Oleh Adib Zalkapli
Sebahagian daripada Tugu Negara di Kuala Lumpur digambarkan.
Sambutan kali ini diubah suai dan dijalankan mengikut fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan lebih sedekad lalu, dan yang terbaru April 2009.
Perubahan lokasi sambutan juga selari dengan keputusan majlis tersebut yang memutuskan Tugu Negara di ibu negara, berusia lebih empat dekad, bertentangan dengan hukum syarak.
Tugu Negara menggambarkan sekumpulan perwira memegang bendera dibina pada 1960-an bagi memperingati mereka yang meninggal dunia ketika darurat dan pendudukan Jepun.
Berdasarkan maklumat diperoleh The Malaysian Insider dari Kementerian Pertahanan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyempurnakan sambutan kali ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam cuti sehingga awal bulan depan.
Majlis Fatwa Kebangsaan pernah mengeluarkan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 hingga 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera.
Ia telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.
Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.
Bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.
Acara-acara seperti majlis peringatan termasuk bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.
Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.
Bagaimanapun acara tiupan “The Last Post” dan “Rouse” akan diteruskan kali ini.
Deklamasi sajak dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran akan diadakan.
Majlis tahlil khas akan diadakan di Masjid Negara pada malam sebelum sambutan di Dataran Merdeka.
“Kami sudah lama meminta agar dilakukan perubahan. Saya gembira kerana kini mereka akhirnya mendengar,” kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang turut menganggota Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Fatwa bukan sesuatu yang baru. Tetapi tiada perdana menteri yang berani mematuhi (fatwa). Saya gembira kerana Datuk Seri Najib ada iltizam untuk mengamalkannya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui baru-baru ini.
Najib menghadiri sambutan Hari Pahlawan yang pertama sebagai perdana menteri tahun lalu di Tugu Negara di mana beliau mengetuai beberapa anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan angkatan tentera dan polis meletakkan kalungan bunga.
“Ini tradisi orang putih (penjajah). Mengapa harus kita mengekalkannya? Kita boleh melakukannya dengan cara kita,” kata Harussani.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Perajut Datuk Muhammad Abdul Ghani memberitahu, perubahan sambuatan Hari Pahlawan akan menarik lebih ramai orang untuk menyertai sambutan.
“Sama ada Islam atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi secara peribadi saya hanya mengingati rakan-rakan saya yang terkorban,” katanya.
Sehubungan itu Muhammad menambah, sambutan di Dataran Merdeka akan mempertingkatkan kesedaran mengenai Hari Pahlawan.
“Ia sangat penting seperti Hari Kebangsaan. Sambutan tidak begitu meriah, tetapi disebabkan ia diadakan di Dataran Merdeka, lebih ramai akan hadir,” katanya.
“Kami hanya ikut keputusan kerajaan. Tidak kisah bagaimana ia disambut, tetapi yang penting hari penting ini diperingati,” kata Muhammad.
Pada 31 Mac lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya.
Beliau berkata pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.
“Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.
“Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.
Zahid berkata perkara itu turut dipersetujui oleh Najib, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.