Merdeka Review | Lawatan mengejut Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Pulau Pinang ke tapak projek pembinaan Politeknik Balik Pulau, di Kampung Kenanga, Balik Pulau, untuk melihat sendiri kegiatan kecurian pasir sepertimana yang diwar-warkan sebelum ini mendapati wujudnya kegiatan tersebut apabila menemui beberapa tapak kawah besar di kawasan tersebut hasil daripada kegiatan mencuri pasir tersebut.
Pengerusi PAC Jagdeep Singh Deo yang mengetuai lawatan bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dan ADUN Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad mendapati memang wujudnya kegiatan kecurian pasir di atas tanah seluas 34 hektar milik Kerajaan Persekutuan itu.
Jagdeep yang juga merupakan ADUN Dato Keramat berkata, PAC akan memanggil beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam satu siasatan yang akan diadakan pada 2 Ogos yang akan datang.
"Kita juga menggesa pihak berkuasa dan mereka yang terbabit supaya melakukan siasatan terperinci mengenai kegiatan kecurian pasir tersebut dan membentangkan hasil siasatan mereka kepada PAC pada tarikh tersebut," katanya kepada wartawan selepas melawat tapak lokasi kecurian pasir di Balik Pulau pagi tadi.
Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menimbulkan perkara ini setelah melihat kekeliruan yang berlaku apabila tiada tindakan yang diambil oleh mana-mana pihak bagi menyekat kegiatan ini dari terus berleluasa.
Namun begitu dalam lawatan yang dibuat pagi tadi kegiatan mencuri pasir tersebut telah dihentikan. Hanya kawat duri dijadikan pagar bagi menyekat kemasukan lalu-lalang ke kawasan tersebut.
Sementara itu Mohd Kaharuddin Ihsan Abdul Rahman (gambar kiri) yang merupakan penduduk bersebelahan dengan tapak kegiatan kecurian tersebut yang turut hadir mengiringi Syed Ameruddin berkata, kegiatan mencuri pasir sebelum ini dilakukan pada waktu awal pagi antara jam 2 hingga 3 pagi.
Di samping itu, Mohd Kaharuddin Ihsan Abdul Rahman yang merupakan penduduk bersebelahan dengan tapak kegiatan kecurian tersebut yang turut hadir mengiringi Syed Ameruddin berkata, kegiatan mencuri pasir ini sebelum ini dilakukan pada waktu awal pagi antara jam 2 hingga 3 pagi.
"Sebelum ini berpuluh-puluh lori akan masuk ke kawasan ini dan membawa keluar pasir-pasir yang ada sehingga meninggalkan kawah besar di kawasan ini. Tetapi kami tidak dapat menyekat kegiatan tersebut kerana tidak mempunyai kuasa untuk bertindak di atas kegiatan mereka itu," katanya.
Isu kecurian pasir ini juga telah menyebabkan Kerajaan Negeri membidas Kerajaan Persekutuan kerana membiarkan kegiatan tersebut berleluasa sekian lama di atas tanah milik mereka tanpa mengambil apa-apa tindakan bagi menyekat perkara tersebut.