Khamis, 15 September 2011

Kenyataan Anwar Ibrahim Sempena Hari Malaysia 16 September

Memaknai Kemerdekaan Menjelang Sambutan Pembentukan Negara Malaysia

Kita baru sahaja menyambut ulang tahun ke 54 Kemerdekaan negara dan esok rakyat negara ini akan menyambut pula Hari Malaysia pada tanggal 16hb September. Setiap kali menjelang dua sambutan yang sungguh bererti itu, kita pastinya mengambil kesempatan tersebut untuk menghimbau sejarah negara. Himbauan tersebut pada asalnya mahu menjana semangat patriotisme, keyakinan, dan kegigihan untuk berusaha membangun negara bernama Malaysia ini, yang usianya jika dibandingkan dengan negara lain, sebenarnya masih muda.

Namun sudah beberapa lama rakyat negara ini disogokkan dengan naratif sejarah yang dilakar oleh sesetengah pihak sahaja. Tujuan asal sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan disampaikan kepada generasi seterusnya ternyata menyimpang dari halatuju yang sebenarnya.

Sejarah diseleweng demi kepentingan sesetengah pihak sahaja sekaligus menafikan perjuangan golongan lain yang bersama bertungkus lumus menentang penjajahan.

Mana mungkin, kita menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang dilatari pelbagai faham perjuangan, baik dari gerakan Islam, aliran kiri mahupun dari aliran  kanan. Mereka ini walaupun berbeda pandangan, hakikatnya punyai matlamat yang sama, iaitu mahu tanah air kita merdeka dari penjajah. Adalah suatu keangkuhan sekiranya kita menafikan sumbangan golongan tertentu menuntut kemerdekaan hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan kita. Jikalau kita jujur berhadapan dengan sejarah, ternyata selain dari Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, ramai lagi seumpama Dr Burhanuddin al Helmi, Ishak Haji Muhammad, V.T Sambathan, Tan Cheng Lock, Rosli Dhobi di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah ternyata gigih menentang penjajahan terutamanya penjajahan British.

Tidak wajar dilupakan juga sumbangan tokoh persuratan seumpama Syed Sheh al Hadi dan Pendita Zaaba yang berusaha membina kesadaran membawa pembaharuan kepada masyarakat. Berbekalkan senjata berupa mata pena, mereka tajam menembusi tembok kelesuan yang membarah akibat dari penjajahan. Tokoh persuratan ini berhasrat membongkar mitos yang ditanam penjajah, kononnya kita tidak berupaya bebas merdeka memerintah tanah air sendiri. Jasa mereka semua wajar dikenangi dan tidak dilupakan.

Mutakhir ini, muncul suatu polemik pensejarahan yang tajam berkaitan siapa sebenarnya pejuang menuntut kemerdekaan. Akan tetapi yang dikesali polemik yang sewajarnya disusuli wacana berhasrat memahami latar perjuangan menuntut kemerdekaan, lebih banyak dibaluti mesej propaganda.

Fakta sejarah diabaikan manakala naratif sejarah terbabas dari landasan rasional sehinggakan ada mereka yang mendabik dada sebagai intelektual, kerana mahu mengampu pemerintah, menafikan negara ini pernah dijajah. Sekonyong-konyong filsafat yang disarankan filasuf Jerman, Hans Vaihinger melalui karyanya, Philosophie des Als Ob (Philosophy of As If) diterima para sarjana kita demi kepentingan penguasa. Mereka mengiyakan agar diciptakan fiksyen demi memenangkan agenda politik. Meminjam judul karya Julien Benda, perbuatan mereka yang mendabik dada sebagai intelektual itu digelar La Trahison des Clercs (Pembelotan Kaum Intelektual).  Seharusnya tragedi keganasan Hitler dan aliran Nazime itu dijadikan iktibar, jangan sesekali menidakkan kebenaran kerana keserakahan agenda politik golongan tertentu.

Teguran Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas sepertimana yang terkandung dalam karyanya Intelektual Masyarakat Membangun janganlah dikesampingkan.  Intelektual atau para sarjana jangan dihinggapi penyakit “Bebalisme,” suatu penyakit malas berfikir, kelesuan intelektual dan takut menyatakan yang benar. Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekalipun, tatkala kita mengakui sumbangan Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, adalah fakta sejarah sememangnya Umno itu lunak dengan pemerintahan British berbanding golongan lainnya sehinggakan pendiri Umno itu pernah menyelar Hizbul Muslimin yang didirikan antaranya oleh Almarhum Ustaz Abu Bakar Baqir sebagai “bahaya dari gunung.” Karya berjudul From Malayan Union to Singapore Separation tulisan Dr. Nordin Sopiee, mantan Pengerusi ISIS, sebuah badan pemikir bagi pemerintah turut mengakui hakikat ini.

Negara kini berada di persimpangan, ketika rakyat negara ini mahu mengetahui sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan serta berhasrat menolak dogengan ciptaan pemerintah, para sarjana dan intelektual tidak boleh lagi tinggal diam membisu. Mereka harus bingkas bangun bersama rakyat keseluruhannya menjadi penyuluh menelusuri jalan memaknai Kemerdekaan dan Membangun Negara Malaysia ini.

Antara tugas intelektual ketika ini menjadi suara menyatakan kebenaran tanpa rasa takut. Kita masyhgul apabila wacana pensejarahan menjadi medan untuk mereka yang berkuasa menunding siapa pengkhianat dan siapa yang bukan. Sewajarnya wacana pensejarahan sebegini sesuai sebagai pentas menyemak kembali fakta memperkaya pengetahuan rakyat, bukannya sebagai upaya politik murahan hatta mengenepikan hakikat sejarah. Polemik Mat Indera yang tercetus baru-baru ini menggasak pimpinan Umno bertindak balas dengan nada emosi. Retorika seumpama pengkhianat dan tidak kenang budi dicanang seluruh negara sedangkan rujukan seperti karya berjudul “Pengukir Nama Johor” terbitan Yayasan Warisan Johor serta disunting Profesor Dato’ Abu Bakar A. Hamid dan Md Ismail Zam Zam itu menjelaskan Mat Indera antara mereka yang gigih menentang penjajahan British.

Janganlah pula kerana kesediaan kita menghargai kegigihan Mat Indera itu, maka dilabelkan kita sebagai mendokong agenda komunisme. Kita tuntas menolak apa sahaja bentuk fahaman yang membenarkan pemerintahan satu parti, membungkam suara mereka yang tidak sehaluan dan berlandaskan keganasan. Kita tuntas mengecam tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Sejarah menunjukkan kepada kita asakan Komunisme dapat ditewaskan lantaran kekuatan muafakat terutamanya umat Melayu termasuk Umno, PAS dan seluruh kekuatan rakyat. Maka amat dikesalkam manakala Kemerdekaan berjaya dicapai, pihak penguasa kini cuba menafikan sumbangan mereka yang sudah berkorban nyawa, keringat dan harta demi perjuangan yang mulia itu. Kerana itu kita tidak menafikan pengorbanan pihak keselamatan menumpaskan gerakan militan komunis sekaligus berjaya mengekalkan keamanan di seluruh negara.

Berasaskan faham itulah juga memperkukuh tekad kita mahu melakukan perubahan dan
menumbangkan hipokrisi pimpinan Umno-Barisan Nasional.

Manakala komunisme dimomokkan sebagai pengkhianat, pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak segan silu pula curang kepada semangat Kemderdekaan yang raih itu. Persoalannya, bagaimana kita menilai makna Kemerdekaan itu. Apakah kita sudah bebas dari segala bentuk penindasan dan kezaliman?
Tiada gunanya dicanang laungan kemerdekaan sekiranya masih ramai yang terpinggir tatkala khazanah negara dikongsi kelompok kecil yang rapat dengan penguasa. Apa makna Kemerdekaan jika Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat masih diteruskan, bahkan digunakan pula untuk memenjarakan musuh politik.

Kita rakyat Malaysia tidak mahu suatu pemerintahan yang sekadar menggantikan regim penjajah, sekadar bertukar bekas sedangkan isi dicurah dan disisihkan. Oleh kerana itu kita tuntas menuntut agar dikembalikan Semangat Kemerdekaan dan dipenuhi pula Makna Pembentukan Negara Malaysia itu. Adalah suatu keutamaan agar negara ini senantiasa makmur, rakyatnya sejahtera, hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan terjamin serta pilihanraya umum dilaksanakan secara bebas dan adil. Moga negara ini yang sudahpun berusia 54 tahun senantiasa kekal merdeka dan rakyatnya makmur sejahtera.

Dirgahayu Negaraku Malaysia
ANWAR IBRAHIM

Tunku hanya penyambut kemerdekaan bukan pejuang - Pak Samad Said


Saya tidak fikir Tunku Abdul Rahman ini pejuang, sebab sebelum itu kita dengar Mat Kilau, Mat Indera, (Ahmad) Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya. Ini memang orang-orang yang berjuang. Dan inilah orang-orangnya yang kita namakan pejuang.

Sedang bagi saya, Tunku Abdul Rahman bukan orang berjuang. Dia menyambut. Dia adalah orang yang disetujui oleh Inggeris untuk menyambut kemerdekaan.
"

"...Dan penyambut kemerdekaannya, orang yang dirasakan oleh British, orang yang boleh jaga kepentingan yang ditinggalkannya."


Demikianlah kata-kata Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam.

Beliau yang pernah bekerja dengan Ahmad Boestamam, mengisahkan pengalamannya kepada kira-kira 50 orang hadirin, bagaimana Ahmad Boestamam dipanggil untuk berunding dengan Burhanuddin Al-Helmy dan Tunku Abdul Rahman, berhubung "bagaimana kemerdekaan itu harus disambut".

A.Samad Said, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, pernah bekerja di akhbar Fikiran Rakyat, di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.

Beliau pernah mengikut Ahmad Boestamam ke bangunan di mana perbincangan tersebut berlangsung, dan beliau dimaklumkan bahawa "British bersedia menyerahkan kemerdekaan ini, tapi perlulah diberikan kepada orang yang munasabah."

"Waktu itu, tentulah, orang yang munasabah, Tunku Abdul Rahman," katanya, yang mendakwa bahawa Tunku bekerja dengan British.

Menurut beliau, British tidak berunding dengan "kelompok Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Burhanuddin" kerana dirasakan tidak akan menjaga kepentingan British, meskipun badan yang dipimpini tokoh-tokoh tersebut ditubuhkan lebih awal daripada UMNO.

"Kita bermula dengan orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British," simpulnya di akhir ucapan beliau.

Malah, ketika wartawan cuba mengesahkan kenyataannya itu selepas forum berlangsung, beliau mengulangi bahawa "Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan"; bahkan beliau sempat berseloroh dengan wartawan, bahawa istilah "kemerdekaan" pada gelaran "Bapa Kemerdekaan" yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.

Kuasa diwarisi oleh golongan bangsawan

"Dan sejak itu, berterus-terusan kita sebenarnya dijajah, atau (guna istilah) diperintahlah, agar lebih manis (didengar), diperintah oleh kelompok yang menyambut kemerdekaan. Dan kelompok ini datangnya daripada golongan bangsawan, selama 54 tahun."

Pak Samad menganggap kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah daripada golongan bangsawan, termasuk Mahathir Mohamad yang mendapat gelaran "Tun" kemudiannya.

"Negara ini tidak pernah diperintah oleh orang yang berjuang untuk kemerdekaan," tegasnya.

Untuk beliau, golongan bangsawan tidak dapat merasakan apa yang dirasakan oleh rakyat biasa, kerana "orang-orang ini mendapat kemewahan daripada awal, mendapat pendidikan percuma daripada awal, mendapat kedudukan daripada awal, mendapat keistimewaan daripada awal..."

"Saya dapat faham kalau orang Cina merasakan, dan saya juga dapat faham kalau orang India merasakan... Tapi akhirnya saya juga merasakan, bahawasanya betul orang Melayu mempunyai keistimewaan, tetapi keistimewaan kelompok atas saja. Rakyat lain...hampir sama saja," katanya.

Pak Samad berkata, keadaan sedemikian menimbulkan rasa ketidaksenangan, maka adalah mudah untuk mereka yang berada di atas untuk memainkan perasaan perkauman, agar tempat mereka dikekalkan.

Beliau pernah diajukan soalan sama ada dirinya berasa terancam sebagai Melayu di negara ini, dan jawapannya tidak, kerana sejak merdeka, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kebanyakan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri disandang oleh Melayu.

Seandainya Melayu merasakan dirinya terancam, maka ia bererti pemimpin kita gagal, jelasnya.

Lee Ban Chen: UMNO mewarisi penjajahan

Sementara itu, penganalisa politik Lee Ban Chen menyifatkan kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 sebagai "kemerdekaan tiga suku", dan bukan "kemerdekaan yang tulen".

Ini kerana British telah menolak perlembagaan rakyat ketika itu, sebaliknya memilih UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 untuk kerjasama.

Bagaimanapun, UMNO dalam Perikatan ataupun Barisan Nasional kemudiannya tidak mengisi nama dan bentuk kemerdekaan, sebaliknya mewarisi penggunaan akta-akta zalim dalam zaman penjajahan, misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang merintangi proses reformasi dan pendemokrasian negara kita, kata Lee Ban Chen.

Pak Samad turut bersetuju bahawa "kita sebenarnya masih dalam pemerintahan penjajahan", kerana undang-undang zalim yang digubal ketika zaman British masih kekal sehingga kini. Malah, Menteri Dalam Negeri siang-siang mengingatkan tentang ISA ketika menangani isu BERSIH 2.0.

Dengan nada menyindir, Pak Samad berkata "yang menjadi wira sentiasanya UMNO", sementara "orang awal yang berjuang semuanya tenggelam". "Dan paling mudah untuk mengatakan bahawasanya mereka semua ini kelompok komunis yang jahat, dan komunis yang ingin mencengkam...",dan pada waktu yang sama pula kita berbaik-baik dengan komunis (China) yang ada - antara beberapa "keanehan" yang sedang berlaku di negara dewasa ini, katanya.

Seorang lagi panelis dalam forum ini adalah Arumugam, selaku Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI. -mr

Sejarah Memali dan Batang Kali Bukti UMNO dan BRITISH Kejam

Tentera british bunuh orang kampung batang kali
12 Disember 1948.satu sejarah hitam yag tidak boleh dipadamkan dari sejarah tanahair. ini bukti kerakusan dan kejamnya tentera british yang dikatakan datang membawa keamanan di tanah melayu ketika itu..

Ini adalah sebuah cerita pembunuhan beramai-ramai penduduk keturunan Cina di sebuah ladang getah oleh tentera british sebelum tentera penjajah itu membakar kampung mereka.


Platun ke-7, G Company, yang ke-2 daripada Pengawal Scotland mengepung sebuah kebun getah di Sungai Rimoh, Batang Kali, Selangor, di Malaya. 24 orang penduduk yang tidak bersenjata dan tidak bersalah telah dibunuh.


Tanpa kesempatan melarikan diri dan membela diri, penduduk perkampungan itu telah dituduh sebagai komunis, dalam kejadiaan itu seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri, selain itu isteri-isteri dan anak-anak mangsa melihat sendiri kejadian kejam itu dilakukan didepan mata mereka.


Pada 1 November 1949 Satu siasatan rasmi telah dijalankan terhadap arahan Attorney-General Malaya pada ketika itu. hasil daripada siasatan tersebut adalah AG berpuas hati yang ‘saspek-saspek (24 lelaki tersebut) mungkin berjaya melarikan diri jika askar-askar tersebut tidak melepaskan tembakan. Siasatan ini tidak pernah diketengahkan ke pengetahuan umum, atau dihantar ke ‘War Office’.


Apa yang menyebabkan peristiwa penting ini menjadi tragedi besar?, dan adakah mereka komunis seperti yang didakwa.


Satu kenyataan Surat Khabar Inggeris (The People) pada 1 Februari 1970 telah membongkar dan mengutuk pembunuhan kejam tersebut. Kenyataan bersumpah daripada Tentera British (bekas Pengawal Scotland) menunjukkan fakta-fakta yang berikut:-


i. patrol tersebut mendapat arahan awal untuk memusnahkan kampung berkenaan;
ii. ahli-ahli patrol telah diberi peluang untuk tidak melibatkan diri dengan pembunuhan itu;
iii. Mangsa-mangsa telah ditembak tanpa mencuba untuk melarikan diri; dan
iv. terdapat konspirasi untuk menipu soal siasat pada 1949.
Malah Setiausaha Pertahanan (Dennis Healy) mengarahkan Polis Penyiasat Scotland untuk menubuhkan pasukan tugasan khas (diketuai oleh Frank Williams) untuk menyiasat perkara ini. Hasil daripada siasatan ini, bukti yang kukuh telah dapat dikumpulkan, yang menunjukkan bahawa kejadian pembunuhan kejam di Batang Kali pada Disember 1948 memang sebenarnya telah berlaku.


Istilah Pembunuhan kejam digunakan kerana siasatan mendapati tindakan Platun ke-7, G Company adalah silap, mereka yang dibunuh bukan anggota komunis seperti yang didakwa..


Satu dokumentari BBC pada 9 September 1992 , menyiarkan laporan siasatan mengenai pembunuhan beramai-ramai tersebut yang bertajuk “In Cold Blood” disiarkan di United Kingdom dan mendedahkan bukti baru mengenainya.
Dokumetari tersebut menyiarkan laporan-laporan saksi-saksi dan mangsa-mangsa yang terselamat termasuk pengakuan sesetengah bekas Pengawal Scotland dan temuramah bersama Pegawai Polis Penyiasat Scotland yang telah menyiasat kes ini pada 1970. Ia jelas menunjukkan kesalahan Pengawal-pengawal Scotland berkenaan dan penipuan besar-besaran berkenaan pembunuhan tersebut.Walaubagaiamanapun, tiada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan UK selepas itu dan tiada pegawai British yang telah ditahan.


Umnoapco sebelum ini sibuk menuduh orang itu dan orang ini komunis, walaupun tiada bukti nyata keterlibatan mereka secara langsung dengan komunis, ia sama seperti apa yang telah dilakukan oleh platun ke 7 tentera british dulu.


Fikirkan juga mengapa tentera Britain tergamak membakar sebuah kampung di Batang Kali itu hanya kerana bimbangkan ancaman komunis walaupun penduduk kampung itu sebenarnya tidak bersenjata mahupun membahayakan tentera terbabit,malah tiada bukti mereka terlibat secara langsung dengan komunis, adakah kerana mereka berbangsa cina maka mereka dilebelkan komunis?


Apa yang umnoapco lakukan sekarang sama, walaupun seseorang itu tidak dapat dibuktikan terlibat secara langsung dengan komunis, tetapi jika ia satu ancaman, ia perlu diburukkan dan dicop sebagai bahaya.



@TUKANGLAWAN Fikir pasti ada sesuatu yang british mahu dari Malaya dulu.
Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim. PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Fakta Sejarah – Polis Sebelum dan Selepas Merdeka

Oleh: MZ
 
Mari mengenali siapa British dan hubungkait dengan talibarut British.
 
Mengenai dengan polis/askar sebelum merdeka dan selepas merdeka,terdapat perbezaan yg amat jauh sekali dengan tugasan  dan tangungjawab mereka.
 
 
SEBELUM MERDEKA.
 
1.) Negara kita masa itu sedang dijajah oleh British. Fakta British adalah penjajah tanah melayu, membolot semua hasil bumi tanah melayu untuk kepentingan penjajah kafir barat-British. 
 
2.) British dengan bijaksananya merekrut org2 melayu (sebahagian yang tak ada kerja), untuk menjadi mata2 (polis bawahan) British di Tanah melayu. 
 
3.) Tugas mata2 British ini adalah untuk menjaga kepentingan British dan TAAT Setia mereka adalah kepada Queen Elizabeth (Raja British).
 
4.) Terdapat ramai dikalangan anak tempatan (samada melayu atau bukan melayu) di masa ini yang mempunyai semnagat untuk menuntut kemerdekaan bagi negara sanggup menggadai harta dan nyawa demi membebaskan negara pada masa itu. 
 
5.) Ini boleh dibuktikan dengan perjuangan awal orang-orang melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan sebagainya. Dalam perjuangan mereka, mereka juga terpaksa bertempur dengan orang-orang melayu yg menjadi talibarut-talibarut penjajah yang tugasnya menjaga kepentingan penjajah.
 
6.) Satu fakta penting lagi, kafir penjajah British adalah musuh utama kepada Khilafah Islam Utmaniah. Mereka telah membolot hasil bumi dan kekayaan melayu untuk melawan Khalifah Islam Uthmaniah. (Shaykh-al-Islam, Khayri Effendi telah mengeluarkan fatwa Jihad-I Ekbar Fardi Ayn terhadap Britain dan sekutu-kutunya pada 14 November 1914
.
Sebagai reaksinya, British telah mengeluarkan enakmen MELARANG akhbar-akhbar tempatan dari menyiarkan berita mengenai peperangan antara British dengan Turki Utmaniyyah pada 21 November 1914) 
 
7.) Satu lagi fakta penting pasal Penjajah British pada masa berkenaan — Henry Gurney dilantik  menjadi Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu pada 13 September 1948 selepas bertugas di Palestin sebagai Setiausaha Kerajaan British sejak tahun 1946. Henry Gurney adalah individu yang bertanggungjawab di atas pembentukan negara haram Israel pada 1948. Semasa pendudukan British di Palestin, beribu warga Islam telah dibunuh oleh tentera British. Antara anggota tentera British yang bertugas di Palestin ketika itu adalah Raymond Dancey. Siapakah Raymond Dancey?. Malayan Police Lt.135 Raymond Dancey atau Ray Dancey adalah Ketua Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950.
 
8.) Jadi penentangan orang-orang melayu islam  terhadap kafir British bukan sahaja menentang penjajah tanah air tetapi juga adalah jihad terhadap musuh islam (Khilafah Utmaniah) pada masa tersebut. Orang yangg bersubahat untuk menjaga kepentingan British pada masa berkenaan untuk melawan jihad terhadap British pada masa berkenaan sebenranya bukanlah pejuang agama dan negara yg sebenar.
 
Ini adalah fakta. Malah orang-orang yang berjuang menentang British pada masa berkenaan adalah hero@pejuang sebenar negara. Mengenai kerjasama antara orang Islam dengan bukan Islam (tempatan) menentang British itu adalah perkara diharuskan. Dan perlu diingat tindakan2 PKM sebelum merdeka dan selepas merdeka adalah sangat berbeza sama sekali. Sebelum merdeka, tumpuan mereka hanya memperjungkan kemerdekaan dan tidak membunuh mana-mana orang awam kecuali talibarut penjajah sahaja (kena baca fakta2 sejarah dr pelbagai pihak). Walau bagaimanapun tidak dinafikan terdapat tindakan melampau PKM pada masa tersebut dan ini juga perlu dikutuk.
 
9.) Berdasarkan hujah bahawa British adalah penjajah Tanah Melayu dan musuh utama khilafah Islam Uthmaniah, pihak-pihak yang bersekongkol dan  berjuang mempertahankan British pada masa berkenaan bukanlah pejuang Agama dan Negara.
 
10.) Untuk persoalan macam mana British boleh senang-senang bagi kemerdekaan Tanah Melayu melalui rundingan , sila renungi fakta penting berikut —-; Perancang penjajahan Britain di Mesir, Lord Cromer pernah menyatakan di dalam bukunya ‘Modern Egypt’:"Inggeris bersedia untuk memberi kebebasan berpolitik untuk semua tanah jajahannya sebaik sahaja generasi yang dididik dengan budaya British sudah bersedia untuk memerintah, tetapi British sama sekali tidak akan membenarkan tertegaknya sebuah negara Islam yang tidak bergantung kepada sesiapa pun"
 
 
SELEPAS MERDEKA.
 
1.) Negara kita sudah merdeka dan mempunya raja sendiri.
 
2.) Polis dan Askar pada masa ini berkhidmat untuk menjaga keamanan negara dan taat setia kepada Agung/ Raja Melayu. (terdapat perbezaan yang amat ketara disini berbanding sebelum merdeka).
 
3.) Tindakan Polis dan Askar memerangi komunis adalah tindakan demi menjaga kepentingan Negara adalah pejuang Negara.
 
4.) Ini langsung tidak dipertikaikan asalkan tindakan tersebut benar-benar demi untuk agama, bangsa dan negara bukan untuk kepentingan pihak tertentu.
 
5.) Jadi Ayah/Atuk (anda) serta ahli keluraga aku yg berkhidmat melawan komunis selepas merdeka adalah jelas pejuang agama dan bangsa.
 
6.) Walaupun begitu jikalau British membenarkan pendamaian (seperti dalam rundingan Baling), semua yang berlaku ini mungkin dapat dihindarkan. Tetapi British bijak dalam melaksanakan teknik pecah dan perintah demi untuk kepentingan penjajah British pada masa berkenaan.
 

Cukai GST: Beban Rakyat Makin Parah

KUALA LUMPUR: Beban kehidupan rakyat akan bertambah parah berikutan langkah kerajaan melaksanakan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tegas Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Abdul Rahman Yusof.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa kerajaan sedang meninjau kemungkinan melaksanakan GST selepas pilihan raya umum akan datang.
Kenyataan itu sekaligus bertentangan dengan jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pada Julai lalu bahawa GST akan ditangguhkan lebih lama.

Idris yang juga mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sebelum ini berkata pelaksanaan sistem itu juga memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 18 bulan dilaksanakan.
Menurut Abdul Rahman,  kerajaan  terpaksa melaksanakan GST tregesa-gesa kerana sumber kewangan negara semakin tenat disebabkan amalan rasuah dan ketirisan sebanyak RM28 bilion setahun.

“Pelaksanaan GST ini disebabkan sumber kewangan negara sudah kehabisan akibat rasuah dan ketirisan, maka kerajaan terpaksa mengambil cukai daripada rakyat untuk menampung keperluan kewangan negara.
“Ini menunjukan kewangan negara tenat dan pelaksanaan tergesa-gesa ini membuktikan Najib lebih mengutamakan kroni berbanding kesengsaraan rakyat,” katanya.

Katanya, banyak projek yang menelan jutaan ringgit terpaksa diselamatkan dengan kontrak baru secara runding terus yang akhirnya menyebabkan kosnya melonjak tinggi.

Tambah beliau, kenyataan Najib bahawa pengenalan GST seiring dengan pengenalan cukai pendapatan juga tidak relevan kerana kelompok membayar cukai pendapatan di negara ini hanya sekitar 10 peratus.
Sedangkan mereka yang akan membayar GST adalah seluruh rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tidak bekerja dan melibatkan semua jenis barangan dan perkhidmatan.

Ketika ditanya apakah Pakatan rakyat mampu menghapuskan GST jika mengambil alih tampuk pentadbiran negara, Abdul Rahman optimis  Pakatan mampu berbuat demikian berdasarkan janji yang terkandung dalam Buku Jingga.

“Buku Jingga menggariskan keutamaan dalam perbelanjaan negara, menutup segala ketirisan dalam sistem kewangan negara dan ini terbukti berlaku di Selangor dan Pulau Pinang apabila kerajaan mempunyai surplus (lebihan).

“Malah Pakatan dapat buat kebajikan seperti program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Di Kelantan dan Kedah walaupun keadaan sumber pendapatan terhad, juga mampu menjaga kebajikan rakyat.

“Ini menunjukkan kita berupaya untuk menghapuskan GST,” katanya.KeadilanDaily
 
Related Posts with Thumbnails