Sabtu, 23 Oktober 2010

Rosmah Mansor Penaung IIF Hina Islam: ILMAM Kesal Dengan Tindakan Isteri Perdana Menteri

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia baru-baru ini telah dikejutkan dengan satu penganjuran pertunjukkan fesyen yang mana secara jelas telah menghina Islam dan Rasulullah s.a.w.

Pertunjukkan fesyen ini telah menggunakan nama Islam tetapi langsung tidak menepati cara pemakaian Islam bahkan mempamerkan satu tindakan mencemarkan kesucian Islam.

Apa yang dikesalkan adalah penaung kepada pertunjukan fesyen ini yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor yang beragama Islam.

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dengan dukacitanya melahirkan rasa kesal yang tidak terhingga terhadap penglibatan Datin Seri Rosmah sebagai penaung kepada IFF yang juga merupakan seorang muslimah khususnya dan kesal terhadap penganjuran program ini secara umumnya.

Adakah umat Islam belum cukup terhina dengan pelbagai siri pencemaran dan pengkhianatan barat terhadap Islam dengan terbitnya karikatur-karikatur yang menghina Rasulullah s.a.w? Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam? ILMAM melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.

ILMAM dengan ini menyeru kepada seluruh umat Islam untuk membantah dan mencela IFF ini dengan apa jua cara khususnya para ilmuan Islam yang berada dalam kerajaan Malaysia atau parti pemerintah agar turut sama bangkit membantah dan tidak menjadi ‘Syaitan Bisu’. Ingatlah firman Allah s.w.t:

"Wahai orang-orang yang beriman kenapah kamu menuturkan apa yang kamu tidak lakukannya? Sungguh besar kemurkaan Allah pada kata-kata kamu yang tidak dikotakan!"(Surah As-Sof:2-3)

ILMAM juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini. Setiap individu umat Islam harus berhati-hati dalam setiap tindakan kerana kemungkinan tindakan tersebut akan dikira sebagai perkara yang membatalkan syahadah tanpa disedari walaupun apa yang dilakukan itu tidak berniat untuk menghina. Semua pihak terutama pihak yang berkuasa haruslah insaf dan sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga agama dan kesucian aqidah Islam. Ingatlah pesanan Baginda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Islam itu berada di tempat paling tinggi dan tiada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadanya.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)

Jumaat, 22 Oktober 2010

Mohon maaf dan lantik penasihat syariah, kata Asri




MALAYSIA KINI | Mereka yang terlibat dengan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu perlu membuat permohonan maaf kepada umat Islam kerana tindakan mereka itu adalah satu penghinaan kepada Islam, kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Sama sekali ia tidak Islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, namun kenyataan Dr Asri itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan yang membidas tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung yang Festival Busana Muslim itu.

“IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

“Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini,” katanya.

Menurut Dr Asri, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti itu kerana ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia.

“Apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan.

“Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Asri yang kini di Doha, Qatar mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan fesyen Islam supaya mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu.

“Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak,” katanya lagi.

Pada festival di Monte Carlo itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.
Rosmah, pada pembukaan majlis itu dilaporkan berkata Fesyen busana Muslim kian pesat berkembang menjadi perniagaan menguntungkan dengan pasaran semasa kini dianggarkan bernilai lebih US$96 bilion (RM302 bilion) setahun.

Bernama juga melaporkannya sebagai berkata: "Festival Fesyen Islam ini sebenarnya bertujuan memberi noktah kepada kelaziman bahawa wanita Islam tidak mempunyai citarasa gaya.

“Sebaliknya, pakaian berkonsepkan Islamik mempunyai gaya yang tersendiri, dan hari ini ia mulai menarik semakin lebih banyak perhatian, kerana trend arus perdana semakin menjadi tidak senonoh, mengghairahkan dan provokatif, tidak menarik kepada lebih ramai pengguna konservatif," katanya.

Didakwa 'Hina Islam', Rosmah Perlu Minta Maaf



Sekurang-kurangnya empat perhimpunan aman anjuran Dewan Pemuda PAS di adakan di tiga negeri sebagai membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.

Demontrasi itu berlangsung Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan di Pahang dan Masjid Pengadang Baru di Kuala Terangganu. Manakala dua lagi bantahan berlangsung di Pulau Pinang iaitu di Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh dan Masjid Hashim Yahya.

Semua bantahan itu diadakan selepas solat Jumaat yang disertai oleh ahli jamaah yang selesai menunaikan solat berkenaan.

Umumnya, ucapan yang disampaikan oleh pemimpin Pemuda PAS menegaskan tindakan penganjuran festival yang memaparkan model yang memperagakan pakaian dengan tulisan "Muhammad" secara terbalik dalam tulisan Arab adalah satu penghinaan kepada Islam.
Tak sempat berucap

Di Masjid Sultan Ahmad Shah, bantahan berkenaan diketuai oleh ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan, yang turut disertai antaranya ketua Pemuda PAS negeri Suhaimi Said.

Perhimpunan yang berlangsung selama setengah jam bermula 1.50 petang disertai kira-kira 1,000 jemaah termasuk penyokong parti sebelum kira-kira 15 anggota polis mengarahkan perhimpunan itu dihentikan.

"Saya tidak sempat hendak berucap. Polis mengarahkan kira berhenti. Kita mematuhi arahan polis dan tiada tangkapan dibuat," kata Nasrudin kepada Malaysiakini petang ini.

Sementara itu, di Masjid Pengadang Baru, bantahan aman diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri Mohd Nor Hamzah. Beliau juga adalah ADUN Bukit Payung.

Ahli jawatankuasa PAS Terengganu Azman Shapawi Abd Rani turut menyampaikan ucapan berhubung isu tersebut sewaktu dalam perhimpunan itu diadakan.

"Tidak sepatutnya festival ini dianjurkan oleh orang Islam. Ia nampak seolah-olah penghinaan kepada Islam.

Kita kata festival fesyen Islam, tapi model berpakaian menjolok mata. Ia satu penghinaan dan tidak sepatutnya berlaku di dunia," katanya.

Perhimpunan selama 30 minit itu, itu dihadiri kira-kira 1,500 yang selesai menunaikan solat Jumaat, berlangsung dengan aman tanpa kehadiran anggota polis.

Sementara itu, ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah mengetuai kira-kira 200 ahli jamaah dan penyokong parti itu dalam perhimpunan aman di Masjid Permatang Janggus.

Mufti, ulama muda Umno dicabar
Dalam ucapannya antara lain mencabar semua mufti dan ulama muda Umno untuk menjelaskan isu berkenaan yang didakwanya menghina Islam dan Rasulullah SAW.
Bantahan itu berlangsung selama 30 minit tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, beberapa buah negeri antaranya Perlis dan Kedah dikatakan masih merancang mengadakan demonstrasi kerana "rakyat perlu mengambil masa untuk memahami isu berkenaan".

Manakala Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membatalkan hasrat mereka mengadakan bantahan. Mereka, sebaliknya mengambil pendekatan untuk berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Mufti Wilayah Persoal Tujuan Guna Nama Muhammad



SHAH ALAM 23 Okt: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya berkata, berfesyen dalam mempromosikan busana Muslim adalah tidak salah, namun ia perlu menghormati perkara-perkara utama, seperti ayat suci, kalimah dan perkataan seperti 'Allah' dan 'Muhammad'.

"Apa maksud 'Muhammad' disitu? Adakah nama dia (si pemakai), atau Nabi Muhammad (SAW)? Maka kita tak tahu. Jadi kita kena tengoklah apa tujuan dia tulis 'Mim Ha Mim Dal' itu? Adakah itu nama Nabi Muhammad atau pun nama dia?

"Dia kena jagalah. Boleh, tetapi kalau kalimah-kalimah Allah itu dicampak merata, itu dah menghina kalimah Allah. Tulisan kalimah-kalimah Allah, atau Rasulullah pada baju yang dipakai. Dia kena jagalah penghormatan kalimah Allah itu. Tak boleh dicampak ikut suka sahaja," jelasnya.

Hashim yang dihubungi TV Selangor hari ini menjelaskan, beliau tidak dapat memberikan respon mengenai isu Festival Fesyen Islam yang dianjurkan oleh isteri Perdana Menteri. Datin Seri Rosmah Mansur, kerana masih belum meneliti perkara tersebut.

Namun begitu, beliau masih boleh memberikan pandangannya mengenai garis panduan dan adab dalam berpakaian mengikut syarak.

"Fesyen itu tidak salah, tapi mesti menutup kepala, mesti menutup dada. Kemudian kalau nak fesyenkan sikit, itu tidak menjadi masalah. Kalau terlampau nak fesyen, kadang-kadang terlalu nipis. Kadang-kadang tutup semua, tetapi terlalu ketat. Tak jadi juga. Tak menepati menutup aurat.

"Garis panduannya mudah sahaja. Tiap-tiap sama ada lelaki atau perempuan Muslim dan Muslimah menutup aurat. Dan garis panduan menutup aurat itu telah dijelaskan sama ada di dalam Al-Quran atau pun dalam hadis-hadis Nabi (SAW).

"Kalau lelaki, auratnya antara pusat dan lutut. Itu aurat asalnya. Atas dari pusat dan bawah daripada lutut itu tidak dikatakan aurat. Itu dari segi umumnya.

"Walau macam mana pun, kalau sekiranya orang lelaki tadi berhadapan dengan wanita yang bukan mahram. maka dia juga dituntut menutup tubuh badannya. Itu adabnya.

"Dari segi perempuannya, mesti menutup kepalanya dan bertelekung menutup dadanya. Macam wanita yang pakai telekung hari ini yang labuh sedikit menutup dadanya. Kemudian pakaian itu tak boleh terlaku ketat sehingga menampakkan tubuh badannya. Itu lah garis panduan. Itu jelaslah," jelas Hashim.

"Kalau longgar pun, tapi terlalu nipis sehingga dapat melihat, terbayang kulitnya, maka tidak menepati tutup aurat. Jadi maksudnya pakaian kena agak longgar, disamping tidak nipis sehingga menampakkan tubuhnya di bawah kain itu," tambahnya lagi.

Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah yang mahu mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat hari ini bagi membantah insiden itu, sebaliknya memutuskan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Penerangannya, Fadhil Osman lapor portal Malaysiakini bercadang menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara tersebut.

Pengakuan Rozaliya Mat Lazim: Selalu Bergaduh, Diekori Lelaki, Kena Ragut

KEMAMAN: Rozaliya Mat Lazim, 20, bakal pengantin yang mencetuskan kontroversi hingga mendapat liputan meluas media mengaku tindakannya melarikan diri ke Kuala Lumpur turut berpunca tindakan keluarganya yang enggan memenuhi permintaannya supaya memutuskan pertunangannya.
Menurutnya, dia mengambil keputusan itu selepas hubungan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, sentiasa menghadapi masalah menyebabkannya hilang kepercayaan kepada lelaki berkenaan.

“Saya sudah tawar hati kerana sikapnya sudah banyak berubah dan tidak tahu menghargai diri saya, malah banyak tindakannya melukakan hati dan perasaan saya.

“Tindakan saya melarikan diri daripadanya kerana sudah tidak sanggup lagi meneruskan perkahwinan itu selepas permintaan saya untuk memutuskan pertunangan tidak dilayan keluarga sebelum ini.

“Saya rasa lebih baik saya berseorangan ketika ini daripada menanggung hati yang sentiasa terluka akibat sering berselisih faham dengan Helmi, malah hati saya sudah tertutup untuknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Cheneh Baru, di sini, semalam.

Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku dan sudah berbincang semula dengan keluarga dan mereka menerima keputusannya untuk memutuskan pertunangan.

“Keluarga saya meminta keluarga pihak lelaki datang ke rumah untuk memutuskan pertunangan ini dalam masa terdekat,” katanya.

Rozaliya mencetuskan kontroversi apabila didapati hilang selepas ditinggalkan tunangnya seketika selepas mereka membeli barang keperluan perkahwinan mereka di Kuantan, 13 Oktober lalu.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan, Mohd Helmi bergegas pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana perlu menyelesaikan urusan penting dan berjanji menemui Rozaliya pada jam 3 petang.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dikejutkan dengan SMS dihantar Rozaliya mengatakan dia diekori dua lelaki dan meminta tunangnya itu segera menjemputnya.

Mengulas kejadian itu, Rozaliya berkata, pada hari kejadian, Mohd Helmi menjemputnya ke Kuantan bagi membeli barangan keperluan perkahwinan mereka yang dijadualkan 12 November depan dan sepanjang perjalanan itu, mereka sentiasa berselisih faham dan bergaduh.

“Selepas membeli sebahagian keperluan, Helmi meninggalkan saya di depan sebuah pasar raya kerana dia mahu kembali ke pejabatnya kerana urusan kerja dan meminta saya menunggunya di situ.
“Selepas itu, saya pergi ke sebuah bank berdekatan mengeluarkan wang bagi membuat bayaran tempahan set pelamin sebelum menyedari diekori dua lelaki.

“Selepas mengeluarkan RM1,500, saya melalui jalan belakang untuk menunggu Helmi di depan pasaraya berkenaan dan ketika nak memasukkan wang ke dalam beg tangan, tiba-tiba saya diragut dua lelaki berkenaan.

“Saya tergamam dan terkejut dengan kehilangan wang itu dan ketika itu terus mengambil jalan singkat meneruskan perjalanan ke terminal bas berhampiran.

“Ketika itu fikiran saya berkecamuk, buntu dan mengikut saja langkah kaki sebelum membeli tiket bas ke Kuala Lumpur dan turun di kawasan Bukit Bintang,” katanya.

Rozaliya berkata, sepanjang kehilangannya, dia sempat bekerja dua hari di sebuah kedai butik pakaian sekitar Bukit Bintang, tetapi kemudian berhenti kerja kerana bimbangkan keselamatannya yang pulang lewat malam.

“Selepas itu, saya bekerja pula di kedai serbaneka 24 jam di kawasan itu juga selama dua hari sebelum pengurus kedai memaklumkan kepada polis yang saya bekerja di situ,” katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana selamat pulang ke pangkuan keluarga dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu. -Hmetro- Suhaidi Mohamed Amin
Related Posts with Thumbnails