Khamis, 24 Jun 2010

Pengganas: PAS tuntut kerajaan, PDRM, Zamihan mohon maaf

KUALA LUMPUR, 24 Jun: PAS menuntut kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Zamihan Mat Zin, meminta maaf kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan pengganas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata pihak polis perlulah melengkapkan siasatan sebelum tuduhan sebegitu dijadikan bahan taklimat atau membuat sebarang pendakwaan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti mereka yang terbabit.PAS, katanya tidak mahu imej polis terus tercemar kerana cara kerja yang tidak profesional.

“PAS mahu pihak Kerajaan BN dan Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan terhadap laporan Malaysiakini yang mengatakan Presiden PAS didakwa sebagai pengganas dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung Jamah Islamiah (JI) di Bukit Aman Isnin lalu. PAS memandang serius dakwaan ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Malaysiakini, Zamihan sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) mendakwa kononnya Tuan Guru Abdul Hadi bersama bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis sekarang, Dr Juanda Jaya dan mantan menteri besar, Datuk Seri Shahidan Kassim adalah pengganas dalam taklimatnya.

Justeru, PAS katanya amat mencurigai kredibiliti Zamihan yang mendakwa penglibatan Presiden PAS dalam gerakan Wahabi yang turut dikaitkan dengan Jamaah Islamiah yang dirangkumkan bagi membentuk persepsi bahawa beliau adalah pengganas.

“PAS melihat bahawa fitnah ini sengaja dicipta bagi memberikan imej buruk kepada beliau dan PAS. Perkara ini bukan kali pertama,” katanya lagi.

Menurutnya, pada tahun lepas Mossad memfitnah presiden PAS sebagai pengganas selepas Menteri Pertahanan Israel membuat rundingan sulit dengan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Pada tahun 2007, jelasnya Presiden PAS memenangi saman ke atas akhbar ternama Britain, Daily Mirror di mana akhbar itu telah bersetuju meminta maaf kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di Royal Court of Justice, ekoran penyiaran gambar dan berita berunsur fitnah yang mengaitkan beliau dengan pergerakan al-Qaeda.

Gambar Presiden PAS muncul di akhbar tersebut dengan tajuk "AL-QAEDA - Abdul Hadi" dan dinyatakan bahawa beliau adalah pemimpin nombor tiga al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

PAS, tegas Idris tidak dapat menerima fitnah ketiga yang sengaja dicipta itu selepas kegagalan dua siri fitnah yang cuba menggugat PAS sebelum ini.

Katanya, PAS yakin sedikit sebanyak pengaruh nasihat APCO membawa kecenderungan kerajaan bagi mencipta krisis pengganas untuk dikaitkan dengan Presiden PAS dan parti itu.

Beliau menambah, PAS yakin fitnah itu juga sebagai serampang dua mata untuk menakutkan orang bukan Islam yang semakin jinak dengan parti itu.

Katanya, ketika sokongan orang bukan Islam telah yakin dengan wadah perjuangan PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS, maka musuh PAS cuba menggambarkan Presiden PAS sebagai pengganas.

“PAS yakin orang bukan Islam tidak akan terpedaya dengan fitnah ini. Mereka sudah lihat dengan mata kepala mereka sendiri pemimpin PAS bukan sebagaimana yang digambarkan sebagai seorang pengganas,” katanya lagi.

Katanya, Umno juga dilihat cuba mengajak Dr. Asri bersama dan tidak mustahil kewujudan tuduhan jahat itu akan dijadikan peluang oleh Umno untuk menggamit beliau bersama parti itu bagi mengelakkan ancaman ISA.“Ini adalah tidak profesional dan memalukan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Tugu Negara, Tugu Peninggalan Inggeris

Dari blog Cetusan Fikiran Anak Merdeka

Apabila disebut Tugu Negara, terpancar difikiran kita bahawa ia adalah sebuah tugu yang dibina untuk memperingati para pejuang yang telah berkorban untuk membebaskan Malaya pada suatu ketika dahulu. Adakah ianya benar-benar sebuah Tugu Negara atau sebuah Tugu untuk memuja pengganas/penjajah Inggeris? Tidak siapa diantara kita yang mengambil peduli pada ukiran wajah ketuju-tujuh patung tersebut.

Tugu Negara berpatungkan Inggeris

Sejarah Tugu Negara

Tugu Negara pada mulanya telah dibina semasa zaman pemerintahan penjajah/pengganas Inggeris. Mulanya hanya sebuah tiang konkrit setinggi 10 meter yang terletak di Jalan Tugu. Ia dibina oleh penjajah untuk memperingati para tentera Inggeris yang mati dibunuh.
_________________________________________________________________________________

Hanya manusia yang mempunyai akal akan bertanya, mengapa 5 dari 7 patung tersebut diukir wajah Inggeris? dan 2 patung yang dipijak oleh 5 wajah Inggeris merupakan patung Tentera Rakyat dari PKM? Mengapa tidak kita sanjungi Tentera Rakyat yang berjuang didalam hutan untuk kemerdekaan dan mengusir Inggeris dari bumi Malaya dengan darah.

Patung-patung Inggeris ini berdiri gagah memegang bendera Malaysia kelihatan seperti Inggeris memerdekakan negara ini. Jika ditanya, daripada siapa mereka bebaskan Malaya ini? Bukankah mereka yang datang menjajah kita, mengaut kekayaan hasil bumi kita, memeras penduduk Malaya, merompak harta rakyat dan bermacam-macam lagi kekejaman yang dilakukan tetapi rakyat Malaya pada ketika itu buta kerana disumbat dengan pound dan coklat made in England. Inggeris telah datang kemari dengan menghapuskan rakyat yang melawan penindasan. Pejuang-pejuang tanah air seperti Dato Bahaman, Mat Kilau, Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Rentap di Sarawak, Tok Janggut dan ribuan lagi pemimpin telah ditangkap dan ada yang dibunuh kejam. Tidak terlepas apabila Darurat diisytiharkan pada 19 Jun 1948, pemimpin revolusioner seperti Dr Burhanuddin telah dipenjarakan dan menderita sakit. Pemimpin dari bangsa Cina seperti Lai Raifel mati ditali gantung Inggeris dan juga pemimpin dari kalangan buruh India seperti Ganapathy yang dibuang ke India. Mengapa persoalan ini semua kita biarkan berlalu lalu dan kita masih memuja Tugu berlambangkan Inggeris ini. Dimana wajah-wajah para pejuang dari kalangan rakyat Malaya? Apabila kita mengagungkan penjajah Inggeris ini, bermakna kita telah mengkhianati perjuangan nenek moyang kita melawan penindasan Inggeris.

Nama-nama yang tertulis di Tugu Peringatan, kesemuanya nama-nama tentera Inggeris dan tentera dari negara Komanwel. Tidak ada satu nama melayu atau Cina atau India pun ditulis. Pada setiap tahun kita mengadakan perbarisan mengenang pejuang-pejuang kemerdekaan di tugu ini, malangnya kita menyembah tentera Inggeris. Ternyata jelas, Tunku Abdul Rahman pemimpin Inggeris yang berwajah Melayu tetapi berhati Inggeris.Dasar-dasarnya semua ciptaan tuan Inggerisnya belaka. Dialah yang menjayakan pembinaan Tugu Inggeris ini untuk mengambil hati Sir Inggerisnya.

Setiap tahun pada bulan 31 Julai, Yang dipertuan Agong, Perdana Menteri, Para Pemimpin Tentera dan Polis akan memberikan penghormatan ditugu ini. Mereka secara langsung memberi penghormatan kepada bangsa yang menjajah mereka. Bukankah ini satu perbuatan yang gila? atau mereka ini semuanya buta hati.


JI: Kerajaan enggan beri jawapan rasmi di Parlimen

Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Datuk Wira Abu Seman Yusop tetap enggan mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat walaupun beberapa Ahli Parlimen PAS mendesaknya supaya mendedahkan bukti-bukti emperikal berhubung kewujudan semula gerakan Jemaah Islamiah (JI) di tanah air.“Saya berasa saya tak mahu respons persoalan-persoalan Pasir Puteh,” tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkali-kali, petang tadi.

Keengganan Wira yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah itu gara-gara tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussain meminta kementeriannya mengaitkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan JI, sebagaimana yang didedahkan oleh Polis Cawangan Bukit Aman dalam suatu program bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Apakah motif kerajaan dalam menyiarkan gambar-gambar Marang (Abdul Hadi) dan Timbalan Mufti (Mohd Asri) dalam program KPT sebelum ini.

“Adakah kerana kedua-dua tokoh ini dilihat salah atau terbabit dengan gerakan JI sekarang atau mengamalkan ajaran sesat?” soal Muhammad.

Menjawab soalan tersebut, Abu Seman menyifatkan soalan-soalan Mohammad itu sebagai khabar angin semata-mata.

Lantas itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula bangkit mempertikai jawapan timbalan menteri itu.

“Saya rasa ini semua bukannya ‘khabar angin’, apa yang dijelaskan oleh Pasir Puteh itu adalah suatu taklimat Polis Bukit Aman pada Kementerian Pengajian Tinggi,” tegas beliau.

“Yang dikaitkan adalah seorang bekas Mufti, seorang Mufti Perlis dan Marang (Abdul Hadi) sendiri, sebab itu Dewan yang mulia ini nak tahu mengapa gambar-gambar mereka ini dikaitkan dengan JI.”

Beliau turut mempertikai kredibiliti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana tidak berani hadir di Dewan Rakyat membuktikan kononnya Jamaah Islamiah kembali aktif di tanah air.

Melihat pada tindak tanduk menteri dan timbalan menteri, beliau tidak menolak kemungkinan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan seakan mendapat nasihat yang salah dalam menangani isu keselamatan tersebut.

Turut mendesak KDN di Dewan Rakyat adalah Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS/Ahli Parlimen Pokok Sena) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor).

Harakahdaily/-

Ariel Peterpan Berzina Harus Direjam Sampai Mati

Ratusan penunjuk perasaan menuntut hukuman rejam terhadap selebriti yang terlibat dengan klip video seks di Jakarta semalam.

JAKARTA JUN 23 10: Berita Agensi, melaporkan, seorang penyanyi terkenal yang pernah menjadi vokalis band Peterpan, Ariel menyerah diri kepada polis sebelum ditahan semalam berhubung dua klip video lucah yang menampilkan pelakon wajah miripnya bersama dua wanita juga memiliki wajah mirip selebriti Luna Maya dan Cut Tari.

"Ariel menyerah diri pada pukul 3 pagi selepas polis menamakannya sebagai suspek kerana melanggar undang-undang antipornografi.

"Jika dia tidak menyerah diri, kami akan menangkapnya," kata seorang penolong jurucakap polis, Zainuri Lubis.

Ariel sebelum ini berulang kali menafikan terlibat dalam video seks itu. Dalam klip video seks yang pertama, seorang lelaki mirip Ariel sedang melakukan hubungan seks dengan seorang wanita yang memiliki wajah seperti pengacara terkenal, Luna Maya. Buat masa ini, Luna Maya merupakan kekasih kepada Ariel.

Satu lagi klip video menunjukkan seorang lelaki juga mirip Ariel sedang melakukan hubungan seks dengan seorang lagi wanita yang wajahnya mirip pengacara popular, Cut Tari. Cut Tari merupakan bekas kekasih Ariel dan kini sudah bersuami. Ariel berdepan dengan hukuman 12 tahun penjara jika didapati bersalah melanggar undang-undang antipornografi.

Dia juga mungkin akan dihukum penjara sembilan bulan kerana melakukan perzinaan. Skandal klip video itu telah menggemparkan Indonesia sehingga Ariel digelar sebagai Peterporn di kalangan pengguna-pengguna Internet. Demikian Agensi.

Sementara itu Berita AFP pula menyebutkan sejumlah penunjuk perasaan di sini semalam menuntut penyanyi terkenal Indonesia, Ariel dihukum rejam sampai mati berhubung skandal klip video lucah yang turut melibatkan dua wanita mirip selebriti Luna Maya dan Cut Tari

Seorang jurucakap sebuah kumpulan Islam berkata, Ariel yang berumur 28 tahun dan seorang duda sepatutnya dihukum rejam sampai mati bersama Cut Tari yang merupakan seorang pengacara televisyen terkenal. "Tubuh penzina sepatutnya ditanam separuh badan dan dibaling batu sehingga mati," kata seorang penyelaras protes itu, Fadilah Karimah.

Tunjuk perasaan itu dilakukan semasa klip video itu masih boleh dilihat di Internet. Menurut perangkaan, Indonesia mempunyai kira-kira 40 juta pengguna Internet. Demikian AFP

Muslimdaily pula menyebutkan, PKS (Partai Keadilan Sejahtera) di Musyawarah Nasional Jakarta sejak 17 Jun 2010 bersemboyan "PKS Untuk Semua", partai Islam ini menjadi heboh bila Ketua Majelis Syuro, Hilmi Aminuddin menjawab pertanyaan mengenai kes video seks Ariel dan Luna Maya, "Kami tidak masalah Ariel, Luna, siapapun dia, asal ada komitmen membina diri." (Sila klik Penuhi Syarat, PKS Siap Menerima Luna & Ariel Sebagai Kader)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Memang menurut hukum Islam, pelaku-pelaku zina yang sudah berkahwin wajib di hukum 'rejam' sampai mati. Soalnya apakah Indonesia sebuah kerajaan Islam yang meletakkan Al-Quran sebagai dasar atau perlembagaan negara? Bagaimana penghakimannya masa kini? Jelas ianya adalah kerajaan sekular lebih kurang Malaysia juga.. (2MA)

Rabu, 23 Jun 2010

Umno Perak Tolak Pemberian Lesen Judi Sukan

KUALA LUMPUR: Selepas Johor, hari ini Badan Perhubungan Umno Perak membuat ketetapan yang sama bagi menolak sebarang bentuk perjudian termasuk judi sukan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat negeri itu yang mahu kerajaan menghentikan cadangan pengeluaran lesen pertaruhan judi.

"Sebagai mewakili sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair, Umno Perak mengambil pendirian menolak cadangan untuk memberikan lesen perjuadian ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini memberitahu pemberian lesen itu masih belum dimuktamadkan dan mengalu-alukan pendapat semua pihak mengenai perkara tersebut.

Selain itu Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, bantahan berkenaan juga bagi mengelakkan pihak-pihak tertentu menggunakan isu berkenaan sebagai modal 'politik benci' terhadap kerajaan.

"Tindakan pihak tertentu yang cuba memanipulasikan isu untuk dijadikan modal 'politik benci' dan mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan perlu dihentikan segera," katanya.

Katanya lagi, Umno Perak mengambil pendirian berkenaan juga adalah berdasarkan prinsip agama dan diikuti oleh keresahan rakyat yang tidak selesa dengan desakan pihak tertentu untuk memaksa kerajaan mengeluarkan lesen judi.

"Adalah diharapkan agar kerajaan dapat membatalkan hasrat yang dikemukakan oleh mana-mana pihak untuk meluluskan pengeluaran lesen judi," katanya.

~mstar


Related Posts with Thumbnails