from Kerabu Bersuara
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi  Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad  s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat  keluh kesah lagi kedekut, apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh  kesah, dan apabila dia dia mendapat kebaikan, dia amat kedekut, kecuali  orang-orang yang mendirikan solat." (Maksud Ayat 19-22 Al-Ma'arij)
***
SEBELUM  pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan  kemudian Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998, saya hanya menjadi  pemerhati kepada perkembangan PAS dan akhbar terbitannya, Harakah.
Tidak  pernah terlintas di hati untuk menyertai PAS apatah lagi berkhidmat di  Harakah. Namun pengalaman bersama aktivis PAS bukan baru kerana ketika  menuntut bagi ijazah pertama pun, pada awal tahun 1980-an, saya pernah  ke majlis ceramah PAS. Ceramah itu berlangsung di bawah rimbunan pokok,  selepas isyak, diterangi lampu 60 watt dengan hanya dihadiri segelintir  orang.
Ketika bekerja di syarikat akhbar harian berbahasa Melayu  yang sentiasa mendakwa 'akhbar nombor satu negara' mulai pertengahan  1980-an, Harakah hanya menjadi bahan rujukan bagi berita-berita PAS.  Setiap keluaran Harakah diikat dalam satu fail besar dan diletakkan di  perpustakaan. Ia menjadi rujukan wartawan. Apabila ada kes membabitkan  PAS dan menjelang muktamar parti itu, fail Harakah dicari-cari.
Akhbar  yang menjadi rujukan itu mungkin keluaran awal Harakah yang mula  diterbitkan pada tahun 1987.
PAS dan Harakah tenggelam timbul  dalam kehidupan saya sebagai seorang wartawan akhbar arus perdana  sehinggalah munculnya gelombang berikutan pemecatan Anwar. Peristiwa ini  membawa kepada 'hidupnya' ceramah PAS yang selama ini amat malap di  negeri-negeri pantai barat Semenanjung.
Pada 1998 selepas  meninggalkan akhbar berkenaan, saya mula berjinak-jinak dengan ceramah  PAS yang mendapat sambutan. Ribuan orang membanjiri ceramah sama ada ia  diadakan di padang terbuka atau laman rumah individu tertentu.
Penceramah  seperti Ustaz Fadzil Nor, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar menarik minat  ramai dan sentiasa dinanti-nanti kunjungan mereka tetapi bagi penyokong  di negeri-negeri pantai barat, gadingan penceramah PAS dan DAP membuka  lembaran baru dan mencelikkan mata pelbagai pihak.
Berikutan  kemasukan tokoh seperti Dr Hasan Ali ke dalam PAS menambahkan kemeriahan  dan minat saya untuk mengikuti ceramah yang kadang-kadang berlangsung  hampir setiap malam di kawasan berhampiran.
Sekalipun ramai  hadirin seronok mengunyah kacang rebus atau 'pekena' sup 'gear box'  ketika ceramah, setidak-tidak ceramah menjadi pemangkin untuk mengubah  pendirian dan sikap.
Masa menganggur memberi lebih banyak masa  untuk saya muhasabah diri dan apabila melihat bapa dan ibu mentua serta  ramai sanak saudara memberi sokongan tidak berbelah bagi pada PAS, saya  pun akhirnya mendaftar sebagai ahli.
Alangkah menakjubkan masa  itu kerana mentua dan saudara-mara menawarkan saya menaiki kenderaan  mereka jika ceramah itu diadakan di tempat yang jauh. Saya fikir  tentulahlah mereka akan menyebelahi saya jika berlaku pertelagahan  dengan isteri kerana hampir setiap malam saya keluar rumah dan balik jam  1.00 atau 2.00 pagi.
Pada bulan Mei 1999, saya kembali menjadi  pelajar di sebuah universiti tempatan bagi melanjutkan pengajian di  peringkat sarjana. Di sinilah saya perhatian betapa hebatnya Harakah  dalam minda para pelajar. Daripada tesis pelajar sehinggalah teks  khutbah Jumaat universiti, isi kandungan Harakah tidak jemu-jemu  dibicarakan.
Selepas 'timbang punya timbang', saya juga  memutuskan subjek Harakah sebagai kajian tesis saya. Untuk memulakan  kerja tentulah saya perlu ke perpustakaan dan antara tugas utama ialah  menyemak dan mengkaji tesis-tesis lama. Alangkah terkejut saya kerana  banyak sungguh pelajar menjadikan Harakah sebagai bahan kajian.
Berpandukan  rujukan berkenaan, tentulah tidak sukar bagi saya meneruskan projek  tesis itu, demikian fikir saya. Tetapi sangkaan saya salah kerana dalam  kelas-kelas perbincangan dengan pensyarah kemudiannya, ada yang  memberikan 'pandangan aneh' apabila saya katakan kajian saya adalah  mengenai Harakah.
Lama kemudian barulah saya faham dengan  'pandangan aneh' itu. Ketika itu satu 'arus pelik' melanda  universiti-universiti tempatan dengan pelbagai arahan baru yang akhirnya  membawa kepada penguatkuasaan Akujanji. Suara-suara lantang yang  membicarakan isu keadilan, kemiskinan dan kebebasan bersuara melalui  saat suram dan akhirnya terus hilang kerana 'pelajar tidak sedia  menggadaikan masa depan' semata-mata kerana mahu menjadi idealis  perjuangan.
Namum pada ketika kekangan dan cengkaman semakin  menjerut, masih ada yang berani bersuara, misalnya, dalam pembentangan  kertas kerja oleh seorang pelajar Komunikasi. Beliau mengemukakan apa  yang didakwanya 'Teori Pembohongan Media'. Baginya media tidak boleh  dipercayai, kebanyakannya penipu besar. 'Teori Pembohongan Media' itu  memang tidak ada dalam buku rujukan, jadi tidak tahulah nasib pelajar  itu selepas membentangkan kertas kerja berkenaan.
Pada bulan  September 1999 saya memulakan tugas sebagai Pengarang Berita di Harakah  walaupun jawatan yang saya pohon sebagai penyunting. Ketika itu saya  masih bergelar mahasiswa. Sebagai pengelola bilik berita, saya menyedari  Harakah juga dikunjungi pelajar universiti yang mahu melengkapkan tesis  dan membuat kajian. Ini menunjukkan Harakah masih mendapat tempat di  hati cendekiawan tetapi cengkaman pemerintah ke atasnya semakin  menjadi-jadi.
Kemuncak daripada 'kemenangan besar' pembangkang  pada pilihan raya November 1999, keluaran Harakah pada awal tahun 2000  dihadkan daripada dua keluaran setiap minggu kepada dwi bulanan. Selepas  pelbagai siri tekanan dikenakan ke atas Harakah seperti dakwaan di  bawah Akta Mesin Cetak ke atas pengarang dan pencetaknya, Harakah  semakin panas tetapi ironinya jumlah edarannya semakin merosot.
Antara  faktor yang menyumbang kemerosotan itu ialah kesukaran mendapatkan  Harakah di pasaran. Jika pada kemuncak krisis Anwar dulu (1998/99),  Harakah mudah diperolehi tetapi selepas pilihan raya umum 1999, selain  premis jualan yang semakin berkurangan, pekedai yang sedia menjual  Harakah pun melakukannya secara sorok-sorok.
Seorang pekedai  runcit yang saya kenali menjual Harakah di bawah kaunter. Jika pembeli  dikenali berhajat, barulah dia menjualnya. Seorang lagi pekedai yang  berani mempamerkan Harakah bersama-sama akhbar lain, suatu hari  mendapati kedainya dipalang (ditutup) oleh pihak berkuasa tempatan.
Terkejut  besar pekedai itu, tetapi itulah risiko yang terpaksa dihadapi penjual  Harakah.
Walaupun pelbagai kekekangan dikenakan daripada pekedai  kepada cendekiawan di universiti, Harakah tetap tabah mengharungi  liku-liku perjuangan Islam. Hari ini ketika di ambang memasuki dekad  ketiga, Harakah memerlukan komitmen pejuang untuk bersama-sama membantu  membangunkan Islam.