Isnin, 2 Ogos 2010

Mahkamah tangguh ekoran kes hubungan romantis

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Ekoran dakwaan hubungan sulit antara Saiful Bukhari Azlan dengan seorang timbalan pendakwaraya (DPP) yang menjadi salah seorang anggota pasukan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini ke 9 Ogos.

Penangguhan ini dibuat ekoran permohonan pasukan pembelaan Anwar yang memohon mahkamah membuang kes ini ekoran dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Peguam Negara telah menggugurkan timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif dari pasukan pendakwaan terhadap Anwar ekoran dakwaan itu.

Mengikut jadual, Dr Mohd Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur sepatutnya memberi keterangan dan disoal balas.

Namun 'hubungan romantis' antara saksi utama, Mohd Saiful dengan salah seorang pendakwa itu mencuri tumpuan mahkamah hari ini.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh, yang sebelum ini cuti sakit selama 15 hari sehingga menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan sementara, hadir hari ini.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail Isnin lalu memutuskan Farah Azlina digugurkan dari pasukan pendakwaan agar 'hubungan romantisnya' tidak akan menjejaskan kes itu.


Beliau juga telah dipindahkan dari bahagian pendakwaan, pejabat peguam negara. Sebelum ini, Saiful pernah dilaporkan telah bertunang dengan seorang pembaca berita. Namun, pendedahan beliau mempunyai hubungan dengan DPP itu mengejutkan banyak pihak selepas beliau mendakwa diliwat oleh Anwar.

(Gambar: Saiful bersama tunangnya, seorang pembaca berita)

Perbicaraan hari ini dimulakan dengan Karpal memfail permohonan supaya pendakwaan terhadap ketua pembangkang itu digugurkan.

Hujahnya - hubungan romantis Farah Azlina dengan Mohd Saiful mempengaruhi kes berkenaan.

Bagaimanapun, ketua pendakwa raya membantah permohonan berkenaan tetapi bersetuju supaya kes itu ditangguh seketika.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju untuk mendengar permohonan Karpal tetapi disebabkan peguam belum bersedia, perbicaraan ditangguh seketika.

Sebelum itu, seorang lagi peguam Anwar -- Sankara Nair mendesak Peguam Negara memberikan maklum balasnya berhubung dakwaan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, bahawa Farah Azlina mempunyai hubungan dengan Saiful.

Dalam pada itu, Anwar akan membuat laporan polis berhubung hubungan kedua-dua individu berkenaan.

Anwar tiba di mahkamah pada jam 9 pagi ini dengan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR termasuk, Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar.

Selain Karpal, peguamnya yang lain yang turut hadir adalah Param Cumaraswamy dan Sankara Nair.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Related Posts with Thumbnails