SANDAKAN   - Kejadian keruntuhan pelantar tangga jeti di Pulau Api-Api di  sini  tengahari yang menyebabkan tiga individu jatuh ke laut termasuk  calon  Parti Keadilan rakyat (KEADILAN), Ansari Abdullah membuktikan  kegagalan  Barisan Nasional mentadbir negeri Sabah sejak 47 tahun lalu.
Menceritakan   detik-detik kejadian, Ansari berkata pelantar tersebut roboh apabila   tiga individu termasuk beliau, pembantunya dan seorang wartawan stesen   televisyen ntv7 berada di atas pelantar tersebut untuk naik ke atas bot.
"Saya   dapat mandi jubub percuma hari ini," kata beliau secara berjenaka pada   sidang media petang tadi di Bilik Gerakan Utama KEADILAN.
Beliau   berkata sebelum itu rombangannya melawat Pulau Api-Api untuk membuat   tinjauan mengenai kehidupan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk di   pulau itu.
"Dari jauh ketika menghampiri jeti tersebut, kita   nampak bendera Umno dan Barisan Nasional berkibar di atas jeti. Mungkin   bendera berat sebab itu pelantar tangga roboh. Mujur air laut ketika  itu  hanya paras pinggang dan kami tidak cedera tapi saya tetap basah  kuyup  termasuk kopiah saya, kamera ntv7 juga tidak rosak. Saya lihat  ini  sebagai petanda baik bagi Pakatan Rakyat dan buruk bagi Umno dan BN   kerana
bendera mereka dipasang di atas jeti ketika kejadian berlaku," ujar beliau lagi.
Ditanya   media mengenai kerugian yang dialami Ansari berkata talipon Blackberry   Storm model terkini serta kameranya rosak akibat terjatuh dalam air   masin.
"Saya tidak risau sangat pasal kamera dan talipon tetapi   maklumat serta gambar-gambar semasa berkempen yang terkandung dalam   'memory card' tersebut. Saya juga berharap Yang berhormat Ahli Dewan   Undangan Sekong mengarahkan semua agensi kerajaan yang terbabit supaya   memeriksa dan menyelenggara semua jeti di pulau-pulau di Sandakan bagi   menjamin keselamatan pengguna," kata Ansari.
Ansari juga   membangkitkan isu masalah kos pengangkutan yang tinggi yang menyebabkan   ramai kanak-kanak di Pulau Api-Api tidak bersekolah.
"Kami  sempat  berjumpa dengan tiga kanak-kanak antara umur 13 hingga 14 tahun.  Mereka  berkata tambang feri satu hala ka bandar adalah RM5 seorang.  Ini  bermkna pergi balik adalah RM10 dan mana mungkin ibu bapa mereka  yang  bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan
RM200 hingga RM300 sebulan mampu menanggung kos pengangkutan yang tinggi.
"Di   pulau itu juga tidak ada sekolah menengah jadi kanak-kanak di sana   tidak melanjutkan pelajaran selepas darjah enam. Pulau itu juga tidak   ada bekalan air bersih dan bekalan elektrik.
"Bagaimana keadaan   ini boleh terjadi dalam negeri Sabah yang merupakan  negeri terkaya dari   segi sumber semulajadi tetapi 23 peratus penduduknya di bawah paras   kemiskinan. Ketua Menteri dari Sandakan, Timbalan Ketua Menteri juga dan   timbalan menteri pusat. Apa mereka semua buat? Jelas mereka semua  gagal  melaksanakan tanggungjawan menjaga keselamatan dan kebajikan  rakyat,"  tegas Ansari lagi.
Rabu, 27 Oktober 2010
Pelantar Jeti Roboh Petanda Tidak Baik Bagi Umno-BN
Oleh Dzulkarnain Taib