Khamis, 29 Julai 2010
FDI: Mustapa tidak bertanggungjawab, hina rakyat
KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kejatuhan pelaburan langsung luar (FDI) ke negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan menghina pemikiran rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.
"Mustapa enggan mengakui kegagalan kerajaan khususnya Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencipta peluang-peluang pelaburan di negara ini dengan berdalihkan ketiadaan pembangunan infrastruktur di negara ini seolah-olah negara ini maju sangat berbanding India atau Vietnam.
"Kalau Malaysia hebat sangat dari segi infrastruktur dan berada pada tahap pembangunan berbeza berbanding jiran-jirannya seperti Vietnam dan Indonesia, mengapa pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar menjadi fokus Rancangan Malaysia Ke-10?" Mahfuz mempersoalkan.
Mahfuz juga menolak dakwaan Mustapa yang cuba mengaitkan kejatuhan terburuk FDI itu kerana kerajaan tidak berminat menarik pelaburan kategori rendah seperti pemprosesan dan pemasangan.
"Kerajaan yang tak berminat atau pelabur yang sebenarnya tidak berminat untuk melabur di negara ini yang terkenal dengan budaya rasuah parti pemerintahnya?
"Tidak cukup dengan kegagalan dan ketiadaan kebolehan menjalankan tugas, cakap berlagak pula untuk mewajarkan kegagalan. Inilah akibat dari sindrom DBS Umno - dah bodoh, sombong.
"Sebab itulah saya sifatkan jawapan Mustapa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina pemikiran rakyat kerana nampak sangat beliau cuba memperbodohkan rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sepatutnya, kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya mengakui kelemahan mereka untuk menarik kemasukan FDI ke negara ini dan memohon maaf dari rakyat kerana tidak berkebolehan menjalankan tugas mereka.
"Reaksi menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya tak ubah seperti yang disebutkan pepatah Melayu, diri sendiri tak tahu menari, salahkan tanah tinggi rendah - mereka menyalahkan segala-galanya termasuk blog kecuali diri mereka sendiri," katanya.
Sepatutnya lagi, kata Mahfuz lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat memalukan itu.
Perangai enggan mengaku kelemahan diri sendiri yang sudah sebati dengan Umno itu, katanya lagi. akan menghancurkan negara.
Mahfuz mengaitkan sikap itu dengan keyakinan bahawa mereka tidak akan dibuang.
"Tidak hairan kalau tidak ada accountability dan responsibility langsung di pihak menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya kerana mereka yakin sangat mereka tidak akan dibuang kerja.
"Tambahan pula Najib sering dikaitkan dengan sikap yang lebih mengutamakan ‘tukang kipas’ daripada kepandaian dan kerajinan membuat kerja.
"Beliau juga dikatakan membuat perlantikan untuk mengambil hati dan menutup mulut pengkritik yang ditakutinya.
"Dan, lebih dari semua itu, kegagalan mereka adalah kegagalan Najib sendiri, takkan Najib nak membuang mereka dan dirinya sendiri," kata Mahfuz.
Labels:
Kenyataan Blog