Jumaat, 27 Mei 2011

Pelaku Mirip Anwar Dalam Video Seks Sudah Disiasat

Polis semalam mengesahkan pihaknya menyiasat pelaku di dalam rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki mirip seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur di sebuah apartmen di ibu negara yang didedahkan kepada sekumpulan wartawan pada 21 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai skop siasatan pelaku dalam video seks tersebut termasuk identiti pelakunya itu.

“Memang kita siasat (pelaku) sebab kita sudah kenal pasti dia,” kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.

Menurut beliau, kertas siasatan yang lengkap berhubung kes rakaman video seks telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara pada minggu lalu dan menunggu maklum balas daripada jabatan itu untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, kertas siasatan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu memiliki dan mengedar bahan lucah itu sebelum ini pernah dipulangkan semula oleh Peguam Negara sebanyak dua kali kepada polis untuk siasatan semula.

Pada 1 April lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan rakaman video seks berdurasi selama 22 minit bermula pukul 10.23 malam, 21 Februari lalu adalah rakaman tulen selepas disahkan oleh pakar.

Ahad, 22 Mei 2011

Anwar:Tarik Pelabur Asing : Najib Hidup Dalam "Khayalan"

TVSelangor | Usaha Perdana Menteri Najib Razak mencanang Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan kepada masyarakat koperat di Amerika Syarikat baru-baru ini adalah berasaskan "khayalan" pemimpin itu semata-mata, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikat adalah Malaysia jauh ketinggalan berbanding jiran seperti Filipina, Indonesia dan Thailand dari segi menarik pelaburan asing langsung (FDI), akibat dasar-dasar Umno-BN mementingkan juak-juak tertentu, kata Anwar kepada TvSelangor.

"(Perbuatan Najib melobi di AS) seolah-olah hidup dalam khayalan. Dia terpenjara dengan kerana juak-juak memuji  demi keuntungan mereka," jelas Ketua Pembangkang itu.

"Pelaburan asing kurang. Kalau dibandingkan dengan Filipina, Indonesia dan Thailand kita semakin teruk. Ini tidak dibahaskan," ujar Anwar.

Anwar berkata Najib tersasar merungkai sentimen pelabur, yang menurutnya, menilai kejayaan sesebuah negara berasaskan keprihatinan kerajaan dalam membela rakyatnya.

"Politik, pentadbiran (negara) akhirnya diukur dari keupayaan untuk meringankan beban rakyat. Atau dalam istilah lain kepedulian terhadap permasalahan rakyat. Apa yang berlaku sekarang...harga barang meningkat, subsidi diturunkan... itu mengelirukan kerana untuk kelompok kaya, subsidi diteruskan tapi untuk rakyat miskin dikurangkan," kata beliau.

Ekonomi Malaysia hanya berkembang sekitar 4.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding lebih 10 peratus tempoh sama tahun lalu.

Laporan terbaru Institut Pengurusan Pembangunan Antarabangsa (IMD) menunjukkan tahap saingan ekonomi Malaysia jatuh ke tangga 16 berbanding dengan 10 sebelum ini. 

Pada masa sama harga barangan keperluan rakyat naik dengan kadar yang jauh lebih tinggi daripada paras kenaikan gaji, dan memburukan lagi tahap inflasi di negara ini.

Anwar sebelum ini memberi amaran harga barangan seperti gula dan petrol akan naik sehingga 30 peratus akhir tahun ini, berbanding kadar harga lima tahun lalu, jika Umno-BN terus memotong subsidi sebagai cara pantas mengekang defisit belanjawan.

Di sebalik keadaan suram ini di tanah air, Najib berlepas ke Washington awal minggu ini untuk menarik pelabur Amerika Syarikat dengan mencanang slogan 1Malaysia dan kepelbagaian kaum yang kononnya menjadikan Kuala Lumpur pilihan utama pelabur.

Anwar berkata cubaan Najib untuk memberi gambaran bahawa Malaysia bebas daripada pertikaian aspek agama dan perkauman tidak menggambarkan senario sebenar.

Dalam temuramah khas Tv Selangor bersama bekas Menteri Kewangan itu, beliau terus mempersoal kewibawaan kerajaan Umno-BN untuk menjawab persoalan rakyat berhubung saham ekuiti bumiputera yang lesap berjumlah RM52 bilion.

Katanya, akibat usaha memenuhi kehendak segelintir elit-elit Melayu, kaum Melayu amnya dipinggirkan dari aspek sosio ekonomi.

Oleh yang demikian, Anwar berpendapat pendedahan ini perlu diberi perhatian oleh setiap genap lapisan masyarakat kerana jelas kerajaan pimpinan Najib yang tidak berorientasikan rakyat

Jumaat, 20 Mei 2011

Rakyat Derita Harga Barang Makin Naik


Penarikan balik subsidi gula oleh kerajaan pemerintah kononnya mahu menjimatkan tanggungan sebanyak RM 116.6 juta disambut hambar oleh rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

Rakyat dimomokkan dengan alasan yang sama iaitu, harga gula dinegara ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negera serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Bukan itu sahaja rakyat seolah- olah 'dihadiahkan' dengan perkhabaran baru dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa harga bahan bakar termasuk RON95 akan dikaji semula bulan hadapan, yang berkemungkinan akan naik lagi.

Beliau tanpa rasa bersalah berkata, rakyat harus memikirkan 'manfaat' yang bakal diperolehi jika kerajaan pemerintah berjaya mengurangkan bebanan kewangan umpamanya pembinaan sekolah, jalan- jalan kampung, projek perumahan rakyat dan sebagainya.

Persoalannya, siapakah yang akan memikirkan perit jerih rakyat yang dihambat kos hidup yang semakin meningkat dengan kadar gaji masih ditakuk lama ?

Tv Selangor turun padang meninjau pandangan orang awam berhubung perkara ini.

Bagi Ahmad Ridzuan Samsuddin, menyifatkan tindakan kerajaan pemerintah menaikkan harga barangan asas tidak sejajar dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan seperti yang dilaung-laungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menambah, rakyat kini semakin terhimpit dengan pelbagai kenaikkan harga barang, lebih-lebih lagi kepada golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3000 sebulan.

"Bagi kami rakyat yang berpendapatan agak sederhana dan pertengahan memang rasa cukup terkilan dengan sikap kerajaan persekutuan dengan slogan seolah-olah menipu rakyat, mendahulukan rakyat tapi realitinya yang berlaku kesan dengan kenaikkan harga minyak akan menyebabkan kami akan hidup dalam keadaan sengsara," kata Ridzuan.

Mengulas isu yang sama, Nazri Alias seorang pekerja swasta menyifatkan rakyat berpendapatan sederhana kini hidup dalam keadaan serba kekurangan memandangkan harga barangan semakin meningkat tetapi gaji masih pada takuk yang lama.

"Pendapatan kita 10 tahun yang dulu sama dengan sekarang tetapi harga barang makin meningkat tinggi, maknanya kita terhimpit, rakyat sekarang ni terhimpit dengan kenaikkan gula, minyak. Itu menyebabkan golongan pekerja yang berpendapatan sederhana susah untuk hidup di kawasan bandar," kata Nazri.

Yohan Raj, seorang Pensyarah IPTS pula berkata, matlamat kerajaan pemerintah tidak jelas dengan slogan yang sering dibangga-banggakan, seolah-olah tidak bertepatan kerana rakyat saban hari asyik mengeluh dengan harga barangan.

"Sebenarnya slogan yang diangkat kerajaan tidak menepati dengan keadaan yang sedang berlaku sekarang, di mana barang diutamakan dan rakyat diketepikan jadi saya rasa slogan itu tidak ada makna," kata Yohan. -tvsnews

Demo Bantah LYNAS: 500 orang berhimpun di depan kedutaan Australia


Keadilan Daily|  Kira-kira 500 orang berhimpun di depan kedutaan Australia bagi membantah projek pembinaan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Mereka bergerak dari masjid As Syakirin KLCC menuju ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat tadi.

Perarakan itu anjuran People’s Green Coalition dengan kerjasama kumpulan menentang projek berkenaan, Save Malaysia, Stop Lynas.

Mereka mengiringi enam wakil menghantar memorandum bantahan berhubung sisa radioaktif yang dihasilkan projek berkenaan .

Peserta perhimpunan turut melaungkan slogan ‘Hancur Lynas, Hidup Rakyat’ ketika tiba di kedutaan itu.

Jurucakap bagi NGO itu Vincent Chiam, berkata, mereka mendesak Lynas menamatkan operasi pembinaan projek nadir bumi itu sebelum 31 Ogos ini, sempena hari kemerdekaan yang jatuh pada tarikh tersebut.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir menyatakan sokongan ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Arutchelvam.

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan dan Naib Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri turut menyertai perhimpunan berkenaan.

Sebanyak enam trak polis lengkap dengan water canon dan dua trak dari Pasukan Unit Polis Persekutuan (FRU) turut dilihat berada di kawasan perhimpunan namun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan.

Bukti SB kempen politik untuk Umno, kutuk PAS, Anwar

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Baru-baru ini kira-kira 800 nelayan di sekitar Daerah Kuala Muda dipanggil oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menerima bantuan sara diri RM200 sebulan di MRSM Merbok. Himpunan seperti itu adalah perkara biasa, di mana sebelum menerima bantuan para nelayan tersebut akan dihidangkan dengan ceramah pemimpin-pemimpin politik BN. Duit yang disumbangkan oleh nelayan itu digambarkan seolah-olah duit yang diambil dari tabung Umno.

Namun himpunan nelayan kali ini ada kelainannya di mana salah satu slot yang dihidangkan ialah ceramah yang kononnya berhubung isu-isu keselamatan negara.

Penceramahnya ialah Supt. Mohamad Nadzri Mat Isa, Unit Cawangan Khas Bukit Aman.

Di atas pentas itu dia membelasah Anwar, KeADILan, DAP dan PAS habis-habisan dengan ‘bahan-bahan bukti’ audio visual yang turut dipersembahkan.

Ceramahnya seratus peratus adalah propaganda politik untuk memburukkan Pakatan Rakyat di samping mempertahankan kerajaan BN.
Apa sebenarnya yang sudah berlaku pada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)? Mereka tanpa segan silu mendedahkan diri secara terbuka terbabit dalam kempen politik BN.

Sebelum ini Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali menuntut penjelasan dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung isu yang sama, iaitu polis dipergunakan untuk berkempen bagi pihak BN.

Beliau merujuk kepada tindakan Datuk Abdul Rahman Ismail dari Cawangan Khas yang memperalat Pejabat Pelajaran Daerah Bachok bagi menyebarkan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Azmin, ia dibuat pada 19 Februari 2011 dalam program ‘Seminar Isu-isu Keselamatan Negara Masa kini’ di dewan Seri Bentara, Sekolah Menengah Beris Panchor yang melibatkan penyertaan 2,000 warga pendidik seluruh Kelanatan.

“Seminar itu bukan mengenai keselamatan negara tetapi mengupas isu video seks dan tragedi Memali.

“Apakah jaminan Ketua Polis Negara untuk mempastikan institusi polis berwibawa menjaga keselamatan negara jika mereka sendiri terlibat dengan agenda politik UMNO BN, jawab dengan jujur,” desak Azmin.

Jawapan tidak diberi, Ketua Polis Negara menyepi, sebaliknya Cawangan Khas terus bermaharajalela menjelajah ke seluruh negara berkempen untuk BN.

Selama ini PDRM hanya dilihat berat sebelah; bertindak pantas terhadap himpunan anjuran PR dan ‘memberi laluan’ kepada program anjuran BN. Dalam demokrasi ala Malaysia, semua instrument kerajaan dipergunakan.

Bukan sahaja polis tetapi SPRM, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Penerangan dan hampir kesemua Kementerian digunakan untuk agenda politik BN. Tetapi PDRM digunakan untuk berkempen politik secara terbuka adalah julung kalinya. Apabila PDRM digunakan untuk berkempen bagi pihak BN maka ia benar-benar sudah melampau!

Apa yang lebih merbahaya ialah ceramah yang diberi bertemakan ‘ancaman keselamatan’ tetapi hakikatnya ancaman bukannya terhadap keselamatan tetapi terhadap penerusan politik BN. Perkataan ‘keselamatan’ diperalatkan sewenang-wenangnya untuk menghalalkan tindakan tidak bermoral mereka.

Jika benar DAP, KeADILan dan dan PAS menjadi ancaman kepada negara, apakah penyelesaiannya melalui ceramah politik membelasah mereka sedangkan selama ini kesemua parti politik tersebut tidak pernah dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan apakah ancaman terhadap keselamatan yang telah dilakukan.

Tidak pernah ada tindakan pendahuluan dan susulan oleh PDRM, tiba-tiba PR sudah menjadi musuh negara walhal mereka masih sebuah parti politik yang berdaftar secara sah.

Isu PDRM berkempen politik untuk BN bukan perkara kecil. Ia tidak selesai dengan Azmin Ali membuat kenyataan terbuka menuntut Ketua Polis Negara memberi jawapan.

Pemimpin-pemimpin utama parti dalam PR mesti menghantar delegasi berjumpa Ketua Polis Negara atau Menteri Dalam Negeri menuntut penjelasan. Jangan anggap ia perkara biasa.

Dalam sejarah politik negara terlalu banyak penyalahgunaan kuasa jabatan kerajaan yang diperkudakan untuk membantu BN mengekalkan kuasa mereka, akhirnya ia menjadi ‘perkara biasa’ seolah-olah diterima oleh pihak pembangkang sendiri.

Jabatan Pendaftaran digunakan secara terang-terangan untuk membantu mengimport pengundi dari Sabah masuk ke Selangor; ia didedah dan dibantah tapi akhirnya kesemua pengundi import itu tersenarai juga dalam daftar pemilih.

SPR membantu mendaftarkan pengundi pos yang tidak munasabah dengan kapasiti kem tentera yang wujud; ia dibantah juga, namun mereka tetap tersenarai dalam daftar pemilih. Semua itu akhirnya menjadi ‘perkara biasa’.

Sejak merdeka semua media utama, termasuk RTM yang gajinya dibayar oleh rakyat digunakan untuk menjalankan kempen propaganda politik BN, ia sudah menjadi perkara biasa sehingga penentangan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan itu juga adalah perkara biasa, justeru tidak pernah dilayan.

Semua tahu BN sangat terdesak sekarang. Mereka begitu terasa sedang berasa di penghujung kuasa. Menggunakan PDRM adalah langkah terdesak tetapi amat berani.

Para pemimpin politik PR boleh dianggap sedang menggali lubang kubur sendiri jika penyalahgunaan jentera kerajaan sehingga ke tahap itu; ditentang secara sambil lewa sahaja. Usah bermimpi menawan Putrajaya jika PDRM sudah berkempen secara terbuka begitu membantu BN.
Related Posts with Thumbnails