
Tengku Muhammad Faris Petra
         
       
 KOTA BAHARU - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad              Faris Petra hari ini, menyampaikan sumbangan wang tunai   berjumlah RM100,000             kepada pengawal istana Kelantan, Ramli  Mohamad yang ditembak  oleh individu tidak             dikenali pada 1  Mei lalu.
         
           Pengelola Istana Diraja  Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad  berkata, sumbangan              peribadi itu bertujuan meringankan bebanan keluarga Ramli,  50, yang  mempunyai             seorang isteri dan lima orang anak.
         
  "Pemangku Raja Kelantan amat mengambil berat terhadap Ramli yang telah              ditembak baru-baru ini dan masih dirawat di Unit Rawatan   Rapi Hospital Raja             Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.
          
 "Para doktor telah mengeluarkan peluru dari badan Ramli  melalui  pembedahan.
           Pada masa ini keadaan beliau  agak kritikal dan mengikut  maklumat yang saya             terima  terdapat jangkitan kuman kepada beberapa organ  penting beliau," katanya              kepada pemberita selepas melawat Ramli di HRPZ, di sini   petang ini.
         
           Ramli parah ditembak oleh  individu yang tidak dikenali di  Kampung Sungai             Nyior,  Palekbang, Tumpat pada kira-kira pukul 12.25 pagi 1  Mei lalu ketika              mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung   Sungai Pinang             selepas selesai bertugas di istana, Kubang  Kerian.
         
           Halim berkata, polis masih  menjalankan siasatan terhadap kes  berkenaan             dan Pemangku  Raja berharap kes itu dapat diselesaikan dengan  segera.
         
  "Kita berserah kepada pihak berkuasa dan kehendak-kehendak dalam              perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan sesuatu   perkara. Janganlah             kita meletakkan undang-undang di tangan  kita," katanya.



