Sabtu, 31 Julai 2010

PKFZ: Empat laporan rasuah difailkan sejak 2004



SHAH ALAM, 30 Jul – Sejak Disember 2004, sekurang-kurangnya empat laporan pernah dibuat Pakatan Rakyat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Exco Kerajaan tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Thian Kiew berkata pihak berkuasa bagaimanapun seolah bersikap acuh-tidak-acuh mengendalikan empat laporan itu, sehinggalah bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik didakwa, lima tahun kemudian.

Tun Dr Ling didakwa dengan tuduhan memperdayakan Kabinet antara September 25 dan Oktober 6 2002 meluluskan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ.

Pemimpin MCA ini didakwa dibawah Seskyen 418 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari 7 tahun, dan Seksyen 417 yang membawa hukuman penjara 5 tahun, jika disabitkan kesalahan.

“DAP pernah memfailkan laporan polis berhubung skandal PKFZ sejak tahun 2004. Saya sendiri pernah membuat laporan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik berkenaan urusan pembelian tanah itu,” kata Ronnie.

Penahanan dan pendakwaan terhadap Tun Dr Ling disusuli dengan gesaan supaya semua suspek dan saksi yang mempunyai kaitan dengan skandal berbilion ringgit itu dibawa ke mahkamah.

Pemerhati bependapat perbicaraan Tun Dr Ling Liong Sik akan menjelaskan lagi peranan Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Seri Tiong King Sing, yang memiliki syarikat pemaju PKFZ, Kuala Dimensi Sdn Bhd dalam skandal ini.

Kerajaan juga mungkin terpaksa menjelaskan apakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Kabinet pada masa itu tidak diberi fakta secukupnya semasa meluluskan pembelian tanah untuk projek PKFZ.

“Kami mempunyai bukti, bahkan saya bersedia menjadi saksi,” tegas Ronnie.

Jawatankuasa Kira-Kira Awam melaporkan Kerajaan Malaysia boleh menjimatkan RM645.87 juta ringgit jika tanah berkenaan dibeli mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960. PAC juga melaporkan kos membeli tanah itu adalah RM47.76 satu kaki persegi, atau 67 peratus lebih tinggi dari harga yang ditetapkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, iaitu RM25 satu kaki persegi.

Bekas Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari mendedahkan Kabinet menyedari sepenuhnya hal-ehwal projek PKFZ dan pihak Kementerian terpaksa akur dengan keputusan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Urusan ini nampak mencurigakan, jadi saya buat laporan polis, dan saya juga pernah ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk mengadu hal ini,” ujar Ronnie Liu.- TVSELANGOR

Related Posts with Thumbnails