Jumaat, 22 April 2011

Dunia Glamour Gagal Pacu Hidup Saya - Bob Lokman


Sebagai penggiat seni, akhirnya Bob Lokman patah ke pangkal jalan. Liku-liku dunia glamour yang menyelubunginya gagal memacu arah hidupnya mengikut kehendak Pencipta. Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamour dan mengaktifkan dakwah bersama ummat. Tersohor pencipta lagu, penulis lirik, pelakon dan pelawak, Mohd Hakim Lokman bertekad rebranding hidupnya untuk Allah dan sejak menyertai PAS masanya pagi, petang dan malam sarat dengan ceramah, pertemuan dan syarahan di seluruh pelusuk negara. Ikuti interbiu eksklusif Editor DATUK TARMIZI MOHD JAM dan wartawan INTAN ABDULLAH serta M SHAFRI SAMSUDIN bersama beliau.


Mengapa saudara Bob memilih PAS sebagai wadah perjuangan untuk berdakwah?

BOB LOKMAN: Sebabnya hanya kerana PAS sahaja pada masa ini yang mengamalkan amal ma'aruf nahi mungkar. Tabligh hanya amal ma'aruf sahaja. Rufaqa' hanya berkaitan ekonomi. Jadi masalah kita dalam Malaysia bukannya ekonomi, bukan masalah sembahyang, tetapi adalah masalah sistem yang membuatkan ekonomi, pendidikan, tidak Islamik. Begitu juga yang banyak merosakkan solat orang adalah sistem. Jadi, PAS sebagai wadah yang meperjuangkan Islam, yang ada kena mengena dengan politik dilihat berpeluang besar untuk mengubah sistem yang salah selepas digunakan dalam negara selama 53 tahun. Maka sebab itulah saya menyertai PAS.

Apa pula kesan sistem yang digunakan dalam negara kepada masyarakat selama ini?

Kesannya terlalu banyak. Contohnya dadah, buang anak, tidak jujur dalam pemerintahan kerana datang dari satu sistem pendidikan yang tidak kerana Allah. Hantar anak ke sekolah kerana niat mahukan dia pandai, mendapat pekerjaan yang bagus, bila besar nanti dapat rumah besar dan lain-lain bukan kerana Allah. Maka hari ini kita dapat cerdik pandai yang jadi pemerintah makan rasuah, yang peguam jadi pembunuh, yang jadi polis akan memukul orang tak tentu pasal. Ini berpunca daripada sistem pendidikan kita tidak kerana Allah. Begitu juga ilmu akademik yang diajar di sekolah tidak ditunjukkan secara langsung hubungannya dengan Allah. Jadi, bila niat bersalahan tidak kerana Allah, maka dapatlah kita bala dari Allah.

Berdasarkan hubungan saudara dengan artis, bagaimana mereka lihat perjuangan PAS?

Pertama, artis yang terlalu sibuk dengan urusan dunia. Mereka, sebenarnya tidak kisah hal politik. Sama ada PAS atau Umno, mereka tidak kisah. Mereka tidak ada kesedaran tentang itu. Kedua, ada artis yang mempunyai sikap penentangan kepada kerajaan kerana dia tahu isu-isu rasuah yang berlaku contohnya di RTM. Maka, mereka ini ada yang pro PAS atau pro Pakatan Rakyat. Tetapi sebahagian besar artis sebenarnya berpihak kepada BN. Terutama artis yang senang kita nampak, yang popular. Popular ini maksudnya senang dapat kerja, mewah dapat kerja maka dia merasakan kestabilan negara itu amat penting. Mereka ini melihat kestabilan negara adalah dari sudut ekonomi dan tidak pernah memikirkannya dari sudut agama. Mereka hanya jaga untuk sembahyang dia sahaja, sedangkan agama sebagai keseluruhan langsung mereka tidak fikir dan inilah cara pemikiran kebanyakan artis. Perbualan mereka hanya sekadar hal-hal dunia sahaja. Atau kalau keluar sikit daripada itu, adalah yang kena mengena dengan drama atau pembuatan filem. Nak masuk ke RTM dia tahu di sana ada banyak rasuah. Hanya bab itu sahaja mereka agak geram sikit. Tetapi masih menyokong kerajaan.

Artis semacam takut kalau PAS berkuasa hingga mereka merasakan seolah-olah perjuangan mereka dalam muzik akan terjejas. Ini macam mana...

Benda ini sebenarnya tidak sampai kepada mereka. Ada setengah yang taksub dengan dunia hiburan terutama perempuan ada yang berkata, "PAS kalau memerintah nayalah kita. Apa kita nak makan?". Sebenarnya sumber berkaitan ini hanya berdasarkan dua sumber sahaja iaitu pendapat artis itu sendiri dan kerajaan. Memang maklumat sebegini tidak sampai ke pengetahuan mereka. Hampir separuh terutama dari golongan muda tidak ada asas agama. Agama "samping hijau" yang saya panggil. Maknanya agama hanya dari sekolah rakyat semata. Dalamnya tiada, maka sebab itu mereka tidak terfikir ke mana sepatutnya arah mereka. Saya sendiri begitu juga dulu. Kita merasakan benda (dunia hiburan) yang kita lakukan satu tanggungjawab kepada negara sedangkan hakikatnya tidak. Sebagai contoh, dulu saya anggap muzik rock itu satu perjuangan tetapi sebenarnya tidak ada manfaat pun. Sama seperti orang cuci longkang, bawa teksi yang hanya mencari makan. Tetapi kononnya hasil itu daripada kreatif maka kita anggap ia sebagai perjuangan. Sebahagian besar yang memperjuangkan kreativiti itu sebenarnya lari akidahnya. Ini adalah kerana tidak bersandarkan kepada Islam dan tidak kembali kepada Allah. Pemikiran ini adalah kerana hasil yang dilahirkan 53 tahun BN memerintah dengan sistem yang ternyata gagal.

Berdasarkan pengalaman dalam dunia hiburan, bagaimana artis "samping hijau" ini mempelopori dunia hiburan...
Hasilnya lagi ramai orang buang anak, dedah aurat, lebih banyak fesyen baru akan keluar, akan meriah lagi dunia hiburan. Apa yang nampak indah dunia di mata dan mandatangkan bala lagi banyak. Akan lebih besar dan lebih mahal tiket konsert serta lebih besar bala yang Tuhan akan beri.

Apa reaksi kawan-kawan terutama teman rapat bila saudara menyertai PAS secara rasmi?

Kawan yang rapat semua belum datang berjumpa saya. Mereka nampaknya tidak berani dekat. Mereka tidak menelefon saya. Yang jumpa gitu-gitu adalah. Yang Melayu kata alhamdulillah. Mungkin hanya itu sahaja yang dia hafal.

Boleh cerita sedikit, punca saudara meninggalkan dunia hiburan?

Kesedaran timbul, bila saya lihat peguam bunuh arwah Sosilawati. Menteri menipu Perdana Menteri, Ketua Hakim bersara awal sedangkan dalam Islam tiada istilah bersara. Keadilan itu juga tidak terhenti. Mana logiknya jika orang sebegini pencen. Bolehkah takwa itu pencen pada pandangan Islam? Bolehkah iman itu pencen. Tentu tak boleh. Bagaimana Ketua Hakim Negara boleh pencen sedangkan mereka adalah orang yang tahu sistem keadilan negara. Mereka tidak dapat memberi sumbangan kepada orang lain apatah lagi kepada orang lain. Mereka yang tinggi ilmu dunia mereka jadi blank. Ini bermakna sistem yang ada salah. Jika begitu apa maknanya saya menghantar anak ke sekolah jika mereka dipencenkan sehingga tidak dapat memberi manfaat kepada negara. Ini kerana sistem ini, anak saya pergi ke mana pun ia akan pencen dan tidak memungkinkan kita beramal dengan "innamal a'malu bilniyat,".

Jadi sistem yang ada tidak logik kerana tak dikembalikan kepada Allah...

Iya. Apa yang akan kita kata pada anak,"belajar rajin-rajin, bila besar kau jadi DO". Jadi, ini adalah perkara yang mensyirikkan satu negara. Sistem yang ada juga berasal dari orang putih yang tidak ada tasawuf. Hanya fekah yang dikekalkan. Islam perlu ada fekah dan tasawuf. Jika tidak kita akan lihat banyak kemusnahan. Ini yang membuatkan saya berfikir. Saya mengambil keputusan memberhentikan anak saya dari sekolah kerajaan, kemudian pasang niat semula dan hantar semula ke sekolah agama tahfiz. Jadi saya pasang niat kerana Allah untuk dapatkan ilmu Allah dan berjuang mempertahankannya. Jadi sebelum saya berdakwah kepada orang lain saya perlu berdakwah kepada keluarga terlebih dahulu.

Boleh saudara imbau kembali macam mana boleh terbabit dengan industri hiburan?

Dulu saya adalah orang yang follow mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Pada masa saya sekolah, Mahathir sedang menggalakkan kekayaan orang Melayu. Bila saya tamat tingkatan lima, saya terpengaruh kehendak Mahathir. Saya datang ke Kuala Lumpur kerana terpengaruh untuk mencari kekayaan. Saya bermula dengan membawa bas sekolah dengan gaji RM350. Pagi dapat gaji, petang dah habis. Gaji saya habiskan dalam satu hari kerana tidak cukup. Kemudian saya jual buah dengan keuntungan mencecah RM600 hingga RM700 sehari. Tapi tidak ada prospek dan saya terpaksa duduk di situ sahaja. Saya ambil keputusan berhenti jual buah. Saya duduk di Pertama Complex selama setahun dan melihat peluang yang ada. Saya lihat Cina berniaga. Kita nak berniaga tapi modal tak ada. Saya ambil kesempatan mana-mana Cina angkat barang, saya tolong. Jadi saya dapatlah upah RM3 hingga RM5. Maklumlah muda lagi. Sehingga saya jumpa bidang bahagian teknikal pengurusan konsert. Saya membabitkan diri dengan kerja ini dari gaji RM7 sehari hingga RM140 sehari. Kemudian saya nampak macam mana nak manage artis, tulis lagu semuanya mendatangkan duit.

Nak jadi kayalah puncanya...

Saya masuk bidang ini memang punca asalnya nak cari kekayaan. Kebetulan pada masa yang sama minat dalam hiburan memang telah lama ada. Tambah pula industri itu tengah meriah denga kumpulan Sweet Charity dan kumpulan lain. Bidang ini kena dengan jiwa serta duit pun dapat. Zaman itulah mulanya sistem royalti, collection daripada badan yang main lagu pada public. Ini menjadikan pendapatan agak lumayan sehingga mencecah RM300 ribu setahun. Pokoknya duitlah segala-galanya. Pengurusan artis adalah sesuatu yang baru pada ketika itu. Mengurus artis juga perlukan daya fikir yang hebat. Dari situlah saya bermula sehingga terlibat dalam bidang lakonan. Maknanya dari belakang hingga ke depan tabir saya buat. Inilah yang membuatkan saya jadi mahir.

Selepas masuk PAS dan meninggalkan dunia hiburan adakah saudara masih menerima tawaran berlakon untuk watak-watak tertentu?

Saya telah mula menolak tawaran. Ini bukan soal PAS tetapi berkaitan soal takwa dan iman saya. Sebelum itu saya telah pergi belajar, talakin, menghadiri kelas agama, hikam dan belajar tauhid semula. Pada masa yang sama, ustaz yang mengajar memikirkan saya cari makan di situ, mereka meminta saya terus bekerja dalam bidang itu. Tetapi meminta saya jangan meninggalkan amalan dan ilmu. Masalahnya kita belajar kemudian berlakon memang tidak boleh kerana ada gangguan. Bila berlakon kita lihat aurat terbuka sana sini.

Walaupun ada watak yang sesuai...

Ya. Walaupun ada watak yang dianggap sesuai tetapi suasana persekitaran dan belakang tabir yang ada. Dengan tidak sembahyangnya, hingga ada ketika tergesa-gesa dalam sembahyang. Maka bila Ustaz Azri Musa mengajak saya menyertai PAS untuk satu baiah maka saya pun menyertainya. Sebelum ini pun semasa remaja memang saya selalu mengikuti bapa saudara saya aktiviti ceramah PAS. Bila saya isytihar masuk PAS, tawaran yang ada telah saya habiskan cuma ada tawaran dua shot yang kemudiannya saya lakukan untuk kali terakhir.

Rabu, 20 April 2011

Pengguna Facebook bantah projek emel 1Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 April: Belum pun sampai 24 jam Perdana Menteri melancarkan projek e-mel 1Malaysia, sudah muncul satu laman di Facebook menyeru rakyat menolak projek 'pembaziran' tersebut.

Didaftar atas nama '1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email', sehingga berita ini ditulis ianya telah mempunyai 21,913 pengguna Facebook yang meminatinya.

Menurut maklumat tertera, laman tersebut dibuat bagi membantah projek emel 1Malaysia yang didakwa hanya akan membazirkan RM50 juta wang rakyat selaku pembayat cukai.

Dalam posting awalnya, pengendali laman ini meletakkan beberapa pilihan jawapan berhubung tujuan projek ini diwujudkan untuk diundi oleh rakan-rakan mereka.

Majoriti peminat laman ini bersetuju bahawa projek emel 1Malaysia adalah projek untuk membantu kroni.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak merasmikan projek untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Dengan nilai kontrak bernilai RM50 juta, projek itu dianugerahkan kepada Syarikat Tricubes Bhd.

Bagaimanapun, syarikat tersbut dikatan sebuah syarikat bermasalah.

Bukan sahaja namanya tidak berapa dikenali, ianya juga merupakan antara 12 buah syarikat yang disenaraikan Bursa Malaysia sebagai syarikat GN3 kerana keadaan kewangannya dalam keadaan "lemah" atau "buruk."

Menurut garis panduan yang ditetapkan Bursa Malaysia, pengkelasan status GN3 itu akan membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan bantuan daripada satu jawatankuasa untuk menstruktur semula hutangnya.

Penyenaraian Tricubes di Bursa Saham mungkin ditarik balik sekiranya syarikat itu gagal meyakinkan bursa berhubung pelan untuk melunaskan kesemua hutangnya.

Kontrak bernilai RM50 juta itu dijangka sudah pasti akan memberi nafas baru kepada Tricubes.

Tricubes dimiliki secara tidak langsung oleh adik Najib


 Neo Chee Hua, Merdeka Review

Syarikat Tricubes Berhad yang diberikan kontrak 1Malaysia email bernilai RM50 juta kini berdepan dengan masalah kewangan, dan disenaraikan Bursa Malaysia sebagai status GN3. Seandainya syarikat ini gagal mengetengahkan program menstruktur semula kewangannya pada hujung Oktober 2011, maka ia mungkin berdepan dengan nasib untuk ditarik dari penyenaraian (delist).

Apa yang menarik, pemegang saham kedua terbesar Tricubes Berhad adalah Commerce Technology Ventures Sdn Bhd, iaitu Private Equity Fund yang ditubuhkan Bank Negara bersama Commerce Group (atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group).

Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini telah dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak (gambar kanan). Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah memberikan satu projek baru bernilai RM50 juta kepada Tricubes Bhd untuk mendirikan satu laman internet, dan setiap warga negara berumur 18 tahun ke atas akan dibuka satu akaun email - "1Malaysia email" untuk kegunaan rasmi; sementara mendirikan pusat perkhidmatan e-kerajaan, termasuk laman sosial, pembayaran hutang melalui internet dan sebagainya.

Namun demikian, menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist".

Dalam satu kenyataan Tricubes pada 29 Oktober 2010, lantaran daripada kebimbangan oleh juruaudit terhadap laporan kewangan Tricubes sehingga 31 Mac 2010, ditambah pula shareholders' equity yang lebih rendah daripada 50% modal sehingga Jun 2010, maka ia telah melanggar peraturan penyenaraian, lantas dimasukkan ke adalam status GN3.

Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752). Meskipun Tricubes memohon agar Bursa Malaysia mengecualikan dirinya daripada peraturan GN3, namun Bursa Malaysia enggan meluluskan permintaannya.

Menurut peraturan GN3 di Bursa Malaysia, Tricubes perlu mengemukakan satu rancangan penstrukturan semula kewangannya dalam tempoh 12 bulan, bermula 29 Oktober 2010 (tarikh dimasukkan ke status GN3). Malah, rancangan tersebut perlu diluluskan Bursa, malah dilantik penajanya dalam masa tiga bulan, dan menghabiskan program penstrukturan semula dalam masa enam bulan selepas diluluskan Bursa.

Jikalau Tricubes gagal mematuhi mana-mana peraturan, maka Bursa Malaysia boleh menghentikan sementara jual-beli saham syarikatnya, dan kemudian menarik penyenaraiannya (delist).

Menurut kenyataan terbaru Tricubes pada 1 April 2011, tiada perkembangan yang besar dalam rancangan penstrukturan semula kewangan syarikat tersebut. Menurut had tempoh, Tricubes harus menghantar laporan penstrukturan kewangannya sebelum 29 Oktober 2011, dan mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia - untuk mengelakkan dirinya daripada ditarik penyenaraiannya (delist).

Sebagaimana yang diketahui, Tricubes cuba membida 32.2% saham Pos Malaysia daripada Khazanah Nasional Berhad, tetapi gagal.

Pada saat-saat yang genting ini, Najib membawa cahaya harapan kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek 1Malaysia email bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober.

Apa yang dipertikaikan, PEMANDU yang mendakwa diri mengutamakan meritokrasi dan ketelusan itu, melantik sebuah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan ini.

Menurut maklumat rasmi, pemegang saham kedua terbesar Tricubes adalah Commerce Technology Ventures, ditubuhkan pada Julai 2000, dengan fungsi utamanya membekalkan modal untuk pembangunan teknologi. Sehingga hari ini, syarikat ini telah melabur di 22 buah syarikat, termasuk 10 buah syarikat telekomunikasi, enam syarikat advanced manufacturing, lima syarikat life science dan satu lain-lain.

Modal Commerce Technology Ventures dikendalikan CAV Private Equity Management Sdn Bhd, syarikat ini adalah salah satu syarikat di bawah CIMB Group. Menurut laporan kewangan Tricubes 2010, Commerce Technology Ventures merupakan pemegang saham kedua terbesar yang memegang 15.63% saham. Pemegang saham terbesar Tricubes adalah Khairun bin Zainal Mokhtar - selain memiliki 15.72% saham secara langsung, juga memiliki 14.17% saham melalui Ambank.

Pilihanraya Singapura: PAP Jangka Tentangan Sengit, Namun Pembangkang Masih Belum Kuat


RAKYAT Singapura akan mengundi pada Sabtu, 7 Mei, yang ditetapkan sebagai cuti umum.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan pemerintah, mengakhiri penantian dan spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum sejak tahun lalu.

Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 27 April, memberi ruang kepada kempen pilihan raya selama sembilan hari dan Hari Bertenang selama sehari.

Kenyataan itu menyusuli pembubaran Parlimen yang diisytiharkan Presiden S R Nathan pada 3 petang semalam, atas nasihat Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Hari Bertenang, yang pertama kali dikenalkan, adalah bagi membolehkan pengundi membuat keputusan secara tenang sebelum mengundi dan parti-parti politik dan calon-calonnya tidak dibenarkan berkempen pada hari tersebut.

Pilihan raya kali ini adalah yang kedua bagi Encik Lee selaku Perdana Menteri.

Ia disifatkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai pilihan raya umum genting kerana parti pemerintah ingin menyerap dan memupuk kepimpinan muda bagi membentuk pucuk pimpinan akan datang.

Bahang pilihan raya umum telah dirasakan apabila PAP mula mengenalkan calon-calon baru sejak bulan lalu.

Kesemuanya, terdapat sejumlah 24 calon baru PAP, termasuk dua calon baru Melayu, antara proses pembaharuan terbesar yang dilaksanakan parti pemerintah itu.

Sekurang-kurangnya lima daripada mereka dikatakan mempunyai potensi menjadi menteri.

Pilihan raya umum kali ini dijalankan selepas perubahan dibuat pada sempadan pilihan raya, dengan 15 GRC berbanding 14 GRC sekarang ini dan 12 kawasan undi perseorangan (SMC) berbanding sembilan SMC sekarang.

Jumlah kerusi keseluruhannya adalah 87, naik daripada 84 kerusi sekarang ini.

Perubahan lain adalah pada skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), dengan sehingga sembilan calon pembangkang yang menunjukkan prestasi paling baik semasa pilihan raya mendapatkan kerusi di Parlimen, berbanding enam kerusi kini.

PAP kini menguasai 82 daripada 84 kerusi Parlimen.

Dalam pilihan raya lalu pada 2006, PAP memenangi 45 daripada 47 kerusi yang dipertandingkan dengan dua kerusi terus dipertahankan pembangkang - Encik Chiam See Tong di Potong Pasir dan Encik Low Thia Khiang di Hougang.

Dalam pilihan raya tersebut, PAP meraih 66.6 peratus undi berbanding 75.3 peratusan undi pada pilihan raya 2001.

Pilihan raya kali ini dilihat antara yang paling sengit dengan isu-isu seperti kos sara hidup yang tinggi dan pembanjiran pekerja asing dijangka mendapat perhatian.

Sesetengah pengamat menganggap sentimen di kalangan pengundi kali ini mungkin kurang baik atas isu-isu tersebut.

Keputusan pilihanraya 2006 - 84 kerusi
Keputusan pilihanraya 2011 - 87 kerusi? Siapa menang?
Namun Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong, kelmarin berkata walaupun sentimen sedemikian mungkin wujud, beliau mempersoalkan adakah ia dapat diredakan dengan adanya lebih banyak pembangkang di Parlimen.

Manifesto PAP yang dibentangkan Ahad lalu memberi jaminan bahawa parti pemerintah akan melaksanakan program menyeluruh demi mencapai kehidupan lebih baik bagi semua lapisan masyarakat di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, semalam berkata manifesto itu bukan saja mengenai gambaran lebih besar iaitu menjanjikan kestabilan Singapura bahkan bertujuan menangani isu-isu harian yang menjadi keprihatinan rakyat.

Parti Pekerja (WP) sebelum ini telah melahirkan hasrat bertanding di GRC Aljunied, East Coast, Moulmein-Kallang dan Nee Soon sementara Parti Perpaduan Nasional (NSP) pula dijangka bertanding di GRC Chua Chu Kang, Jurong, Tampines dan Marine Parade.

Di Bishan-Toa Payoh, PAP juga akan berdepan dengan Parti Rakyat Singapura (SPP) yang dipimpin tokoh veteran, Encik Chiam See Tong, dengan dibantu bekas dua penerima biasiswa pemerintah, Encik Benjamin Pwee, 43 tahun, dan Encik Jimmy Lee, 35 tahun.

Pertandingan lain pula akan melihat PAP berdepan dengan Parti Demokratik Singapura (SDP) di Holland-Bukit Timah dan Sembawang, Parti Pembaharuan (RP) di West Coast dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) di Pasir Ris-Punggol.

Deposit setiap calon yang ingin bertanding ditetapkan $16,000 - naik daripada hanya $13,500 pada pilihan raya yang lalu.

Sekitar 2.3 juta pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kali ini, naik daripada 2.1 juta pada pilihan raya 2006 dan 2 juta pada pilihan raya 2001.

Filem Melayu Hina Islam Bakal Ditayangkan?


Filem yang berkisar mengenai ajaran sesat Abu Ya itu membariskan para pelakon antaranya Faizal Hussein, Jue Aziz, Iqbal Mazlan, Khir Mohd. Nor, Adrea Abdullah, Yus (Raja Lawak) dan Suhaillah Salam.

Ia menceritakan bagaimana Abu Zakaria yang memakai gelaran Abu Ya (lakonan Faizal Hussein) mencari pengaruh dengan menyesatkan penduduk kampung melalui ajarannya selain menggalakkan hubungan seks tanpa kawalan kepada setiap pengikut ajaran itu.

Amran berkata orang ramai mungkin menganggap filem tersebut sebagai tidak bermoral tetapi ia sebenarnya mempunyai mesej untuk mengelakkan ketaksuban melampau seseorang terhadap pemimpin mereka.

Tambahnya, filem itu juga memperlihatkan bagaimana seorang wanita itu sanggup melakukan apa sahaja untuk menuntut haknya daripada suami terutamanya mengenai nafkah batin.
Mengenai desas-desus kononnya filem tersebut diharamkan penyiarannya berikutan adegan melampau yang ditampilkan, ujar Imran pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) pada 13 April lalu.

Filem terbitan Million Euphoria Sdn Bhd tersebut dijangka ditayangkan pada November tahun ini berikutan kegagalan pihaknya menerima kelulusan Syarat Wajib Tayang akibat senarai filem yang terlalu banyak menunggu giliran..
Related Posts with Thumbnails