KUALA LUMPUR, 10 Okt:  Rakyat hendaklah menjauhi Umno kerana parti itu sering dibuktikan  menggadai kepentingan bangsa sendiri semata-mata mahu menjaga  kepentingan diri dan cita-cita politiknya, kata Naib Presiden PAS, Datuk  Mahfuz Omar.
  "Bukan sahaja bangsa sendiri yang digadaikan, agama  Islam pun sanggup digadaikan oleh Umno apabila ia mencantas bantuan  kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR).
  "Bukan setakat  mencantas bantuan sahaja, para pemimpin Umno termasuk (Perdana Menteri,  Datuk Seri) Najib (Tun Razak) malah melemparkan pelbagai tuduhan dan  fitnah tidak berasas kepada SAR apabila mereka memberi gambaran  seolah-olah SAR menjadi tempat melahirkan pengganas," katanya ketika  menyambut gesaan Sultan Selangor supaya rakyat menjauhi pihak yang  menggadai bangsa sendiri.
  Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu,  antara pengkhianatan terbesar Umno terhadap orang-orang Melayu sepanjang  lebih 50 tahun memerintah negara ini ialah apabila tanah-tanah rizab  Melayu semakin pupus.
  "Akibat perbuatan Umno menggadai bangsa  sendiri, kini hanya tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja tanah rizab  Melayu, sedangkan waktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat  kira-kira tiga juta hektar tanah-tanah tersebut," katanya.
  Umno,  katanya, seolah-olah mahu mengulangi tragedi yang berlaku ke atas rakyat  Palestin apabila tanah mereka tergadai kepada Yahudi Zionis.
  "Bukan  sahaja tanah, peluang pendidikan yang selama ini menjadi wadah utama  mengubah taraf hidup orang-orang Melayu juga dimangsakan dalam kerakusan  Umno menggadai bangsa sendiri.
  "Peruntukan untuk  institusi-institusi pendidikan Melayu itu dikurangkan dengan begitu  ketara dalam belanjawan 2010. Bagi IKM, peruntukan untuk 2010 RM143 juta  berbanding RM403 juta bagi tahun 2009. Giat MARA hanya mendapat RM16  juta bagi tahun 2010 berbanding RM28 juta bagi 2009.
  "Bagi MRSM  dan Koleh Sains MARA, peruntukan hanya tinggal RM115 juta untuk tahun  2010 berbanding RM254 juta pada tahun 2009," kata beliau dengan penuh  kesal.
  Malah, katanya, peruntukan kepada MARA sendiri dikecilkan dengan begitu banyak.
  "Peruntukan  kepada MARA dipotong-potong sehingga berjumlah RM 374,537 juta sahaja  bagi tahun 2010 berbanding RM883,785 juta untuk 2009," katanya.
  Dari segi politik pula, kata Mahfuz, Umno juga menghalang pertambahan kerusi Melayu di Dewan Rakyat.
  "Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, kita tidak lihat pertambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu.
  "Tidak  ada pertambahan kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah walaupun  masing-masing mempunyai pertambahan pemilih 16.2 peratus, 21.76 peratus  dan 17.4 peratus," katanya.
  Menurut Mahfuz, jika disenaraikan semuanya, terlalu panjang senarai perbuatan Umno menggadaikan kepentingan bangsa Melayu.
  |