Kepimpinan Tinggi Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam terus menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim biarpun kerajaan Umno BN giat untuk menjatuhkan Selangor.
Ahli Majlis MBSA, Kamarudzaman Sanusi berkata meskipun kerajaan negeri diserang bertubi- tubi oleh pimpinan Umno BN dengan pelbagai isu, namun ia tidak sedikit menggugat keyakinan mereka terhadap kepimpinan Khalid.
“Kita ingin tegaskan, serangan-serangan politik dari pihak Umno BN yang ditujukan kepada PR Negeri Selangor adalah bersifat politik jahat dan tidak bertemadun. Serangan-serangan ini menguatkan lagi tekad dan azam kami, Ahli-ahli Majlis PR untuk bekerja dengan lebih kuat demi mendokong amanah yang telah disandarkan kepada kami,” katanya.
Kamarudzaman berkata kerajaan negeri bertindak telus mentadbir negeri ini buktinya pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri (PAC) daripada wakil rakyat UMNO BN.
“Sidang DUN telah meluluskan dua rang undang-undang pindaan berkaitan Kebebasan Maklumat dan juga perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam dari parti pembangkang.
“Kedua-dua perkara tersebut telah menempa sejarah tersendiri kerana tiada negeri lain di Malaysia mahupun Kerajaan Persekutuan sendiri mampu dan mempunyai kekuatan politik untuk mengambil pendekatan yang serupa,” katanya.
15 Julai lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah meluluskan usul untuk melantik wakil rakyat pembangkang dari BN sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri Selangor.
Ia diluluskan oleh Speaker DUN, Teng Cham Khim walaupun dibantah oleh wakil rakyat BN sewaktu usul itu dibahaskan dan kemudiannya mereka mengundi menolaknya.
Bagaimanapun Shamsudin Mohd Lias (BN-Sungai Burong) tetap dilantik sebagai pengerusi baru PAC Selangor yang dianggap sebagai satu sejarah di negara ini.
Kamarudzaman berkata dengan perlantikan ini juga membolehkan Shamsudin bersama-sama bekerja dengan kerajaan dalam memantau isu pasir dan lain-lain isu yang sengaja dimomok-momokkan oleh Umno Bn.
“Bagi mengelakkan rakyat dari membincang kebaikan pindaan Freedom Of Information, lantikan pihak pembangkang sebagai Pengerusi Public Accounts Comittee dan isu kenaikan harga barang, pimpinan Umno BN telah mengubah pandangan masyarakat dengan memomok-momokkan isu industri pasir di Selangor.
“Umum sememangnya mengetahui yang punca masalah sebenar isu ini adalah tinggalan kerajaan terdahulu,” katanya.