Rabu, 16 Jun 2010

ADUN BN yang nak melompat, tapi bukan menyertai PR.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Perak hari ini memberitahu ada wakil rakyat Umno yang mahu meninggalkan parti itu kerana tidak puas hati dengan pemimpin kerajaan negeri.

Adun Lintang, Datuk Ahmad Pakeh Adam berkata, bagaimanapun, mereka bukan hendak menyertai Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya menjadi Adun bebas.

"Saya ada terdengar cerita mengenai perkara tersebut tetapi tidak dapat disahkan kebenarannya. Nak percaya tidak boleh, tidak percaya pun tidak boleh.

"Barisan Nasional (BN) pun tidak kuat di Perak, akibatnya wujud perasaan tidak puas hati ," katanya yang juga bekas ketua Umno bahagian Sungai Siput ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin ada Adun Umno Perak yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Kelmarin, Ketua Penerangan PKR Perak Zulkifly Ibrahim mendakwa tiga Adun dikatakan akan melompat parti kerana didakwa tidak berpuashati dengan Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Pakeh berkata, laporan Adun Umno mahu menyertai Pakatan Rakyat adalah tidak benar.

"Mereka tu nak buat taktik Datuk Nasarudin Hashim (Adun Bota) yang pada awalnya melompat menyertai PKR untuk memancing tiga Adun Pakatan Rakyat menyertai Barisan Nasional.

"Barangkali mereka nak buat apa yang Datuk Nasaruddin buat, nak tarik Adun Pakatan Rakyat menyertai BN," katanya.

Awal tahun lalu, Nasarudin menyertai PKR tetapi beberapa hari kemudian kembali semula ke pangkuan Umno.

Tidak lama selepas itu, tiga Adun Pakatan Rakyat – dua dari PKR dan seorang DAP – meninggalkan parti itu dan menyatakan sokongan kepada BN.

Akibatnya, kerajaan Pakatan Rakyat tumbang apabila tidak lagi mendapat majoriti dalam DUN negeri Perak.


freemalaysiatoday

RMK-10: Ekonomi tumbuh 6 peratus tidak munasabah

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I disindir di Dewan Rakyat kerana menjangkakan ekonomi negara akan tumbuh sebanyak 6 peratus sebagaimana yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, jangkaan Najib itu adalah tidak munasabah sekiranya dilihat pada senario pertumbuhan ekonomi negara pada RMK9 dan RMK8 yang lalu.

Sehubungan itu, beliau seakan menyifatkan Najib memacu ekonomi negara sebagaimana memandu kereta dengan kelajuan 10 kilometer sejam dengan menggunakan gear dua.

"Adakah kita (kerajaan) mahu memandu kereta 10 kilometer sejam dengan gear dua," sindir beliau ketika mencelah perbahasan RMK10 oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jayakumar.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, kerajaan mensasarkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 7.5 peratus dari tahun 2001 hingga 2005 melalui RMK8.

Tetapi, menurut beliau, pertumbuhan ekonomi yang berlaku sebanyak 4.7 peratus sahaja.

Ujarnya lagi, kerajaan turut mensasarkan pertumbuhan ekonomi negara dari tahun 2006 hingga 2009 melalui RMK9 sebanyak 6 peratus.

Tetapi, katanya lagi, pertumbuhan ekonomi hanya 4.2 peratus setahun walaupun Najib sendiri telah membenamkan RM235.6 bilion wang Petronas demi mewajahkan senario stabil ekonomi negara sebelum ini.

Melihat pada pemacuan ekonomi negara yang kian kelam, beliau menuntut janji politik yang Najib sendiri mahsyurkan sebelum ini, iaitu ekonomi negara kian pulih dalam masa terdekat.

"Janji Perdana Menteri di Copenhagen, sasaran 7.5 peratus tetapi yang tercapai hanya 4.7 peratus (tetapi) RMK10 sasar 6 peratus," ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mempersoal keberdayaan kerajaan dalam menangani kemelesetan ekonomi negara serta menyelesaikan masalah belanjawan negara yang kian defesit sejak 11 tahun yang lalu.

Sebelum pada itu, Dr. Jayakumar meminta Najib berhenti sikap menipu rakyat dengan memberikan angka sasaran pertumbuhan ekonomi yang tidak menunjukkan realiti sebenar ekonomi negara dan dunia.

Ujarnya lagi, sekiranya dunia boleh jujur menjelaskan senario sebenar kemelesetan ekonomi yang dijangka bersama, mengapa Malaysia masih mahu bersikap sebaliknya.

Mungkin Benar Dia Berpuaka, Malah Amat Berpuaka


Perbicaraan Kes ‘Bini Puaka’ Bersambung Julai Depan.

Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan Julai depan bagi sambungan perbicaraan lima pelajar Universiti Malaya (UM) berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Rozana Ali Yusof membuat keputusan tersebut setelah selesai mendengar keterangan saksi oleh pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan tarikh berasingan bermula 1,2,9 dan 28 hingga 30 Julai ini.

Perbicaraan yang masuk hari kedua ini bagi mendengar keterangan saksi kelapan dan kesembilan iaitu DSP Shaikh Zainal Abidin Omar dan Detektif L Thuraisingam.

Pihak pendakwaan sebelum ini telah mengemukakan 17 orang saksi kepada mahkamah berhubung kes tersebut.

Tertuduh terdiri daripada Mohamad Izzuddin Hilmi, Muhammad Syahruldeen Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle dan Mohammad Saufi Jelani, masing-masing berusia 22 tahun serta Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23.

Malah kelima-lima tertuduh turut hadir sambil ditemani ahli keluarga dan rakan masing-masing.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Kelima-lima tertuduh diwakili oleh empat orang peguam yang diketuai oleh Mohamad Arfizi Mohd Ramli, manakala timbalan pendakwa rayanya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Mereka juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.


Ulasan GB

Dia pernah dikaitkan dengan pembunuhan misteri Altantuya. Dia juga oernah dikaitkan dengan "mandarem" yang ditemui di Pejabat Pak Lah beberapa minggu sebelum Najib mengambil alih jawatan PM.

~GreenBoc

DAP PERAK BAKAL DAPAT RM10 JUTA

DAP Perak bakal mendapat RM10 juta setelah mengambil tindakan undang-undang terhadap dua wakil rakyatnya dari Perak - Keshvinder Singh dan Datuk Hee Yit Foong — kerana melanggar kontrak kesetiaan yang mereka tandatangan selepas pilihan raya umum 2008. Di Perak, wakil-wakil rakyat yang bertindak keluar dikehendaki menandatangani perjanjian setia dengan bersetuju akan mengosongkan kerusi dan membayar denda RM5 juta.
Keshvinder keluar DAP semalam manakala Hee awal tahun lalu.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan perjanjian yang mereka tandatangan memerlukan wakil-wakil rakyat yang hendak keluar parti mengosongkan kerusi mereka dan bayar RM5 juta sebagai denda.

“DAP Malaysia akan memfailkan saman. Pada prinsipnya, kepimpinan tertinggi sudah bersetuju dengan ini, saya sudah berbincang dengan beberapa pemimpin kanan termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh dan mereka bersetuju.

“Bagaimanapun sebagai menghormati keseluruhan kepimpinan parti, kami hanya akan memfailkan saman selepas jawatankuasa eksekutif pusat parti mengadakan mesyuarat 28 Jun,” kata beliau pada sidang media di lobi bangunan hari ini.

Kepimpinan DAP Negeri Sembilan dan Perak telah meminta wakil rakyat yang dipilih menandatangai perjanjian kesetiaan selepas pilihan raya umum 2008 bagi mengelakkan tindakan lompat parti.

Pembubaran 13 cawangan Jelutong: Ahli Umno berang

Sekumpulan pemimpin Umno di Jelutong begitu berang dengan tindakan setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim kerana mengumumkan kepada media bahawa beberapa cawangan di negeri berkenaan akan ditutup.

Ketika sidang media lebih dua jam di Hotel Grand Continental, Pulau Pinang, mereka mencabar Azhar membuktikan bahawa cawangan berkenaan benar-benar tidak aktif dan mendakwa tidak dimaklumkan berhubung pembubaran itu oleh majlis tertinggi parti.

Kumpulan berkenaan berkata urusan membubarkan mana-mana cawangan sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi Umno dan bukannya oleh Azhar.

Menurut pemimpin Umno cawangan Persiaran Perak, Idris Osman, Pendaftar Pertubuhan juga tidak memaklumkan berhubung pembubaran cawangan berkenaan.

Katanya, semakan dengan pendaftar dua bulan lalu mendapati cawangan-cawangan berkenaan masih aktif.

"Sepatutnya majlis tertinggi parti yang patut membuat pengumuman itu, bukannya Azhar. Siapa dia untuk berbuat demikian,” katanya dengan nada sinis.

Nada yang sama disuarkan oleh pemimpin cawangan Taman Perak, Mahadzir Mohd Mustaffa yang menuduh Azhar bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menutup cawangan berkenaan demi kepentingan politiknya menjelang pemilihan parti akan datang.

"Azhar mesti melawat cawangan-cawangan berkenaan dan melihat sendiri keadaan yang sebenar. Ini isu yang besar yang bakal menentukan masa depan Umno, bukan sahaja di Jelutong tetapi juga Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, pemimpin cawangan Jalan P Ramlee Syed Feisal Syed Mohd mendakwa 13 cawangan berkenaan ditutup kerana ahlinya didakwa menyokong Pakatan Rakyat.

"Kita tidak sepatutnya bertindak tanpa sebarang bukti. Kecuali mereka didapati berceramah di pentas Pakatan Rakyat, membawa bendera pembangkang ataupun membidas Umno, kita tidak boleh mengandaikan mereka menyokong pembangkang,” katanya.

Semalam, Azhar, yang juga ADUN Penaga (BN) mengesahkan 13 cawangan Umno dibubarkan.

Katanya, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Barisan Nasional di Pulau Pinang pada Ahad lalu.
Beliau juga memaklumkan bahawa semua ahli daripada cawangan yang dibubarkan itu diserapkan ke 25 cawangan yang lain.


Malaysiakini
Related Posts with Thumbnails