Khamis, 28 Oktober 2010

Kes Liwat II - Asakan Karpal Terhadap Saksi Menyebabkan Hakim Zabidin 3 Kali Menghentikan Perbicaraan


Tidak sampai dua minit, perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan bermula, ia terpaksa ditangguhkan seketika.

Tindakan itu bagi membolehkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berbincang dengan pihak pendakwaan dan pembelaan di kamarnya.

Ini berikutan peguam bela utama, Karpal Singh yang ingin membuat hujahan bagi mendapatkan nota klinikal tiga doktor pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Semalam mahkamah menolak permohonan berkenaan atas alasan pihak pembelaan tidak berhak dibekalkan nota-nota itu kerana saksi tidak pernah merujuk dokumen itu sewaktu pemeriksaan utama.

8.58am: Mahkamah mula bersidang dengan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengambil tempatnya.

Doktor bedah am Hospital Kuala Lumpur - Dr Mohd Razali Ibrahim dipanggil ke kandang saksi.

9am: Karpal berkata beliau ingin mengemukakan semula sama ada hakim memahami apa yang dituntut oleh pihak pembelaan semalam - iaitu nota klinikal perubatan.

Katanya, kekeliruan penghakiman mungkin mengakibatkan salah faham berhubung apa yang dituntut oleh pihak pembelaan sebenarnya.

"Apa yang kami mahu adalah nota klinikal. Laporan awal perubatan bukan satu isu.”

Hakim Zabidin berkata keputusannya semalam adalah jelas. Beliau kemudiannya mengarahkan kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan tertutup di kamarnya.

Mahkamah berehat seketika.

9.05am: Ahli parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam.

Masih terdapat banyak ruang kosong di mahkamah hari ini. Hanya terdapat kira-kira 40 orang. Kebanyakan wartawan asing dan penyokong Anwar yang biasanya hadir tidak kelihatan.

9.23am: Semua pihak yang terlibat keluar dari kamar hakim Zabidin.

9.26am: Mahkamah bersambung.

9.27am: Karpal terus mengasak Dr Razali mengenai keberatannya untuk merujuk kepada nota perubatan.

9.31am: Mahkamah sekali lagi berehat apabila Karpal berkeras mengasak saksi bertubi-tubi mengenai perkara berkenaan.

Karpal membantah apabila pihak pendakawaan menuntut beliau supaya berhenti berbuat demikian. Sankara Nair, seorang lagi peguam bela bangkit dan bertanya mengapa pihak pendakwaan cuba menghalang peguam menyoal Dr Razali.

Karpal berkata beliau percaya apa yang Dr Razali tuturkan di mahkamah adalah berlainan dengan apa yang tercatit dalam nota klinikal.

Hakim Zabidin meminta semua pihak terlibat sekali lagi ke kamarnya untuk berbincang - ini kali kedua pagi ini, mereka berbuat demikian.

9.55am: Semua pihak kembali ke mahkamah.

10.02am: Hakim Zabidin memasuki mahkamah. Perbicaraan disambung semula.

10.10am: Karpal bertanyakan mengenai laporan perubatan bertarikh 13 Julai 2008. Beliau ingin tahu sama ada terdapat laporan yang dikemukakan oleh dua ahli kimia.

Dr Razali semalam memberi keterangan bahawa hanya terdapat satu laporan kimia.

10.20am: Dr Razali mengakui terdapat kesilapan dalam laporan terakhir berhubung wujudnya tiga laporan ahli kimia.

Satu daripada laporan kimia itu, PJ F atau 6334/08-2, tidak dinyatakan dalam laporan itu.

Menurut Karpal, that PJ F atau 6334/08-1 tidak diberikan kepada pihak pembelaan meskipun ia ditimbulkan dalam laporan terakhir itu.

10.25am: Mahkamah dihentikan seketika lagi - ini kali ketiga pagi ini. Kali ini bagi membolehkan pegawai mahkamah untuk menyemak laporan ahli kimia.

Peguam Cara II Negara, Datuk Yusof berkata pihak pendakwaan tidak bercadang untuk menenderkan laporan kimia 01, dan atas alasan itu ia tidak dibekalkan kepada pihak pembelaan.

10.52am: Perbicaraan masih belum diteruskan. Peguam Karpal dan Sankara sedang berbincang dengan Anwar di luar mahkamah.

11.06am: Karpal dan Yusof sekali lagi dilihat menuju ke kamar Hakim Zabidin bagi perbincangan di kamarnya.

11.22am: Perbicaraan bersambung semula. Karpal meneruskan soal-balas.

11.42am: Sankara Nair mengambil-alih daripada Karpal dan sedang memasang projektor LCD.

11.56am: Sankara Nair kemudian mengambil-alih daripada Karpal dan menyoal-balas Dr Razali.

12.02pm: Sankara bertanya kepada Dr Razali sama ada pelincir digunakan dalam tindakan meliwat yang didakwa oleh pengadu yang juga saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dr Razali berkata beliau difahamkan ada, tetapi mengakui tiada ujian dilakukan bagi menentukan pelincir digunakan.

Korban tsunami Sumatera 282 orang


GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.


Kosmo | JAKARTA – Angka kematian akibat tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dekat Pulau Sumatera meningkat kepada 282 orang manakala 411 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.

Tsunami itu berlaku akibat gempa bumi bawah laut yang kuat pada Isnin lalu di Kepulauan Mentawai dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter.

Pihak berkuasa menyatakan beberapa bekalan seperti makanan, selimut dan khemah telah dihantar ke kawasan bencana.

Bagaimanapun, air minuman bersih masih sukar untuk diperoleh dan risiko untuk mendapat penyakit kian tinggi.

Beberapa buah helikopter yang menghantar bekalan kecemasan mendarat di Kepulauan Mentawai semalam.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan ke Vietnam ekoran bencana tsunami dan Gunung Merapi di Pulau Jawa.

Tinjauan udara yang dibuat di Kepulauan Mentawai yang dilanda tsunami setinggi tiga meter menunjukkan beberapa kawasanditenggelami air.

Dalam tinjauan itu, sejumlah rumah musnah akibat ombak tsunami.

Sebuah rumah kelihatan senget selepas kejadian ombak tsunami itu berlaku.

Kepulauan Mentawai terletak berdekatan dengan pusat gempa bumi itu.

Menurut seorang pegawai bencana, Ade Edward, sebuah pesawat kargo pertama yang membawa 16 tan khemah, bekalan perubatan dan pakaian tiba pada tengah hari semalam.

Empat buah helikopter mendarat di Sikakap, sebuah bandar di Pulau Pagai Utara di Kepulauan Mentawai.

Ade berharap, operasi menyelamat dan mencari akan ditingkatkan.

“Kami mempunyai peluang kini untuk mencari mangsa yang hilang dengan menggunakan pesawat dan meninjau skala kemusnahan,” katanya.

Seorang mangsa yang terselamat, Borinte, 32, petani dari Kampung Detumonga di pantai Pagai Utara, berkata, dia terselamat selepas berpaut pada sebatang kayu.

Namun, isteri dan tiga anaknya meninggal dunia.

“Kira-kira 10 minit selepas gempa bumi itu, kami mendengar bunyi yang kuat, bunyi seperti guruh. Kami keluar dari rumah dan melihat ombak datang. Kami cuba berlari ke tempat lebih tinggi tetapi ombak itu lebih pantas daripada kami,” katanya.

Beberapa pelancong Australia turut terperangkap dalam bencana itu.

Sebuah bot pelancong dibadai dengan satu tembok air dan mangsa-mangsa yang menaikinya dibawa arus ke dalam hutan tetapi mereka selamat.

Satu lagi kumpulan sembilan peluncur ombak ditemui hidup selepas dilaporkan hilang.

Menurut beberapa pegawai, tsunami itu melanda sejauh 600 meter ke daratan di Pulau Pagai Selatan di Kepulauan Mentawai.

Di Pulau Pagai Utara, sebuah resort dan hampir 200 buah rumah musnah akibat tsunami. – Agensi

Rabu, 27 Oktober 2010

Kenyataan Media Menteri Besar Selangor


Berikut adalah kenyataan penuh menteri besar Selangor:

Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak media terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai kewangan Kerajaan Selangor yang telah diedarkan kepada orang ramai, Isnin lalu.

Kami percaya laporan audit yang telah disediakan oleh pejabat Audit Negara bertujuan untuk penambahbaikan. Namun apa yang tergambar di media seolah-olah kerajaan negeri tidak mengurus dengan baik.

Agar rakyat tidak terkeliru, saya ingin membuat penjelasan seperti berikut.

Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak media terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai kewangan Kerajaan Selangor yang telah diedarkan kepada orang ramai, Isnin lalu.

Kami percaya laporan audit yang telah disediakan oleh pejabat Audit Negara bertujuan untuk penambahbaikan. Namun apa yang tergambar di media seolah-olah kerajaan negeri tidak mengurus dengan baik.

Agar rakyat tidak terkeliru, saya ingin membuat penjelasan seperti berikut.

Pertama: Urusniaga Penyata Penyesuaian Bank Kerajaan Selangor

Sejak 2002, Selangor telah gagal menyesuaikan (reconcile) urusniaga iaitu urusniaga tertunggak dalam penyata bank Kerajaan Negeri Selangor. Sehingga 2009, urusniaga yang telah gagal disesuaikan berjumlah RM977.70juta. Mengikut pecahan, 2002-2003 sebanyak RM126 juta, 2004 (RM327 juta), 2005 (RM82 juta), 2006 (RM278 juta), 2007 (RM48 juta) , RM61 juta pada 2008 dan RM56 juta pada 2009.

Menyedari jumlah ini terlalu banyak, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas untuk menangani masalah ini supaya semua urusniaga dan pungutan hasil dapat disesuaikan dengan kedudukan semasa. Dengan ini, urusniaga tertunggak dapat dihentikan sepertimana yang diamalkan oleh organisasi kewangan yang cekap dan berkesan.

Jawatankuasa ini telah menyelesaikan masalah menyesuaikan nombor urusniaga pembayaran dan pungutan hasil dengan rekod buku tunai dan penyata bank. Hasilnya, sejumlah RM770.85 juta telah dapat diselaraskan sehingga 26 Oktober 2010. Baki RM206.36 juta akan disemak dari semasa ke semasa dan dijangka penyesuaian akan dapat dibuat sepenuhnya total pada tahun kewangan terakhir pada 31 Disember 2010.

Oleh itu., laporan akhbar News Straits Times yang mendakwa RM977.70 juta wang Kerajaan Negeri 'hilang' dalam tempoh enam enam hingga tujuh bulan adalah tidak benar. Laporan ini boleh dianggap sebagai laporan nakal yang bermotifkan politik (politically mischevious news report). Ini adalah kerana laporan audit telah dengan jelas menyatakan masalah ini berlaku sejak tujuh tahun yang lepas - bukan enam hingga tujuh bulan yang lepas seperti yang dilaporkan.

Kedua: Hutang Kerajaan Pusat

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat berjumlah RM829.86 juta. Lebih 85% atau RM705juta daripada jumlah hutang melibatkan pembelian aset air. Hutang ini sepatutnya dibayar SYABAS sepertimana yang dipersetujui dalam perjanjian penswastaan bekalan air Selangor diantara SYABAS, Kerajaan Negeri dan Persekutuan apabila perkhidmatan air diambil alih oleh SYABAS daripada Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) pada 2003.

Kerajaan Negeri mendapati rekod aset loji pembekalan dan loji pengagihan air bukan sahaja tidak lengkap malah tertinggal dalam rekod milikan Kerajaan Negeri. Mulai 2008, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih, Kerajaan Negeri mula membuat tindakan mengesahkan aset-aset dengan mengenal pasti lokasi dan keadaan aset tersebut.

Sebelum pengesahan dibuat, nilai aset air yang tercatat dalam buku Karajaan Negeri hanyalah RM1 bilion. Tetapi pakar perunding yang dilantik kerajaan negeri telah mengenal pasti aset air yang dimiliki sebenarnya bernilai RM10.98 bilion iaitu melebih RM9 bilion dari rekod asal.

Jika Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan air dan menyerahkan aset ini kepada PAAB (Perbadanan Aset Air Berhad) yang ditubuh bawah Akta WSIA (Akta Industri Air Malaysia), Kerajaan Negeri bukan saja dapat melangsaikan hutang tersebut tetapi menambah milikan aset lebih dari RM9 bilion. Oleh itu pembayaran hutang air ini tidak timbul dan perkara ini telah pun dipersetujui oleh pihak Audit Negara.

Di sini saya ingin menekankan penyusunan semula air perlu dilakukan segera supaya rakyat Selangor tidak dibebankan dengan tariff tinggi yang akan dikenakan oleh SYABAS yang selama ini tidak membayar satu sen pun untuk menggunakan aset kerajaan negeri yang bernilai lebih RM10 bilion.

Ketiga: Rezab

Semasa penyelidikan audit dilakukan terhadap rezab negeri Selangor, pejabat Ketua Audit Negara hanya mengambil kira dalam kewangan berakhir 31 Disember 2009 dan tidak melihat apa yang berlaku seterusnya.

Untuk makluman, selepas tempoh tersebut, rezab kerajaan negeri meningkat dan tidak lagi berada dalam kedudukan negatif. Kerajaan Negeri tahu pada waktu itu bahawa keadaan akan pulih kerana pendapatan dijangka meningkat selepas 31 Disember 2009.

Carta di bawah menunjukkan dengan jelas peningkatan rezab pada 2010. Sehingga Jun 2010, Selangor telah mencatatkan lebihan pendapatan RM268.18 juta iaitu paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

Turun naik rezab adalah perkara biasa dalam mana-mana institusi kewangan termasuk rezab negara. Oleh itu laporan audit bahawa rezab Selangor telah merosot tidak membimbangkan.

Keempat: Bangunan Teater Diraja Shah Alam

Projek ini menghadapi masalah sejak dari awal di mana kontraktor melakukan kerja tersebut telah dilantik secara runding terus. Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM43 juta untuk projek ini tetapi hasilnya sangat mengecewakan kerana syarikat kontraktor gaga; mematuhi spesifikasi dan pelan asal.

Contoh kerja pembinaan yang lemah ialah kemasan yang renggang, tinggi tangga yang tidak sekata dan projek siap lewat sehingga 14 bulan. Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa untuk membaiki kerosakan dan kelemahan pembinaan dan dijangkanya bangunan ini dapat perbaiki dalam tempoh setahun.

Kelima: Pelaburan anak syarikat tidak untung

Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) telah disusun semula pada Jun 2009 . Sebelum waktu ini, kebanyakan anak-anak syarikat yang ditubuhkan Kerajaan Negeri tidak melihat keuntungan sebagai asas utama penubuhan. Syarikat ini tidak memberi fokus kepada keuntungan yang sesuai dengan pelaburan dibuat. Selepas penstrukturan semula MBI, wujud satu visi untuk mendapat keuntungan.

Walaupun anak-anak syarikat ini terus menjalankan tanggungjawab sosial (corporate social responsibility) untuk rakyat Selangor tetapi konsep mendapat keuntungan dari perniagaan akan diberi keutamaan. Semua syarikat akan dipantau oleh MBI dan semua bonus dan pembayaran ganjaran syarikat mestilah berasaskan hasil keuntungan.

Keenam: Isu pasir

Pembayaran royalti bukan satu-satunya hasil kerajaan Negeri dari industry pelombongan pasir. Sejak KSSB ditubuhkan Jun 2008, hasil pasir adalah termasuk keuntungan dari jualan.

Oleh itu, jika kita campurkan hasil royalti dan keuntungan KSSB, maka pendapatan Kerajaan Negeri adalah lebih baik daripada sebelum ini. Sila graf di bawah:

Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negeri bertanggungjawab memantau dan membanteras operasi perlombongan haram. Usaha ini melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan pemantauan bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA). Kerajaan Negeri Selangor juga amat mengalukan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersama terlibat dalam operasi sebegini.

Mengikut perangkaan yang dikemaskinikan sehingga 26 Oktober 2010 oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor terdapat sembilan puluh enam (96) tangkapan yang telah dilakukan oleh Pejabat Tanah Daerah dan juga Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Tangkapan tersebut telah dilakukan sekitar bulan Januari hingga Oktober 2010 di beberapa lokasi hotspot yang dikenalpasti menjadi tumpuan penyangak pasir. Tempat hotspot tersebut menjadi tumpuan pencuri pasir kerana kualiti pasir dan permintaan pasir yang tinggi dipasaran pada masakini.

Daripada rekod kes yang didaftarkan oleh Bahagian Undang-Undang dan Dasar, Pejabat Tanah dan Galian Selangor terdapat lapan (8) kes telah berjaya dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dan atas perintah Mahkamah Majistret pada 18 Oktober 2010 lapan (8) kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam.

Secara kesimpulannya, kita mahu memastikan pentadbiran Kerajaan Selangor adalah bersih dan berada di landasan yang betul serta tidak lagi wujud unsur-unsur korupsi, salah urus tadbir dan pembaziran.

Kita mahu memperbetulkan kesilapan-kesilapan lama, mengemas kini kelemahan pentadbiran kewangan untuk memastikan pentadbiran yang telus, efektif dan bertanggungjawab.

Pelantar Jeti Roboh Petanda Tidak Baik Bagi Umno-BN

Oleh Dzulkarnain Taib

pulai_apiSANDAKAN - Kejadian keruntuhan pelantar tangga jeti di Pulau Api-Api di sini tengahari yang menyebabkan tiga individu jatuh ke laut termasuk calon Parti Keadilan rakyat (KEADILAN), Ansari Abdullah membuktikan kegagalan Barisan Nasional mentadbir negeri Sabah sejak 47 tahun lalu.

Menceritakan detik-detik kejadian, Ansari berkata pelantar tersebut roboh apabila tiga individu termasuk beliau, pembantunya dan seorang wartawan stesen televisyen ntv7 berada di atas pelantar tersebut untuk naik ke atas bot.

"Saya dapat mandi jubub percuma hari ini," kata beliau secara berjenaka pada sidang media petang tadi di Bilik Gerakan Utama KEADILAN.

Beliau berkata sebelum itu rombangannya melawat Pulau Api-Api untuk membuat tinjauan mengenai kehidupan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk di pulau itu.

"Dari jauh ketika menghampiri jeti tersebut, kita nampak bendera Umno dan Barisan Nasional berkibar di atas jeti. Mungkin bendera berat sebab itu pelantar tangga roboh. Mujur air laut ketika itu hanya paras pinggang dan kami tidak cedera tapi saya tetap basah kuyup termasuk kopiah saya, kamera ntv7 juga tidak rosak. Saya lihat ini sebagai petanda baik bagi Pakatan Rakyat dan buruk bagi Umno dan BN kerana
bendera mereka dipasang di atas jeti ketika kejadian berlaku," ujar beliau lagi.

Ditanya media mengenai kerugian yang dialami Ansari berkata talipon Blackberry Storm model terkini serta kameranya rosak akibat terjatuh dalam air masin.

"Saya tidak risau sangat pasal kamera dan talipon tetapi maklumat serta gambar-gambar semasa berkempen yang terkandung dalam 'memory card' tersebut. Saya juga berharap Yang berhormat Ahli Dewan Undangan Sekong mengarahkan semua agensi kerajaan yang terbabit supaya memeriksa dan menyelenggara semua jeti di pulau-pulau di Sandakan bagi menjamin keselamatan pengguna," kata Ansari.

Ansari juga membangkitkan isu masalah kos pengangkutan yang tinggi yang menyebabkan ramai kanak-kanak di Pulau Api-Api tidak bersekolah.

"Kami sempat berjumpa dengan tiga kanak-kanak antara umur 13 hingga 14 tahun. Mereka berkata tambang feri satu hala ka bandar adalah RM5 seorang. Ini bermkna pergi balik adalah RM10 dan mana mungkin ibu bapa mereka yang bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan
RM200 hingga RM300 sebulan mampu menanggung kos pengangkutan yang tinggi.

"Di pulau itu juga tidak ada sekolah menengah jadi kanak-kanak di sana tidak melanjutkan pelajaran selepas darjah enam. Pulau itu juga tidak ada bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

"Bagaimana keadaan ini boleh terjadi dalam negeri Sabah yang merupakan negeri terkaya dari segi sumber semulajadi tetapi 23 peratus penduduknya di bawah paras kemiskinan. Ketua Menteri dari Sandakan, Timbalan Ketua Menteri juga dan timbalan menteri pusat. Apa mereka semua buat? Jelas mereka semua gagal melaksanakan tanggungjawan menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat," tegas Ansari lagi.

Pusat Hiburan Malam: Umno-BN Mahu Bawa Budaya Kuning Rosakkan Akhlak Rakyat


KUALA LUMPUR 27 Okt - Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak berasas memandangkan industri hiburan di negara ini adalah berkala sederhana dan memerlukan banyak perbelanjaan.

Menurut beliau, tidak pernah ada di dalam statistik negara yang menunjukkan industri itu boleh menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Pada satu masa dahulu, sektor pelancongan dikatakan boleh memberikan sumbangan sekitar 10 hingga 12 peratus sahaja kepada KDNK tetapi berdasarkan kepada perkembangan semasa industri pelancongan ia memerlukan lebih banyak perbelanjaan daripada menghasilkan pendapatan.

"Ini merupakan industri yang disebut sebagai penjana utama negara," jelas beliau di Dewan rakyat semalam.

Namun demikian, apabila dibandingkan dengan negara jiran, Thailand di mana sektor pelancongannya terkesan akibat kekacauan dan demonstrasi dan rusuhan berpanjangan selama lebih setahun, Malaysia kata Azan gagal memanfaatkan peluang tersebut untuk menarik pelancong datang ke Malaysia.

"Satu tahun kalendar telah membuktikan kita gagal mengalih perhatian pelancong dari berkunjung ke Thailand ke negara kita," kata beliau ketika ditemui Suara Keadilan di lobi Parlimen petang semalam.

Justeru, menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan akan memerlukan lebih perbelanjaan di samping risiko rakyat tempatan menjadi korban apabila menceburi bidang hiburan mengikut ETP.

"Berdasarkan bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saya tidak nampak langsung ada signifikannya sumbangan pendapatan daripada kelab malam, spa dan sebagainya.

"Cuma yang ada merupakan cukai dan lesen yang dikutip daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Industri ini juga dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti negatif dan jenayah seperti pelacuran, persundalan dan menyebabkan mutu akhlak di kalangan bahagian penguatkuasa yang terlibat dengan bayaran bulanan dan kutipan bayaran perlindungan.

"Industri ini kalau disebut sebagai salah satu program untuk menjanakan pendapatan di bawah ETP, apa yang saya boleh buat simpulkan bahawa kerajaan sudah tidak ada sumber pendapatan yang selain dari industri tersebut," kata Azan lagi.

Di bawah cadangan ETP, program tersebut akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan.

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

-Suarakeadilan

Malaysia Sebagai Hub hiburan: NGO Islam ucap 'tahniah', tunggu p'raya


Seperti dijangkakan, tindakan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam mula mendapat tentangan kumpulan NGO Islam. Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu 'disambut' mereka secara amat sinis.
"Tahniah kerana (kerajaan) berjaya menghancurkan rakyatnya," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman (kiri) sambil menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada pentadbiran perdana menteri sebelum ini, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan kelmarin, pentadbiran Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP. Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.


Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Dr Ma'amor - pemimpin NGO Islam yang dilihat agak 'rapat' dengan kerajaan - berkata, rancangan ETP itu menyalahi pelbagai perkara, termasuk gagasan Wawasan 2020 yang mahu negara ini maju dengan acuan sendiri. "Budaya kelab malam ini bukan budaya Timur. Ia budaya Barat, budaya berfoya-foya. "Saya ucap tahniahlah kerana berjaya mengkhianati negarawan negara (Dr Mahathir)," katanya.

Ditanya berhubung tindakan susulan PPIM bagi menyatakan menangani rancangan itu, Ma'mor berkata: "Kita tak pergilah (ke kelab malam). Boikot pun tak guna. Tak ada ahli kita yang pergi ke kelab malam. Tunggu pilihan rayalah nanti." PPIM antara NGO pengguna Islam yang diingati kerana kempen boikot produk barangan tertentu seperti barangan keluaraan Yahudi dan Amerika Syarikat sebelum ini.

Dr Maza: APA JADI DENGAN INSTITUSI AGAMA KITA?


Saya melihat laporan media (Malaysiakini) bertajuk “MAIWP mahu lupus 70 penghawa dingin baik” memerlukan perhatian yang amat serius. Perjelasan dan jawapan perlu diberikan oleh pihak berkenaan. Sejauh hal ini berlaku dan ketepatannya?

Sejak sekian lama saya dan beberapa orang lain menyebut tentang adanya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara ini. Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan. Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini (Hidup Bawah Jambatan) . Ke mana pergi segala peruntukan ini. Kita kehairanan, wang zakat ratusan juta, namun si miskin terus menderita. Dapatan zakat berlipat-lipat, si miskin terus merempat. ‘Hantu’ manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban? yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian.

Di sini, saya ingin menyebut beberapa perkara, antaranya;

1. Kita perlu memuhasabah semula fungsi zakat dalam negara ini. Sejauh manakah kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat dan selain zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam. Artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk: “Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi” rasanya patut dianalisa.

2. Apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu didedahkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain. Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud dipelbagi negeri, sementara kemewahan PUZ juga ternyata di pelbagai negeri. Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam? Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf ‘amilin’ (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan.

3. Kewujudan kes-kes yang seperti ini mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti institusi-institusi yang berjenama agama. Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan.

4. Merubah institusi-institusi ini agar menjelma dalam peranan yang lebih berkesan dan baik amatlah sukar dan bukannya mudah. Ini kait mengait antara satu sama lain. Kepentingan politik, istana, individu dan berbagai lagi. Merubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan ini. Itupun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang.

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Selasa, 26 Oktober 2010

Sotong Kurita Bernama Paul Tak Sempat Ramal Kematiannya


BERLIN 26 Okt:
Sotong kurita, Paul yang dikenali kerana ketepatan ramalannya berhubung keputusan pertandingan Piala Dunia di Afrika Selatan Julai lalu, mati di akuarium yang menempatkannya di Jerman.

“Pihak pengurusan dan kakitangan di Pusat Hidupan Laut Oberhausen sedih selepas mendapati haiwan yang terkenal dengan ramalan tepatnya semasa Piala Dunia lalu itu, mati malam tadi.

“Paul mengagumkan dunia apabila berjaya meramal tepat pemenang perlawanan melibatkan pasukan Jerman, begitu juga dengan keputusan perlawanan akhir. Kejayaannya merupakan cerita yang lebih besar daripada Piala Dunia itu sendiri,” kata pengurus pusat hidupan laut itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.
-AFP-

ETP: Lebih banyak kelab malam, spa akan dibina

Mkini | Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Kriteria berkenaan adalah:
  • Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
  • Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
  • Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.

Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.

Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

"Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik laporan itu.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.

Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.

Isnin, 25 Oktober 2010

Bas UIAM Terbalik di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis

Gua Musang: Seramai 17 daripada 41 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cedera apabila bas dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya di sini, pagi semalam.

Semua pelajar yang cedera dalam kemalangan jam 1.45 pagi itu dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM).

Seorang saksi, Razali Yusoff, 54, berkata kejadian itu berlaku ketika bas berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke Nilai, Negeri Sembilan selepas menghadiri program di Kota Bharu, Kelantan.

Razali dalam perjalanan pulang ke Rantau Panjang selepas mengikuti Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur melihat bas itu dalam keadaan tidak terkawal sebelum terbalik di tepi jalan.

“Saya bersama rakan membantu mangsa keluar dari dan menghubungi balai bomba berhampiran kerana ramai yang terperangkap dalam bas,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Rosli Che Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.45 pagi.

“Kami mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa terbabit, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku ketika kejadian,” katanya. -BH

Foto ehsan Topeng Perak