Mohd Sabri Said   
PERMATANG PAUH, 21 Mei: "Mana dia  pemimpin Umno terutamanya pemuda yang dulu begitu lantang bersuara isu  kalimah Allah. Kenapa mereka sembunyikan diri tidak menentang isu judi  bola yang telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak.
“Mungkin kerana malu, segan atau takut dikenakan tindakan  kerana menentang arus kerajaan," begitulah antara suara yang  berkumandang daripada pemidato yang mengadakan demontrasi aman di  hadapan Masjid Jamek Permatang Janggus, dekat sini selepas solat Jumaat  tadi.
Program yang berlangsung selama 45 minit berjaya menghimpun  400 orang untuk membantah judi terbaru itu.
Ketua Dewan Pemuda  PAS negeri, Ustaz Yusni Mohd Piah dalam kenyataanya membidas pemuda Umno  seluruh negara kerana tidak bangkit untuk menyuarakan bantahan kerana  isu judi yang merupakan sentiviti umat Islam.
Katanya, ia bukan  perkara main-main untuk diperjuangkan sebaliknya adalah perjuangan  akidah kerana perjudian tetap diharamkan dalam Islam, tidak ada dolak  dalik dalam soal tersebut.
Dulu katanya, pemuda Umno bukan main  bingkas bangun kononnya Islam akan tercabar kerana penggunaan kalimah  Allah oleh orang bukan Islam tetapi sunyi apabila isu itu meletup  selepas Kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan perjudian bola di  Malaysia menjelang Piala Dunia pada Jun nanti.
"Mana dia pemuda  Umno, tokoh agama Umno dalam hal ini kenapa mereka membisu sampai kini.  Sepatutnya sebagai seorang Islam mereka kena bangkit menentang BN yang  jelas bersekongkol dengan tabiat buruk," tambahnya.
Kerajaan,  tegasnya telah mengikut jejak syaitan dan bertindak biadap kerana judi  mengundang kerosakan.
Tegasnya, judi sama ada berlesen atau tidak  tetap haram di sisi Islam yang meningkatkan jenayah setelah berlaku  pergaduhan antara kaki judi yang berhutang sama ada dengan ah long atau  sebagainya.
"Jenayah pasti meningkat bila perjudian dibenarkan.  Adakah tidak memadai dengan kebenaran lesen-lesen perjudian yang lain  seperti penjualan Sport Toto, Dama Chai dan seumpamanya di seluruh  negara," jelasnya.
Antara yang berucap di majlis berkenaan ialah  Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husein, Ketua AMK Pulau Pinang,  Amir Haji Ghazali, Ketua Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Zakaria  Hamzah, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan, Ketua Cabang  Keadilan Bagan, Farid Arshad dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS  Perak, Ustaz Sidiq Noor.