Sabtu, 18 September 2010

Sokongan rakyat Kelantan pada PAS makin kukuh

KOTA BHARU, 18 Sept: Kejayaan PAS mentadbir Kelantan diraikan oleh setiap lapisan masyarakat yang kini menyambut tahun ke-20 dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh.

Ini dibuktikan kehadiran rakyat ke majlis Sambutan Aidilfitri PAS Kelantan yang mencecah 15,000 orang pada tahun ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika ditemui di majlis tersebut, beliau berkata, sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap pimpinan ulama di bawah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh dijadikan kayu pengukur.

(Gambar: Tun Guru Nik bdul Aziz dan Salahuddin bersama ketua kaum Sikh.)

Justeru, katanya dakwaan Umno bahawa sokongan terhadap PAS semakin berkurangan amat tidak berasas.

“Pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan dan parti di Kelantan kini, kita boleh lihat sambutannya yang begitu memberangsangkan dan dakwaan Umno yang mengatakan rakyat Kelantan sudah bosan dengan PAS tersasar sama sekali,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah pula memberitahu golongan muda yang berada di luar Kelantan juga semakin memahami dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri berkata, ini dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) yang setiap tahun mengadakan majlis ramah mesra bersama pimpinan kerajaan negeri juga mendapati kehadiran anak muda untuk bersama Menteri Besar semakin meningkat.

“PAS akan sentiasa bekerja keras bagi mempertahankan Kelantan pada PRU ke-13 nanti dan golongan muda akan menjadi tumpuan utama,” kata beliau lagi.

Majlis Rumah Terbuka PAS negeri yang diadakan setiap tahun, hari ini menyaksikan kehadiran 40 sami dari seluruh negeri yang makan bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka telah menerima sumbangan duit raya dalam bentuk dirham yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru pada majlis yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke IV.

Mukhriz: Pembangkang yang burukkan FDI

Tindakan pembangkang yang sering memburuk-burukkan nama negara menyebabkan ramai pelabur asing takut untuk datang ke Malaysia, dan ia mengakibatkan pelaburan langsung asing (FDI) merosot sehingga 81 peratus bagi tahun 2008 dan 2009, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata walaupun tindakan pembangkang itu ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi pihak luar akan melihatnya sebagai keburukan negara.

Beliau berkata kesannya ia menjejaskan minat pelabur-pelabur untuk datang ke Malaysia dan apabila ia berlaku, pembangkang kemudiannya akan menyalahkan kerajaan yang mereka dakwa tidak cekap.

"Sedangkan masalah itu mereka yang usahakan dan kemudian dia tuduh kerajaan yang salah. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menarik ketibaan pelabur luar ke dalam negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Ketua Pemuda Umno Bahagian Pendang Akrom Abdul Hamid di Pendang hari ini.

Katanya kerajaan melakukan beberapa tindakan untuk mengatasi masalah itu dan ia memperlihatkan hasil yang positif tahun ini selepas melalui tempoh yang agak teruk tahun lepas.

"Pada 2009, jumlah keseluruhan FDI adalah RM5.66 bilion tetapi tiga bulan pertama tahun ini negara sudah menerima FDI RM5.6 bilion, satu jumlah yang hampir dengan pelaburan sepanjang tahun lepas," katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kaum dalam negara perlu sensitif dalam mengutarakan pandangan atau cadangan untuk kepentingan kaum mereka bagi mengelak daripada menyentuh kepentingan kaum-kaum lain.

"Teguran atau cadangan boleh diberikan tetapi ia perlu dibuat dengan keikhlasan. Kalau nak beri cadangan jangan sampai ia menjejaskan kaum-kaum lain kerana ia boleh menyebabkan masalah lain," katanya.

--Bernama

Jumaat, 17 September 2010

Bekas Hakim Kanan Akui Wujud Mahkamah Kangaroo Di Negara Ini

Memang dah lama dah pihak kerajaan campur tangan urusan kehakiman. Ini diakui oleh bekas hakim kanan Tan Sri Gopal Ram. Hakim yang paling berkaliber pernah dilahirkan di negara ini

Campur Tangan Kuasa Eksekutif Jejas Kebebasan Institusi Kehakiman

KUALA LUMPUR 17 SEPT: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram menganggap institusi kehakiman negara gagal menjalankan tanggungjawab lantaran campur tangan kuasa eksekutif.

Berucap depan 350 hadirin pada persidangan kebangsaan mengenai integriti di Kuala Lumpur, semalam, beliau berkata, ia disebabkan hakim dilantik golongan majoriti yang terdiri dari pemegang kuasa eksekutif.

Ini, katanya, menyebabkan hak golongan minoriti atau kumpulan yang tidak sehaluan dengan pemegang kuasa eksekutif, gagal kerap terpinggir sekaligus doktorin pengasingan kuasa tidak lagi berlaku.

Beliau juga tegas menyatakan institusi kehakiman gagal melaksanakan tanggungjawabnya kerana golongan hakim kini menjadi perkakas kerajaan dan berminda eksekutif.

"Hakim begitu gelisah untuk membantu eksekutif...dan apabila anda mengetepikan undang-undang untuk membantu mereka, hasilnya ialah penghakiman yang mengarut," kata Sri Ram.

Tegas Sri Ram, kuasa untuk menentukan atau menghukum adalah eksklusif institusi kehakiman dan tanggungjawab itu tidak harus dinodai pemegang kuasa eksekutif.

Semalam, bekas Presiden Majlis Peguam, Suleiman Abdullah menyifatkan kerajaan pemerintah di Malaysia dilihat lebih gemar melayan hakim sebagai seorang ahli sukan yang perlu patuh kepada setiap telunjuk seseorang jurulatih.

"Sebagai ahli sukan, mereka perlu patuh kepada telunjuk jurulatih dan ahli politik di Malaysia tidak pula akur kepada hakim, sebaliknya menukarkan mereka apabila keputusan tidak memihak kepada mereka..."

Beliau kesal kerana kebanyakan ahli politik tidak menghormati profesion kehakiman dan menggunakan kuasa eksekutif mereka untuk 'menjatuhkan hukuman' kepada hakim yang tidak menyebelahi kepentingan mereka.

(TVS)

Kes Bunuh Sosilawati: Polis menjumpai ratusan fragmen tulang manusia di dasar sungai


KUALA LANGAT 17SEPT 10:
Sungai Panchau dekat sini kemungkinan memiliki lebih banyak rahsia mengerikan daripada yang dibayangkan. Di sebalik air sungai yang keruh itu mengandungi ratusan fragmen tulang manusia, dipercayai dijadikan sebagai ‘kubur berair’ bagi mangsa bunuh.

Difahamkan, polis menjumpai lebih 300 fragmen tulang manusia dari dasar sungai yang terletak hanya antara empat dan lima kilometer daripada ladang berlakunya pembunuhan empat individu. Menurut seorang pakar yang mengendalikan pembakaran mayat sejak 20 tahun, apabila badan manusia itu dibakar, ia akan meninggalkan kira-kira 20 sehingga 25 fragmen tulang yang dapat dilihat.

Setakat ini, polis sedang menyiasat pembunuhan ngeri jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dan mengesahkan sekurang-kuranya lapan laporan mengenai individu hilang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama ke berkenaan. Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seminggu selepas itu cebisan mayat mereka dijumpai dalam Sungai Panchau dan beberapa sungai lain berhampiran Ladang Gadong. Jumlah fragmen tulang yang banyak menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai mereka yang lain mungkin dibunuh di ladang terbabit sebelum Sosilawati bersama tiga individu.

Sumber yang mempunyai kaitan dalam penyiasatan itu berkata, fragmen tulang dianalisis oleh pasukan khas forensik dan jabatan kimia bagi mengenal pasti latar belakang mereka. Pasukan polis forensik memulakan pencarian di sungai berkenaan sejak Ahad lalu dan menjumpai dua pisau, beberapa jam tangan dan barangan kemas.

Polis telah melantik dua pasukan khas manakala penyiasat melakukan tugas mereka sepanjang masa di lokasi kejadian. Polis turut meneliti laporan kehilangan beberapa individu yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lalu bagi mengenal pasti terdapat kaitan dengan suspek utama yang merupakan adik-beradik peguam. “Diharapkan, kita dapat menyelesaikan beberapa kes yang dibuka semula dengan petunjuk-petunjuk baru ini,” menurut satu sumber.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan khas kini menyiasat semua laporan kehilangan individu yang mempunyai kaitan dengan suspek. “Tiada satu pun akan terkecuali dan semua laporan orang hilang akan disiasat,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pada Ahad, terdapat empat kes orang hilang yang disiasat semula berdasarkan laporan polis dibuat oleh keluarga yang mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam.

Satu sumber berkata, antara mereka yang hilang dipercayai ‘dihapuskan’ adalah seorang warga India, seorang wanita tempatan dan dua lelaki. Difahamkan polis di bahagian pemalsuan wang akan memohon Majlis Peguam supaya aset dua peguam terbabit dibekukan. (AK)

Khamis, 16 September 2010

Kes Bunuh Sosilawati: Suspek Ada 7 Kes Jenayah Komersial

Polis mengenal pasti suspek peguam dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mempunyai tujuh laporan jenayah komersial yang membabitkan jumlah RM7.1 juta sejak 2005.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata maklumat itu diperoleh daripada siasatan polis dan penilaian semula kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPPD) Kuala Langat.

Sementara itu, mengulas kes kehilangan dua individu sebelum ini, beliau berkata, kes pembunuhan seorang gadis 19 tahun dan ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, yang akan disiasat.

Katanya, siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu baru bermula kerana isteri mangsa hanya membuat laporan polis pada 8 September lalu.

Bagi kes kedua pula, Khalid berkata, pihaknya tidak pernah menutup kes terbabit, sebaliknya polis masih belum menemui petunjuk bagi membantu siasatan.

"Apabila suami wanita yang hilang dipanggil memberi kenyataan buat kali kedua, kami mendapati beliau menceritakan apa yang berlaku seperti diterangkan kepada pihak media," katanya ketika mengiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sempena Hari Polis Bertemu Masyarakat di sini, sebentar tadi.

Khalid berkata, bagi tujuh kes jenayah komersial dan kehilangan dua individu sebelum ini akan disiasat polis Selangor, manakala kes Sosilawati akan disiasat polis Bukit Aman dan Kuala Lumpur. -BH
Related Posts with Thumbnails