Jumaat, 28 Januari 2011

Laporan CNN bukti Najib fobia dengan kemaraan rakyat

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Najib Razak mengadu kepada kerajaan Arab Saudi dengan mendakwa dua putera kanan kerajaan tersebut, membiayai Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, menunjukkan Perdana Menteri itu, ketakutan dalam berdepan kemaraan rakyat.
Ketakutan Najib itu terserlah dalam laporan Cable News Network (CNN) bertajuk “Saudis discover new funding channels for Taliban, al-Qaeda”, yang disiarkan beberapa jam lalu.
Sedangkan, laporan risikan Arab Saudi sebelum ini mendapati tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar berdasarkan siasatan sulit yang dibuat kerajaan itu.
“Saya tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah saya. Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal melanda.
“Mereka sedar rakyat Malaysia mulai mual dengan segala macam kebobrokan. Kepimpinan Umno Barisan Nasional (BN), sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.
Najib pada tahun lalu dilaporkan memberi tekanan kepada Arab Saudi bagi menyiasat dakwaan bahawa Anwar ada menerima dana dari negara teluk untuk kempen pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Umno itu didakwa mengadu kepada kerajaan Arab Saudi berikutan dua putera kanan negara itu terbabit dengan pemberian dana berkenaan.
Anwar berkata, laporan itu memperlihat reaksi Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang saban hari membina sokongan rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kepincangan pentadbiran BN yang lemah mentadbir negara dan tiris akibat rasuah yang membarah.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Buku Jingga adalah dokumen mengandungi saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno BN hingga menyebabkan Najib berasa takut.
“Najib sedar Buku Jingga mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno BN kepada rakyat.
“Akibat tidak mampu berdebat secara terbuka dalam isu ekonomi negara, Najib mula menyerang soal peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Desakan Khalid Letak Jawatan Bukti Umno-BN Semakin Hancur

Suara Keadilan |

faekah1Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Noh Omar yang mahukan YAB Dato' Menteri Besar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor kononnya telah gagal mendapat 2/3 undi pada 24 Januari lalu, sememangnya sudah diduga.

Kenyataan yang dilakukan tanpa berpandukan kepada fakta dan undang-undang menampakkan kedangkalan ilmu seseorang. Malang sekali ia dikeluarkan oleh seorang yang masing-masing bergelar Timbalan Perdana Menteri dan menteri kanan Persekutuan.

Pelajar undang-undang pun maklum bahawa mengikut Perlembagaan, hanya satu sebab sahaja yang memberi alasan untuk memaksa seorang ketua kerajaan meletakkan jawatan. Ini disebut dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana apabila ketua kerajaan berkenaan hilang sokongan majoriti dalam Dewan.

Peruntukan yang sama diulang oleh semua undang-undang tubuh negeri di Malaysia. Jelas di Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Ia bukan sekadar majoriti mudah atau majoriti biasa walaupun ia bukan majoriti dua pertiga. Sokongan yang miliki Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah 34 daripada 55 ahli Dewan.

Kita tidak hairan apabila kedua-dua menteri tersebut sanggup merendahkan tahap pengetahuan kerana Umno mahu lari dari isu pokok yang sepatutnya menjadi asas perbincangan. Rakyat jelas melihat bagaimana Umno sanggup lari dari tanggung jawab mempertahankan kedaulatan negeri dan Raja.

Malu dengan tindakan biadab mereka tersebut lantas cuba memesongkan dan mengalihkan isu sebenar dengan meminta sesuatu yang sememangnya mereka tidak mempunyai hak. Pada mereka semuanya adalah politik kampungan, sedang kita begitu serius dalam agenda mempertahankan maruah negeri yang mendapat dokongan rakyat. Kita bersedia menyelesaikan kerenah Persekutuan sejak 1993 yang gagal dikesan oleh Umno Selangor sejak sekian lama.

Pindaan Perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri gagal kerana Umno-BN enggan menyokong. Kami bersangka baik yang mereka komited dengan cita-cita mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja. Rupa-rupanya Umno-BN hanya menanam tebu di bibir. Mereka hipokrit; bertopengkan "rakyat didahulukan" dan "daulat tuanku" namun membenarkan kedaulatan negeri dirobek Persekutuan dan menyokong Raja hanya apabila ia sesuai dengan kepentingan mereka.

Meskipun kita gagal meminda Perlembagaan namun kita masih melihatnya sebagai satu hikmah. Rakyat dapat melihat dengan jelas kepura-puraan Umno selama ini. Apatah lagi perilaku Ketua Pembangkang Umno pada hari tersebut tidak ubah seperti badut sarkis yang membuat lawak di sepanjang sidang Dewan.

Bukan sahaja amat memalukan dengan kehadiran tetamu luar termasuk dari pihak istana, lebih menjolok mata lagi ia telah merendahkan martabat institusi Dewan, institusi tertinggi negeri Selangor. Umno akan selamanya terhalang dari segi moral untuk memperkatakan soal mempertahan maruah negeri dan rakyat Selangor apatah lagi kedaulatan Raja-raja Melayu.

Hakikatnya meskipun Pakatan Rakyat sedih kerana gagal mengembalikan hak negeri dan Sultan namun Umno jauh lebih mengecewakan apabila wakil-wakil rakyat mereka telah menunjukkan mutu pemikiran dan hujah yang sangat rendah. Apatah lagi bukan sahaja rakyat Selangor yang melihatnya tetapi seluruh dunia kerana sidang mesyuarat tersebut disiar secara langsung ke seluruh dunia. Walau apapun, Pakatan Rakyat di Selangor tetap bersyukur dengan ketetapan Yang Maha Esa.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADAMENTERI BESAR SELANGOR

Laporan Polis Terhadap Chua Soi Lek, Hina Islam

Anggota Panel SPRM Diserang

Phang: Saya diserang kerana minta AG bersihkan nama



KUALA LUMPUR, Jan 28:
Mengatakan bahawa beliau kini diserang bertubi-tubi dari semua arah, Tan Sri Robert Phang Miow Sin (gambar) terpaksa meletakkan jawatan sebagai anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Phang mendakwa bahawa beliau telah menjadi subjek “serangan berbisa” kerana meminta Peguam Negara, Haji Abdul Gani Patail untuk membersihkan namanya dalam beberapa kes berprofil tinggi.

Antaranya skandal kerugian Penerbangan Malaysia (MAS) dan pemergiannya ke Mekah untuk menunaikan haji tahun lalu ditaja oleh Shahidan Shafie, seorang proksi bekas presiden MAS, Tajuddin Ramli.

“Dengan sekadar menyeru Peguam Negara Gani Patail untuk bertanggungjawab ke atas semua kontroversi yang sudah berada dalam pengetahuan umum, saya tetiba menjadi subjek kepada serangan berbisa ini,” tulis Phang dalam satu kenyataannya semalam.

Sebelum ini, Phang telah menyeru Gani untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan padanya dalam laman web Malaysia Today mengenai spekulasi hubungan beliau dengan Shahidan sebagai bukti mengapa Gani tidak bertindak terhadap Tajuddin, yang mentadbir MAS sehingga mengalami kerugian terbesar sebanyak RM8 billion meskipun disarankan berbuat demikian oleh bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Ramli Yusof.

Phang juga melahirkan rasa bimbangnya terhadap usaha membersihkan Gani tanpa sebarang penyiasatan oleh SPRM.

“Pada Januari 19, satu blog tanpa nama telah menuduh saya cuba merasuah Ketua Setiausaha sebuah kementerian. Saya kemudian diberitahu bahawa Peguam Negara telah mengarahkan satu kertas siasatan dibuka terhadap saya,” Phang berkata.

Namun begitu, menurut Phang, perkara itu dinafikan oleh Pengerusi SPRM, Abu Kassim Mohamed pada Januari 21.

“Walaupun dengan apa yang telah dimaklumkan oleh Abu Kassim pada saya, akhbar Malay Mail kemudian terus membuat satu laporan bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong telah mendesak SPRM untuk menyiasat saya.

"Malay Mail juga telah memetik kata seorang lagi panel Penasihat SPRM, Megat Najmuddin Megat Khas yang berkata SPRM tidak boleh membenarkan kredibiliti mereka tercalar oleh dakwaan terhadap seorang panel penasihat,” terang Phang.

Menurut Phang, pada keesokan harinya pula, akhbar NST pula melaporkan bahawa NGO Melayu, Perkasa telah membuat satu laporan terhadapnya, menyebabkan kenyataan beliau dirakamkan oleh Pengarah Penyiasat SPRM, Mustafar Ali.

“Saya terkejut kerana ia adalah tidak konsisten dengan apa yang Abu Kassim maklumkan pada saya sebelum ini. Semua ini seperti satu serangan yang dirancang terhadap saya,” kata Phang yang turut menunjukkan “kebetulan” bahawa semua pihak yang terlibat dengan serangan kepadanya berasal dari Sabah.

“Semua serangan pada saya berpaksikan pada sejarah aktiviti bisnes saya di Sabah dan semuanya karut. Ia adalah fakta bahawa AG Gani dari Sabah. Ia juga merupakan fakta bahawa VK Liew dari Sabah. VK Liew adalah Timbalan Nazri Aziz, defakto Menteri Undang-undang kita.

"Bagi saya, mengupas isu ini di tempat awam ialah satu usaha perkiraan dan perancangan untuk memburukkan saya. Ini adalah untuk meletakkan saya bagi perbicaraan awam oleh media di dalam keadaan yang amat tidak adil,” tambah Phang.

Phang juga berkata bahawa beliau mengagak bahawa bukti akan diajukan kepada dirinya dengan cara yang sama sepertimana Ramli Yusof dibicarakan, dan menyindir bahawa kepantasan beliau menjadi sasaran jauh berbanding dengan kelambatan pendedahan awam hubungan Gani dengan Shahidan.

“Saya menganggap semua ini tidak memuaskan dan penuh dengan dwi standard,” dakwa Phang.

“Saya telah mempertimbangkan hal ini dan saya akan mengotakan kata-kata saya. Saya rasa meletakkan jawatan merupakan satu-satu caranya yang betul untuk saya secara ikhlas bagi membantu memudahkan penyiasatan,” umum beliau. | Harakahdaily

Tindakan Soi Lek Bawa Padah Kepada BN


Harapan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti besar — sekurang-sekurangnya 5,000 undi — agak mustahil ekoran kempen DAP yang mula mendapat sambutan luar biasa.

BN meletakkan sasaran untuk menggandakan majoriti berbanding tahun 2004.

The Malaysian Insider difahamkan Umno yang yakin untuk memenangi majoriti pengundi Melayu di kawasa itu mula menyalahkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana didakwa gagal mengawal momentum yang dibawa DAP dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina sejak hari penamaan calon Sabtu lalu.

“Saya rasa mereka telah memperkecilkan pengaruh Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) terhadap pengundi Cina, mereka ingat orang tidak ramai dan tidak seperti ceramah PAS dan PKR yang dihadiri penduduk tempatan,” kata seorang pegawai Umno

Kit Siang dan anak lelakinya Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menghabiskan masa satu hari di kawasan Tenang dengan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kempen ceramah yang mereka sertai.

Kedua-dua ceramah yang diadakan pada malam Isnin dan Selasa lalu dianggarkan disertai kira-kira 300 penduduk tempatan, bilangan yang agak besar bagi mana-mana ceramah yang diadakan di Tenang.

Kini DAP yakin calon PAS Normala Sudirman boleh memenangi sekurang-kurangnya 60 peratus undi Cina di Tenang. Pada pilihan raya umum 2008 PAS meraih sebanyak 58 peratus undi Cina.

“Sekarang kami mempunyai kira-kira 60 hingga 65 peratus dan kami sasarkan ia meningkat sehingga 70 peratus, ia masih sukar kerana dibeberapa kawasan kami tidak begitu kuat,” kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

DAP menganggarkan undi Cina di Tenang masih belum melebihi 30 peratus sebaik sahaja kempen bermula, ia bagaimanapun membuat Umno terdesak untuk mendapatkan lebih banyak sokongan pengundi Cina.

“Masalahnya kami tidak boleh berbincang dengan parti komponen bagi situasi di kawasan Cina.

“Tanpa sokongan kuat daripada pengundi Cina, ia agak mustahil untuk dapat 5,000 undi majoriti,” kata seorang lagi pegawai Umno.

MCA berada di bawah tekanan untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Cina di kawasan Tenang yang merupakan kubu kuat BN.

Pada 2004 BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,517 undi tetapi jumlah itu berkurang kepada 2,492 pada pilihan raya umum 2008 yang mana majoriti besar undi Cina memihak kepada pembangkang.

Sementara itu, tinjauan The Malaysian Insider mendapati pendirian MCA yang mahu membangkitkan isu dasar negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil itu turut mendapat bantahan pengundi Cina.

Pengundi Cina beranggapan tidak wajar MCA memainkan isu negara Islam dan mereka mahu agar MCA menghentikan daripada memainkan isu tersebut.


Sebelum Dr Chua berkata mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

Dr Chua berkata akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

Tindakan MCA itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang Islam tetapi orang bukan Islam juga.

Kempen pilihan raya kecil DUN Tenang sudah masuk hari keenam. Hari pengundian Ahad ini.

“Bagi saya Islam tiada masalah, Islam adalah agama rasmi jadi kenapa mesti mau (mahu) mainkan isu ini?

“Pasal itu salam, saya tidak suka bila MCA mainkan isu ini, kita Malaysia ada macam-macam agama... kita tidak boleh paksa antara satu sama lain.


“Yang penting kita hormat agama yang ada, kenapa mesti nak buat macam ini,” kata pengundi Chai Yun Cong, 45.

Menurut Chai, sekiranya PAS memerintah negara sudah pasti parti Islam itu akan menjaga kebajikan dan perpaduan semua kaum di negara ini.

“Kita tiada masalah tapi kenapa dia (Dr Chua) buat macam ini, dia mahu takutkan kita (orang Cina).

“Dia cakap macam-macam (pasal PAS) tapi PAS tiada apa-apa pun, hanya kasi takut orang Cina sahaja.

“PAS bawa Islam, apa yang PAS buat untuk orang Islam. Orang bukan Islam PAS tidak kacau, jadi kenapa mesti takut?”
katanya.

Dia juga berkata PAS adalah sebuah parti yang bersih dan tidak mustahil akan memilih Normala Ahad ini.

“Saya lihat calon PAS bagus, lagipun PAS bersih... tidak amal rasuah. Tentu PAS boleh bantu kami di sini (Tenang).


“Tapi MCA sudah 53 tahun merdeka tapi tidak tolong bangsa sendiri, dia (MCA) hanya tahu cakap sahaja tapi tidak bantu,” kata Chai dengan nada kecewa.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa Normala enggan bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Sementara itu, seorang lagi pengundi Khoo Khai Loon, 40, berkata MCA perlu menghormati Islam dan mesti menghentikan rancangan tersebut.

“Saya tak suka bila MCA kata mahu cakap pasal agama (Islam), tidak boleh macam ini... Kita duduk dalam pelbagai kaum, kena jaga juga.


“MCA kena hentikan, janganlah sebab nak dapatkan undi (orang Cina) sanggup gunakan agama, kita perlu menghormati setiap agama yang ada,” katanya.

Bagi Lim Chiew Ling, 35, pemilihan Normala sebagai seorang calon PAS-Pakatan Rakyat adalah pilihan tepat kerana bekas guru itu mempunyai kredibiliti dan pandai berpidato punya peluang cerah untuk menang pada pilihan raya kecil kali ini.

“Sikap dia (Normala) yang peramah memang disukai oleh pengundi Cina di sini. Dia ada personaliti yang menyenangkan hati.

“Kita tidak ada masalah siapa pun wakil rakyat yang akan dipilih yang penting dia boleh buat bawa pembangunan dan peluang pekerjaan kepada penduduk di Tenang,” katanya.

Lim juga tidak bersetuju dengan tindakan MCA yang tetap mahu memainkan isu agama dalam kempen pilihan raya kecil.

“Tidak boleh macam itu, MCA kena hentikan... Kita duduk Melayu ada, Cina ada, India pun ada. Kena saling hormat-menghormati.

“Bagaimana kalau ada orang yang mainkan pula agama kita? Mesti kita marah,”
katanya.

Kelmarin Guan Eng mendakwa tindakan MCA yang mahu membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang kerana mahu menghalang orang bukan Islam daripada mengenali Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Beliau berkata tindakan Dr Chua yang mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam semata-mata mahu menimbulkan rasa “ketakutan” kepada pengundi bukan Melayu di DUN Tenang terutamanya orang Cina. -TMI

Related Posts with Thumbnails