Ahad, 1 Ogos 2010

Ibrahim Ali pertahan PERKASA tidak rasis


Datuk Ibrahim Ali tampil ke satu sesi dialog di satu persidangan pemimpin pelajar hari ini bagi mempertahankan bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang diterajuinya bukanlah satu kumpulan rasis.

Bagaimanapun, penjelasannya itu nampaknya tidak begitu meyakinkan kira-kira 600 orang pelajar yang hadir apabila soalan demi soalan diajukan bertalu-talu kepadanya.

Program dialog tersebut merupakan antara tarikan utama dalam persidangan selama dua hari, berakhir hari ini, anjuran Majlis Pelajar United Kingdom dan Eire (UKEC).

Antara soalan yang diajukan daripada seorang pelajar jurusan kewartawanan yang mahu Ibrahim menjelaskan mengapa pemimpin PERKASA tidak diheret ke penjara bawah undang-undang ISA, atas kenyataan didakwa rasis yang dikeluarkan mereka.

Tidak cukup dengan itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas juga terpaksa menadah serangan daripada dua lagi anggota Dewan Rakyat -- Khalid Samad dan Khairy Jamaluddin yang berkongsi pentas dengannya.

Beliau juga mengumumkan bahawa Khairy bukan lagi "anaknya", biarpun beberapa minit sebelum itu Ibrahim menganggap Khairy demikian.

Dengan nada berjenaka, Ibrahim sebelum itu berkata, beliau menganggap Khairy sebagainya anaknya disebabkan ketua pemuda Umno itu kini baru berusia 34 tahun, namun beliau sudahpun mencecah usia 59 tahun.

Katanya lagi, beliau juga telah dua kali ditahan bawah ISA malah merupakan seorang pemimpin pelajar yang lantang memperjuangkan nasib rakyat ketika Khairy belum lahir lagi.

Katanya lagi, setakat ini belum ada apa-apa laporan polis dibuat ke atas pertubuhan itu dan PERKASA hanya memperjuangkan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan.

"Tapi adakah kenyataan yang kami keluarkan supaya (kerajaan) mengabaikan hak orang lain?," soalnya.

Malah, beliau juga berkata faktor keselamatan negara perlu diutamakan supaya peristiwa berdarah 13 Mei tidak lagi berulang.

Perkara tersebut diulangnya beberapa kali, yang mengundang cemuhan daripada Khairy.

Khairy berkata, para pelajar kini tidak lagi boleh dimomokkan dengan undang-undang ISA dan peristiwa 13 Mei dan mereka telah berani bercakap soal melibatkan isu kaum dengan berkeyakinan.

Khairy ketika menjawab soalan berkenaan juga berkata beliau tidak ingin memanjangkan lagi isu di antara beliau dengan PERKASA.

Katanya, dalam kedudukannya sebagai ketua pemuda Umno, beliau membuat percaturan politik yang berisiko besar apabila mengambil pendekatan inklusif dalam menghadapi soal isu kaum.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Ibrahim sebelum ini bahawa beliau tidak dapat mempertahankan seorang setiusaha politik perdana menteri, Datuk Nasir Safar.

Nasir didakwa telah mengeluarkan kenyataan perkauman apabila menyifatkan kaum bukan Bumiputera sebagai pendatang.

Namun, jelas Khairy, tindakan itu sememangnya tidak dapat dipertahankan dan beliau telah membaca transkrip ucapan tersebut yang "sememangnya rasis."

Istilah "pendatang" tidak lagi boleh digunakan ke atas golongan bukan Melayu dan bumiputera kerana mereka sememangnya telah dibesarkan dan dibesarkan di negara ini, kata Khairy lagi.

Bagaimanapun, Ibrahim kemudiannya bingkas mempertahankan dirinya dan berkata, dakwaan bahawa Umno lemah tidak ada kena mengena dengan kegagalannya mempertahankan Nasir Safar.

Namun, ini disebabkan kelesuan pemuda Umno dalam mendepani isu-isu semasa melibatkan negara.

"Pemuda Umno bukan lemah disebabkan tidak defend (pertahan Nasir Safar), tapi disebabkan Pemuda Umno memang lemah," katanya.

Tanpa diduga, Ibrahim juga sempat mengambil peluang untuk menyindir Khairy berhubung dakwaan hubungannya dengan aktres jelita Maya Karin.

Perkara tersebut tidak diendahkan oleh Khairy yang sekadar tersenyum dan memulangkan semula paku buah keras kepada "bekas ayahandanya" itu.

Katanya, beliau lebih suka mempertahankan idea yang dipegangnya pada usianya sekarang, berbanding pandangan yang dipegang Ibrahim pada usia 59 tahun.

"Anda kata sebab tak ada laporan polis (bermakna PERKASA tidak melakukan kesalahan). Tapi hanya sebab tidak ada laporan polis, tidak bermakna anda tidak rasis," kata Khairy lagi.

Ibrahim kemudiannya turun dari pentas, dengan alasan untuk memulakan perjalanan ke Seremban bagi satu program PERKASA, sementara Khairy menyambung dialog bersama seorang lagi ahli panel Khalid Samad.
Related Posts with Thumbnails