Khamis, 13 Januari 2011

Najib Pemimpin Lemah

PUTRAJAYA, 12 Jan – Datuk Seri Najib Razak mengetepikan cabaran ketua pembangkang yang mengajak beliau berdebat dengannya berhubung dasar-dasar ekonomi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.


Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat cabarannya semalam ekoran kecaman Najib mengenai inisiatif Pakatan Rakyat itu kelmarin.

Bagaimanapun Anwar membalas dengan berkata, Pakatan Rakyat mampu untuk membiayai Program 100 Hari mereka yang hanya memerlukan dana RM19 bilion.

Najib (gambar) enggan mengatakan beliau menolak debat itu tetapi menegaskan, harus ada hasil daripada debat yang hendak diadakan.

“Jika kita mahu debat, mesti ada hasil daripada debat itu.

“Saya tidak melihat perkara itu dan apa yang penting ialah pandangan publik,” kata beliau selepas menghadiri majlis makan tengah hari meraikan pasukan bola sepak negara yang membawa pulang Piala Suzuki AFF di Seri Perdana di sini.

Kata beliau, kedua-dua Pakatan dan BN boleh mengemukakan dasar-dasar ekonomi mereka dan ia harus diputuskan untuk orang ramai.

Rabu, 5 Januari 2011

Kes Kematian Teoh Beng Hock: Koroner Pun Bercelaru. Nak cover Siapa???


Sebentar tadi, koroner kes kematian Teoh Beng Hock, Azmil Muntapha Abas telah mengumumkan keputusannya!

Ternyata, dengan bacaan keputusan ini yang langsung tidak menjawab keputusan, ia nampaknya semakin bercelaru!

Teo Nie Ching berkata dalam Twitter Pakatan Rakyat akan membawa keputusan ini untuk diputuskan di Mahkamah Tinggi!

Koroner Azmil Muntapha Abas membuat penghakiman terbuka berhubung kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Beliau memutuskan punca kematian Teoh bukan kerana bunuh diri atau dibunuh.

Menurutnya, masih ada isu-isu yang belum diselesaikan pada kes bunuh diri dan menegaskan bahawa untuk menentukannya secara telahan adalah tidak boleh diterima.

Berikutan itu, Azmil memutuskan kematian Teoh bukan kerana bunuh diri.

Azmil berkata, ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa kecederaan pada leher Teoh berlaku sebelum dia jatuh, tetapi tidak ada bukti untuk mengesahkan bahawa kecederaan itu menyumbang kepada kematiannya.

Sebelum itu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini sesak dengan penyokong dan media bagi mendengar keputusan inkues berhubung kematian pembantu exco kerajaan negeri Selangor Teoh Beng Hock yang mati dua tahun lalu.

Mendiang Teoh dijumpai tidak bernyawa ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) selepas terjatuh dari tingkatlimat pejabat SPRM Shah Alam.

Kira-kira jam 2 petang, ibubapa dan adik perempuannya hadir di perkarangan mahkamah.

Sementara itu, penyokong-penyokongnya menaikkan kain rentang serta melaungkan 'Justice For Beng Hock'.

Tidak kurang juga yang memakai bunga kekwa putih di baju mereka.

Manakala peguam-peguam yang mewakilinya pelbagai pihak pula hadir kira-kira jam 2.30 petang.

Kelihatan juga di perkarangan jumlah anggota polis yang luar biasa ramainya dan sekatan jalan di beberapa jalan utama menuju ke mahkamah.

Rais Yatim nafi tuduhan perkosa amah Indonesia

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim hari ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

"Saya menafikan sebarang dakwaan tersebut sama ada yang berkaitan tuduhan memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, "tuduhan liar yang ditujukan terhadap dirinya, susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat."

"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.

Menurut Rais, beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siastan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.

Beliau berkata "sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, pihak-pihak yang rakus mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain diminta menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik."

"Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar yang disiarkan di bawah mana-mana pojok blog, laman web di internet setakat ini berkaitan dakwaan salahlaku atau jenayah memperkosa mana-mana individu sedemikian adalah bertujuan jelek,
berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan tanpa lunas sahih di sisi undang-undang," katanya.

Rais berkata, perkara berkenaan adalah mainan politik jahat dan kotor yang sengaja digembar-gemburkan bagi tujuan memperolehi dividen politik pembangkang.

Tambah ahli parlimen Jelebu itu, laporan polis oleh PAS dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lalu susulan pendedahan blogger itu adalah bukti bahawa dakwaan tersebut bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan.

"Dakwaan pemerkosaan seperti yang dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil Wikileaks." katanya.- Malaysiakini

SURAT RAYUAN TERBUKA: Pemalsuan Ujian DNA Anwar 1998

Mat Zain bin Ibrahim
5 hb.Januari 2011

Dengan tangan.

Kepada;
Yang Berbahagia Datuk Idrus Harun,
Peguam Cara Negara Malaysia,
(Solicitor General of Malaysia)
Jabatan Peguam Negara,
Block C3,Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62152 Putrajaya.

YBhg.Datuk,

Maklumat mengenai penipuan dan pemalsuan-pemalsuan yang dilakukan berkenaan ujian Deoxyribonucleic Acid (“DNA”) dalam kes berprofil tinggi 1998.

Assalamualaikum YBhg.Datuk,semoga dalam sihat walfiat.
2. Sehubungan dengan perkara tajuk,sukacita saya menjemput YBhg.Datuk menyemak semula surat saya bertarikh 27hb.Disember 2010,berkaitan isu diatas yang dialamatkan kepada YDH Tan Sri Ketua Polis Negara, dengan salinannya kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan YBhg.Datuk sendiri yang diakui telah diterima oleh masing-masing pada tarikh berkenaan juga.

2.1. Dalam Surat Rayuan Terbuka ini,saya akan tinggalkan dahulu buat sementara waktu, kandungan maklumat-maklumat berkaitan perkara tajuk,yang saya huraikan dalam Bahagian II dan Bahagian III dalam muka surat 7 hingga 20 surat tersebut.Saya berasa yakin bahawa YDH Ketua Polis Negara sedang dalam proses menyiasat kesahihan maklumat-maklumat berkaitan perkara tajuk dalam Bahagian II , manakala maklumat berkaitan “subsequent conduct” individu tertentu dalam Bahagian III surat tersebut.

2.2. Dalam surat saya bertarikh 27.12.2010 itu juga,saya telah jelaskan bahawa sebarang siasatan mengenai maklumat diatas,perlu merujuk kepada kertas siasatan kes mata-lebam oleh kerana beberapa insiden yang berlaku adalah “bertindih” (overlapping) lebih-lebih lagi “pemain utama” kedua-dua kes pemalsuan dalam insiden mata-lebam dan pemalsuan “DNA” adalah sama.


3. Fokus saya dalam Surat Rayuan Terbuka ini adalah kepada Bahagian I surat tersebut iaitu;

3.1. Berkaitan dengan “Penjelasan dan Jawapan secara bertulis kepada soalan-soalan yang tidak sempat dijawab semasa sessi penggulungan perbahasan Bajet 2011” yang diberi oleh YB Dato’Seri Hishammuddin Tun Hussein (YB Hishammuddin),Menteri Dalam Negeri,pada 2.12.2010,sebagai menjawab soalan daripada YB Tuan Lim Kit Siang dan;

3.2. Berkaitan dengan “Ministerial Statement” oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri,YB Dato’Seri Mohamed Nazri Abdul Azizi (YB Nazri)), dibawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) pada 14.12.2010,sebagai penjelasan kepada usul memotong RM10 daripada gaji Peguam Negara yang dibangkitkan oleh YB Tuan Lim Kit Siang juga.Saya percaya YBhg.Datuk sedar bahawa kenyataan berkenaan adalah terbit daripada arahan khusus Jemaah Menteri kepada YB Nazri dan seorang lagi Menteri Kanan iaitu YB Dato’Seri Utama Dr.Rais Yatim (YB Rais Yatim),supaya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (Gani Patail) sendiri, berkaitan isu yang dibangkitkan sekembalinya Gani Patail daripada Mekah setelah menunaikan Haji musim lalu.

3.3. Saya percaya YBhg.Datuk akan bersetuju dengan saya, jika saya katakan bahawa, YB Hishammuddin dan YB Nazri mahupun YB Rais Yatim TIDAK mempunyai ekses kepada kertas siasatan Polis ataupun SPRM.Mereka juga TIDAK mempunyai sebarang kuasa penyiasatan sepertimana terdapat dalam Kanun Prosidur Jenayah (CPC), ataupun kuasa berkaitan pendakwaan atau perkara yang incidental mengenainya,sepertimana yang dibekalkan kepada Peguam Negara,mengikut Artikel 145(3) dan 145(3A) Perlembagaan Persekutuan.Oleh hal yang demikian pengumuman yang telah dibuat oleh YB Hishammuddin dan YB Nazri secara berasingan itu, adalah semata-mata berdasarkan kepada fakta-fakta yang dibekalkan dan nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara,kerana perkara-perkara pengumuman berkenaan adalah berkaitan siasatan dan undang-undang.


4. Saya percaya YBhg.Datuk sendiri turut sedar bahawa pengumuman yang dibuat oleh kedua-dua YB Menteri berkenaan mengandungi fakta-fakta dan/atau maklumat-maklumat mustahak yang tidak benar dan/atau yang mengelirukan dan/atau yang telah dipesongkan (distorted).Saya juga percaya YBhg.Datuk turut sedar dengan demikian itu, Peguam Negara sama ada secara sengaja atau sebaliknya, telah menyebabkan YB Hishammuddin dan YB Nazri membuat pengumuman yang mengelirukan dalam Parlimen atau lebih jelas lagi, jika saya katakan, mereka telah memberi maklumat palsu kepada rakyat.Akibatnya, kedua-dua YB Menteri terlibat, mungkin terdedah kepada risiko dikenakan sesuatu tindakan undang-undang.

4.1. Tindakan Peguam Negara boleh diibaratkan,sebagai “sebuah roda yang terbenam didalam lumpur yang licin.Lebih ligat roda tersebut diputarkan untuk keluar dari lumpur tersebut,lebih dalam ia akan terbenam”. Begitulah keadaannya dalam isu ini.Lebih ligat Peguam Negara memutar belitkan undang-undang,fakta dan keterangan,untuk keluar daripada masaalah penipuan dan pemalsuan yang beliau telah lakukan sendiri,lebih kuat beliau menjerut leher sendiri.Malangnya orang lain yang tidak berkenaan pula turut menjadi mangsa keadaan.


5. Bagi meleraikan kekalutan diatas,yang telah berlarutan selama 12 tahun,saya merayu YBhg.Datuk,atas sifat Peguam Cara Negara,yang boleh dalam keadaan tertentu bertindak sebagai Pendakwa Raya,mengeluarkan kenyataan resmi kepada umum, bagi mengesahkan posisi YBhg.Datuk sendiri dalam hal ini. Adalah sangat tidak wajar untuk pihak Peguam Negara mencari perlindungan di-belakang Menteri-Menteri dalam membuat kenyataan-kenyataan berkenaan perkara penyiasatan dan pendakwaan,sedangkan YBhg.Datuk sendiri yang telah berhujah menyatakan bahawa Perdana Menteri pun bukan “competent authority” untuk membuat kenyataan sedemikian bagi pihak Peguam Negara.Saya jemput YBhg.Datuk merujuk kepada kes yang diperturunkan dibawah;

5.1. Dalam Rayuan Jenayah No:43-(70)-2008,Keputusan “Decision on Revision” oleh Hakim Mahkamah Tinggi Yang Ariff Dato’Mohamad Zabidin bin Mohd.Diah bertarikh 5.3.2009.
“Suffice for me to say I agree with learned SDPP’s submission that “it is well settled that the authority or discretion to institute a prosecution and all other powers incidental to it,is vested with the Attorney-General by virtue of Article 145(3)and 145(3A) of the Federal Constitution.Such being the case,any promise with regard to the prosecution or anything incidental to it can only be made by the Attorney-General and not the Prime Minister.Surely,the Prime Minister could not be seen to be making promise on behalf of a competent authority which is given the exclusive discretion under the Federal Constitution with regard to prosecution or any matter incidental thereto.”

5.2. Dalam premis diatas, diharap YBhg.Datuk dapat memberikan penjelasan mengenai status kenyataan YB Nazri yang beliau buat pada 14.12.2010 dan sama ada YB Menteri berkenaan merupakan “competent authority” membuat kenyataan sedemikian bagi pihak Peguam Negara.Lebih-lebih lagi kenyataan tersebut menyentuh bidang kuasa Pendakwa Raya.YBhg.Datuk juga wajar menjelaskan sama ada Jemaah Menteri merupakan “competent authority” untuk mengistiharkan perlantikkan Ahli Panel Bebas berkenaan sebagai “sah” atau sebaliknya, dan sama ada YB Menteri boleh mengistiharkan sesuatu siasatan kes jenayah itu ditutup.


6. Untuk faedah umum dan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan berkaitan perkara dalam persoalan ini,saya merayu YBhg.Datuk menjelaskan persoalan-persoalan yang berikut dibawah dengan telus dan ikhlas.Semoga penjelasan YBhg.Datuk berikan kelak, akan dapat menyelesaikan kemelut ini “once and for all”.Tidak dapat tiada isu pemalsuan keterangan dalam insiden mata-lebam, akan berbangkit semula apabila siasatan menyeluruh dijalankan berkaitan maklumat sepertimana perkara tajuk.Persoalan utama adalah seperti berikut dibawah;

6.1. Benar atau tidak terdapat tiga (3) laporan perubatan yang berbeza antara satu sama lain,yang disediakan oleh Dr.Abdul Rahman Yusof.Laporan pertama disediakan pada 26.10.1998 atas arahan Gani Patail.Laporan kedua (yang akan dirujuk sebagai Ekshibit-A9) dan Laporan Ketiga masing-masing tanpa bertarikh disediakan oleh Dr.Rahman diantara 14.12.1998 hingga 21.12.1998 yang diarahkan oleh Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham Mohtar),Peguam Negara ketika itu.

6.2. Benar atau tidak dua(2) daripada tiga(3) Laporan diatas,iaitu Laporan Pertama bertarikh 26.10.1998 dan Ekshibit-A9 telah dikemukakan dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja Tersebut,dan dirakamkan dalam Laporan Suruhjaya berkenaan.

6.3. Benar atau tidak Laporan Pertama bertarikh 26.10.1998 yang penyediaannya diarahkan oleh Gani Patail,tidak terdapat dalam Laporan Suruhanjaya yang kemudiannya diperkenankan oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong.

6.4. Jika Gani Patail dan/atau Tan Sri Musa Hassan (Musa Hassan),dan/atau Dr.Rahman dan/atau ACP Mat Zain Ibrahim (ketika itu Pegawai Penyiasat kes mata-lebam),sama ada secara bersendiri atau berpakat,tidak terlibat dengan apa cara sekalipun dalam pembikinan ketiga-tiga Laporan Perubatan seperti yang tersebut diatas,bolehkah YBhg.Datuk jelaskan bagaimana laporan-laporan tersebut,kesemuanya berjumlah 65 muka surat, boleh ujud dan siapa yang bertanggungjawab dalam pembikinannya.

(i) Bolehkah YBhg.Datuk turut jelaskan bagaimana laporan-laporan berkenaan boleh berada dalam kertas siasatan mata-lebam,kertas siasatan SPRM dan Laporan Suruhanjaya Di-Raja tersebut.

6.5. Berkaitan dengan kuasa Peguam Cara Negara (Solicitor General-SG) sepertimana terkandung dalam Seksyen 376 Kanun Prosidur Jenayah (CPC).

(i). Benarkah mengikut Seksyen 376 (2)CPC,kuasa SG sama dengan kuasa yang ada pada seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sahaja.Apabila SG bertindak sebagai Pendakwa Raya ketika ketiadaan Peguam Negara atau pada waktu ia tidak berupaya bertindak sebagainya,adalah untuk “administrative purposes” sahaja dan tidak melibatkan pengambilan “kuasa penuh” Pendakwa Raya. Kuasa penuh Pendakwa Raya hanya boleh dilaksanakan oleh Peguam Negara seorang sahaja yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong.

(ii) Semua DPP,dan termasuk SG,boleh menjalankan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang ada atau yang boleh dijalankan oleh Pendakwa Raya dengan atau dibawah CPC atau mana-mana undang-undang bertulis kecuali (diulangkan)..kecuali apa-apa hak atau kuasa yang dinyatakan wajar dilakukan oleh Pendakwa Raya sendiri, iaitu;

a) Melantik DPP dibawah Seksyen 376 subseksyen (3)CPC,dibaca bersama dengan Seksyen 376 subseksyen (4).
b) Menandatangani sijil dibawah Seksyen 418A subseksyen (2) CPC iaitu untuk memindahkan perbicaraan dari Mahkamah Rendah kepada Mahkamah Tinggi.
c) Perintah menjalankan perbicaraan terhadap pengarang,tuan punya, pencetak atau penerbit sebarang buku atau surat khabar yang didaftarkan dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau dibawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986.

6.5.1. Sehubungan perkara diatas,izinkan saya merujuk sekali lagi nota prosiding Rayuan Jenayah 43-(70)-2008 mengenai “Decision on Revision” di-hadapan Hakim YA Dato’Mohamad Zabidin bin Mohd.Diah.Dalam hujah pihak Pendakwaan,YBhg.Datuk sendiri telah menekankan dengan membawa contoh-contoh case-laws bahawa hanya Pendakwa Raya sahaja yang mempunyai kuasa untuk menandatangani sijil dibawah Seksyen 418A tersebut,oleh kerana keperluan tersebut adalah “statutory requirement”,atau dalam bahasa mudah ianya adalah kehendak undang-undang.Jika demikian,bolehkah YBhg.Datuk jelaskan mengapakah aplikasinya dalam perlantikkan DPP mengikut Seksyen 376 (3) CPC dibaca bersama dengan Seksyen 376(4) berbeza dengan apa yang YBhg.Datuk hujahkan di-Mahkamah,sedangkan undang-undang yang dipakai ialah CPC yang sama.

6.6. Dengan mengenepikan persoalan kesahihan perlantikkan DPP-DPP berkenaan sebagai Ahli Panel Bebas,diharap YBhg.Datuk jelaskan sama ada sekumpulan DPP yang dilantik sedemikian itu mempunyai hak dan kuasa untuk mengadili (adjudicate) perkara berkaitan kelakuan dan/atau salah-laku jenayah seorang Peguam Negara,sama sepertimana hak dan kuasa sebuah Tribunal yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

6.7. Saya percaya YBhg.Datuk tidak akan menafikan telah menerima ketiga-tiga laporan perubatan disediakan oleh Dr.Rahman dalam persoalan ini,menerusi salinan surat-surat saya bertarikh 15.4.2009 dan 7.5.2009.Saya percaya YBhg.Datuk bukan orangnya yang akan membakul-sampahkan dokumen-dokumen tersebut, sebaliknya YBhg.Datuk telah meneliti kesahihan laporan-laporan berkaitan dengannya.

6.7.1. Oleh hal yang demikian itu,bolehkah YBhg.Datuk jelaskan,keterangan yang macam mana lagi YBhg.Datuk ingin cari.

6.7.2. Malahan dengan hanya bersandarkan laporan saya bertarikh 15.4.2009 dan 7.5.2009 itu sahaja,saya yakin YBhg.Datuk telah boleh membentuk suatu kes prima facie terhadap Gani Patail dan orang atau orang-orang yang bersubahat dengannya, kerana memalsukan keterangan ketika proses penyiasatan kes mata lebam,tanpa perlu merujuk kepada kertas siasatan kes itu sendiri ataupun kertas siasatan SPRM berkaitan.
YBhg.Datuk,


7. Saya telah menunggu sehingga hari ini 5hb.Januari 2011 untuk mengedarkan maklum balas bersangkutan dengan kenyataan yang dibuat oleh YB Menteri-Menteri tersebut itu.Saya percaya YBhg.Datuk dan khasnya Gani Patail,masih ingat bahawa dua belas tahun lalu, pada 5hb.Januari 1999, Peguam Negara,Allahyarham Mohtar telah mengeluarkan Press Statement yang disediakan oleh Gani Patail berkaitan dengan Penyiasatan Polis dalam insiden mata-lebam kepada umum.Saya sendiri tidak akan lupa tarikh bersejarah ini.

7.1. Press Statement 5.1.199 inilah yang telah memusnahkan kredibiliti PDRM dan khasnya Pasukan Penyiasat insiden mata lebam ketika itu.Press Statement ini juga telah menyebabkan Jemaah Menteri terpedaya untuk mempercayai bahawa PDRM tidak berupaya untuk menangani sesuatu siasatan jika melibatkan pucuk pimpinan tertinggi sendiri,dan dalam hal ini penglibatan Ketua Polis Negara.Akibatnya Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa Suruhanjaya Di-Raja pula dibentuk untuk mengambil alih siasatan daripada Polis.

7.2. Bagaimanapun PDRM akhirnya telah membuktikan bahawa ia adalah satu Pasukan yang berkecuali dan professional dan mampu menjalankan penyiasatan yang adil “without fear or favour”,sekalipun ianya adalah terhadap orang nombor satunya.Ini telah diakui oleh Ahli Suruhanjaya Di-Raja tersebut sepertimana yang dirakamkan dalam “Part Two,muka surat 69 perenggan 6.6.Laporan Suruhanjaya”,walaupun ramai yang tidak menyedarinya atau mempedulikannya.


8. Saya percaya YBhg.Datuk serta Pimpinan Tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara,turut sedar, bahawa Press Statement 5.1.1999 itu adalah merupakan bukti utama yang boleh digunakan untuk mensabitkan beberapa kesalahan jenayah terhadap Gani Patail dan orang atau orang/orang yang bersubahat dengannya,berkaitan penipuan dan pemalsuan keterangan.

8.1. Bersempena dengan ulang tahun ke-duabelas Press Statement 5.1.1999 itu pada hari ini,saya mengajak YBhg.Datuk “to come clean” untuk menyelesaikan kemelut ini.


9. YBhg.Datuk bebas memilih untuk terus melindungi perbuatan jenayah ini dan terpaksa bersedia untuk terus berbohong untuk menutup pembohongan terdahulu yang tidak akan berkesudahan, ataupun YBhg.Datuk memilih untuk menyelamatkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada hari ini,supaya membolehkan YBhg.Datuk dan rakan-rakan yang lain membuka tirai baru dalam membawa AG’s Chambers kezaman kecermelangannya sebelum 1998.

9.1. Apa pun pilihan yang akan dibuat,saya inginkan YBhg.Datuk tahu bahawa penipuan dan pemalsuan yang dilakukan sejak 1998 itu dan terus terpaksa dilakukan sehingga hari ini, adalah berputik daripada perasaan marah, dendam peribadi dan keegoan sesaorang yang mengambil kesempatan situasi tidak menentu ketika itu.


10. Akhir kata saya menuntut maaf sekiranya surat rayuan terbuka saya kepada YBhg.Datuk ini membebankan,dan saya memohon maaf juga sekiranya terdapat kata-kata saya yang terlanjur atau menyinggung perasaan.Saya pernah membuat rayuan yang serupa kepada Allayarham Tan Sri Peguam Negara ketika itu, menerusi minit saya dalam muka surat 26 hingga 29 perenggan 10,11 dan 12 bertarikh 27.1.1999,dan diharap YBhg.Datuk sudi melihatnya jika ada kelapangan.

Salam sejahtera, selamat maju jaya dan Selamat Tahun Baru.
Terima kasih.
Yang benar,

(Mat Zain bin Ibrahim)
5hb.Januari 2011.
(Nota: Surat Asal telah diakui terima oleh Pejabat Peguam Cara Negara @ 0850 pagi 5.1.2011)

Keputusan inkues mengenai kematian Teoh diketahui petang ini



Bernama | Keputusan yang ditunggu-tunggu mengenai inkues kematian pembantu politik kepada seorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock dijangka diketahui pada petang ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas akan menyampaikan keputusan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada pukul 2.30 petang ini.

Anggota keluarga Teoh, peguam yang mewakili pelbagai pihak, orang awam dan wakil media dijangka berada di bilik mahkamah itu yang terletak di tingkat dua, bangunan sambungan kompleks mahkamah itu.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini tidak ada tanda-tanda sebarang penangguhan mengenai keputusan itu yang diterima daripada pegawai mahkamah berkenaan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Setelah banyak menuding jari dan tuduhan, pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues itu diadakan berikutan kematian Teoh yang membangkitkan beberapa persoalan sama ada beliau membunuh diri atau dibunuh dan paling penting, bagaimana, bila dan cara mangsa itu menemui ajalnya.

Laporan meluas bahawa beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM mengenai dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan Selangor.

Pada awalnya, inkues itu dijadual diselesaikan dalam masa sebulan tetapi ia berlarutan sehingga 4 Nov tahun lepas, di mana Koroner Mahkamah itu mendengar keterangan daripada 37 saksi termasuk Patologis Thai yang terkenal Dr Pornthip Rojanasunand.

Dr Pornthip, yang dijemput oleh kerajaan Selangor, menimbulkan kontroversi di mana beliau mendakwa Teoh mungkin dibunuh yang menyebabkan mayat Teoh digali semula untuk bedah siasat kedua.

Bagaimanpun, apabila mahkamah itu dijangka mendengar pandangan kepakarannya selepas autopsi kedua, beliau menimbulkan bantahan awam khasnya daripada kalangan pegawai SPRM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz apabila beliau mendakwa diugut agar jangan hadir pada inkues tersebut.

Semasa kehadiran beliau di mahkamah buat kali kedua pada 18 Ogos, Dr Pornthip berkata bedah siasat kedua menunjukkan Teoh bukan diserang atau diseksa, tetapi mengekalkan keterangan bahawa ia bukanlah pembunuhan diri.

Pakar forensik British Prof Dr Peter Vanezis yang diambil oleh SPRM memberikan keterangan bahawa Teoh masih sedar apabila beliau terjun dan ditemui mati.

Beliau berkata kecederaan menunjukkan Teoh sedar sepenuhnya pada masa kejadian itu.

Katanya dalam keterangan bahawa bedah siasat kedua yang diawasi oleh beliau membuktikan bahawa tidak ada kecederaan itu menunjukkan beliau dibunuh dengan cara lain atau dicampak ke luar tingkap.
Related Posts with Thumbnails