Jumaat, 21 Mei 2010

Amy Search: Menjadi mangsa penipuan skim pelaburan

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pendedahan sebuah akhbar tabloid yang melaporkan Amy Search terlibat dengan satu skim pelaburan tidak sah, sehingga melesapkan lebih RM1.5 juta milik seorang ahli perniagaan dan lebih RM10 juta milik puluhan mangsa lain.

Bagaimanapun, Amy menjawab tuduhan tersebut dengan menjelaskan yang dia juga merupakan seorang mangsa kerana ‘wang pelaburannya’ sebanyak RM450,000 turut lesap. Tegas Amy, bukan dia yang mengasaskan skim pelaburan itu. Malah, Amy turut mendedahkan wang yang digunakan untuk melabur itu adalah wang simpanan yang bakal digunakan untuk membina sebuah pusat tahfiz di Johor.

Jika diimbas kembali, ini bukan pertama kali Amy menjadi mangsa penipuan skim pelaburan. Kalau anda masih ingat, sebelum ini Amy pernah kerugian RM1 juta selepas terlibat dengan pelaburan yang didalangi oleh seorang wanita berusia 30-an. Ketika itu, beberapa artis lain turut tertipu seperti Hattan, Awie dan Misha Omar.

Persoalannya, bagaimana Amy boleh tertipu lagi sedangkan sebelum ini dia pernah berhadapan dengan situasi yang sama?

Tidak sangka akan tertipu lagiTidak sangka akan tertipu lagi
“Terus-terang saya katakan saya pun tidak sangka perkara ini akan berlaku. Tentang kes yang baru-baru ini, saya berasa yakin setelah seorang individu ini membawa saya ke Labuan, Sabah untuk bertemu seseorang. Ketika itu saya jelaskan padanya yang saya ingin tubuhkan ‘Yayasan Amy Search’ bagi membina sebuah pusat tahfiz di Johor. Untuk tubuhkan yayasan itu perlukan kira-kira RM2 juta untuk permulaan.

“Jadi, untuk mendapat pulangan yang banyak, mereka cadangkan supaya saya buat pelaburan dalam ‘bank instruments’. Oleh kerana yakin dengan mereka, saya laburkan wang saya sebanyak RM500 ribu. Kemudian, dia suruh saya ajak kawan-kawan yang lain untuk buat pelaburan untuk mempercepatkan keuntungan.

“Saya tidak sangka pula mereka ini sebenarnya penipu. Selain kerugian wang tunai, saya juga kehilangan tanah tiga ekar yang sepatutnya dijadikan tapak untuk pusat tahfiz itu. Apabila teringat tanah itu sudah tidak ada, saya menangis pada waktu malam. Itu adalah impian saya untuk mempunyai sebuah yayasan.

“Terus-terang saya katakan inilah insiden paling tragis berlaku dalam karier saya selama ini. Perkara ini telah meragut kebahagiaan saya,” jelas Amy yang ditemui selepas sidang media konsert Double Trouble edisi Selatan petang tadi.


Sudah ditipu lebih RM2 jutaSudah ditipu lebih RM2 juta
Ditipu lebih RM2 juta
Terlanjur bercerita tentang kes penipuan yang dialaminya, Amy turut mendedahkan bahawa sehingga kini dia sudah kehilangan wang lebih RM2 juta. Dua lagi insiden yang dialaminya ialah, dia ditipu sebanyak RM780 ribu oleh seorang lelaki dan wanita yang mengajaknya melabur dalam saham sebuah syarikat, dan satu kes lagi di mana dia telah meminjamkan wang sebanyak RM240 ribu kepada seorang individu dan sehingga kini individu tersebut masih tidak membayarnya.

“Mungkin saya ini mudah simpati dan mempercayai orang. Walaupun saya kecewa dengan segala yang berlaku, tetapi saya redha. Saya percaya ada sesuatu yang lebih indah akan berlaku kepada saya. Saya juga banyak berdoa kepada Allah supaya dia beri kekuatan untuk saya hadapi cabaran ini. Dugaan ini memang hebat. Kalau orang lain, saya rasa mungkin ada yang menjadi tidak siuman.

“Saya juga bersyukur setelah semua perkara ini berlaku, Allah mempermudahkan rezeki saya. Kini, saya juga tahu mana satu kawan, mana satu lawan. Ketika kita banyak duit memang ramai yang mendekati, tetapi apabila kita dilanda krisis atau masalah, bukan semua yang sudi mendekati,” luah lelaki yang baru menimang cucu ini.

Mudah simpati dan percaya orangMudah simpati dan percaya orang
Dalam masa yang sama, Amy turut memberitahu yang dia sangat mengharapkan agar mereka yang bertanggungjawab dalam pelaburan tidak sah itu akan diheret ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman setimpal.

Amy juga bercadang untuk selitkan kisah penipuan yang dialaminya itu dalam biografi yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Saya mahu kisah ini dimuatkan dalam biografi saya kerana saya tidak mahu ada orang yang akan tertipu lagi. Saya akan dedahkan bagaimana saya boleh tertipu dan ciri-ciri individu yang menipu saya itu. Percayalah, mereka yang menipu ini bukan calang-calang orang dan mempunyai peribadi yang cukup meyakinkan.”

Kronologi penipuan yang Amy alami. Semua ini berlaku pada tahun 2008.
- Ditipu oleh seorang wanita berusia 30-an yang mengajaknya melabur dalam sebuah syarikat rokok berjenama antarabangsa. Amy kerugian RM1 juta.

- Ditipu oleh beberapa individu yang mengajaknya melabur dalam ‘bank instruments’. Amy mengeluarkan wang RM500 ribu untuk tujuan ini. Wang yang digunakan adalah wang simpanan untuk membina sebuah pusat tahfiz di Johor.

- Ditipu oleh dua individu yang mengajaknya melabur dalam dalam saham sebuah syarikat. Kerugian sebanyak RM780 ribu.

- Wang sebanyak RM240 ribu yang dipinjam oleh seorang wanita sehingga kini masih belum dijelaskan.