Khamis, 1 Julai 2010

Berjaya Retail disenarai di Bursa Malaysia


KUALA LUMPUR - Berjaya Retail Bhd. (B-Retail) bakal melabur RM25 juta untuk membuka sekurang-kurangnya 100 buah kedai serbaneka 7-Eleven milik 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. pada tahun ini.

B-Retail merupakan anak syarikat Berjaya Corporation Bhd. (Berjaya Corporation) yang menguruskan operasi 7-Eleven Malaysia dan Singer (Malaysia) Sdn. Bhd. (Singer).

Pengarah B-Retail, Ng Su Onn berkata, ini perlu diadakan kerana masih ada ruang bagi rangkaian entiti perniagaan yang beroperasi 24 jam sehari itu terus berkembang.

"Penembusan 7-Eleven di pasaran tempatan sebenarnya masih rendah berbanding beberapa negara jiran.

"Sebagai contoh, di Thailand terdapat sebanyak 5,400 cawangan 7-Eleven manakala di Taiwan pula terdapat sebanyak 4,800 cawangan manakala di Malaysia hanya terdapat sebanyak 1,127 cawangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran prospektus B-Retail untuk penyenaraian awam di Papan Utama Bursa Malaysia yang disempurnakan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan.

Hadir bersama ialah Pengarah Urusan Singer, Yeap Dein Wah.

AmInvestment Bank Bhd. menjadi penaja jamin bagi penyenaraian awam itu.

Mengulas lanjut, Su Onn yang juga Pengarah Eksekutif 7-Eleven berkata, pelaburan yang dijalankan itu tidak membabitkan pengunaan dana hasil daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) B-Retail.


Mohd Hosni Jadi penceramah buruan selepas digelar ulama muda Umno

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Baru minggu lepas, Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 tahun, digelar salah seorang dari 40 ulama muda yang menyertai Umno.


Kini, Mohd Hosni (gambar) adalah antara penceramah yang top di dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.

Malam tadi beliau bersama dengan Haji Mohamad Sabu berceramah... dan malam ini beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka untuk memberikan ceramah.

Semuanya kerana gelaran ulama muda yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Mohd Hosni ketika datang berkunjung ke pejabat Harakahdaily.

Mohd Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh 40 ulama muda kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada salah seorang rakan mereka kononnya Perdana Menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.

Lalu mereka berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru gambar yang memenuhi majlis itu.

Selepas itu, Datuk Seri Shahidan menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada dalam majlis itu.

Najib tanpa bercakap apa-apa terus meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan sidang akhbar selepas itu.

Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.

Namun, kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.

Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu.

Bersalam dengan PM

Sementara Mohd Husni menolak beliau datang ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelas Mohd Husni.

Ini susulan respons Umno menafikan empat pelajar lulusan Jordan tidak dijemput menghadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu Jumaat lalu, sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.

Beliau juga menolak dakwaan mereka beria-ia untuk hadir ke situ untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak jemputan itu.

“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.

Beliau yang sebelum ini mendedahkan penipuan Umno ini di dalam majlis Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini menyatakan, mereka dijemput datang ke majlis itu kerana Perdana Menteri hendak bertemu dengan lulusan Jordan.

Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.

Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut nama orang berkenaan.

~Harakahdaily

Rabu, 30 Jun 2010

Akhbar Suara Perkasa: Tahan Ka Siong bawah ISA

Edisi sulung akhbar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dilihat bermula 'garang' dengan tajuk muka depannya berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA".


Dengan terbitnya Suara Perkasa, hasrat NGO itu untuk memilik akhbar sendiri menjadi kenyataan apabila tabloid yang memfokuskan suara NGO Melayu itu akan berada dalam pasaran mulai esok.

Timbalan presiden PERKASA, Datuk Abdul Rahman A Bakar berkata akhbar dua kali sebulan itu akan menjadi wadah bagi mengetengahkan masalah dan kepentingan Melayu selaras dengan matlamat perjuangan mereka.

"Ia bukan seperti akhbar politik," katanya dalam sidang media di pejabat akhbar itu di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Buat permulaan sebanyak 25,000 dicetak dan diedarkan di seluruh Malaysia. Ia dijual dengan harga RM2 di semenanjung dan RM2.50 di Sabah dan Sarawak.

Suara Perkasa dijadual terbit setiap 1 dan 15 haribulan.

Kemunculan akhbar itu mengakhirkan penantian pelbagai pihak selepas PERKASA mengedarkan edisi pengenalannya dalam mesyuarat agung pertama mereka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Pada mulanya, dia dilaporkan akan berada di pasaran pada 1 Mei.

Dalam laporan sulungnya, Suara Perkasa memetik Abdul Rahman sebagai mendesak Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana didakwa mempertikaikan biasiswa mara.

Beliau dilaporkan berkata, jika Wee enggan meminta maaf, PERKASA akan memastikan orang Melayu tidak mengundi Wee pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan media yang disiarkan dalam akhbar itu, Abdul Rahman juga berkata Wee tidak layak menjadi timbalan menteri pelajaran kerana didakwa membangkitkan isu sensitif.

"PERKASA juga menggesa kerajaan menahan Wee Ka Siong di bawah ISA," kenyataan yang disiarkan penuh dalam akhbar itu dipetik.

Siaran muka depan isu itu menggambarpan 'perang' berterusan antara NGO pimpinan Datuk Ibrahim Ali itu dengan Wee sejak penghujung bulan lalu berhubung isu biasiswa MARA.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.

Perdebatan isu itu turut mengheret Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang tampil mempertahankan Wee, sekali gus mengkritik Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Pengarang Suara Perkasa Daud Ibrahim pula berkata, akhbar itu diterbitkan atas kehendak akar umbi.

"Kita tidak berniat untuk bersaing dengan mana-mana akhbar yang ada. Kalau bersaing pun, ianya bersaing dengan cara yang baik," katanya.

Umno-BN dalangi cubaan guling MB Selangor?

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Umno-Barisan Nasional (BN) dipercayai mendalangi usaha memecahbelah perpaduan di kalangan ahli-ahli politik di Selangor dengan menyebar khabar angin, yang terbaru kononnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berusaha menggulingkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini berikutan kegagalan mereka untuk menjatuhkan Khalid dengan menggunakan isu kononnya 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) rasa tidak puas hati terhadap cara Khalid mentadbir negeri itu.

Empat ADUN yang dikaitkan dengan komplot ini ialah Haniza Mohamed Talha (Taman Medan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Shuhaimi Shafie (Sri Muda).

Bagaimanapun keempat-empat mereka menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut tetapi sebaliknya mendakwa wujud ‘musuh’ yang cuba menganggu-gugat kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu.

Haniza berkata, "saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini dikongsi oleh tiga rakan YB saya yang turut dikaitkan dengan isu ini.

"Saya ingin melafazkan taat setia dan tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat yang saya dokong. Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," tegas beliau.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Selangor berkata, "penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan PR.

Cara pentadbiran baru

Menurut Haniza, sokongan penuh terus diberikan kepada Khalid, serta menyahut baik langkah dibuat Khalid yang kini melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor bagi menumpukan tugas sebagai Menteri Besar.

"Saya meyokong penuh kepimpinan Tan Sri sebagai Menteri Besar. Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor.

"Malah peralihan jawatan Majlis Pimpinan Negeri Selangor kepada Azmin merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan beliau menumpu sepenuh perhatian kepada pentadbiran negeri," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Azmin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor menggantikan Khalid berkuatkuasa serta merta yang dimumkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti.

Dalam pada itu, Khalid yang akan bercuti selama lima hari mulai hari ini, berkata kedudukan beliau sebagai menteri besar Selangor tanpa kuasa dalam parti di peringkat negeri, merupakan satu "cara pentadbiran baru."

Khalid akan ke Singapura bagi menghadiri Persidangan Bandar Sedunia esok dan seterusnya ke Brisbane, Australia untuk menghadiri satu sesi perbincangan dengan para graduan terpilih University of Queensland.


Free Malaysia Today

SPRM panggil dua Adun PKR

Kerajaan negeri Selangor menyifatkan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil dua Adun PKR Selangor untuk memberikan keterangan sebagai satu lagi serangan baru kepada mereka.

Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik, Badrul Amin Baharom dalam kenyataannya berkata, SPRM telah mengeluarkan notis pemeriksaan kepada dua orang ADUN Pakatan Rakyat Selangor untuk hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, Putrajaya esok.

Surat dikeluarkan kepada ADUN Batu Caves Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafie pada Isnin lalu mengarahkan kedua-dua mereka untuk bantu siasat di bawah kesalahan 17(A) Akta SPRM.

"Kami yakin langkah SPRM ini ketika spekulasi berkenaan empat ADUN Parti Keadilan Rakyat akan meninggalkan parti baru-baru ini merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2009.

"Kami menggesa SRPM professional dalam menjalankan tugas dengan turut menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Badrul, kedua-dua ADUN itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok (1 Julai) untuk memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak SPRM.

~Harakah
Related Posts with Thumbnails