Isnin, 2 Ogos 2010

20 warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen KLIA


MInsider | PUTRAJAYA, 2 Ogos — Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman akur jika beliau ditukarkan berikutan insiden membabitkan 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam.

Beliau berkata teguran yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berhubung perkara itu adalah berasas kerana insiden itu membabitkan maruah negara.

“Nasib saya... kalau sebagaimana kata Menteri (Dalam Negeri). Kalau sesuatu tidak dilakukan maka Ketua Pengarah perlu ditukarkan. Saya terima hakikat itu.

“Maknanya, saya tidak berperanan atau saya tidak dapat menjalankan tugas dengan baik yang diharapkan oleh menteri dan kerajaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata pada masa ini, 20 pegawai dan anggota jabatan berkenaan yang bertugas di depoh tersebut ketika kejadian itu berlaku, telah digantung tugas.

Pada masa sama, beliau meminta sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu supaya mengambil kira semua faktor termasuk kedudukan depoh berkenaan serta mereka yang ditahan di situ.

Beliau berkata warga Afghanistan terbabit telah ditahan pada Disember tahun lepas di Kuala Selangor sebelum diserahkan ke depoh berkenaan pada 18 Februari lepas.

Beliau ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi semalam, semua tahanan berusia 25 hingga 40 tahun itu, disyaki memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar.

Sebelum ini, pada 27 April lepas, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama.

Hishammuddin, hari ini memberi kata dua kepada Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mahmood Adam dan Abdul Rahman berhubung insiden berkenaan.

Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.

“Saya langsung tidak puas hati. Apa jua sistem yang kita wujudkan, apa jua penekanan yang kita berikan, apa jua undang-undang yang kita pinda, kalau kerja pegawai saya di Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen tidak sampai kepada tahap yang memuaskan, maka isu-isu sebegini akan berterusan.

“Kalau satu kes, mungkin kita kata ada kesilapan, kita boleh maafkan. Dua tiga kes kita mungkin kata kecuaian.

“Tetapi kalau berulang kali, saya tidak boleh dengar lagi alasan terlalu ramai sangat orang di pusat tahanan,” kata beliau yang turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin.

Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin mahu tindakan tegas diambil bagi menyelesaikan masalah itu supaya ia tidak berulang.

Beliau berkata jika ada kekurangan atau kelemahan di depot berkenaan, perkara itu perlu dimaklumkan kepadanya supaya tindakan susulan dapat diambil.

“Saya penat buat pindaan terhadap akta berhubung kait pemerdagangan manusia. Tetapi bila mereka (pesalah) dibawa ke pusat tahanan, kita dengar berulang kali mereka dapat larikan diri.

“Kalau perkara ini tidak dibendung dan diambil serius sama ada di Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Imigresen, maka isu ini tidak akan selesai.

“Maklumkan kepada saya kalau ada kekurangan. Tetapi kalau mendiamkan diri dan perkara seumpama ini berlaku, mereka kena jawab kepada saya,” katanya.

Hishammuddin tidak menafikan depot tahanan tersebut mempunyai kekurangan namun itu bukannya lagi alasan sehingga tahanan di situ boleh melarikan diri.

Related Posts with Thumbnails