Sabtu, 26 Mac 2011

Mustahil Anwar terlibat video salah laku seks memandangkan saya bersama beliau pada petang hari kejadian


KUALA TERENGGANU – “Mustahil Anwar terlibat video salah laku seks memandangkan saya bersama beliau pada petang hari kejadian,” demikian kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Dungun, Abd Rahman Yusof.

Beliau berkata demi-kian ketika mempersoalkan video salah laku seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Abd Rahman menganggap isu yang kononnya dibongkar satu kumpulan diketuai Datuk ‘T’ itu hanyalah fitnah sambil menyifatkannya melampau dan melebihi had.

“Pada 21 Februari lalu, saya ada di rumah Anwar kerana terlibat dengan mesyuarat staf bagi tujuan pengurusan program pada bulan itu dan Mac ini. Jadi bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku, sedangkan kami bersama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Seorang individu menggelari dirinya Datuk ‘T’ mendedahkan kepada media didakwa rakaman video salah laku seks pemimpin tertinggi PKR di hotel.

Rakaman berdurasi 21 minit itu menunjukkan individu terbabit mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing, dirakam pada 21 Februari lalu.

Abd Rahman turut khuatir sekiranya semakin ramai orang Islam di negara ini ‘difasikkan’ berikutan fitnah yang dilempar terhadap Anwar.

Beliau turut difahamkan bahawa video itu hanya merakam individu dikatakan Anwar dari pandangan tepi, selain bentuk badan tidak menunjukkan bahawa ia adalah Anwar.

“Saya bimbang orang ramai yang percaya dan menyebarkan perkara sedemikian boleh termasuk golongan fasik,” katanya.

‘Calon’ konspirator video seks dedah tembelang Eskay

Mahti dedah Eskay mahu jatuhkan Anwar dengan 'apa cara sekalipun'.

SUNGAI BULOH: Seorang kenalan rapat Datuk Shazril Eskay Abdullah yang dipelawa sebagai sebahagian konspirator penayangan video seks di Hotel Carcosa Isnin lalu mendedahkan, ahli perniagaan itu mahu menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘apa cara sekalipun’.

Hal itu didedahkan Mohamad Mahti Abd Rahim, bekas anggota polis yang juga bekas pengawal peribadi kepada Tan Sri Megat Junid selama lebih 20 tahun, yang turut mengenali Eskay.

Beliau mengakui turut mengetahui mengenai penayangan video seks itu dan turut diajak bersama menyertai kumpulan berkenaan tetapi beliau menolaknya.

“Dua hari sebelum tayangan video, Eskay bertanya sama ada saya boleh membantunya dengan menyediakan beberapa orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

“Ini kerana saya bekas pengawal peribadi menteri, jadi Eskay tahu saya ramai kenalan di kalangan UTK. Tetapi saya tidak membantu,” katanya ketika membuat pendedahan itu di sebuah premis di Sungai Buloh, petang ini.

The Number One
Mahti mengetahui Eskay memang bertekad mahu menjatuhkan Ketua Umum KEADILAN itu dengan apa cara sekalipun dan kerap mengulangi ungkapan betapa kononnya Anwar menipu beliau dan mengambil ‘hak’nya.

“Sejak marahkan Anwar, Eskay mula bercakap buruk mengenai beliau (Anwar) dan pernah berkata: ‘saya akan menjatuhkan Anwar dengan apa jua cara pun’,” katanya.



Mahti mendedahkan tembelang Eskay kepada media

Si Kitul
Mahti berkata, Eskay selepas juga pernah mahu mendedahkan suatu cerita buruk mengenai pelakuan Anwar tetapi beliau enggan mendengarnya tetapi Eskay ada menyatakan tindakan itu untuk ‘the number one’.

“Saya tidak mahu terlibat. Saya ingin beritahu semua ahli politik mengenai manusia bernama Eskay. Dia memang tidak boleh dipercayai dan seorang pembohong.

“Saya tidak mahu ada ahli politik lain yang ‘terkena’ dengannya. Saya tak mahu bersekongkol. Jadi, sebab itu saya memanggil media untuk buat pendedahan ini.

“Bagi saya, Eskay adalah si Kitul. Dia ingin memporak-perandakan negara,” katanya.

Apa cara sekalipun
Mengulas lanjut, Mahti berkata, Eskay mendendami Anwar berikutan keengganan Ketua Pembangkang itu memberi keterangan bagi pihaknya berhubung kes saman syarikatnya terhadap kontraktor utama projek jambatan bengkok, Gerbang Perdana Sdn Bhd.

Beliau yang turut menjadi saksi, ada bersama Eskay di  mahkamah bagi kes berkenaan pada 8 Mac lalu dan mendapati ahli perniagaan berkenaan mula bercakap buruk mengenai ketika mahkamah berhenti rehat.

“Sejak marahkan Anwar, Eskay mula bercakap buruk mengenai beliau (Anwar) dan pernah berkata:

‘saya akan menjatuhkan Anwar dengan apa jua cara pun’,” katanya.

VIDEO SEKS PALSU: MAHATHIR , NAJIB BERTANGGUNGJAWAB

Fitnah telah menjadi budaya dan amalan Umno sejak sekian lama, malah disaat parti itu kehilangan sokongan, fitnah adalah satu-satu senjata mereka untuk terus berkuasa.

Oleh itu penerbitan video seks palsu bertujuan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengejutkan.

Walau pun bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik dan beberapa individu tampil menyatakan mereka terlibat, dua tokoh berpengaruh dalam Umno, Mahathir Mohamad dan Najib Tun Razak adalah mereka yang harus memikul tanggungjawab

Ini kerana kedua-dua tokoh memainkan peranan penting menyuburkan budaya fitnah dengan memberi ganjaran dalam bentuk wang dan pangkat kepada mereka-mereka yang sanggup menjadi alat bagi menjayakan sesuatu fitnah.

Pada tahun 1998, Anwar difitnah melakukan liwat dalam satu konspirasi oleh Mahathir yang turut melibatkan hakim, polis, Peguam Negara serta beberapa individu. Rekod menujukkan mereka diberi ganjaran besar.

Hakim Mahkamah Tinggi, Augustine Paul dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Hakim Mahkamah Persekutuan.

Manakala Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Pajan Singh Gill dan Datuk Richard Malanjum dinaikkan pangkat sebagai sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Datuk Ariffin Jaka juga dinaikkan dari Hakim Mahkamah Tinggi menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Mereka dinaikkan pangkat lebih awal berbanding hakim-hakim yang lebih senior ketika itu seperti Gopal Sri Ram, Mokhtar Sidin, Denis Ong and Abdul Kadir Sulaiman.

Peguam Negara, Mohtar Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pegawai penyiasat, Musa Hassan meroket daripada ke SAC2 kepada SAC1, Pengarah Siasatan Jenayah dan kemudiannya Ketua Polis Negara. Timbalan Pendakwaraya, Abdul Gani Patail dinaikkan sebagai Peguam Negara.

SAC 1 Mohd Rodwan Mohd Yusof dilantik menjadi Ketua Polis Melaka.

Individu lain seperti seperti Azizan Abu Bakar yang pada asalanya adalah seorang pemandu telah mendapat ganjaran dan djadikan pengarah sebuah syarikat.

Kemudian fitnah ini diteruskan oleh Najib mencipta satu lagi konspirasi baru, kali ini tuduhan rekayasa dibuat dengan Anwar dituduh meliawat Saiful Bukhari Azlan. Apakah ada yang percaya bahawa Saiful dan pemain-pemain lain yang menjayakan skrip fitnah ini tidak diberi ganjaran?

Ummi Hafilda Ali kini berceramah ke seluruh negara memburukkan Anwar. Malaysiakini baru-baru mendedahkan pengakuan seorang ahli perniagaan, Baginda Minda yang mendakwa bahawa seorang menteri senior menawarkan sehingga RM10 juta kepada Ummi Hafilda untuk berbohong terhadap Anwar di dalam mahkamah.

Natijahnya, Mahathir dan Najib seolah-olah memberi mesej kepada rakyat bahawa mereka digalakkan memfitnah dengan ganjaran besar menanti. Malah mereka juga akan dilindungi.

Kerana itu, Rahim Tamby Chik dan individu-individu tersebut berani membuat video seks palsu, iaitu fitnah terbesar dan terjijik setakat ini di Malaysia.

Najib dan Mahathir mesti memikul tanggungjawab!

Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat
25 Mac 2011

Jumaat, 25 Mac 2011

Pengakuan Pengendali UMNO-Reform - Juga Akui Bukan Anwar Dalam Video Ciptaan Dato T



Ketika Chegubard di hantar ke hadapan IJN untuk dijemput oleh bodyguard-bodyguard T Stooges, saya tidak sempat untuk turut bersama menemani chegubard ke IJN. Mungkin kerana kesuntukkan masa, chegubard telah terus dihantar oleh Sani dan Din Binjai ke hadapan IJN seperti yang dijanjikan.

Kemudian barulah Sani menjemput saya di Lembah Pantai untuk sama-sama menunggu apakah kesudahan perjumpaan sulit chegubard. Saya difahamkan chegubard telah ditemani seorang rakan rapatnya yang juga seorang ahli UMNO dan saya juga saling mengenali dengan rakan tersebut. Ternyata nilai persabahatan itu sebenarnya tidak terkira walau merentasi batasan parti.

Dan di bawah ini, adalah pengakuan terbuka rakan yang dimaksudkan di atas. Cuma dalam pengakuan di bawah, tidak dinyatakan asas pendirian rakan chegubard, samada mempercayai sosok yang berada di dalam video seks itu adalah Anwar Ibrahim atau sebaliknya.

TETAPI,  sewaktu ditanya oleh pemberita apakah pendirian rakan yang menemani chegubard, dengan yakin chegubard menjawab rakannya itu juga menyatakan pendirian bahawasanya beliau juga yakin bukan Anwar Ibrahim yang menjadi pelakon di dalam video seks tersebut. 

Ikuti pengakuannya di bawah;

PENGAKUAN ANUAR MOHD NOR 

Ada kalanya keghairahan menyebabkan kita hilang pertimbangan. Kemarahan melampau merugikan. Tindakan terburu-buru juga akan membodohkan dan yang paling dahsyat ialah rangkuman kesemua ini, keghairahan, kemarahan dan tindakan terburu-buru menyebabkan kita melakukan kesilapan yang akhirnya menjadi satu penyesalan.

Hari ini ramai yang membicarakan sama ada video itu benar – melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pendedahan demi pendedahan dilakukan. Persoalan Datuk T sama ada Trio atau hanya individu kembali wujud dengan pendedahan Badrul Hisham Shahrin dan Johari Abdul. Mereka semua dipanggil pada hari pertama menonton secara eksklusif dan berbual dengan Datuk T dan Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Benar persoalan yang mahu ditanya adalah BENARKAH ANWAR IBRAHIM ORANG YANG TERLIBAT DALAM VIDEO ITU? Semakin ghairah persoalan itu. Mereka yang dipanggil pada petang/malam 21hb March 2011 – setakat ini membuat pengakuan bahawa orang dalam video itu BUKAN ANWAR IBRAHIM. Mereka yang melihat video itu dan berbual secara peribadi dengan Rahim Tamby Chik pada hari tersebut adalah Badrul Hisham Shahrin dan Johari Abdul – kedua-duanya dari PKR.  Dalam kenyataan Badrul Hisham Shaharin ada seorang BLOGGERS UMNO yang mengikutinya untuk menonton video lucah Carcosa itu. Beliau tidak mahu menyeret bloggers UMNO tersebut dan tidak mahu menyusahkannya. Apabila diajukan soalan siapa dia, BADRUL HANYA MENJAWAB TUNGGU DIA BERITAHU SENDIRI. Satu tindakan baik dan amat dihormati. Siapa bersama Badrul Hisham  pada 21hb March 2011 yang menonton video itu dan bukan kalangan PKR tetapi UMNO ? Saya perlu menyatakan bahawa orang yang dikatakan bersama Badrul Hisham Shaharin, merujuk kepada kenyataan media beliau - yang beliau rujuk sebagai : BLOGGERS UMNO itu adalah saya sendiri!

Saya telah diajak oleh Badrul Hisham Shahrin menghadiri panggilan Datuk T ke Shangrila pada malam 21hb March 2011. Mungkin sayalah seorang blogger UMNO, ahli UMNO yang dapat menonton video lucah Carcosa pada hari video itu didedahkan. Mungkin itulah sebabnya saya katakan pada awal tulisan ini – ada kalanya keghairahan itu merugikan dan menyulitkan.

Mungkin tidak menonton lebih baik dari menonton. Akhirnya – sebelum spekulasi berterusan mengatakan mengenai orang UMNO yang hadir menonton bersama Chegubard yang juga adalah rakan baik saya – saya membuat pengakuan bahawa saya adalah orang ke 3 selepas dimaklumkan bahawa Johari Abdul, Badrul Hisham menonton pada malam 21hb March 2011 tersebut dan saya adalah ahli UMNO dan bloggers UMNO yang dimaksudkan oleh Chegubard.

Saya juga dalam pengakuan ini menetapkan bahawa kehadiran saya adalah kerana jemputan/pelawaan dan kemahuan saya menuruti  rakan saya Badrul Hisham Shaharin dan ini dilakukan atas kapasiti saya sendiri dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain, organisasi dan badan lain yang saya sertai. Sekian di maklumkan – Anuar Mohd Nor



EDYES @ edyesdotcom

Video seks: Eskay mahu balas dendam Anwar, kata bekas staf Megat Junid

Nota tulisan tangan, didakwa ditulis oleh Shazryl Eskay, yang ditunjukkan oleh Mohamad Mahti kepada pemberita di Kuang, Rawang hari ini.
 
TMI | RAWANG, 25 Mac — Seorang bekas anggota polis berkata Datuk Shazryl Eskay Abdullah ada memberitahunya bahawa beliau akan menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada arena politik sebelum mempertontonkan satu rakaman video seks kepada media, Isnin lalu.

Rakaman video seks itu mendakwa seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur China.

Mohamad Mahti Abdul Rahim, bekas pengawal peribadi Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub berkata, Shazryl marah kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan menjadi saksi dalam kes samannya berkaitan projek jambatan bengkok yang diluluskan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kes itu sedang berlangsung di mahkamah dan Megat Junid pernah menjadi menteri dalam Kabinet Dr Mahathir.

“Selepas beliau bercakap dengan marah mengenai Anwar, beliau mula bercakap buruk mengenai beliau (Anwar), berkata ‘saya akan menjatuhkan Datuk Seri Anwar, dengan apa jua cara pun,” katanya.

Mohamad Mahti sendiri bersetuju menjadi saksi dalam kes dibawa Shazryl mendakwa beliau dijanjikan akan dibayar RM20 juta kerana berjaya memperoleh projek jambatan bengkok RM460 juta yang menghubungkan Singapura dan Johor.

Katanya, selepas dia memberikan keterangan pada 8 Mac lalu, Shazryl mula bercakap buruk tentang Anwar ketika berhenti rehat dan disambung pada keesokan hari.

“Sama ada rakaman ini betul atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi beliau mahu menjatuhkan Anwar Ibrahim. Beliau berkata Anwar curi wangnya,” katanya lagi.

Mohamad Mahti juga berkata, Shazryl bertemu dengannya minggu lalu untuk bertanya sama ada boleh mendapatkan bekas anggota unit tindakan khas bagi tujuan keselamatan apabila menayangkan rakaman video.

Mohamad Mahti berkata, dia mengikut Shazryl ke rumah Datuk Shuib Lazim, seorang lagi Datuk T dan mendapati Bendahari Perkasa itu penasihat ahli perniagaan terbabit yang mengendalikan kilang baja dan akan menjadi pengerusinya dalam waktu terdekat.

“Eskay juga berkata beliau melakukan ini bagi (seorang) No. 1,” katanya sambil menambah, Shuib kelihatan keberatan untuk membantu Shazryl.

“Saya tidak tahu siapa orang itu dan saya juga tidak tanya siapa yang dia maksudkan,” kata Mohamad Mahti apabila ditanya sama Shazryl merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang Anwar menuduh terlibat dalam pendedahan video seks ini.

Mohamad Mahti, 53, berkata dia kali pertama bertemu dengan Shazryl ketika menjadi pakar fisioterapi bagi Persatuan Badminton Malaysia pada 1990-an.

Katanya, Shazryl kemudian diperkenalkan kepada Dr Mahathir dan Anwar di mana pada masa yang sama khidmatnya diperkenalkan kepada mereka.

Mohamad Mahti juga berkata, dia diberi wang saku RM5,000 kerana menguruskan pertemuan dengan Ahli Parlimen Salak Tan Sri Tajuddin Rahman, yang merupakan Pengerusi Felca, dipercayai untuk mendapatkan kontrak membekalkan baja.

Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, seorang lagi Datuk T pula merupakan Pengerusi Risda.

Mohamad Mahti berkata sebulan kemudian Shazryl memberikannya satu nota tulisan tangannya menjanjikan pelbagai pegawai termasuk Tajuddin potongan bagi setiap tan baja dijual kepada Felcra.

“Saya merasakan ini rasuah, jadi saya SMS kepada Tajuddin meminta agar melupakan segala-galanya,” kata beliau sambil menunjukkan tulisan tangan yang menggunakan dakwat merah.

Mohamad Mahti berkata salah seorang pengawal peribadi Anwar yang bernama Moktar ada menghubunginya untuk bertanya mengapa Shazryl melakukan yang ini sedangkan baru seminggu lalu beliau ada membawa keluarganya bertemu dengan Ketua Umum PKR itu.

“Saya memberitahu bahawa saya tidak tahu apa-apa tentang video ini sehingga ia dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di Kuang dekat sini hari ini.

Mohamad Mahti menambah, Shazryl ada mengatakan bahawa beliau pernah banyak membantu Anwar dan membawa bekas timbalan perdana menteri itu ke Singapura untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan dakwaan akhir 1990-an bahawa beliau adalah bapa bagi anak Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, sebagai tidak benar.

Dia juga berkata, Shazryl mendakwa ada membantu Anwar untuk menghantar keluar blogger Raja Petra Kamaruddin untuk meninggalkan negara ke United Kingdom.

Katanya, dia tidak diminta oleh sesiapa agar membuat dakwaan ini sambil berkata “jika saya dibayar, kita sepatutnya mengadakan sidang media di bilik berhawa dingin.”

Shazryl dan Abdul Rahim ditahan oleh polis awal hari ini berkaitan dengan seks video ini.
Related Posts with Thumbnails