Jumaat, 25 Disember 2009

Mungkin ada lagi yang lesap: Tunku Aziz

SHAH ALAM – DAP tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi aset dan maklumat rasmi milik kerajaan hilang dan diseludup keluar disebabkan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak telus.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, ketirisan, penyelewengan dan pecah amanah ini berlaku bukan sahaja membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tetapi pihak yang sebati dengan gejala negatif itu.

“Insiden kehilangan enjin pesawat TUDM ini hanyalah salah satu daripada banyak perkara yang tidak diketahui rakyat.

“Jika enjin pesawat tempur yang bersaiz besar untuk kegunaan pertahanan negara boleh hilang, bagaimana dengan kelengkapan senjata bersaiz kecil dan juga maklumat keselamatan negara?,” katanya kepada Sinar Harian, semalam

Menurutnya, jika sistem kerajaan ditadbir baik, perkara tidak betul seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 tidak akan berlaku.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penyiasatan berhubung kehilangan enjin pesawat tempur itu memakan masa dan hanya dihebahkan setelah dua tahun kehilangannya disebabkan terdapat usaha untuk menutup kes itu daripada disiasat.

“Kita yakin, jika kes berprofil tinggi ini disiasat dengan telus dan teliti, kemungkinan banyak lagi kes berkaitan akan timbul, yang akhirnya membuka pekung pentadbiran kerajaan.

“Rakyat seharusnya membuka mata dan menilai pemimpin yang dipilih untuk melindungi rakyat," katanya.

Beliau mempertikaikan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menyifatkan kes kehilangan enjin pesawat tempur sebagai tugas penyiasatan yang rumit dan banyak tekanan, sedangkan penyiasatan masih belum berjalan.

Sabtu lalu, media melaporkan kehilangan sebuah enjin pemintas F-5E TUDM bernilai hampir RM50 juta daripada Gudang Material Udara (Matra1), Pangkalan Udara Kuala Lumpur ketika dibaik pulih.

~Sinar Harian~

Pelajar cemerlang dirasuah Ahmad Said

Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.

Rabu, 23 Disember 2009

Kenapa sekejam ini?



Seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menunjukkan mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney pagi semalam. – Gambar Ehsan pembaca Utusan


KUALA LUMPUR 22 Dis. – Belum pun kematian Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin dua tahun lalu luput daripada ingatan masyarakat – hari ini seorang lagi kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pembunuhan kejam.

Mayatnya dengan kesan leher dijerut ditemui di ibu negara kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Lebih sadis lagi, mayat kanak-kanak malang tersebut ditemui terapung dipercayai dicampak dalam kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney di Jalan Semarak di sini.

Mangsa berumur dalam lingkungan 11 hingga 13 tahun dipercayai dirogol. Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kanak-kanak itu yang berkulit gelap mempunyai ketinggian kira-kira 1.2 meter.

Ketika ditemui, kata beliau, mangsa hanya memakai baju tidur tanpa seluar dalam.

Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati, leher mangsa telah dijerut ketat dengan sehelai kain.

“Mayat kanak-kanak itu dipercayai dicampak ke kolam tersebut dalam tempoh 24 jam lalu. Selain kain itu, kita tidak menemui objek lain yang boleh dikaitkan dengan pembunuhannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak malang itu yang ditemui oleh tiga pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikeluarkan dengan bantuan skuad penyelamat pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut Zakaria, identiti mangsa masih belum diketahui dan polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis akan memperincikan siasatan selepas laporan bedah siasat diterima.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang kehilangan anak perempuan supaya segera menghubungi balai polis berdekatan.

~Utusan~

Dr Yusuf Qardawi: Perjuangan PAS adalah penerusan perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW"

Itulah antara kata-kata yang diucapkan oleh Sheikh Dr Yusof Qaradhawi kepada pimpinan PAS sewaktu Tokoh Maal Hijrah 1431H itu mengunjungi pejabat PAS Pusat untuk pertemuan tertutup dengan pimpinan PAS Pusat.

Banyak lagi pandangan beliau tentang perjuangan Islam di Malaysia, ikuti tulisan sahabat saya Exco Pemuda PAS Pusat, Sdra Abdullah Hj Karim yang turut sama dalam pertemuan tersebut.

"Assalamualaikum,Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir dlm pertemuan tertutup pimpinan PAS dengan tokoh ulamak terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi (DYQ) di pejabat PAS Jalan Raja Laut, pada hari ahad 20-12-2009 yg lalu. Antara pimpinan yang hadir ialah Presiden Pas, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, AJK-AJK PAS Pusat dan juga wakil dewan-dewan.

Didalam pertemuan lebih sejam itu, DYQ telah memberikan pandangan dan amanat yang cukup berharga yang menyentuh pelbagai perkara. Di bawah saya kemukakan beberapa isi penting ucapan beliau yang sempat saya catitkan :

1) DYQ menegaskan perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti PAS adalah penerusan kepada perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks moden, perjuangan ini adalah mewarisi aliran tajdid yang dipelopori oleh tokoh2 seperti Jamaludin Afghani, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rashid Ridha. Ianya kemudian dilanjutkan dalam bentuk tanzimi yg lebih tersusun oleh Hassan Al Banna yg mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin.

2) Asas penting kepada gerakan islam ialah sikap wasathiah (wasotho - pertengahan). Dalam soal feqah, sikap wasathiah ini penting untuk menangkis kejumudan dan ketaksuban. Kejumudan dan ketaksuban inilah yg menyebabkan lahirnya taklid. DYQ menyelar golongan muqallidin ini dan menyatakan bahawa sebenarnya taklid ini tidak ada tmpat dlm syariat. Beliau seterusnya berkata bahawa tidak perlu seseorang itu mencapai tahap mujtahid untuk membolehkannya memakai pendapat yg diluar dari mazhabnya. Cukuplah seseorang itu mengetahui dalil atau hujah yg lebih kuat dari pendapat mazhabnya dalam sesuatu perkara bagi membolehkannya memilih yg lain dari mazhabnya.

3) Dalam soal hubungan dengan non muslim, DYQ berfatwa bahawa kita dibolehkan menjawab salam dari non muslim. Meskipun ada khilaf dalam hal menjawab ucapan salam dari non muslim, namun beliau mentarjihkan pandangan yg membolehkan non muslim memberi salam dan menjawab salam mereka. Syeikh mengatakn tidak ada salahnya menjawab salam non muslim yg mana kita mngharapkan dengan jawapn tersebut ianya akan menjadi doa supaya mereka terpaut dgn Islam.

4) Berkaitan soal wahabi pula, DYQ mengatakan golongan wahabi adalah sebahagian dari umat Islam. Dalam banyak hal, DYQ menyatakan bahawa banyak pandangan mereka yg lebih dekat dengan dirinya meskipun ada di kalangan mereka yg taksub dan melemparkan bermacam2 tohmahan terhadap dirinya. DYQ juga menyanjung tokoh2 ulamak yg dilabel wahabi seperti Syeikh Salman Audah dan Syeikh Aidh Abdullah Al Qarni yg dianggap sebagai tokoh yg sederhana.Inilah antara butiran-butiran yg dapat saya catatkan di sini".

Gambar pertemuan itu juga saya lampirkan di sini - Abdullah Karim
~Blog~

Selasa, 22 Disember 2009

Tidak tutup aurat, kompaun RM500



ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI memeriksa peniaga dan pembantu kedai yang tidak menutup aurat di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu malam kelmarin.


KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.

Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).

Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.

"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.

Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.

~Kosmo~

Related Posts with Thumbnails