Sabtu, 19 Disember 2009
Leburkan Sikap Perkauman Sempit, Kata Anwar
Katanya orang Melayu dan Bumiputera perlu diberi keyakinan baru dalam mengikis sikap perkauman serta mengetepikan dasar meminggirkan golongan lain.
"Kita harus keluar dari kepompong perkauman dan ini adalah dasar perjuangan utama dalam Pakatan Rakyat.
"Kita tidak akan menang (pilihan raya) sekiranya terus dengan semangat usang yang mempertahankan sudut perkauman," katanya ketika menyampaikan ucapan perdana pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di sini pada Sabtu.
Anwar berkata keadilan bermakna masyarakat miskin yang majoritinya orang Melayu, Bumiputera serta orang Cina di kawasan bandar dan India di estet harus diberi perhatian dan pembelaan.
Beliau juga berkata gagasan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti PKR, PAS dan DAP mengesyorkan supaya umur kelayakan mengundi dikaji semula daripada 21 tahun kepada 18 tahun melalui pendaftaran secara automatik.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa partinya akan sentiasa setia kepada perjuangan parti pakatan itu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula memperkenalkan konsep anak Malaysia 5K iaitu keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan.
Katanya dasar Pakatan Rakyat telah dirangka dengan persetujuan semua pemimpin ketiga-tiga parti.
"Kompromi seperti ini adalah petanda baik bahawa kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat adalah berdasarkan landasan perbincangan dan perundingan yang bernas tanpa didominasikan oleh sesuatu pihak, katanya.
Konvensyen itu telah dihadiri lebih 1,500 perwakilan serta Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.
-- BERNAMA
Jumaat, 18 Disember 2009
Rakyat dibebani RM6.4 bilion cukai
KUALA LUMPUR - Pasukan Khas Anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyifatkan pengenalan cukai itu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperoleh daripada pihak industri.
Ahli Jawatankuasanya, Tony Pua berkata, kenyataan bahawa rakyat tidak terbeban dengan pengenalan cukai tersebut dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan negara sebagai tidak masuk akal.
“Jika perolehan cukai daripada peniaga akan dikurangkan sehingga RM5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM6.4 bilion akan diperoleh daripada rakyat.
“Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi? Pengecualian cukai RM6.4 bilion yang dinikmati oleh peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.
Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.
Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.
Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anti-GST, Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menganjurkan sesi jelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GST.
“Pakatan Rakyat (PR) akan jelajah seluruh negara bulan depan memberi kesedaran kepada rakyat dan menerima maklum balas mereka yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar industri," katanya.
~Sinar Harian~
Khamis, 17 Disember 2009
Anti-GST sanggah kenyataan Menteri Kewangan Kedua
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 17 Dis: Pasukan Khas Pakatan Rakyat Anti-GST (Anti-GST Task Force) hari ini sekali lagi menyanggah kenyataan Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat. Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, Ahli Jawatankuasa Anti-GST Tony Pua berkata, pengenalan GST akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM 6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperolehi daripada pihak industri. "Jika perolehan cukai daripada para peniaga akan dikurangkan sehingga RM 5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM 13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM 6.4 bilion akan diperolehi daripada rakyat. "Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi?. Pengecualian cukai RM 6.4 bilion yang dinikmati oleh para peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pelating Jaya Utara pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi. Seorang lagi Ahlijawatankuasanya, Dr. Dzulkifli Ahmad pula berkata, perlaksanaan GST merupakan satu beban kerana ia mengakibatkan semua rakyat tidak mengira sempadan pendapatan terpaksa membayar cukai dengan kadar yang sama sekaligus membuatkan golongan berpendapatan rendah lebih menderita. "kalaulah golongan berpendapatan rendah buat simpanan, golongan pendapatan tinggi pun buat simpanan, kelompok pengeksport pun buat simpanan akhirnya macammana datangnya pendapatan lebihan daripada cukai ini. Rakyat yang manjadi mangsa kerana terpaksa membayar cukai," katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor juga berkata, rancangan Kerajaan melaksanakanGST disebabkan mereka sudah kehabisan sumber kewangan dan terpaksa mencari sumber ain untuk menampung hutang Kerajaan. "Menteri cuba yakinkan rakyat cukai ini baik untuk rakyat tapi sebearnya Kerajaan sudah banyak berhutang sehingga terpaksa mencari sumber lain,"tegasnya. Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, pasukan Anti-GST akan meningkatkan usaha memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kesan buruk yang akan ditangggung rakyat jika GST dilaksanakan. Ini termasuk perbincangan meja bulat parlimen melibatkan ahli parlimen dan pakar industri bagi mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada golongan ini. "Untuk tempoh Januari hingga MAC, Pasukan Anti GST akan meningkatkan tindakan membantah pelaksanaan cukai ini. Kami akan mengadakan perbincangan meja bulat parlimen dengan 'industry ekspert' untuk dapatkan pandangan dan maklumbalas daripada kelompok ini. "Kami juga akan adakan kaukus parlimen melibatkan Ahli Parlimen tentang GST," katanya lagi. Selain itu, pasukan ini akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara melibatkan program berbentuk forum, pengedaran risalah penerangan mengenai GST. Rakyat juga boleh memberi maklum balas mengenai GST melalui emai NOtoGST@gmail .com Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan GST yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini. Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat khususnya golongan miskin serta berpendapatan rendah. Beliau berkata, pelaksanaan GST berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk sektor eksport. Ahmad Husni berkata, ini kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 dikecualikan daripada membayar GST. ~Harakah Daily~ |
Rakyat Wajib Bersatu Menentang GST
Dari Erapakatan
Oleh Roziyah Mahamad
Rakyat Malaysia disaran menentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang nyata terang-terangan menindas rakyat. Hal ini ditegaskan oleh ketua penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab dalam kenyataan akhbarnya hari ini.
Menurut beliau, rakyat tidak kira apa ideology, agama, bangsa dan budaya harus bersatu dalam menyatakan bantahan dan menggesa Kerajaan Pusat menghentikan usaha mereka untuk memperkenalkan GST ini.
“Orang Umno, MCA, MIC, PAS,PKR dan apa jua parti sekalipun akan terpalit dan sama-sama menanggung beban dan risiko jika GST ini diluluskan di Dewan Rakyat,” jelas Sofi.
Beliau yang juga ADUN PAS Bukit Katil pasti GST ini akan membebankan rakyat walaupun kerajaan telah membuat pelbagai janji manis. Kerajaan menabur janji yang rakyat tidak akan terbeban dengan GST ini sekiranya ia dilaksanakan kelak.
“Memang benar kerajaan BN yang memerintah kita pada hari tidak berhati perut dan tiada belas kasihan kepada rakyat. Pada saat dan ketika rakyat dihimpit dengan kesusahan dan penderitaan akibat kenaikan kos sara hidup tergamak mereka menambahkan lagi penderitaan tersebut,” jelas Sofi lagi.
Beliau sebagai berkata, sehingga kini Kerajaan Pusat masih gagal memberi alas an yang kukuh mengapa GST ini perlu dilaksanakan. Kebanyakkan pemerhati politik beranggapan bahawa kerajaan BN sudah kesempitan wang sehingga terpaksa memperkenalkan akta ini untuk ‘merompak’ duit rakyat secara terhormat tanpa memikirkan penderitaan rakyat.
Kerajaan sebelum ini bercadang untuk melaksanakan GST pada kadar 4 peratus dan pengecualian diberikan bagi barangan keperluan. Antara barangan keperluan tersebut termasuklah beras, sayuran, tepung dan gula.
“Persoalannya adakah rakyat hanya makan beras, sayuran, tepung dan gula sahaja, bagaimana dengan barangan keperluan harian lain, sudah tentu ia akan naik harga. Begitu juga dengan perkhidmatan, sudah tentu caj perkhidmatan tertentu akan naik dan membebankan rakyat,” tegas Sofi.
Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah telah membentangkan rang undang-undang di Dewan Rakyat. Bacaan kedua dan seterusnya akan dilakukan Mac 2010.
Husni berkata kerajaan berhasrat untuk melaksanakan GST pada pertengahan 2011, untuk memberi masa yang mencukupi kepada semua pihak untuk bersedia sebelum dilaksanakan.
Rabu, 16 Disember 2009
Konsep 1 Malaysia Kerajaan Najib Melencong
Dari Malaysian Insider
Oleh Shen Yee Aun
Perdana Menteri Malaysia keenam Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak telah melaungkan dan memperkenalkan konsep 1 Malaysia dari hari pertama beliau berkuasa sehingga hari ini. Laungan ini terus diulangi di mana-mana sahaja. Semasa saya mewakili Universiti Malaya untuk Debat Perpaduan 2009 yang berlangsung di Unimas, Sarawak pada 19 hingga 23 May 2009 dan berjaya menembusi peringkat akhir Debat Perpaduan 2009 dan pada ketika itulah saya mengenali konsep 1 Malaysia dengan lebih luas dan terperinci. Hal ini disebabkan saya terpaksa bertungkus lumus mencari dan menganalisis fakta. Lebih-lebih lagi terdapat banyak usul yang berkaitan dengan konsep 1 Malaysia.
Dalam konsep ini terdapat tiga teras utama yang ditekankan oleh Najib iaitu Penerimaan, Kenegeraan dan Keadilan Sosial. Ketiga-tiga teras ini pula akan diperkukuhkan dengan tujuh nilai yang diperkenalkan.
- Nilai 1: Budaya Cemerlang
- Nilai 2: Ketabahan
- Nilai 3: Rendah Hati
- Nilai 4: Penerimaan
- Nilai 5: Integriti
- Nilai 6: Kesetian
- Nilai 7: Meritokrasi
- Nilai 8: Pendidikan
Teras 1: Penerimaan
Persoalannya kini bagaimana Najib boleh memperkenalkan konsep yang bercanggah dengan perjuangan dan perlaksanaannya? Beliau mahu mengubah asas perhubungan kaum di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Namun begitu bagaimana konsep ini hendak dicapai sekirannya dasar pecah dan perintah halus Najib terus memecahkanbelahkan masyarakat berbilang bangsa di negara kita? Barisan Nasional sering melaungkan dasar dan idelogi politik mereka adalah sistem politik perkongsian kuasa namun sebenarnya sistem tersebut adalah sistem politik dasar pecah dan perintah dimana ada parti-parti tertentu khas untuk memperjuangkan nasib dan hak kaum masing-masing. Biasanya kita hanya mengenali dasar pecah dan perintah ekonomi British dimana dikatakan Melayu di kampung sebagai petani, Cina di bandar sebagai pedagang dan India di estet sebagai penoreh getah. Oleh itu, apakah bezanya kalau parti Umno untuk Melayu , parti MCA untuk Cina dan parti India untuk MIC? Dasar pecah dan perintah bukan sahaja boleh wujud dalam sistem ekonomi tetapi juga dalam politik.
Teras 2: Kenegaraan
Pada 28 April 2009 Najib mengingatkan mana-mana pihak agar jangan terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara kerana kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab serta di bawah konsep 1 Malaysia, tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan.
Pertama siapakah golongan kaum yang dikatakan terlalu taksub menuntut hak mereka dalam pemikiran Najib? Namun tanpa perlu hurai lebih lanjut kita masing-masing sudah sedia maklum tahu kaum manakah yang dimaksudkan Najib. Jawapannya kepada Najib pula kalau seseorang itu diberikan makanan yang secukup dan sebaiknya dan sudah kenyang adakah orang tersebut akan meminta makanan lagi sedangkan perut sudah kenyang? Berbanding pula dengan orang yang perut mereka lapar sehingga perlu taksub meminta makanan.
Keadaan tersebut menandakan keadaan kaum tertentu yang hak mereka tidak lagi dipenuhi. Jangan hanya sebut tanggungjawab rakyat tetapi tanggungjawab kerajaan dan Perdana Menteri juga penting. Jangan hanya tahu suruh orang tidak menuntut tetapi sendiri tidak juga cuba sedaya upaya memenuhi segala keperluan yang diperlukan rakyat. Bunyi tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan cukup kelakar kerana rakyat di negeri Pakatan Rakyat sudi atau tidak kerajaan bantu? Kita mengkaji rentetan isu dan peristiwa yang berlaku antara Selangor, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan kerajaan persekutuan sudah boleh menilai sejauh mana kenyataan Najib retorik atau tidak.
Teras 3: Keadilan Sosial
Keadilan sosial rakyat atau keadilan sosial Umno? Kita lihat setelah 52 tahun negara kita merdeka namun segala dasar dan pembahagian yang retoriknya untuk rakyat tetapi akhirnya kroni dan ahli sendiri yang menikmatinya. Kalau benar di bumi bertuah ini ada keadilan sosial rakyat mengapa ramai graduan bijaksana semua berkhidmat di luar negara? Mereka mungkin dituduh tidak setia kepada negara tetapi adakah pemerintah adil kepada mereka?
Bagaimana keadilan sosial rakyat boleh tercapai sekirannya Najib terus memanipulasi hak yang ada pada kaum Melayu untuk terus menindakkan peluang dan hak kaum lain? Tidak pernah kaum lain mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu tetapi Umno sendiri yang selalu mengaburi mata rakyat dengan konsep ketuanan dan keistimewaan Melayu sehingga dipertikaikan tindakan mereka. Pertikaikan kaum lain terhadap tindakan Umno sangat berbeza dengan pertikaian terhadap hak dan keistimewaan Melayu. Kalau benar Umno benar-benar telus mempertahankan dan memperjuangkan keistimewaan orang Melayu mengapa pula ramai orang Melayu yang menentang Umno, ramai Melayu sendiri yang memangkah Umno dalam pilihan raya dan bilangan kaum Melayu dalam Pakatan Rakyat semakin hari semakin bertambah. Hal ini disebabkan perjuangan hak keistimewaan Melayu hanya sekadar laungan retorik dan manipulasi serta eksploitasi yang dilakukan oleh Umno. Mungkin benar ketuanan dan keistimewaan Melayu diperjuangkan tetapi bukan Melayu rakyat dan sebenarnya adalah Melayu Umno dan Najib.
Nilai 1 — Budaya Cemerlang
Bagaimana seorang penculik dan perompak negara boleh mewujudkan budaya yang cemerlang sedangkan segala tindakannya sudah memaparkan budaya sesat? Kita lihat bagaimana wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat diculik oleh seorang pemimpin negara dan kita juga lihat bagaimana seorang pemimpin negara merompak hak, undi dan demorkrasi rakyat di negara Perak. Adakah perbuatan ini menandakan satu budaya yang cemerlang atau sebaliknya? Kalian tepuklah dada dan tanyalah selera.
Bagaimana budaya yang cemerlang mampu diwujudkan apatah lagi dicetuskan apabila seorang Speaker dewan ditarik keluar menggunakan kuasa polis yang sudah menodai kemuliaan sesebuah dewan tersebut? Bagaimana budaya cemerlang mampu diwujudkan apabila perlembagaan negara terus diperkosa demi memuaskan hati dan nafsu seorang pemimpin dalam rampasan kuasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dalam zaman pemerintahan kelima-lima Perdana Menteri negara?
Bagaimana budaya cemerlang mampu diwujudkan apabila Cina di China terus disembah tetapi Cina di Malaysia bagaimana pula? Bak kata pepatah Melayu hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri dan lebih baik di negara sendiri. Namun tindakan dan perjuangan pemimpin negara tidak berlandaskan kepada pepatah Melayu ini. Sepatutnya Cina China yang emas dilayan seperti batu tetapi Cina Malaysia batu dilayan seperti emas.
Bagaimana kita hendak mewujudkan budaya cemerlang sedangkan negara demokrasi yang bertunjangkan kepada hak kebebasan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu digantikan dengan pemerintahan ala komunis? Chin Peng komunis ditentang sekuat hati tetapi tindakan komunis yang menyekat hak kebebasan berhimpun, berparti dan bersuara disekat. Rakyat demi rakyat ditangkap seperti Ang San Su Kyi yang ditahan bawah pemerintahan Junta Tentera. Adakah di Malaysia pula pemerintahan Najib tentera hendak terus diamalkan?
Kalau kesemua persoalan di atas menandakan budaya yang cemerlang maka Malaysia akan cemerlang, gemilang, terbilang dan tidak terbilang.
Nilai 2 — Ketabahan
Barisan Nasional tidak belajar daripada sejarah. Bencana tsunami politik Mac 2008 tidak mampu membangkitkan mereka daripada tidur lena dan alpa mereka. Adakah mereka tabah menghadapi dugaan rakyat? Adakah mereka tabah menerima hakikat perubahan dan transformasi politik yang pertama kali berlaku dalam sejarah tanah air negara? Atau sebenarnya mereka masih terus leka dan lalai dalam mimpi indah mereka?
Adakah seseorang pemimpin negara tabah menunggu proses peralihan kuasa atau sebenarnya tidak sabar-sabar hendak berkuasa sehingga meja bekas Perdana Menteri Umno ada juga benda-benda jampi? Apakah maksud jampi tersebut dan siapakah yang melakukannya? Mungkin hanya Tuhan yang tahu.
Adakah pemimpin Umno tabah menerima kelemahan bekas Perdana Menteri Malaysia kelima dan sanggup terus berjuang bersamanya sehingga agenda rakyat dipenuhi dan luka Barisan Nasional diubati? Jawapannya tidak kerana ramai pemimpin yang sudah menunjukkan belang mereka meminta dan menyuruh Pak Lah kesayangannya negara meletak jawatan dan mempercepat proses peralihan kuasa. Sedangkan apabila Pak Lah baharu memegang kuasa suatu ketika dahulu disembah dan dijilat namun pada ketika Pak Lah paling lemah disebabkan kelemahan pemimpin bawahannya belang-belang sudah mula timbul untuk meludah dan memaksa Pak Lah ke jalan buntu dalam karier politiknya.
Adakah Samy Vellu tabah mengharungi perubahan yang melanda negara? Adakah Samy Vellu belajar daripada perubahan undi mendadak kaum India terhadap Pakatan Rakyat dan termasuk PAS berbanding MIC? Jawapanya tidak. Kita lihat bagaimana seorang demi seorang dilucutkan jawatannya apabila mereka bangkit hendak menentang Uncle Sam dalam merebut kerusi Presiden MIC. Siapa yang memecahkan masyarakat India daripada dahulu MIC kepada wujudnya IPF? Siapa yang memecahkan masyarakat India yang dahulunya sebelum merdeka hanya satu kepada puak A dan puak B apabila Subramaniam terus dipinggirkan walaupun layak demi memenuhi kepentingan peribadi dan politik seorang individu?
PPP tidak tabah menerima hakikat parti mereka semakin lemah. PPP tidak belajar bagaimana pepecahan dalam parti yang akhinrya mengundang kepada kekalahan seorang Presiden parti di Taiping. Mereka jauh lebih ekstrem apabila wujudnya PPP A dan B yang kedua-dua pihak mendakwa mereka merupakan parti PPP yang sah. Pergolakan kuasa dalam PPP baru-baru ini bagaikan gambar Hindustan yang mungkin akan mendapat lebih banyak anugerah daripada “Slumdog Millionaire” yang mendapat lapan anugerah antarabangsa.
Gerakan juga tidak tabah menghadapi dugaan yang menimba mereka. Mereka telah cedera dengan parah dan ada juga ramai penganalisis politik berpendapat mereka tidak mampu bangkit menawan Pulau Pinang selama-lamanya. Namun ahli mereka terus dimaki dan ditekan apabila bersuara memperjuangkan sesuatu isu yang melanda negara.
Kita juga lihat bagaimana MCA yang terus berdrama seperti wayang TVB Hong Kong antara Presiden dan Timbalan Parti yang tidak ada pengakhiran sehingga hari ini. Kita lihat bagaimana seorang Presiden parti cuba sedaya upaya menjatuhkan Edison Chen Johor Malaysia berbanding memulihkan kembali undi dan kepercayaan kaum Cina yang semakin hari semakin luntur dan pudar.
Tidak apa. Kita anggap sahaja kesemua tindakan Barisan Nasional ini sebagai bentuk nilai ketabahan mereka dalam mengharungi transformasi politik yang melanda negara. Teruskan.
Nilai 3 — Rendah Hati
Bagaimana Umno yang sombong boleh mencadangkan satu nilai yang tidak mungkin diamalkan oleh mereka? Kita lihat bagaimana seorang sepupu Perdana Menteri yang menghunus keris kepada kaum bukan Melayu supaya tidak mencabar kewibawaan Melayu? Persoalannya kini adakah keris itu satu mesej supaya jangan cabar Melayu atau jangan cabar Umno dan dirinya sendiri?
Kita juga lihat laungan perkongsian kuasa retorik Umno selama ini yang tidak penah memberi sebarang tempat kepada parti lain memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Negara. Perkongsian kuasa apa yang dilaungkan oleh mereka?
Ketua Menteri Melaka dengan suara lantang menyeru PPP keluar daripada perkongsian kuasa Barisan Nasional dan juga kenyataan Tuhan juga tidak mampu tengelamkan Umno. Kelakarnya tidak lama kemudian tidak perlu kuasa Tuhan pun dengan kuasa rakyat Umno hampir nyawa-nyawa ikan dalam pilihan raya lepas.
Rendah hati tidak bermaksud wayang yang dilakonkan oleh seorang pemimpin turun ke padang ke tempat awam dan seterusnya surat khabar memaparkan segala kejadian tersebut.
Nilai 4 — Penerimaan
Adakah Umno sedia menerima demokrasi rakyat yang mahukan perubahan politik apabila rakyat di Perak dicantas demokrasi mereka? Adakah Umno sanggup menerima hakikat di sebuah negara demokrasi rakyat bebas bersuara dan berhimpun secara aman apabila mereka terus melakukan penangkapan dan penahanan?
Bagaimana Umno hendak menerapkan nilai penerimaan sekirannya suara dan undi ahli Umno sendiri tidak dilayan apabila perwakilan memilih Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda mereka namun individu yang kalah pula yang dipilih menjadi menteri.
Setahu saya Umno hanya menerima hakikat rakyat sudah tidak mahukan mereka lagi. Oleh sebab itu, mereka tidak berani bertanding di pilihan raya kecil Penanti. Mereka sudah menerima hakikat kekalahan mereka sebelum bertanding.
Nilai 5 — Integriti
Integriti apa sekiannya polis terus menyalahgunakan kuasa mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan negara melakukan tindakan yang tidak menghormati Dewan Undangan Perak? Kita lihat bagaimana kematian boleh berlaku di penjara negara tercinta sendiri.
Kita juga lihat indeks rasuah Malaysia yang semakin hari semakin teruk. Apakah rasuah itu lambang integriti? Kita lihat bagaimana Umno sendiri mempertikaian perlantikan Menteri Besar Terengganu dan adakah tindakan ini berintegriti kepada instutisi beraja? Lihat juga bagaimana mereka cuba mengherat institusi beraja ke kancah politik di Perak dan mempolitikkan isu Kesultanan Perak.
Adakah seorang pemimpin Umno setelah 52 tahun negara merdeka berkata Cina adalah penumpang di negara ini merupakan satu tindakan yang berintegriti?
Cina dan India adalah penumpang tetapi itu adalah Cina dan India dahulu. Dahulu sebelum perkongsian kuasa wujud. Dahulu sebelum kontrak sosial wujud. Dahulu sebelum perlembagaan negara digubal. Cina dan India kini lahir dan mati di tanah ini juga maka kita bukan sahaja penetap tetap bahkan merupakan rakyat Malaysia yang sah dan tulen seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan dan seperti mana yang diperjuangkan oleh teras 2 Satu Malaysia iaitu kenegaraan.
Nilai 6 — Kesetian
Siapa yang tidak setia dalam isu yang melanda negeri Perak? Siapa yang menjadi punca kepada rakyat mempertikaikan tindakan Raja? Sebenarnya tindakan rakyat bukan menentang Raja tetapi menentang tindakan Umno yang mengherat Raja ke kancah politik.
Mereka tidak setia pada perlembagaan. Mereka tidak setia pada rakyat Malaysia berbangsa Melayu , Cina, India, Kadazan, Iban dan kesemuanya. Mereka tidak setia pada demokrasi. Mereka tidak setia pada hak asasi. Mereka tidak setia pada dewan.
Kesetian apa yang hendak mereka wujudkan lagi?
Nilai 7 — Meritrokrasi
Adakah Dasar Ekonomi Baharu yang terus bernyawa di negara kita menandakan keadaan meritrokrasi? Selaku rakyat Malaysia bukan niat saya untuk mempertikaikan dasar yang menguntungkan kaum Melayu tetapi penentangan saya ini kerana dasar tersebut gagal menguntungkan Melayu.
Dasar tersebut hanya dan terus menguntungkan Melayu Umno dan Melayu tidak mampu berdirikari sekirannya mereka masih hendak berpaut pada Dasar Ekonomi Baharu. Ramai Melayu yang bijak-bijak belaka dan untuk terus membantu mereka adalah penghinaan kepada mereka yang mampu bersaing dengan semua kaum dan dunia tanpa sebarang polisi dan dasar untuk membantu mereka.
Saya rasa semua agama percaya kepada konsep pahala dan dosa. Semakin banyak kita berbuat baik maka peluangnya semakin cerah untuk bertapak di syurga. Semakin banyak yang berbuat jahat akan cenderung dihukum ke neraka. Begitu juga dengan sistem demoraksi. Semakin banyak kita berusaha dan bekerja maka semakin banyaklah peluang di depan mata kita.
Melayu kini tidak perlu lagi dasar Umno untuk membantu mereka kerana mereka sudah mampu berjaya dalam mana-mana bidang di negara kita dan ramai individu sudah membuktikkan keadaan ini. Mengapa hendak terus menjajah minda Melayu dengan DEB? Adakah Umno sedar apabila Melayu sedar mereka sudah mampu berdikari tanpa bantuan Umno dan pada ketika itulah riwayat Umno akan berakhir? Adakah disebabkan ini Umno terus ingin menjajah minda dan kehidupan Melayu supaya terus bergantung pada laungan Umno? Adakah tindakan ini demi memajukan Melayu atau meneruskan kelansungan Melayu Umno?
Nilai 8 — Pendidikan
Sistem pendidikan apa yang terus melahirkan golongan Mat Rempit yang akhirnya ditaja sendiri oleh Putera Umno? Sistem pendidikan apakah sekirannya kadar pengganguran dalam kalangan graduan semakin hari semakin bertambah? Sistem pendidikan apakah yang menyebabkan bekas Menteri Pelajaran sendiri tidak menghantar anak beliau sendiri belajar di bawah sistem yang dirangka dan dijaganya sendiri?
Kata Umno mereka adalah pejuang bangsa Melayu. Keris dihunus demi Melayu. Namun keris dihunus dan ditikam juga kewibawaan bahasa Melayu mereka sendiri apabila PPSMI tidak lagi diajar dalam bahasa Kebangsaan.
Kesimpulan
Akhirnya adakah konsep 1 Malaysia adalah 1 Malaysia Rakyat atau sebenarnya 1 Malaysia Najib dan Umno? Kesemua laungan hanya sekadar retorik politi semata-mata kerana perpaduan kaum tiada akan bermasalah sekirannya ahli politik sendiri tidak mempolitikkan isu kaum demi kepentingan politik mereka sendiri. Segala-galanya hanya fantasi semata-mata sekirannya semua tindakan dan kenyataan bercanggah dengan konsep yang diperkenalkan.
Najib menyatakan 1 Malaysia berbeza dan Malaysia Malaysian DAP . Realitinya sememangnya terlalu banyak perbezaan dan perbezaan adalah perbezaan perjuangan dan cerminan realiti negara. DAP tidak pernah lari daripada perjuangan dan tindakan mereka secara konsisten terhadap Malaysia Malaysian dan segala yang terdapat dalam Malaysia Malaysian merupakan cerminan realiti Malaysia. Itulah perbezaanya.
Editor Utusan mogok tulis kolum
|
Di ruangan kolumnya 'Cuit', Zaini Hassan dilakarkan dalam keadaan mulut bertampal - sebagai lambang kunci mulut - sementara di paparan komputernya terlekat tulisan "tutup."
Dalam karikatur tersebut, tangan dan kakinya juga terikat.
Bagaimanapun tidak jelas sama ada keputusan "mogok menulis" ini tindakan beliau sendiri sebagai membantah aduan-aduan polis tersebut atau akibat tekanan daripada pihak atasan.
Khamis lalu, ketua biro integrasi kaum pergerakan itu MT Padmanathan membuat aduan polis terhadap Zaini di ibu pejabat polis daerah Sentul, Kuala Lumpur.
Artikel tersebut menceritakan betapa kelam-kabutnya kehidupan di India yang dianggap telah mendarah daging dalam kaum tersebut, termasuk India di negara ini.
"India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh.
"Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising," artikel tersebut dipetik.
Penulis menceritakan pengalamannya berada di Hyderabad baru-baru ini sebelum mengecam tindakan pemimpin DAP dan juga ahli parlimen Ipoh Barat, N Kulasegaran, yang didakwanya mempertikaikan hak-hak Melayu.
Dua lagi aduan polis dibuat pada 12 dan 13 Disember lalu, masing-masing oleh DAP di Jelapang, Perak dan sekumpulan 15 lelaki India di Kelang, Selangor.
Zaini kini berdepan tindakan saman oleh exco kerajaan Selangor, Teresa Kok berhubung artikelnya 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang mengulas isu azan - kontroversi yang menyeret ahli parlimen DAP itu dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), September tahun lalu.
Isnin, 14 Disember 2009
Salam 1 Malaysia: Umnobn mengajak rakyat muslim melakukan perbuatan bidaah
Mohd Yusri Amin
KOTA BHARU, 14 Dis: Selepas Islam Hadhari tenggelam bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini rakyat digalakkan melakukan perbuatan bidaah (tidak menjadi amalan Nabi Muhammad saw) apabila dipaksa melafazkan ucapan 'Salam 1Malaysia’.
Ulama menjelaskan ucapan seperti itu merupakan satu perbuatan bidaah dan tidak ada dalam Islam.
Malah, kata mereka ucapan itu seperti mempersendakan Islam yang menganjur umatnya melafaz ucapan 'assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh'.
Sehubungan itu, ia perlu dikaji semula dan pandangan dari para ulama yang adil perlu diambil untuk menilainya.
Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohamad Mustafa berkata, ucapan Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpangkal kepada tuntutan agama.
"Rasulullah saw tidak pernah mengajar 'Salam 1Madinah ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam selepas diusirkan kafir Quraisy dari Mekah.
“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur kepada amalan Islam berilah salam yang sempurna. Ini sesuatu yang cukup memalukan umat Islam di negara ini," katanya.
Ucapan Salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita.
Bagaimanapun ramai ulama yang mencari makan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menegur perbuatan tersebut biar pun ia jelas bercanggah dengan Islam.
Begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membisu. Beliau sebelum ini dilihat lebih cepat mengkriitik dan mempersendakan pemimpin PAS.
Mohamad yang juga Adun Demit turut meluahkan rasa curiga terhadap slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah swt didahulukan dalam segala hal.
Katanya juga, tauhid amali tidak dilaksanakan kerajaan BN sejak menerajui negara ini pada 1957.
“Dari segi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan sebab Allah swt tidak didahulukan, bahkan Islam kerana hak Allah swt tidak ditunaikan.
“Mereka telah mensyirikkan Allah SWT dengan menduakan sistem dalam melaksanakan undang-undang. Inilah yang dinamakan sebagai syirik nasional,” katanya di sini.
Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia yang dilaungkan perdana menteri sekarang sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America.
Sedangkan kata beliau penyatuan sebenar bagi umat Islam berdasarkan kepada tauhid.
HarakahDaily.Net/-
GEJALA SOSIAL DAN BAGAIMANA MENANGANINYA
“Bauan syurga adalah di tangan para belia.”
Rasulullah s.a.w pada zamannya tidak pernah memandang remaja sebagai seorang ´kanak-kanak´ yang tidak mengerti apa-apa dan tidak berkepentingan di dalam perkembangan yang berkaitan dengan hal ehwal negara. Malah Rasulullah s.a.w sangat prihatin akan pembangunan dan pembinaan sahsiah remaja. Baginda sering bergaul dengan mereka sambil memberikan nasihat yang berguna serta tanggungjawab untuk umat dan negara pada masa depan.
Namun, zaman yang bertukar ganti memperlihatkan kehidupan dan kepentingan seorang remaja dilihat tidak lebih daripada seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan masih lagi ´kecil´ untuk mengerti apa-apa hal pun yang berkaitan dengan pentadbiran sesebuah negara.
Remaja kini sering sahaja digambarkan sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan senantiasa inginkan kebebasan mengikut perasaan mereka sendiri. Mereka berasakan bahawa mereka sudah bijak untuk menilai baik buruk sesuatu perkara itu tanpa sebarang campur tangan daripada pihak ibu bapa waima sesiapa pun.
Meneliti keadaan sosial golongan remaja kini, pelbagai aspek perlu diteliti mengenai punca sebenar mengapa dan bagaimana terjadinya kebejatan yang semakin menggugat imej remaja itu sendiri. Antara faktor yang mendorong ke arah kerosakan ini adalah persekitaran.
Persekitaran mempengaruhi akhlak individu dalam masyarakat dalam erti kata ia menggalakkan perkembangan aspek tertentu namun pada masa yang sama menghindarkan perkembangan aspek lain. Persekitaran yang mengamalkan pengasingan nilai kerohanian daripada urusan keduniaan dan persekitaran sosial budaya yang bersifat sekular liberal dan materialistik.
Kewujudan pusat-pusat peranginan yang tidak mengikut atau berlawanan dengan budaya Melayu dan agama Islam secara tidak langsung memudaratkan lagi kebejatan sosial di kalangan remaja ini. Percampuran bebas, bercumbuan dan pendedahan aurat yang keterlaluan oleh pelancong-pelancong asing tadi pastinya merupakan suatu perlakuan yang sangat mudah menjadi ikutan para remaja ini.
Budaya hiburan dan ungkapan ´born to be free´ dan ´muda hanya sekali´, sudah sinonim dengan kehidupan remaja kini. Kehidupan hingar-bingar di kota-kota besar kini seakan keperluan asas bagi remaja ini. ´keperluan´ ini pula secara langsungnya, menghidupkan dan menyuburkan lagi kewujudan pusat-pusat hiburan. Malah, akibat daripada ´sokongan padu´ yang ditunjukkan oleh remaja ini merancakkan lagi pusat-pusat hiburan yang berlesen mahupun tanpa lesen ini memanjangkan lagi waktu operasinya sehinggakan ke dinihari.
Selain daripada itu, pemujaan kepada golongan artis oleh golongan remaja kini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Masakan tidak, konsert-konsert bergerak yang dianjurkan seolah-olah telah menjadi satu ´trend´ oleh pelbagai pihak tertentu kini. Malahan ada dikalangkan penganjur melunakkan konsep konsert dengan berselindung di sebalik konsert amal seperti konsert membantu penghidap AIDS, mengisi tabung bantuan Tsunami, gempa bumi, malam anak-anak yatim, malam bersama-sama anak-anak cacat dan seumpamanya. Semua ini dengan alasan kononnya di samping meraih keuntungan besar, mereka dapat beramal dengan mendermakan sebahagian hasil kepada tabung amal tadi.
Masyarakat umumnya dan remaja khasnya boleh dikatakan ketandusan role model yang boleh dijadikan contoh ikutan yang baik (Qudwah Hasanah) sama ada di peringkat individu mahupun di peringkat pucuk kepimpinan. Kita tidak dapat nafikan banyak yang pandai bercakap mengenai kelebihan dan kebaikan cara hidup Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap tetapi berapa ramai yang benar-benar beramal dengannya? Anak-anak muda ini mudah terkeliru dan sering tercari-cari di manakah ´role model´ yang perlu mereka ikuti.
Malangnya, dengan mengambil jalan pintas, remaja ini sering mengambil role model yang sering mereka tatap dan ikuti perkembangan hidupnya. Contoh yang mudah ialah kehidupan para artis tidak kira dalam atau luar negara. Ini kerana mereka sering mendapat liputan meluas dalam media-media massa. Oleh itu tidak hairanlah apabila artis-artis ini mendapat tempat dalam masyarakat manakala peranan golongan yang sepatutnya menjadi role model yang terbaik seperti golongan para ulama dan ilmuwan sering dipinggirkan.
Memang tidak dinafikan bahawa peranan media massa banyak memberikan perkembangan dan maklumat kepada masyarakat terutamanya berkaitan dengan hal ehwal semasa, berita dalam negeri hinggalah kepada berita-berita luar negara. Namun, media massa pada hari ini telah disalahgunakan hingga menyebabkan peranan utamanya sebagai agen pengubah tidak berlaku dengan berkesan sehingga banyak perkara-perkara kebejatan berlaku.
Internet sememangnya telah mengubah pemikiran manusia di seluruh dunia. Termasuk yang sedang diubah adalah pemikiran umat Islam. Mungkin berbanding dengan umat lain, penggunaan internet di kalangan umat Islam masih rendah. Akan tetapi golongan kecil orang Islam yang menggunakan internet sudah tentu tidak terlepas daripada pengaruhnya. Apa yang menyebabkan internet begitu berpengaruh berbanding dengan media yang lain adalah sifatnya yang dapat menerobos sempadan negara. Ia sukar disekat, ditapis dan dihalang tidak seperti media massa lain.
Maka dengan itu, bahan-bahan lucah dengan begitu mudah memasuki negara yang selama ini dapat menghalang kemasukannya. Begitu juga dengan bahan-bahan subversif termasuklah tulisan yang bersifat menentang agama.Ini sangat berbahaya kepada masyarakat terutamanya umat Islam. Setakat ini tidak ada negara yang dapat menghalang kemasukan bahan-bahan ini. Begitu juga Malaysia Selama ini kerajaan dapat membendung kemasukan bahan-bahan yang bersifat subversif tetapi melalui internet, kebebasan bersuara hampir mencapai tahap mutlak.
Selain internet pengaruh media massa seperti televisyen juga merupakan salah satu penyebab berlakunya gejala-gejala sosial. Banyak rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen yang memaparkan adegan-adegan ganas, tahayul dan seks.Ini boleh mendorong masyarakat ke arah berlakunya gejala-gejala yang tidak diingini dan kelakuan yang tidak baik.
Tidak dapat disangkal bahawa media massa dan keterbukaan dalam globalisasi dunia hari ini merupakan antara faktor-faktor penting berlakunya jenayah salah laku remaja secara meluas. Selain daripada media cetak , media elektronik memainkan peranan yang tidak kuran hebatnya dalam mempengaruhi tingkah laku dan sikap anak-anak remaja.
Melalui siaran-siaran radio TV dan tayangan video, para pelajar terdedah kepada gejala yang tidak sihat seperti unsur-unsur ganas dan luar, budaya barat, budaya dadah, tahayul dan seks bebas. Dengan wujudnya suasana sekeliling yang semakin rosak dan iman yang tipis, para remaja mudah terdorong untuk mencuba aksi-aksi ganas dan adegan-adegan yang berahi yang telah mereka tonton melalui TV atau video lucah yang berleluasa di pasaran. Akibatnya mereka terjerumus dengan perhubungan seks bebas, pelacur murahan, homoseksual, lesbian hingga kepada terjadinya sumbang mahram.
Selain itu majalah-majalah berbentuk hiburan juga banyak memberi kesan negatif ke atas kelakuan masyarakat pada hari ini. Banyak majalah yang berada di pasaran hari ini yang memaparkan gambar artis-artis Barat dan memaparkan kelakuan-kelakuan dan gaya hidup mereka yang tidak berpaksikan kepada ajaran agama. Pengaruh budaya Barat ini begitu mudah menyelinap masuk ke dalam kehidupan golongan remaja kita. Kebanyakan golongan remaja, terutamanya orang Melayu sangat mudah terpengaruh dengan budaya ini.
KAEDAH PENYELESAIAN
1. MENGGERAKKAN KOMUNITI
Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat tidak akan berjaya jika masyarakat di tempat di mana masalah itu berlaku tidak turut sama menggembleng tenaga. Untuk menggerakkan masyarakat Melayu ataupun komuniti Islam, tempat yang paling sesuai dalam mendapat komitmen mereka ialah di masjid-masjid atau di surau-surau. Kerana di sinilah masyarakat berkumpul pada setiap hari, setidak-tidak pada waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya. Apabila masjid-masjid dan surau-surau mula membincangkan mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat ini, sudah pastilah Pelan Tindakan yang disusun oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan akan menjadi lebih mudah. Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya. Apabila mandat diberikan kepada pihak masjid serta surau dan seterusnya komuniti setempat untuk melaksanakan program ini, sudah pasti masyarakat akan memandang tinggi terhadap institusi masjid serta surau, dan mereka akan melihat hubungan jambatan antara komuniti setempat dengan kerajaan negeri.
Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah diberi kefahaman yang sepenuhnya bahawa usaha ini bukannya untuk meraih keuntungan atau sokongan mana-mana pihak, tetapi ianya adalah untuk manfaat masyarakat keseluruhannya. Kaedah ini adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w di mana masjid dijadikan tempat untuk menyelesaikan segala permasalahan masyarakat, sumber rujukan, pusat kaunseling dan seterusnya.
2. KEMPEN SOLAT
Sembahyang adalah merupakan tiang agama. Meninggalkan solat bermakna kita merobohkan tiang agama. Apabila tiang agama itu roboh maka tiadalah sudah pegangan hidup. Dalam Al-Quran disebutkan "Solat itu mencegah daripada pekerjaan keji dan mungkar". Penyakit masyarakat dan gejala sosial yang disebutkan tadi adalah merupakan perkara keji dan mungkar. Ini menunjukkan di sini betapa solat bukan hanya membentuk peribadi Islam malah ianya membentuk masyarakat serta komuniti Islam. Betapa beratnya suruhan mengerjakan solat ini hinggakan ianya wajib dilakukan dalam apa jua keadaan sekali pun, selagi hati boleh berdetik, selagi mata boleh berkelip, selagi akal kita masih waras sama ada dalam keadaan berdiri, duduk ataupun terbaring. Rasulullah s.a.w mengajar kita agar menyuruh anak-anak kita mendirikan solat sejak dari usia 7 tahun lagi.
Maka kempen solat hendaklah menjadi agenda utama dalam Pelan Tindakan Bersepadu. Kempen solat dalam apa jua keadaan dan masa, kempen solat di masjid dan surau, kempen solat di gedung-gedung perniagaan, kempen solat di tempat kerja malah kempen solat di pusat-pusat peranginan dan rekreasi serta di stadium-stadium. Tidak ketinggalan juga kempen solat semasa perjalanan terutama di musim perayaan baik dalam kereta api ataupun mereka yang membawa kenderaan sendiri. Sekali lagi untuk melancarkan kempen ini, institusi masjid memainkan peranan yang begitu besar untuk menyedarkan orang ramai.
3. KERJASAMA DENGAN AGENSI KERAJAAN DAN BADAN SUKARELA
Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela telah pun dibentuk sejak sekian lama dalam menangani penyakit masyarakat. Antaranya ialah Agensi Dadah Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri, Polis Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya. Institusi masjid dan surau haruslah dari masa ke semasa mengadakan kerjasama dengan pihak yang disebutkan tadi dalam menangani penyakit masyarakat.
Dalam menangani masalah ragut, pecah rumah, rogol dan sebagainya jalinan kerjasama dan pertukaran maklumat boleh dilakukan dengan pihak PDRM. Dalam menangani kes lepak, ponteng sekolah, penagihan arak dan sebagainya , kerjasama boleh dilakukan dengan Pihak Berkuasa Tempatan dengan memberi maklumat mengenai pusat-pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen, melebihi had masa, penjualan arak tanpa lesen, pengiklanan arak tanpa permit dan seterusnya. Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh memberi penerangan kepada masyarakat setempat mengenai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh pusat-pusat hiburan, kedai menjual arak, kedai judi dan seterusnya, seperti kewajaran mengadakan kedai-kedai menjual arak serta kedai-kedai judi di kawasan yang majoritinya Islam. Begitu juga dalam menangani masalah penagihan dadah kerjasama antara pihak masjid dan surau boleh diwujudkan dengan Agensi Dadah Kebangsaan.
Jika selama ini masjid dan surau hanya dijadikan tempat penyampaian ceramah atau kuliah agama, mengapa tidak ianya dijadikan tempat menyelesaikan segala permasalahan yang disebutkan tadi selagi ianya menurut apa yang dikehendaki oleh Islam dan tidak melanggar batas-batas syarak.
4. KEMPEN MEMUDAHKAN PERKAHWINAN
Jenayah seksual semakin ketara sekarang ini, malah ianya melibatkan mereka yang berada di bangku sekolah lagi. Islam menyuruh ibu bapa apabila sudah sampai masanya anak-anak mereka berkeinginan untuk berkahwin maka hendaklah ianya disegerakan. Ini adalah untuk menghindari mereka daripada terjebak ke lembah yang hina.
Kemajuan sains dan teknologi dengan dunia tanpa sempadannya menyebabkan anak-anak muda sekarang ini begitu mudah untuk mendapatkan bahan-bahan yang memberahikan nafsu. Apabila pegangan agama semakin luntur dan nafsu dari hari ke sehari semakin memuncak , maka syaitan akan menguasai jiwa mereka. Apabila syaitan sudah menguasai jiwa mereka , dosa-dosa besar sudah menjadi perkara biasa, mulanya hanya naik motor bersama, kemudian tinggal bersama , apabila terlanjur berlakulah pula kes bunuh apabila bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja tanpa perasaan belas kasihan. Yang demikian itu sifat mereka lebih teruk daripada haiwan. Oleh yang demikian masyarakat haruslah diberi pemahaman, bahawa perkahwinan adalah salah satu cara yang disyorkan oleh Islam untuk menangani penyakit masyarakat sekiranya mereka tidak mampu menahan nafsu mereka dengan berpuasa. Dan perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan agar pasangan suami isteri boleh hidup bahagia selepas majlis perkahwinan. Sesuai dengan apa yang diperkatakan, iaitu Islam itu adalah mudah. Sebagai menarik usaha golongan muda-mudi untuk berkahwin beberapa insentif boleh dikemukakan antaranya ialah kemudahan untuk mendapat pekerjaan, kemudahan untuk mendapat rumah kos rendah, sagu hati perkahwinan dan sebagainya.
Pihak masjid, surau serta badan sukarela juga boleh menimbang sekiranya perlu untuk menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.
MEMULIHKAN PERANAN INSTITUSI KELUARGA
Kata orang, 'kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kalau hendak membina insan biarlah sejak ia masih kecil, kerana anak kecil itu dilahirkan suci 'umpama kain yang putih'. Ibu bapanyalah yang menjadinya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sememangnyalah anak-anak mudah dibentuk dan akan mengikut suasana dalam keluarga dan persekitarannya.
Anak-anak adalah amanah Allah Subhanahu Wataala yang perlu diberikan perhatian dan dijaga dengan sebaiknya agar mereka menjadi insan kamil, sempurna, berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Pertalian dan hubungan antara anak dan ibu bapa bukan setakat semasa masih hidup di dunia malah sehinggalah ke akhirat, sesuai dengan hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Muslim dan Ahmad bermaksud:
"Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang dapat memberikan manfaat dan anak yang salih yang mendoakan dia."
Ke arah itu kita hendaklah melaksanakan tanggungjawab sewajarnya dengan berusaha mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni dengan menekankan ciri-ciri positif dalam mengasuh anak-anak. Ada baiknya kita berkongsi beberapa 'tips' dalam mendidik dan menjaga anak-anak. Antaranya termasuklah memberikan didikan Islam dalam pengertian sebenar bukannya konsep Islam berasingan daripada kehidupan serta penghayatan yang secukupnya, penjagaan dan pengawasan yang sempurna, pendidikan rohani dan jasmani yang sempurna, mewujudkan kehidupan yang berdisiplin, mendengar, memahami dan berkomunikasi secara matang dan berkesan, sentiasa bersedia memberikan bantuan dan bimbingan dalam menyelesaikan masalah mereka, memberikan perhatian sepenuhnya dari segi fizikal, emosi dan mental serta memberikan kasih sayang yang secukupnya.
Selain dari itu kita hendaklah sentiasa memberikan perhatian terhadap tingkah laku mereka, sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk memantau kemajuan pelajaran dan tingkah laku mereka, sentiasa peka terhadap perasaan mereka, mengenali dan memantau rakan-rakan mereka, tidak terlalu 'mengongkong' sehingga menimbulkan kesan negatif, sentiasa menunjukkan minat apabila mereka mengemukakan dan memberikan pandangan, sentiasa bertolak ansur pada perkara-perkara munasabah, mendidik supaya tidak bercakap bohong dan berahsia dengan ibu bapa dan mencegah mereka dari berpakaian menjolok mata dan kurang sopan.
Ibu bapa perlu mengelakkan perbalahan dan perselisihan antara mereka yang boleh mengakibatkan anak-anak terasa tertekan, memendam rasa dan tidak selesa duduk di rumah. Mereka akan keluar mencari hiburan dan ketenangan yang menjurus kepada pergaulan bebas. Dari sanalah berpuncanya segala masalah yang disebutkan.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya dapatlah kita ambil di sini, iaitu semua pihak bertanggung jawab untuk menangani penyakit masyarakat ini. Dari pemimpin negeri ke rakyat jelata, dari pegawai atasan hingga ke pekerja biasa, dari guru besar ke anak murid dan seterusnya. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat. Karenah birokrasi dan perbezaan fahaman politik dan puak haruslah dielakkan dalam melancarkan Pelan Tindakan Bersepadu ini.