Jumaat, 24 September 2010

Susulan kes Sosilawati: Dua lagi aduan orang hilang di Banting

Bernama | KUALA LUMPUR, 24 Sept: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mendakwa menerima dua aduan berhubung kehilangan anggota keluarga di Banting, Selangor yang dipercayai ada kaitan dengan peguam yang merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain semalam.

Manikavasagam berkata aduan tersebut dibuat oleh keluarga mereka semalam dengan mendakwa mangsa hilang kira-kira lapan hingga sembilan bulan lepas setelah berurusan dengan suspek utama dalam urusan berkaitan penjualan tanah.

"Laporan polis juga telah dibuat oleh mereka," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Manikavasagam mendakwa satu daripada laporan itu dibuat di balai polis Rawang, Selangor bagaimanapun Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah menafikan menerima laporan seumpama itu.

Anggota Parlimen yang tidak pasti di mana satu laporan dibuat juga enggan mendedahkan identiti mangsa dan berjanji akan mendedahkannya esok.

Beliau hadir bersama S.Usharani, isteri kepada usahawan dari India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang bagi menyerahkan bukti penting iaitu sebuah telefon bimbit yang merakam perbualan telefon antara Usharani dengan seorang peguam yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik itu, kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Turut dirakam ialah perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa beliau adalah pegawai polis dari Bukit Aman bernama ASP Suresh.

Mereka bagaimanapun tidak dapat menyerahkan bukti tersebut berikutan Ismail tidak ada di pejabatnya dan hanya dapat berjumpa dan menyerahkan bukti tersebut pada minggu depan.

Bagaimanapun, Usharani hanya dapat menyerahkan memorandum yang mengandungi salinan laporan polis yang dibuat tentang kehilangan suami beliau, salinan pasport, salinan surat beranak anak-anaknya dan salinan surat beliau kepada Pesuruhjaya India kepada unit perhubungan awam Bukit Aman hari ini.

Manikasavagam berkata ia bagi membantu polis menyiasat kehilangan suami Usharani.

Semalam Usharani mendedahkan menyimpan dua rakaman percakapan dalam bahasa tamil melalui telefon bimbitnya yang boleh dijadikan bahan bukti.

Rakaman perbualan pertama pada 28 Januari membabitkan beliau dengan peguam yang merupakan suspek utama pembunuhan Sosilawati.

Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan menafikan bersama suaminya dan menyatakan beliau sedang berada di luar negara manakala rakaman kedua pula ialah perbualannya dengan seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat ASP dari Bukit Aman yang meminta wang 10 lakhs (RM1 juta) bagi membebaskan suaminya yang ditahan polis kerana kesalahan dadah.

Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai, India mendakwa suaminya, Muthuraja tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas untuk bertemu dua sahabat karibnya, iaitu dua beradik yang juga peguam yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani dating ke Malaysia dan membuat laporan polis pada 8 September lepas di Banting.


Tuah gelang: AC Bakal Dianugerah Gelaran Datuk




AC Mizal atau nama sebenarnya, Mizal Zani, 39 tahun, dianugerahi gelaran Datuk. Itu bukan mimpi, tapi realiti. Ramadan lalu, kata bekas anggota 4U2C yang kemudian meraih sukses dalam bidang lakonan dan pengacaraan sebelum membina sebuah empayar perniagaan itu, dia menerima panggilan untuk mendapat status tersebut daripada negeri Pahang Darul Makmur.

Terkesima dengan 'hidangan mewah' di depan mata, dia akui tidak menolak untuk menerima pingat kebesaran itu. Hanya hal yang membuat dia kaget adalah bagaimana berhadapan dengan masyarakat apabila gelaran Datuk kelak akan diguna pakai secara sah sebaik majlis penganugerahan diadakan sebelum hujung tahun ini.

Menurut AC yang cukup berhati-hati sewaktu bercakap tentang isu penganugerahan itu, dia terkejut dengan rezeki Tuhan itu. Ia semua adalah berkat kegigihannya membina dan meluaskan empayar perniagaan gelang bio-magnetik di bawah payung syarikat yang menyaksikan dia sendiri sebagai pengerusi kepada AC Konsortium Sdn. Bhd. yang baru menjangkau usia 10 bulan beroperasi.

"Benar, saya memang telah dimaklumkan tentang gelaran Datuk yang bakal diberikan oleh kerajaan negeri Pahang. Walau bagaimanapun, saya belum berani menggunakannya selagi tidak menerima penganugerahan tersebut secara rasmi.

"Apabila saya sudah sah menerima penganugerahan tersebut sekitar akhir tahun ini, barulah saya akan menggunakan gelaran Datuk AC Mizal secara rasmi," katanya yang kelihatan sedikit gelisah saat ditemu bual.

Umpama meleraikan kegelisahannya, AC menyambung: "Sewaktu mendapat panggilan telefon yang menyatakan saya bakal dianugerahkan pingat tersebut, saya takut. Saya takut kerana saya tidak tahu dugaan yang akan datang di sebalik rezeki yang Tuhan berikan ini. Tapi saya berharap agar semuanya berjalan lancar."


AC dan isteri, Emylea berpeluang menunaikan umrah baru-baru ini hasil keuntungan bisnes mereka.


Bakal berstatus Datuk pada usia muda, sementelah tidak banyak selebriti lelaki yang berpeluang diangkat kepada status ini, kata AC, dia tidak menganggap penganugerahan tersebut terlalu awal diberikan kepadanya.

Malah, status tersebut juga diperoleh berkat bisnes yang dijalankan, bukan sebagai selebriti. Selebriti bagaimanapun telah menjadi platform terbaik untuk dia mencapai ke tahap yang lebih baik dalam kehidupannya.

AC juga mempunyai perspektif tersendiri tentang status yang bakal diperoleh. Katanya, sebagai seorang selebriti yang akan membawa status Datuk, dia berbangga kerana sekurang-kurangnya dunia hiburan dan artis tidak terus dikaitkan dengan hanya gejala negatif.

Sebaliknya dengan pencapaian yang diperoleh bukan sahaja dirinya, tetapi ramai artis lain juga, ia memberi sudut positif yang dunia hiburan juga mampu memberi satu impak yang baik jika ia dikerjakan dengan serius.

"Sementara untuk posisi seorang ahli perniagaan, status ini baik untuk saya meyakinkan orang," katanya tanpa berselindung.

Bentley dan Porsche

Berkat jualan langsung gelang yang menjadi sumber kewangan utamanya berbanding dunia seni, suami kepada Emylea Rosnaida itu kini sudah mampu bergelar jutawan.

Walau cuba menyembunyikan realiti tersebut, namun soalan tentang dia kini jutawan yang 'ditembak' kepadanya disambut dengan jawapan - Alhamdulillah.


AC bersama antara 'pengikutnya' termasuk Khai dan Rosma (sebelah AC) bergambar di hadapan kereta mewah jenama Bentley milik AC.


Jawapan ringkas tersebut telah membuktikan betapa bisnes yang diceburinya itu memang menguntungkan. Malah kehidupannya juga kini mula berubah. Kemewahan mula menyaluti kehidupan AC.

Buktinya, dia kini mula mampu memiliki banyak keinginan lalu yang hanya dianggap sebagai mimpi satu ketika dahulu. Salah satu adalah dengan memilik sebuah kereta Bentley yang berharga lebih RM1 juta dan sebuah kereta mewah jenama Porsche.

Hanya tersenyum saat diajukan tentang soalan kemewahan, AC memberitahu dia sebenarnya bertahan dengan sebuah kehidupan yang sederhana bersama keluarganya.

Tetapi diakui AC bahawa kini dia sudah mula memiliki keinginan-keinginan yang pernah bertandang dalam hidupnya dulu.

Jelas AC: "Saya tidak nafikan, kehidupan saya kini sedikit berubah berkat bisnes yang dijalankan dan semakin berkembang baik. Tapi saya berusaha untuk hidup seperti biasa. Dan saya akui, saya kini mula memakai apa yang pernah saya hajatkan dulu kerana keadaan ekonomi sekarang mengizinkan saya berbuat demikian.

"Salah satunya adalah dengan memiliki kereta mewah. Ini kerana saya adalah seorang penggila kereta, jadi apabila berkemampuan untuk memilikinya sekarang, jadi saya pakai."


AC MIZAL belum sah bergelar Datuk sehingga menerima anugerah tersebut sekitar akhir tahun ini.


Disogok pula dengan persoalan dirinya semakin bongkak selepas menjalankan bisnes, AC mempertahankan diri. Katanya apa yang dilakukan sekarang (bisnes) harus dibuktikan dengan baik dan setakat ini, ternyata ia berjaya.

Justeru dia akan selalu bercakap tegas tentang bisnes yang dijalankan, sehingga menimbulkan reaksi kurang senang segelintir pihak yang menuduhnya sudah semakin bongkak.

"Khalayak perlu faham. Dunia hiburan dan bisnes adalah dua perkara berbeza. Bekerja dalam industri hiburan, saya adalah pekerja yang harus mengikut arahan. Tetapi apabila masuk dalam lapangan bisnes, saya adalah ketua kepada kerja saya. Maka saya harus tegas dalam bisnes untuk memperoleh keyakinan orang," katanya serius.

Khamis, 23 September 2010

Wartawan, editor tak etika patut tinggalkan Utusan

Regina Lee

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari terus diasak pelbagai pihak berhubung kenyataannya di Utusan Malaysia yang membabitkan pergeseran antara kumpulan pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan seorang menteri Umno.

Walaupun dibidas, Hata mempertahankan bahawa kenyataannya itu dan berkata ia dikeluarkannya sebagai seorang wartawan profesional.

"Saya bukan memburukkan imej Utusan Malaysia. Saya sentiasa mempertahankan bahawa akhbar itu tidak patut dipersalahkan.

"Sebaliknya, kesalahan di tangan editor kanan. Bukannya di akhbar yang mempunyai lebih 1,000 kakitangan bekerja untuknya,” kata Hata yang juga adalah wartawan di Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan Utusan hari ini yang metik presiden kelab veteran akhbar berkenaan Raja Ahmad Niza Raja Ismail yang menemplaknya dan menasihatkannya tidak perlu 'cari makan' di syarikat akhbar tersebut jika mahu 'menggigit' organisasi yang telah banyak berjasa itu.

"Kalau tidak selari dengan Utusan Malaysia, beliau patut berhenti. Jangan kita 'gigit' tangan yang menyuap makanan ke mulut kita hanya kerana kepentingan peribadi yang berbaur politik.

Pengalaman 15 tahun

"Jika tidak setuju dengan akhbar ini, beliau pergilah 'cari makan' di tempat yang dia sanjung, berkhidmat dengan syarikat yang kononnya mengamalkan 'kebebasan media' seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider," kata Raja Ahmad.

Mengulas sindiran itu,Hata berkata tidak ada sebab bagi beliau mengundurkan diri.

"Mengapa saya patut tinggalkan Utusan? Saya berharap wartawan akan menjadikan Utusan akhbar yang melaporkan berita dengan adil, saksama dan terus menjadi suara rakyat.

“Saya pertahankan prinsip akhbar Malaysia. Mengapa saya mesti letak jawatan?”

Hata yang telah 15 tahun berkhidmat sebagai wartawan di Utusan berkata Raja Ahmad adalah wartawan yang mempunyai kepentingan diri sendiri.

“NUJ gembira dia tidak ada (lagi) bersama Utusan kerana dia adalah wartawan kelas ketiga. Ini kerana dia hanya pentingkan politk dan diri sendiri.

"Malah, mana-mana wartawan atau editor di Utusan yang tidak memegang etika kewartawanan dan berpihak (kepada parti politik) sepatutnya tinggalkan Utusan,” kata Hata.

Hata juga menafikan dakwaan bahawa beliau adalah berpendirian pro-pembangkang seperti yang didakwa oleh pihak-pihak yang membidasnya.

Wartawan profesional

“Saya wartawan profesional. Saya tidak memihak dan tidak berat sebelah. Tak ada hubungan dengan mana-mana parti politik. Saya pegang kepada etika kewartawanan,” katanya.

Jumaat lalu, dalam kenyataan sulungnya selepas dipilih sebagai presiden baru NUJ, Hata menimbulkan perdebatan apabila berkata agenda ketua dan pengarang kanan Utusan Malaysia tidak ada kena mengena dengan kebebasan media, sebaliknya hanya memenuhi keperluan "tuan politik" masing-masing.

Isu itu tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz pada 20 September lalu mempertikaikan kolumnis kontroversi Utusan Malaysia, Awang Selamat sama ada beliau mempunyai ketua selain Datuk Seri Najib Razak kerana didakwa cuba menggagalkan usaha perpaduan negara.

Isu itu semakin kusut apabila ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan PERKASA Mohd Zahid Md Arip campurtangan dan mendakwa Hata dilihat cenderung kepada pembangkang.

Polis perlu bersikap profesional - Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata adalah tidak adil dan tersasar dari lunas undang-undang jika polis Selangor mendakwa beliau gagal dihubungi berhubung dakwaannya yang mengaitkan pihak berkuasa ini dengan kes Datuk Sosilawati Lawiya.

Sambil mendakwa tidak ada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubunginya dilakukan, Shamsul Iskandar menggesa Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar bersikap profesional dalam hal ini.

“Sekiranya saya mahu dipanggil, sewajarnya prosedur yang betul dipatuhi, bukannya siasatan melalui media.

“Sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi sebagai pengamal undang-undang saya tertakluk kepada undang-undang, bukannya hebahan media seseorang pegawai kanan polis,” kata Shamsul Iskandar dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Shamsul Iskandar memberitahu, beliau juga akan menghantar sesalinan respons rasminya ke laman sosial Facebook Khalid memandangkan “kaedah Facebook” ini merupakan kegemaran beliau.

“Saya telah mengarahkan peguam saya, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang juga merupakan Ahli Parlimen Balik Pulau untuk bertindak bagi pihak saya di dalam isu ini dan berurusan dengan pihak polis,” katanya lagi.

Shamsul Iskandar juga berkata beliau akan memperincikan pendirian dan kenyataannya kepada umum bersabit kes ini di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang esok.

Semalam, Khalid memberi amaran kepada Shamsul Iskandar bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya jika terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya ke atas polis.

Khalid berkata Shamsul Iskandar sepatutnya hadir di balai polis jika benar mempunyai bukti-bukti kukuh yang menyokong dakwaannya itu.

“Shamsul sendiri tahu keterangannya diperlukan polis bagi membantu siasatan kes ini, namun dia masih tidak muncul dan telefon bimbitnya pula ditutup sekarang.

“Kalau ada bukti, datang kepada polis dan sahkan dakwaannya itu ... kita beri peluang.

“Polis akan keluarkan perintah mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah jika enggan untuk hadir membantu siasatan polis. Bagaimanapun, tindakan mengeluarkan waran tangkap terhadap Shamsul Iskandar adalah sebagai langkah terakhir jika polis masih gagal hubungi beliau,” kata Khalid.

Shamsul Iskandar berkata beliau memandang serius akan dakwaan Khalid yang mendakwanya gagal dihubungi bersabit kenyataan mengenai spekulasi kes pembunuhan Sosilawati.

“Ini sehingga membawa kepada kemungkinan waran tangkap dikeluarkan kepada saya berikutan kegagalan saya, kononnya, untuk bekerjasama dengan pihak polis.

“Suka saya menegaskan beberapa perkara untuk diambil maklum oleh pihak polis khususnya Datuk Khalid sendiri,” kata beliau.

“Pertama, saya tidak pernah membuat sebarang tuduhan, sebaliknya saya melontarkan pertanyaan apakah mungkin wujud sebarang bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Banting yang gagal bertindak untuk beberapa kes bunuh terdahulu yang melibatkan suspek, yang telah diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Kes-kes ini, hanya dibuka semula selepas kes pembunuhan Datuk Sosilawati meletus yang nyata mendapat perhatian luar biasa daripada media.

“Kedua, ingin saya tegaskan, sehingga hari ini saya tidak pernah dimaklumkan menurut kaedah-kaedah dan amalan undang-undang seperti yang diperincikan di dalam Kanun Acara Jenayah di dalam hal yang bersabit dengan prosedur memberikan sebarang kenyataan untuk membantu siasatan polis,” kata beliau lagi.

Shamsul Iskandar menerusi siaran berita portal TV Selangor pada 13 September lepas mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis sebagai yang didakwa terbabit dalam pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga lagi rakannya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu, Kamarudin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang 30 Ogos lepas sebelum ditemui mati dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Pembunuhan kejam Sosilawati: Semua suspek disaman RM20j



Keluarga mangsa mahu tuntut pampasan ekoran kesan, trauma dihadapi

KUALA LUMPUR: Waris jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dibunuh secara kejam di Banting, 30 Ogos lalu akan memfailkan saman RM20 juta terhadap semua suspek kes itu.

Peguam Kamaruddin Ahmad daripada Tetuan Kamaruddin & Partners berkata, tuntutan itu mengambil kira kesan dan trauma dihadapi semua waris, termasuk anak-anak yang masih kecil serta hilang tempat bergantung. Tragedi ini menyebabkan suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, anak-anak kehilangan ibu dan bapa yang boleh mendatangkan kesan jangka panjang yang teruk. Justeru, jumlah tuntutan ini dirasakan wajar, setimpal kesan dialami mereka yang disifatkan sebagai amat dahsyat, termasuk dari segi emosi untuk satu tempoh yang lama, katanya kepada Berita Harian.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dilaporkan hilang sebelum dibunuh secara kejam di Tanjung Sepat, Banting selepas menemui seorang peguam yang juga rakan kongsinya.

Turut dibunuh pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.

Bukit Aman mengesahkan semua mangsa dilaporkan dipukul hingga mati, kemudian diikat dan ditikam berkali-kali sebelum mayat dibakar dan abu mereka dibuang ke dalam sungai.

Kamaruddin berkata, tuntutan saman itu akan difailkan plaintif termasuk ibu bapa, dua isteri serta 12 anak semua mangsa, termasuk yang masih kecil dan belum bersekolah.

Tuntutan ini boleh dibuat mengikut peruntukan yang terkandung di bawah Undang-Undang Sivil 1956, katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya sudah berbincang secara tidak rasmi dengan ahli keluarga semua mangsa termasuk rakan kongsinya yang juga Pengurus Kamaruddin & Partners cawangan Putrajaya, Ahmad Kamil Abd Karim dan perbincangan selanjutnya akan diadakan di pejabatnya hari ini.

Kita berharap pihak berkuasa termasuk polis akan mengambil langkah sewajarnya bagi menghalang suspek utama menyorok atau memindahkan harta seperti kereta mewah milik mereka yang dilaporkan media, katanya.

Kelmarin, Kamaruddin berkata, firma guamannya menawarkan khidmat guaman percuma kepada ahli keluarga empat mangsa bagi memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap suspek kes itu bagi menuntut hak mereka yang kehilangan tempat bergantung.

Beliau berkata, proses memfailkan saman itu akan dibuat selepas semua suspek didakwa di mahkamah.

Tuntutan ini boleh dibuat mengikut peruntukan yang terkandung di bawah Undang-Undang Sivil 1956.

Kita akan tunggu pendakwaan di mahkamah terlebih dulu, selepas itu baru kita tahu tuntutan itu dikemukakan kepada berapa suspek kerana ketika ini kita tidak tahu berapa ramai yang akan didakwa.

Jumlah keseluruhan tuntutan ganti rugi yang akan difailkan nanti juga bergantung kepada perbincangan selanjutnya dengan keluarga mangsa, katanya.
Related Posts with Thumbnails