Di dalam satu kenyataan media yang  dikeluarkan oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin  (gambar) hari ini, beliau melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan  terbaru mengenai penahanan beberapa orang Islam berfahaman Syiah oleh  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gombak pada awal minggu ini. Asri  menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu permulaan ke arah  pembentukan budaya Taliban di dalam negara ini yang sangat berbahaya  kepada imej kerajaan dan pentadbiran Islam di negara ini.
Kerajaan Malaysia juga bukan sahaja  bertindak begini pada fahaman Syiah dan Wahabbi tetapi juga sesama  mazhab yang ada yang mengamalkan Sunnah seperti orang Melayu yang  percayakan fahaman Hanafi, Hambali dan Maliki.
Beliau  menyifatkan pembentukan seperti atau ala-Taliban ini adalah satu  perkembangan yang tidak sihat kerana kerajaan Malaysia hari ini cuba  mengenengahkan Islam yang pertengahan di kalangan negara dunia Islam di  seluruh dunia. Selain itu, ini menunjukkan Malaysia hanya mengiktiraf  satu cabang sahaja Islam di negara ini dan meletakkan cabang-cabang  Islam yang lain sebagai ’haram.’
Menurut  Asri lagi, walaupun beliau tidak bersetuju dengan ajaran-ajaran di  dalam Syiah dan selalu terlibat di dalam perdebatan dengan pihak Syiah,  beliau tidak boleh menerima dasar yang digunapakai di dalam kerajaan  Malaysia yang didakwa sebagai demokrasi yang menghalang orang ramai  menggunakan hak mereka untuk beragama selagi pegangan mereka belum  mengganggu ketenteraman awam.
Beliau  turut melahirkan rasa kesal di atas sikap ’tidak terbuka’ kerajaan dan  memberi amaran kepada kerajaan bahawa keadaan ini boleh membawa kepada  pertelingkahan dan kemusnahan sosial sesama penganut Islam.
Walaupun  kerajaan mahu mengenengahkan hanya fahaman Sunnah boleh diterimapakai  kerana dianggap sebagai fahaman sah di sisi Allah, kerajaan sewajarnya  menggunakan perbincangan intelektual di dalam menghadapi isu-isu  perbezaan dalam cabang agama seperti ini. Perbahasan sewajarnya  dialu-alukan untuk kes seperti ini dan bukannya melaksanakan  penguatkuasaan yang mungkin dilakukan dengan cara kejam dan tidak betul.
Sebelum  ini seramai 200 orang tempatan dan luar negara yang mengikuti fahaman  kumpulan Hauzah Ar Ridha Alaihissalam telah ditahan di sebuah rumah  kedai yang dipercayai markas mereka di Taman Sri Gombak pada Rabu lepas  kerana disyaki memberi tamparan kepada keselamatan negara.
Kumpulan  itu yang diketuai oleh seorang warganegara Iran dikatakan telah  beroperasi di situ sejak dua tahun lalu. Antara pengikutnya ialah rakyat  Malaysia, Iran, Indonesia, Myanmar dan Pakistan yang kebanyakannya  adalah pelajar dan pensyarah di universiti, peguam dan pegawai kerajaan.
Mereka  seterusnya dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak malam tadi dan  kini dibebaskan dengan jaminan. Pihak JAIS memaklumkan kumpulan Syiah  tersebut didakwa mengeluarkan ajaran membenarkan mereka membunuh  penganut Islam selain dari mazhab Syiah kerana didakwa sebagai kafir.
Penahanan  tersebut merupakan penahanan kedua terbesar dilakukan di negeri  Selangor yang mengkategorikan ajaran Syiah sebagai ajaran yang  menyeleweng. Sebelum ini juga, mufti Perlis Dr. Juanda Jaya juga  mengkritik tindakan ala-Taliban oleh pihak berkuasa agama atas dasar  pluralisme agama.
Pihak  Kedutaan Iran di Malaysia gagal dihubungi untuk memberi komen mengenai  tindakan kerajaan Malaysia ke atas fahaman Syiah. Namun begitu, ramai  orang berasa hairan dengan hubungan baik kerajaan Malaysia dengan  kerajaan Iran dapat dilaksanakan tetapi di negara sendiri, penganut  Syiah Islam ini diperlakukan sedemikian rupa. Malah ramai melihat ini  akan menggugat hubungan dua hala antara kedua-dua negara di masa  hadapan.
Malah  hubungan Malaysia dan Arab Saudi turut akan terjejas di atas sikap  bermuka-muka badan agama Islam di Malaysia yang menekan penganut fahaman  Wahabi di negara ini sedangkan di persada antarabangsa, Malaysia  menghulurkan tanda persahabatan Islam dengan kerajaan Arab Saudi yang  ratanya penganut Wahabbi. 




