Sinar Harian | KUALA LINGGI - Sebahagian anggota Relawan Ikatan Rakyat Malaysia (Rela) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang bertugas pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 lalu, mendakwa kecewa kerana belum menerima elaun yang dijanjikan.
Mereka yang bertugas di Kompleks Perahu Layar, Pengkalan Balak ditugaskan untuk mengawal keselamatan pada kejohanan itu dengan elaun yang dijanjikan sebanyak RM100 sehari untuk seorang.
Bagaimanapun, selepas lebih sebulan berlalu, belum ada tanda akan menerima elaun berjumlah RM1,400 bagi tugasan yang dilakukan sepanjang dua minggu itu menyebabkan mereka beranggapan seolah-olah ditipu.
Seorang anggota, Mohd Rizal Haiber, 32, berkata dia dimaklumkan pengurusan Rela bahawa sepanjang kejohanan itu, dua anggota Rela ditugaskan untuk mengawal keselamatan dengan bayaran elaun sebanyak RM100 sehari.
“Kami tak kisah dia nak bayar berapa pun, tetapi mengikut perjanjian awal mereka setuju nak bayar RM100 seorang sehari kepada dua petugas Rela bagi mengawal keluar masuk serta menjaga tahap keselamatan sentiasa berada di dalam tahap memuaskan setiap masa," katanya.
Namun, menurutnya, empat lagi anggota Rela kemudian ditugaskan di tempat itu kerana mahu meningkatkan lagi tahap keselamatan.
“Selang beberapa hari sebelum kejohanan bermula, mereka menambah empat lagi anggota Rela menjadikan keseluruhan anggota semuanya enam orang dengan alasan perlukan anggota yang ramai untuk temasya sebenar.
“Kami semua berharap imbuhan atau elaun yang diberi sekurang - kurangnya dapat mengurangkan beban dan menampung kehidupan kami yang sudah berkeluarga hingga sanggup menanggung risiko semasa menjalankan tugas," katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Sehubungan itu, Mohd Rizal membuat laporan polis berhubung masalah itu dan meminta pihak terbabit memandang perkara itu dengan serius.
Seorang lagi anggota Rela, Esa Goh Abdullah, 58, berkata tindakan pihak berkenaan melambat-lambatkan pembayaran elaun yang sepatutnya dilunaskan sebaik saja temasya Sukma berakhir adalah tidak wajar.
“Sepanjang kejohanan itu kami terpaksa menerima 'habuan' berupa maki hamun dari pegawai atasan dan juga golongan berpangkat yang tidak dikenali disebabkan masalah kecil sehingga ia menimbulkan salah faham antara kami.
“Apabila kami tanya mengenai elaun kepada pihak berkenaan, mereka kata borang tuntutan elaun belum diterima lagi. Kemudian mereka suruh tunggu minggu hadapan, begitulah seterusnya.
"Persoalannya sekarang sampai bila kami semua harus menunggu," katanya.
Di turut menyifatkan tindakan pihak berkenaan melambat-lambatkan pembayaran elaun seperti dijanjikan hanya memburukkan keadaan.
“Kami harap ia diselesaikan secepat mungkin. Walaupun jumlah dituntut tidak sebesar mana, tetapi hak kami siapa hendak pertahankan,” katanya.