Isnin, 18 Oktober 2010

Watie teraniaya dikaitkan konflik rumah tangga Zulkifli Daud (Joey)

Hmetro | KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Norwati Sadali atau Watie berasa teraniaya apabila masih lagi dikaitkan dengan konflik rumah tangga penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud atau Joey hinggakan sebuah syarikat yang berhasrat mengambilnya sebagai duta produk tiba-tiba mengenepikannya gara-gara kontroversi melandanya itu.

“Saya sungguh kecewa kerana orang mudah percaya kepada cerita yang timbul dan menuduh saya macam-macam sedangkan mereka tidak tahu yang sebenar, begitu juga kepada sebuah syarikat yang mulanya berjanji untuk menandatangani kontrak melantik saya sebagai duta produk selepas raya (Aidilfitri) baru-baru ini.

“Tetapi lepas saya hubungi mereka, saya dimaklumkan bahawa bos mereka tidak berminat untuk mengambil saya disebabkan kontroversi itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, dirinya bukan seorang perempuan seperti yang dituduh perampas suami orang kerana sebagai seorang wanita dia tahu bagaimana perasaan jika ada orang lain merampas suami sendiri.

“Apa istimewanya saya hingga mampu rampas suami orang, orang tidak tahu diri saya sebenarnya sensitif dan tuduhan yang dilemparkan berkaitan dengan perkara yang tidak saya lakukan sungguh mengecewakan.

“Mungkin ramai yang menyamakan diri saya dengan drama lakonan sejak kebelakangan ini, ingin saya jelaskan watak itu hanyalah untuk memenuhi kerjaya sebagai pelakon tetapi hakikatnya perwatakan sebenar saya tidak sama,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan Joey, ibu kepada kepada seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial yang kini berusia enam tahun itu mengakui dia senang berkawan dengan pelakon serta penyanyi berkenaan.

Katanya, dia juga masih dalam proses mengenali Joey dan sepanjang perkenalan mereka itu, dia hanya mengetahui bahawa temannya itu bukan milik sesiapa apatah lagi sebagai suami orang.

“Selepas kontroversi ini hangat diperkatakan, saya ada berhubung dengan Joey bertanyakan kenapa saya turut menjadi mangsa dalam masalah rumah tangganya dan pernah kata padanya (Joey) kalau saya yang menjadi punca kepada konflik itu adalah lebih baik dia pergi jauh,” katanya.

Mengulas pula tindakan isteri Joey, Noraini Nasir memfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, dekat sini, kelmarin, Waite berkata dia tidak mahu masuk campur dalam perihal rumah tangga orang lain.

“Baguslah kalau masalah mereka itu dapat diselesaikan cara baik, sekali gus ia dapat membersihkan nama saya yang sebelum ini dikaitkan dalam konflik rumah tangga mereka itu,” katanya yang sempat merakamkan empat album iaitu Catwalk, Tamparan Wanita, Idola dan Merbahaya ketika bersama Elite.

Sebelum ini, kontroversi itu mula diperkatakan apabila Watie bukan saja didakwa sebagai perampas yang menjadi punca utama keruntuhan rumah tangga Joey, malah Watie yang popular menerusi drama rantaian Gelora Di Hati Sara, Iris dan Rahsia Hati turut dikatakan menyembunyikan hubungan intimnya itu sedangkan penyanyi dan pelakon berkenaan masih belum sah bercerai.



Related Posts with Thumbnails