"Tidak  mustahil akhbar Utusan Malaysia juga akan menerima nasib seperti akhbar  Utusan Melayu yang kini menjadi sisiapan mingguan dalam Utusan  Malaysia," kata Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata  Wahari.
"Mungkin  satu hari nanti Utusan Malaysia akan menjadi sisipan Kosmo memandangkan  edaran akhbar kompak itu semakin meningkat setiap tahun," katanya pada  satu kenyataan hari ini.
Berbanding  Utusan Malaysia, Kosmo lebih banyak menyiarkan berita sensasi dan  jarang membawakan berita politik keterlaluan yang menjadi imej akhbar  utama Kumpulan Utusan itu
Edaran  Utusan Malaysia merudum dari 213,000 kepada 169,000 atau mengecil 21  peratus dalam tempoh 2005-2009 mengikut perangkaan ABC (Audit Bureau of  Circulations) pada 10 September lalu.
.
Hata  mendakwa, polisi laporan berat sebelah yang menampilkan laporan positif  melibatkan kerajaan dan Umno tetapi menonjolkan laporan negatif apabila  membabitkan kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat.
"Sehubungan  itu, NUJ meminta ketua pengarang dan pengarang kanan Utusan Malaysia  untuk menghapuskan polisi yang tidak menguntungkan Utusan Malaysia,"  katanya.
Beliau  juga menyatakan Utusan juga tidak memberi peluang kepada orang yang  berdepan tuduhan tertentu untuk menjawab dan disiarkan dalam akhbar  berkenaan.
"Dalam  perkara ini, Utusan Malaysia melaksanakan polisi untuk tidak menyiarkan  kenyataan balas yang dibuat parti politik atau individu apabila laporan  negatif dibuat terhadap mereka.
"Contoh  terbaik ialah kenyataan balas Datuk Seri Nazri Aziz tidak disiarkan  walaupun ruang pojok Awang Selamat menghentam Menteri di Jabatan Perdana  Menteri itu,” katanya.
Hata  berkata, Utusan Malaysia juga  hanya menyiarkan berita satu kaum sahaja  menyebabkan pembaca akhbar bukan Melayu  tidak berminat membeli  walaupun mempunyai keupayaan  membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia.
"Utusan  Malaysia sebagai sebuah akhbar yang menggunakan bahasa Kebangsaan,  sepatutnya mengambil kira juga keperluan kaum lain," katanya.



