Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pendedahan  sebuah akhbar tabloid yang melaporkan Amy Search terlibat dengan satu  skim pelaburan tidak sah, sehingga melesapkan lebih RM1.5 juta milik  seorang ahli perniagaan dan lebih RM10 juta milik puluhan mangsa lain.
Bagaimanapun,  Amy menjawab tuduhan tersebut dengan menjelaskan yang dia juga  merupakan seorang mangsa kerana ‘wang pelaburannya’ sebanyak RM450,000  turut lesap. Tegas Amy, bukan dia yang mengasaskan skim pelaburan itu.  Malah, Amy turut mendedahkan wang yang digunakan untuk melabur itu  adalah wang simpanan yang bakal digunakan untuk membina sebuah pusat  tahfiz di Johor.
Jika diimbas kembali, ini bukan pertama kali Amy  menjadi mangsa penipuan skim pelaburan. Kalau anda masih ingat, sebelum  ini Amy pernah kerugian RM1 juta selepas terlibat dengan pelaburan yang  didalangi oleh seorang wanita berusia 30-an. Ketika itu, beberapa artis  lain turut tertipu seperti Hattan, Awie dan Misha Omar.
Persoalannya,  bagaimana Amy boleh tertipu lagi sedangkan sebelum ini dia pernah  berhadapan dengan situasi yang sama?
Tidak sangka akan tertipu  lagiTidak sangka akan tertipu lagi
“Terus-terang saya katakan saya  pun tidak sangka perkara ini akan berlaku. Tentang kes yang baru-baru  ini, saya berasa yakin setelah seorang individu ini membawa saya ke  Labuan, Sabah untuk bertemu seseorang. Ketika itu saya jelaskan padanya  yang saya ingin tubuhkan ‘Yayasan Amy Search’ bagi membina sebuah pusat  tahfiz di Johor. Untuk tubuhkan yayasan itu perlukan kira-kira RM2 juta  untuk permulaan.
“Jadi, untuk mendapat pulangan yang banyak,  mereka cadangkan supaya saya buat pelaburan dalam ‘bank instruments’.  Oleh kerana yakin dengan mereka, saya laburkan wang saya sebanyak RM500  ribu. Kemudian, dia suruh saya ajak kawan-kawan yang lain untuk buat  pelaburan untuk mempercepatkan keuntungan.
“Saya tidak sangka  pula mereka ini sebenarnya penipu. Selain kerugian wang tunai, saya juga  kehilangan tanah tiga ekar yang sepatutnya dijadikan tapak untuk pusat  tahfiz itu. Apabila teringat tanah itu sudah tidak ada, saya menangis  pada waktu malam. Itu adalah impian saya untuk mempunyai sebuah yayasan.
“Terus-terang  saya katakan inilah insiden paling tragis berlaku dalam karier saya  selama ini. Perkara ini telah meragut kebahagiaan saya,” jelas Amy yang  ditemui selepas sidang media konsert Double Trouble edisi Selatan petang  tadi.
 
Sudah ditipu lebih RM2 jutaSudah ditipu lebih  RM2 juta
Ditipu lebih RM2 juta
Terlanjur bercerita tentang kes  penipuan yang dialaminya, Amy turut mendedahkan bahawa sehingga kini dia  sudah kehilangan wang lebih RM2 juta. Dua lagi insiden yang dialaminya  ialah, dia ditipu sebanyak RM780 ribu oleh seorang lelaki dan wanita  yang mengajaknya melabur dalam saham sebuah syarikat, dan satu kes lagi  di mana dia telah meminjamkan wang sebanyak RM240 ribu kepada seorang  individu dan sehingga kini individu tersebut masih tidak membayarnya.
“Mungkin  saya ini mudah simpati dan mempercayai orang. Walaupun saya kecewa  dengan segala yang berlaku, tetapi saya redha. Saya percaya ada sesuatu  yang lebih indah akan berlaku kepada saya. Saya juga banyak berdoa  kepada Allah supaya dia beri kekuatan untuk saya hadapi cabaran ini.  Dugaan ini memang hebat. Kalau orang lain, saya rasa mungkin ada yang  menjadi tidak siuman.
“Saya juga bersyukur setelah semua perkara  ini berlaku, Allah mempermudahkan rezeki saya. Kini, saya juga tahu mana  satu kawan, mana satu lawan. Ketika kita banyak duit memang ramai yang  mendekati, tetapi apabila kita dilanda krisis atau masalah, bukan semua  yang sudi mendekati,” luah lelaki yang baru menimang cucu ini.
Mudah  simpati dan percaya orangMudah simpati dan percaya orang
Dalam masa  yang sama, Amy turut memberitahu yang dia sangat mengharapkan agar  mereka yang bertanggungjawab dalam pelaburan tidak sah itu akan diheret  ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman setimpal.
Amy juga  bercadang untuk selitkan kisah penipuan yang dialaminya itu dalam  biografi yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
“Saya mahu kisah  ini dimuatkan dalam biografi saya kerana saya tidak mahu ada orang yang  akan tertipu lagi. Saya akan dedahkan bagaimana saya boleh tertipu dan  ciri-ciri individu yang menipu saya itu. Percayalah, mereka yang menipu  ini bukan calang-calang orang dan mempunyai peribadi yang cukup  meyakinkan.”
Kronologi penipuan yang Amy alami. Semua ini berlaku  pada tahun 2008.
- Ditipu oleh seorang wanita berusia 30-an yang  mengajaknya melabur dalam sebuah syarikat rokok berjenama antarabangsa.  Amy kerugian RM1 juta.
- Ditipu oleh beberapa individu yang  mengajaknya melabur dalam ‘bank instruments’. Amy mengeluarkan wang  RM500 ribu untuk tujuan ini. Wang yang digunakan adalah wang simpanan  untuk membina sebuah pusat tahfiz di Johor.
- Ditipu oleh dua  individu yang mengajaknya melabur dalam dalam saham sebuah syarikat.  Kerugian sebanyak RM780 ribu.
- Wang sebanyak RM240 ribu yang  dipinjam oleh seorang wanita sehingga kini masih belum dijelaskan.




