakan dan MIC. Masing-masing  tengah meroyan kerana kekecewaan ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum  ke-13, sampai sekarang masih terkesan.
Umno terpaksa menukar  Presiden. Umno terpaksa memperbetulkan arah tuju perjuangan. Umno mahu  jadi lebih Melayu pada Melayu. MCA juga begitu, mahu jadi lebih Cina  dari Cina dan MIC mahu jadi lebih India dari India.
Mereka  terpaksa berbuat demikian kerana perjuangan mereka, teras dan asasnya  adalah perkauman. Semua parti ini asasnya adalah rasis. Mereka tegak dan  disokong selama ini oleh bangsa masing-masing.
Asal tujuan mereka ialah Umno diguna untuk menjaga Melayu. MCA untuk jaga Cina dan MIC untuk jaga kepentingan kaum India.
Masalahnya  ialah kini Umno-MCA-MIC sudah ditolak bangsa mereka sendiri. Sebab apa  Melayu tolak Umno? Sebab apa Cina tolak MCA? Sebab apa India tolak MIC?  Ini yang harus dikaji sebenarnya.
Sebabnya yang pertama Umno, MCA  dan MIC tidak menjaga kepentingan bangsa masing-masing. Jika ada pun  hanyalah pada kadar peratusan yang rendah.
Yang Umno, MCA dan MIC  jaga adalah kepentingan pemimpin, keluarga dan kroni. Selama ini tidak  ada perkongsian pintar dalam BN untuk memperjuang dan menjaga  kepentingan rakyat pelbagai kaum.
Yang ada hanyalah perkongsian  pintar Umno, MCA dan MIC untuk “menyapu” sebanyak mana harta negara  untuk kepentingan anak-beranak dan juak-juak mereka.
Sebab itu  hari ini kita dapat lihat puluhan kes dalam siasatan, segelintir yang  dihadapkan mahkamah, yang membabitkan penyelewengan, skandal dan salah  laku pemimpin BN.
Ini isu sebenar. Isu utama kepada rakyat bahawa  pemimpin Umno, MCA dan MIC from no where, sekarang ini sudah terlalu  kaya raya dan hidup mewah kerana kuasa politik yang mereka ada.
Sebab  kedua ialah, rakyat Malaysia sudah semakin terbuka dan matang. Mereka  sudah tidak menerima perjuangan berasaskan perkauman yang sempit.
Rakyat  Malaysia sama ada tua muda, mahukan kehidupan yang harmoni dan  rasional. Bagi rakyat yang penting adalah keadilan dalam pemerintahan,  meliputi semua kaum, tanpa dibatasi atas nama Melayu, Cina, India atau  sebagainya.
Maka dengan sebab itu permasalahan yang dihadapi Umno, MCA, Gerakan dan MIC sekarang ini adalah amat kronik.
Selepas  dua tahun, sebenarnya mereka masih gagal memulihkan sokongan rakyat,  malah yang lebih teruk lagi gagal memperbetulkan struktu dalaman parti  masing-masing.
Mereka beruntung kerana mereka masih berkuasa di  peringkat Pusat. Mereka boleh melindungi kepincangan dan penyakit  dalaman mereka dengan bantuan media talibarut BN.
Dalam konteks  MCA, apa yang dibangkitkan oleh Soi Lek, sama ada soal Islam dan Melayu,  soal kouta dan sebagainya, hanyalah untuk mencuri perhatian umum,  bahawa MCA masih wujud dan bernyawa.
Barangkali beliau menyangka,  dengan berbuat demikian dapat mengalihkan perhatian rakyat kepada MCA,  sekali gus memberitahu MCA masih relevan dalam politik negara.
Tetapi  Soi Lek dan rakan-rakan pemimpin dalam MCA harus sedar bahawa kedudukan  mereka dalam BN sudah tidak lagi relevan. Mereka sering dibuli pemimpin  Umno.
Ramai pemimpin MCA dijangka akan menuruti jejak langkah  bekas Presiden, Tun Ling Liong Sik yang didakwa terbabit dalam  penyelewengan PKFZ. MCA pun tahu ramai pemimpin Umno yang terbabit dalam  pelbagai skandal, tetapi didiamkan kerana mereka Umno.
Jelas,  kedudukan MCA dalam BN bukan lagi berasaskan smart partnership,  sebaliknya mereka sudah jadi second class partner. Dalam kata mudah, MCA  bagi Umno, hanyalah “parti cap ayam”.
Kesimpulannya pertelagahan  Umno-MCA menunjukkan bahawa konsep 1 Malaysia gagal. Rakyat terfikir,  bagaimana BN hendak promote 1 Malaysia sedangkan hendak menjaga 1BN pun  huru hara.
Oleh kerana itu rakyat tidak sesekali mahu menyokong parti yang sering bermasalah dan gabungan yang tidak stabil.
Justeru  MCA tidak ada pilihan, jika mereka masih dalam BN, mereka akan ‘close  shop.’ Kepimpinan MCA sudah beberapa kali membincangkan sama ada mereka  harus kekal atau keluar dari BN dan inilah masa yang terbaik bagi mereka  untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.



