Isnin, 2 Ogos 2010

Zahid Dan Khaled Nordin Tidak Sehaluan


Mahasiswa perlu didedahkan kepada politik - Zahid

Bernama | KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Golongan mahasiswa yang merupakan bakal pemimpin pelbagai organisasi di peringkat kebangsaan perlu didedahkan dengan aktiviti politik, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya langkah itu sebagai persediaan mahasiswa memimpin sesuatu organisasi selepas mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Sebagai pemimpin, golongan itu juga mempunyai peranan untuk membina negara bersama pemimpin kerajaan yang lain," katanya kepada pemberita selepas program merakyatkan seni budaya bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) sempena Bulan Kemerdekaan, di sini.

Beliau mengulas mengenai cadangan supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terbabit dalam politik.

Ahmad Zahid bagaimanapun berharap jika akta itu dipinda dengan memberi kelonggaran kepada golongan mahasiswa terbabit dalam politik, ianya tidak disalahgunakan oleh mereka.

Rabu lepas, anggota Majils Tertinggi UMNO Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, berkata sudah tiba masa supaya AUKU dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terbabit dalam politik.

Katanya beliau akan membawa usul itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan datang.


Pensyarah, Mahasiswa Tak Boleh Berpolitik - Khaled

Bernama | JOHOR BAHARU, 31 Julai — Cadangan Pergerakan Pemuda Umno supaya kerajaan turut membenarkan pensyarah dan mahasiswa melibatkan diri dalam politik seperti yang diberikan kepada guru perlu dipertimbangkan secara mendalam.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata universiti dijadikan sebagai gelanggang politik dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang.

"Proses mempengaruh akan berlaku sekiranya universiti itu dijadikan gelanggang politik. Walaupun cadangan itu disertakan dengan syarat iaitu pensyarah perlu beri perhatian mengajar dan pelajar beri perhatian untuk belajar, namun, tetap akan menimbulkan masalah," katanya pada majlis penyampaian hadiah golf amal anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Parlimen Pasir Gudang, di sini, pada Sabtu.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan golongan mahasiswa untuk aktif berpolitik.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata pensyarah yang mempunyai pegangan politik akan berusaha sedaya upaya supaya pemikiran dan pendiriannya menjadi ikutan dan disokong semua pihak.

"Kalau kita benarkan pelajar berpolitik dalam universiti, pensyarah pun hendak berpolitik juga. Kalau kita benarkan kedua-duanya berpolitik, bayangkan kalau pelajar itu orang Umno dan pensyarahnya pula daripada Pas, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah. Macam-macam boleh timbul," katanya.

Menyifatkan cadangan Pemuda itu sebagai populis, beliau berkata Pemuda perlu mengemukakannya kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi mendapatkan keputusan.

"Kalau MT buat keputusan, saya sebagai ahli Umno akan patuh sahaja tanpa banyak soal. Jangan berkokok di luar, bawa dalam mesyuarat MT dan tengok apa keputusannya," katanya.
Related Posts with Thumbnails