
Oleh : ABDUL AZIZ MUSTAFA
AHLI  PARLIMEN Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mendakwa kerajaan  Barisan Nasional (BN) telah ditipu, diperbodoh dan dipermainkan dalam  penggabungan MAS-AirAsia.
"Rupa-rupanya  kolaborasi ini telah dimanipulasikan oleh AirAsia itu sendiri," dakwa  beliau dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau  menuduh AirAsia memanipulasi penggabungan itu apabila melantik salah  seorang pengasas bersama serta ahli lembaga pengarah penerbangan harga  rendah itu, Conor McCarthy, sebagai pengarah urusan MAS selepas  berlakunya penggabungan itu.
Bung Moktar juga menuduh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar sebagai 'master mind'.
"Ini bermakna kerajaan telah ditipu oleh AirAsia; diperbodohkan, dipermainkan melalui Khazanah.
"Oleh  sebab itu saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)  siasat Ahli Lembaga Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar ini,  dia master mind! Dia yang merugikan duit kerajaan, duit rakyat. Kenapa  tidak disiasat?" dakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.
Selain  Azman, Bung Moktar juga menuntut supaya disiasat Pengarah Komersil  Interim MAS, Shane Nolan; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAS, Rozman Omar;  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejuruteraan Aerospace MAS, Azhari Mohd  Dahlan dan Ketua Komunikasi Strategik MAS, Nor Zalida Ahmad.
Rozman,  Azhari dan Nor Zalida kesemuanya dari AirAsia. Nor Zalida pernah  dilaporkan sebagai anak saudara kepada Timbalan CEO AirAsia, Datuk  Kamarudin Meranun.
Sama seperti McCarthy, Nolan adalah dari PlaneConsult, iaitu konsultan AirAsia.
Bung Moktar juga mendakwa, MAS mengalami kerugian sebesar RM2 bilion berikutan penggabungan dengan AirAsia itu.
"Saya  cukup sedih bagaimana kolaborasi ini apabila MAS rugi dekat RM2 bilion  tetapi AirAsia pula untung RM500 juta!" dakwa beliau yang mendesak agar  penggabungan itu dibatalkan serta-merta.
"Saya  mahu mintalah kerajaan agar batalkan kolaborasi ini dengan serta-merta  sebab MAS menanggung banyak kerugian daripada kesilapan demi kesilapan  dan kesilapan inilah yang akan memusnahkan harapan rakyat," katanya.
Beliau juga menuntut Azman diundurkan dari Khazanah.
"Dia  yang menjadi dalang yang menghancurkan. Khazanah membuat investment di  sana sini dan bukan semua investment menguntungkan, banyak yang rugi.  Rugi kerajaan yang tanggung.
"Untung  dia kaya raya. Dia dapat bonus. Gaji tidak tahu berapa puluh juta,  berapa puluh ribu, elaun dan sebagainya," dakwa Bung Moktar.
Tidak  diketahui adakah Azman membuat keputusan bersendirian tanpa restu dan  persetujuan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah, iaitu Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak.



