Khamis, 9 September 2010

Misteri kehilangan Sosilawati:'Nak duit minta, jangan curi 'Jangan buat aku macam ini”


BATU PAHAT: “Aku dah kena tipu. Kau bayangkan, setiap bulan kebelakangan ini untung meniaga tak nampak...lepas bayar duit elektrik dan air, sudah tidak ada duit simpanan.
“Aku tidak suka orang tipu aku. Kalau nak duit minta, jangan curi. Jangan buat aku macam ini,” itu sebahagian daripada kata-kata jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, ketika pertemuan akhir bersama adiknya sebelum dilaporkan hilang, 30 Ogos lalu.

Menurut adiknya, Rosnani Lawiya, 45, kakaknya bersungguh-sungguh mengadu kesal kerana dia ditipu orang kepercayaan yang membantu menguruskan syarikatnya.

Rosnani berkata, masalah itu didedahkan Sosilawati dalam pertemuan terakhir mereka di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini akhir bulan lalu, selepas kenduri kesyukuran menyambut Ramadan.

“Sebelum ini, saya kerap berpesan pada kakak tidak terlalu mempercayai orang lain dan mengambil tahu hal ehwal kewangan syarikatnya bagi mengelak ditipu.

“Namun Kak Wati selalu mengatakan dia amat mempercayai orang di sekelilingnya dan pernah mengatakan tidak mungkin mereka sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi dengan menipunya.

“Bagaimanapun, pada pertemuan terakhir kami sebelum Kak Wati tiba-tiba hilang, dia mengadu kepada saya apa yang pernah saya pesan kepadanya kini benar-benar menimpanya dan dia begitu sedih dan terkejut apabila mengetahuinya,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga resah apabila kata kakaknya itu menjadi kenyataan selepas dia dilaporkan hilang bersama tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu.

Rosnani berkata, sebelum kejadian penuh tanda tanya itu berlaku, kakaknya tidak pernah berkelakuan sedemikian atau mengadu sebarang perkara hingga membuatkannya runsing.

“Kak Wati seorang yang ceria, penyayang apa lagi mempunyai prasangka buruk atau bukan-bukan terhadap mereka yang rapat dengannya terutama membabitkan soal kerja.

“Sebelum ini Kak Wati jarang bercerita tentang perniagaannya, malah setiap kali berjumpa dia lebih gemar bersembang mengenai hal keluarga dan bertanya khabar.

“Perkara paling penting hal ibu kami (Yatemah Abdul Rahman, 80), kehidupan kami adik-beradik selain memberikan dorongan dan tunjuk ajar kepada kami mengenai selok- belok dunia perniagaan,” katanya.

Rosnani meluahkan kerisauannya apabila Sosilawati mengadu ditipu menyebabkan dia turut sedih dengan nasib kakaknya itu.

Lebih menyedihkan, ketika menceritakan masalahnya itu Sosilawati kelihatan kesal, sedih, kecewa dan teraniaya diperlakukan sedemikian.

Selepas mengetahui perkara itu, dia sekeluarga dan suami, Misjam Jamikun, 48, mendoakan kakaknya mampu mengatasi halangan dan cabaran dihadapinya.

“Kali terakhir Kak Wati menghubungi saya menggunakan telefon bimbitnya pada 29 Ogos lalu, kira-kira jam 2.30 petang, sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

“Dalam perbualan singkat itu kami berkongsi persediaan Aidilfitri dan saya langsung tidak menduga perkara buruk bakal menimpanya kerana nada suaranya ceria,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, persediaan tahun ini agak pelik kerana kebiasaannya Sosilawati akan membelikan kuih raya untuk semua adik- beradiknya, sebaliknya tahun ini berjanji memberikan wang tunai RM500 dan meminta membeli sendiri persiapan hari raya.

“Dia juga sempat bergurau jika dia yang belikan kuih semua pasti sama dan mungkin tidak kena selera adik beradik, jadi lebih baik dia beri wang dan kami beli sendiri.

“Hanya ibu akan mendapat kuih raya dibelikan, dia berjanji memberikan duit raya pada kami seperti tahun sebelumnya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri kelak,” katanya.

Ibrahim bidas Setiausaha Agung Umno hanya mahukan undi Cina

THE MALAYSIAN INSIDER |

KUALA LUMPUR – Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya berminat untuk mendapatkan undi masyarakat Cina berbanding orang Melayu.

“Beliau (Tengku Adnan) mahukan undi orang Cina. Beliau tidak mahukan undi orang Melayu,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas (gambar) ini kepada The Malaysian Insider hari ini.

Bagaimanapun pemimpin pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang lantang bersuara ini enggan mengulas lanjut sambil berkata: “Tidak perlu. Ini sudah cukup.”

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Tengku Adnan menegaskan partinya tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan Perkasa pimpinan Ibrahim.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

“Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

“Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi,” katanya lagi.

Sebelum ini Perkasa pernah mengatakan bahawa sesiapa yang memusuhi pertubuhan ini tidak akan menerima sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Rabu, 8 September 2010

Nilai semula di mana punca isu perkauman negara kita

Terlalu banyak hal berkaitan perkuaman berlaku tatkala umat Islam sedunia sedang berlatih menahan nafsu sepanjang Ramadhan tahun ini. Baik dari aspek perkauman melayu mahupun bangsa lain.

Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya baru sahaja selesai membuat laporan polis berkenaan laman Facabook yang menghina Islam dan Allah. Akaun tersebut kelihatannya dinamakan atas nama seorang berbangsa Cia iaitu Katy Lim Li Lian.

GPMS juga baru sahaja membuat laporan polis yang sama terhadap satu akuan faacebook yang menggunakan nama Melayu babi.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee pula telah membuat Klip video terbaru beliau atas nama seni yang belia bawa tetapi berunsur menghina suasana perpaduan keharmonain antara kaum di malaysia.

Masalah ini bukan masalah lama malah ia adalah amalan majoriti penduduk malaysia baik dari kalangan pemimpin, media, artis dan rakyat jelata.

Adakah dengan saranan PM agar SKMM mengambil tindaka tegas terhadap sebarang penghinaan melalui media baru seperti facebook dan youtube akan menyelesaikan ketegangan kaum di Malaysia? Adakah benar kenyataan Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa institusi keluarga yang gagal telah melahirka para pemikir komunalisme, perkuaman dan sikap chauvinis yang menghina melayu dan islam.

Dari mana fahaman kebangsaan dan 'tekanan dalaman' (internal stress) yang berlaku di kalangan masyarakat bukan Melayu sehingga mereka juga berani membuat sesuatu tindakan yang kelihatan mencabar nama Islam dan toleransi kaum sejak merdeka?

Sebenarnya rangka asal kehidupan di Malaysia telah dirangkakan sebagai kehidupan yang penuh dengan nafas perkauman dan ini telah diteruskan denga jayanya oleh para pemerintah hari ini. Penghinaan terhadap dunia melayu dan tradisi melayu iaitu beragama islam bukan sahaja dihina oleh kaum bukan melayu malah juga dicarik dan dirosakkan oleh gerakan atau individu seperti Abdul Kahar yang mengaku sebagai nabi melayu. Kes Ayah Pin yang juga terang-terang membina institusi sesat terkenal di pantai Timur. Bukankah mereka juga disokong oleh segelintir elit melayu yang menganut fahaman sekularism, juga bercanggah dengan Islam? Lihat sahaja betapa sukarnya Mahkamah Syariah untuk mendakwa Abdul kahar sehingga beliau juga masih berjaya membuat blog khas 'Nabi Melayu' walaupun telah lama diburu oleh Mahkamah.

Ancaman Mahyuddin bahaawa si penghina agama dan Melayu tidak akan dilepas begitu sahaja, tidak membawa apa-apa remedi berkesan untuk merawat fitrah perkauman dan keresahan kaum di Malaysia.

Selagi mana gendang perkauman dimainkan di media massa, agenda perkauman masih lapuk dalam perlembagaan parti-parti politik Malaysia, selagi mana perpaduan kaum hanya dilampirkan dalam pakej 1 malaysia hanya sebagai kosmetik melalui tarian dan nyanyian beramai-ramai semata-mata, selagi itulah akan muncul beratus-ratus facebook dan klip video sepertimana yang kita lihat hari ini.

Silibus pendidikan AM, Tamadun Asia dan sebagainya yang diajar di kolej dan universiti masih kaku malah ia hanya membincangkan asal usul tanah melayu tanpa menggesa dan memandu anak-anak melayu, Cina dan India di negara ini untuk bertoleransi dan memahami antara agama yang lain. Kampus-kampus di malaysia juga masih menjadi kilang pengeluar produk mahasiswa perkauman yang kemudiannya menghiasi pasaran kerja yang jauh lebih dahsyat perkaumannya.

Naun begitu, dalam membawa agenda perpaduan, bukan sekadar kerajaan dan melayu yang merapatkan jurang sesama kaum, sebaliknya juga tindakan optimis dan progresif daripada bangsa lain untuk mengertikan hakikat perpaduan kaum. Agenda perpaduan kaum juga menjadi dingin memandangkan Malaysia masih terlapuk dengan politik komunalisme yang sempit dan menyesakkan agenda ini berlangsung. Kaum-kaum yang daulunya taat dan setia dengan negara asal mereka kini pula hanya taat kepada parti perkauman mereka. Mereka hanya dipujuk dan ditenteramkan melalui agenda negara serta kontrak sosial sahaja tanpa ada usaha oleh kerajaan untuk memecah tembok perkauman ini.

Kekabutan pemahaman perpaduan kaum adalah disebabkan sosio-politik negara ini. Lirik Namewee dan videonya serta beberapa laman facebook adalah manifestasi isihati segelintir rakyat yang jelak dengan kepura-puraan integrasi kaum. Ia petanda bahawa agenda 1 Malaysia masih teruk bermasalah dan belum merawat masalah lama.

Penyelesaian yang disarankan oleh Setiausaha gabungan Ihtisas dan usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS) di dalam akhbar bahawa Namewee perlu diISA adalah langkah penyelesaian lapuk BN sejak dahulu dan ia bukan penyelesai penyakit ini.

Jika ingin meggunakan ISA, tentu parah malaysia ingin ISAkan semua rakyat Indonesia yang terlibat memijak bendera Malaysia yang juga mengandungi simbol Islam iaitu Bulan dan Bintang! Malaysia juga perlu ISAkan TV3 yang jelas menyiar iklan perpaduan kaum ala liberal yang menyamakan islam dengan agama lain. Adakah ini penyelesai masalah? Akta zalim yang buta undang-undang tamadun ini bukan ubat bagi penyakit sosial sebegini. Banyak aspek yang perlu dinilai semula oleh pihak kerajaan khususnya disamping kesedaran rakyat. Jika budaya artis yang berleluasa dibenarkan menghina syariah dan agama islam melalui kenyatan-kenyataan bodoh di media perdaanamereka dibiarkan sahaja, jangan harap kita berjaya menangani rakyat yang menggunakan ruang maya seperti internet.

Lebih malang apabila ada penganut fahaman perkuaman melayu menggesa melayu bersatu untuk menentang persekutuan kaum bukan melayu yang menggugat islam dan Melayu. Bermakna kata si pembela itu juga 2 kali 5 sahaja dengan penghina kaum bukan melayu itu.

Islam telah lama mengharamkan pemikiran chauvinis sempit. Malah tiada amalan dalam syariah yang cuba menerbitkan suasana tegang antara kaum jika diamalkan. Jika benar ingin memahamkan kaum bukan melayu tentang Islam, berilah penerangan yang sahih tentang apa itu islam dan nyatakan di mana perkara yang menjadi sensitiviti Islam dan bukannya telah memalu gendang perkuaman dalam akhbar-akhbar seperti yang berlaku hari ini.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gopeng

SELAGI BN BERKUASA, SELAGI ITULAH POLIS TIDAK BEBAS

from cetusan rasa JJ |


Luahan hati mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengakui wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam tugasnya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) sebelum ini, ternyata dakwaan orang ramai termasuk parti parti politik khususnya Pakatan Rakyat memang betul, bukannya rekaan semata mata.

Sejak dahulu lagi khususnya parti politik selain BN tidak begitu berpuas hati dengan polis, ada semacam orang ketiga mempengaruhi pihak polis. Tetapi ketiika itu dakwaan itu ditphmahan oleh Umno/BN sebagai suatu cerita rekaan semata mata, ataupun mungkin cerita penglipur lara.

Tetapi kenyataan Musaa Hasan itu jelas menunjukkan cerita itu bukan rekaan atau fitnah untuk memburuk burukkan pihak polis. Cerita itu adalah benar dan wujud dalam negara yang diperintah oleh Umno/BN.

Menurut Musa Hasan campur tangan itu yang melibatkan pengeluaran sesuatu arahan tanpa pengetahuannya, tidak selari dengan arahan dan kawalannya sebagai KPN.

"Saya tidak mahu ada pihak beri arahan salah. Arahan mesti dari polis, bukan dari orang luar," ujarnya.

Musa turut mendedahkan ada pegawai-pegawai beliau yang dikawal. Tindakan sedemikian salah dan membelakangkan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mustahil sama sekali PAS, DAP atau PKR yang campurtangan kerana Pakatan Rakyat tidak ada kuasa. Yang memerintah negara ini adalah Umno/BN, bukan Pakatan Rakyat.

Ketika menjelaskan lebih lanjut tentang campur tangan itu, Musa memberitahu, sesetengah orang ada kepentingan peribadi, politik dan agenda sendiri.

Kebiasaan yang campurtangan ini adalah mereka yang ada kuasa, lebih lebih lagi kuasa politik. Walaupun Musa tidak menjelaskan pihak mana yang campurtangan tersebut, tetapi kita boleh menjangkakannya. Tidak lain parti yang memerintah, Umno/BN atau pemimpin pemimpin Umno/BN kerana mereka ada kuasa.

"Pihak polis menjalankan tugas selepas mendapat laporan atau aduan orang ramai dan sekiranya wujud campur tangan sedemikian sehingga menganggu siasatan, pihak polis pula yang dipersalahkan," jelas Musa.

Menurut Musa lagi, apa yang diluahannya itu adalah perkara yang betul supaya semua pihak sedar tindakan campur tangan itu boleh menjejaskan siasatan.

Musa dalam satu wawancara Mingguan Malaysia Mac lalu mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering menerima tekanan sama ada daripada pihak politik atau orang-orang tertentu.

Rakyat Malaysia yang ingin melihat perubahan dalam pentadbiran negara termasuk dalam pentadbiran polis, perlu melihat kenyataan Musa itu satu yang penting bagi mereka melakukan perubahan pada pilihanraya umum ke 13 nanti. Jangan dibiarkan lagi Umno/BN terus berkuasa di negara ini. Selagi parti itu berkuasa, keadilan sukar diwujudkan, campurtangan politik akan terus menerus berlaku.

Kita mahukan pemerintahan yang adil bukannya pemerintahan yang menzalimi rakyat dengan pelbagai akta. Kita mahu bebaskan negara dari cengkaman Umno/BN kerana rakyat merasakan selagi parti itu berkuasa, kezaliman, penindasan dan ketidakadilan terus berlaku.

Sekiranya kita mahu melihat pihak polis bertindak dengan adil dan telus dan tidak ada campurtangan dari pihak ketiga, rakyat negara ini mesti memilih Pakatan Rakyat menerajui negara ini.

Felcra: PAS belum dedah, Umno BN sudah cemas

Hazayani Zakaria




HarakahDaily | KUALA LUMPUR, 7 Sept: Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman menafikan dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa pihaknya sedang mengedarkan risalah berunsur fitnah terhadap Felcra di kawasan penempatan peneroka.

Mazlan juga menyangkal dakwaan Zambry bahawa pihaknya sengaja membuat tohmahan terhadap Felcra bertujuan menimbulkan kebencian peneroka terhadap Umno Barisan Nasional (BN) sebaliknya menegaskan mereka mempunyai bukti yang kuat untuk didedahkan.

"Kalau mereka kata kita sengaja membuat fitnah dan tohmahan terhadap Felcra, sebenarnya saya sudah tegaskan beberapa kali kita punyai bukti dan selepas hari raya ini kita akan mendedahkan secara bersiri bukti-bukti yang ada pada kita," katanya.

Dalam satu majlis di Sitiawan semalam, Zambry 'menasihati' peserta rancangan Felcra supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai 'dakyah dan tohmahan' terhadap Felcra yang didakwa giat dijalankan oleh PAS.

Sebelum ini, Pengerusi Felcra Bhd, Datuk Tajuddin Abdul Rahman juga mendakwa PAS kini giat melancarkan "perang saraf" terhadap Felcra termasuk mengedarkan pelbagai risalah yang memburukkan agensi itu ke seluruh tanah rancangan Felcra.

Tambah Mazlan juga, pemimpin Umno BN termasuk Tajuddin mula cemas dengan pendedahan yang dibuat pihaknya setelah melihat kejayaan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membuat pendedahan mengenai Felda.

"Saya berpendapat bahawa bila kita mula dedahkan isu Felcra mereka rasa cemas sebab mereka tahu berdasarkan pengalaman kita dedahkan isu Felda yang membangkitkan gelombang di kalangan rakyat.

"Mereka takut akan hadapi nasib yang sama dengan Felda dan bimbang segala penyelewengan yang dilakukan akan terbongkar," katanya lagi.

Ujarnya, Umno BN tidak perlu takut berhadapan dengan tuduhan jika mereka tidak bersalah.

"Mereka tdak perlu bimbang jika tidak melakukan apa-apa kesalahan tapi bila mereka rasa bimbang saya kira isu ini mendapat tempat yang istimewa sama ada pada Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, Tajuddin sendiri dan Zambry melatah kerana Felcra paling banyak di Perak," ujarnya yang juga pengerusi Anak.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan satu lagi NGO iaitu Badan Bertindak Warga Felcra atau singkatannya (Bapa), Mazlan memberitahu, ianya akan dilancarkan secara rasmi selepas hari raya nanti.

Pengerusi penaja NGO itu akan diamanahkan kepada Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria manakala ahli jawatankuasa dan pengerusi NGO itu akan diserahkan kepada peserta Felcra sendiri.

"Selepas pelancaran Bapa kita akan mulakan siri pendedahan kita untuk kita buktikan apa yang kita cakap ini benar.

"Tajuddin pernah cakap ini rekaan semata-mata tapi saya tegaskan ini bukan rekaan dan kita ada bukti dan akan dedahkan satu demi satu," katanya.

Penubuhan Bapa adalah hasil himpunan warga Felcra di Changkat Lada, Perak pada 31 Julai lalu.
Related Posts with Thumbnails