BUTTERWORTH: Tidak takut mati! Itu tindakan gila segelintir lelaki yang sanggup menggadai nyawa demi memuaskan nafsu serakah dengan mengambil ubat menambah tenaga seksual tanpa mengetahui status kandungan dan syarikat pengeluar ubat berkenaan.
BUKTI...Abang Zack menunjukkan koleksi ubat kuat miliknya.
Seorang kaki  ‘ubat kuat’ tegar yang hanya mahu dikenali sebagai  Abang Zack, 50-an,  dalam pengakuannya berkata, kes kematian ketika  melakukan hubungan seks  itu membabitkan seorang rakannya dan ia berlaku  pertengahan tahun  lalu.
“Umur rakan saya itu hampir sebaya  dengan saya. Dia mati  ketika melakukan hubungan seks dengan isterinya.  Saya yakin kematiannya  ada kaitan dengan ubat kuat kerana sebelum pulang  ke rumah dia  memaklumkan kepada saya yang dia mengambil ubat yang kami  namakan ‘pil  sempoi’ untuk melayan isterinya.
“Esoknya saya menerima  berita kematiannya dan ketika menghadiri  pengebumiannya, saya  dimaklumkan dia makan sebiji lagi pil sempoi  sebelum mengadakan  hubungan seks dengan isterinya,” katanya.
Abang Zack berkata,  berdasarkan pengalamannya yang pernah mengambil  puluhan jenis ubat kuat  sejak berusia 20-an, memang ada ketikanya hasil  diharapkan tidak  menjadi, sebaliknya berlaku komplikasi pada alat sulit.
“Satu  pengalaman yang sukar dilupakan ialah apabila alat sulit saya  mengecut  dan menjadi pendek hanya kira-kira tiga inci. Keadaan itu  berkekalan  untuk beberapa hari, menyebabkan saya hampir panik.
Ditanya tidakkah kejadian itu membuatkan dia serik untuk mengambil ubat kuat yang kebanyakannya dibeli di kaki lima atau daripada rakan, Abang Zack berkata, dia insaf hanya seketika kerana sukar untuk menghentikan amalan itu.
“Kalau boleh, memang saya nak berhenti tapi ia bukan senang. Saya ada ramai teman wanita, kalau tak ambil ubat kuat macam mana saya nak melayan mereka,” katanya.
Malah, kata Abang Zack, selepas sekian lama mengambil ubat kuat, dia kini semakin berani dan seronok untuk mencuba apa saja ubat kuat yang diperkenalkan kepadanya.
“Saya akan mencuba apa saja ubat yang dikatakan baru, tetapi saya hanya peruntukkan RM10 untuk setiap ubat. Jika ubat itu berkesan, saya akan terus ambil.
“Jika kesannya tidak seberapa, saya tidak akan mengambilnya lagi,” katanya sambil memberi beberapa nama gelaran untuk ubat kuat yang pernah dicuba seperti ‘kambing gurun’, ‘ubat semut’, ‘semut negro’ dan ‘semut hitam’.
Sementara itu di Alor Setar, seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Mie mendakwa, kes kematian akibat mengambil terlalu banyak ubat kuat turut berlaku kepada rakannya, seorang warga tua berusia 60-an.
“Kejadian berlaku beberapa tahun lalu selepas rakan saya yang menduda hampir 10 tahun berkahwin dengan janda berusia 40-an. Arwah meninggal dunia hanya kira-kira 10 hari selepas mereka berkahwin.
“Saya masih ingat arwah membeli pil berkenaan daripada seorang lelaki Cina yang menasihatkannya mengambil pil berkenaan seminggu dua atau tiga biji saja atau sejam sebelum mengadakan hubungan seks.
“Bagaimanapun, arwah makan ubat itu 10 hari berturut-turut dan saya percaya lebihan dos ubat berkenaan menjadi punca kematiannya,” katanya.-My Metro