Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Ustaz, apakah  hukumnya mendoakan orang bukan Islam dengan hidayah atau biar dia  bersifat adil, sejahtera, sihat tubuh dan sebagainya. Bolehkah pula doa  sebegitu dibuat ketika khutbah? Harap ustaz dapat mengulas secara ilmiah  dan tidak terpengaruh dengan mana-mana parti politik. Selain itu,  apakah pula hukum kita menjawab bersin seorang kafir dengan sebutan  "blessed you". Terima kasih
JAWAPAN
InshaAllah, saya akan  mengulas tanpa sebarang prejudis terhadap politik kepartian, walau saya  sedar soalan saudara tadi telah disensasikan sebagai isu politik di  tanahair.
Namun begitu, sebelum mengulas perlu dinyatakan, ulasan  saya adalah hanya berkaitan hukum dan panduan umum tanpa merujuk kepada  mana-mana kes dan isu di tanahair disebabkan saya tidak punyai sebarang  info jelas berkenaannya.
Hukum berdoa kepada orang bukan Islam  bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa. Secara  ringkasnya adalah seperti berikut :-
a.   HUKUM HARAM
Para  ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN  ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG  BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.
Imam An-Nawawi menyebut :
وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع
Ertinya  : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan  adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu')
RINGKASAN DALIL
Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-
   * Firman Allah :-
مَا  كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ  لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ  لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Ertinya : Tiadalah  sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun  (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam),  walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah  jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni  neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)
   * Hadis Nabi :
أن  النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو  يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ  لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ  وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ  أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ  أَحْبَبْتَ )
Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu  Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata  nabi : "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia  tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat  di atas dan turun juga ayat yang beerti " sesungguhnya engkau tidak  mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai"
Hadis di  atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN  kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami  Al-Syafie berkata
حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه
Ertina  : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang  bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status  Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )
b.            HUKUM HARUS
Ulama  juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH  adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat  dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa  dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang  penentang utama Islam.
Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :
بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ
Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.
RINGKASAN DALIL
Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-
   * Hadis nabi : -
فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ
Ertinya  : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya  seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk  Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : "Ya  Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan  bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)
Doa  yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah,  ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah" (dari  Riwayat Muslim)
Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu  merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada  ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan  Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam,  di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari  kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).
   * Hadis nabi :-
كَانَ  الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ  وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ،  فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Ertinya :  orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap  Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun  Nabi hanya menyebut  : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan  memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih  menurut Albani)
Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas  membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis  itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang bukan  Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa makna yang  sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu". Justeru, Jika keadaan  sesuai (kerana rakan agak rapat & telah ada minat kepada Islam),  ucapan selepas mendengar bersin seorang bukan Islam itu boleh ditukar  kepada "May Allah guide you" atau apa-apa yang seerti dengannya.  Namun  jika situasi itu tidak sesuai, eloklah berdiam diri sahaja atau boleh  disebut 'get well soon' atau apa-apa ucapan lain bersifat kebaikan  dunia. 
Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan  rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk  sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)
   * Hadis nabi :
Nabi pernah berdoa :
اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين
Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)
Para  ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik  dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil,  bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan  dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan  keampunan.
Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan  menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka  jahil dan tidak mengetahui.
KESIMPULAN
Hukum berdoa kepada  orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa  itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut  hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan  urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA  ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat  DISEPAKATI HARAM.
TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan  rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga  Allah memberi hidayah kepadanya.
Jangan dilupa juga, doa  kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan  Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah.  Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-
من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله
Ertinya  : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya  menyukai untuk menderhakai Allah.  (Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)
Adapun  dalam kes masjid Pulau Pinang, sebelum ingin dipastikan tegolong dalam  kategori mana dari pembahagian hukum di atas, apa yang paling penting  adalah memastikan sama ada ia benar-benar wujud doa atau tidak, dan jika  wujud adakah ia merupakan tindakan individu khatib atau merupakan  arahan pihak atasan atau arahan Ketua Menteri itu sendiri. Setelah itu,  barulah disemak kandungannya. Jika ia menepati yang diharuskan, TIADA  sebarang masalah di sisi Islam. Namun dalam hal ini, disebabkan ia telah  bercampur dengan usaha meraih milage politik, hal ini perlu dinilai  lebih teliti kerana kemasukan kepentingan politik menambah lagi keraguan  kata-kata mereka yang berkata, dari kedua-dua pihak.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net



