Isnin, 2 Ogos 2010

Anwar dakwa Jho Low dapat lapangan terbang Sg Besi

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa jutawan Low Taek Jho, yang lebih dikenali dengan panggilan Jho Low, telah diberikan kontrak pembangunan semula pangkala udara Sungai Besi.

Berucap pada ceramah di Taman Ehsan, Selayang malam semalam, Anwar membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang didakwanya tergesa-gesa menswastakan aset negara untuk mendapatkan keuntungan segera.

Menurut Anwar, senarai itu termasuk Lapangan Terbang Sungai Besi yang dianggap sebagai khazanah nasional kerana ia merupakan lapangan terbang pertama negara.

"Ini Jho Low boleh pergi 'enjoy' dengan Paris Hilton. Arak pun jutaan ringgit. Najib dan Rosmah bagi projek. Tender? Tiada. Cadangan projek? Tiada. Bolehkah rakyat terima ini,” soal Anwar.

Pada Jun lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada Dewan rakyat, lapangan terbang itu yang sekarang digunakan oleh tentera udara akan dipindahkan dan tapak berkenaan diswastakan dan dijual kepada Pembangunan 1Malaysia Bhd (1MDB).

Ini dilakukan tanpa tender terbuka kerana dakwa Ahmad Zahid masih melalui 'proses yang telus' kerana perjanjian itu tidak menjejaskan kepentingan kerajaan.


PKR mendakwa perjanjian itu bernilai RM500 juta dan dikaitkan dengan Low kerana pembabitannya dengan Lembaga Pelaburan Terengganu yang kemudiannya diperbadankan menjadi 1MDB.

Bagaimanapun pada wawancaranya dengan the Star minggu lalu, Low menafikan dakwaan berkenaan.

"Zaman baik macam Nik Aziz dikatakan rasuah, yang rompak naik jadi Tun, yang bunuh naik takhta, ini zaman edan, cukuplah kita bangsa Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Orang Asli, Bugis, Bajau, semuanya mahukan perubahan, pembaharuan untuk yang lebih baik di semua peringkat, baru boleh pimpin orang lain.


"Pemuda Umno pernah cakap kurang ajar sebab serang Tok Guru macam itu. Ini zaman edan. Ini peringatan, Ronggowarsito kata ini zaman edan - 'gila' kerana katanya pada zaman edan ini kamu kena berhati-hati, beringat-ingat dan berwaspada sebab yang baik macam Nik Aziz dituduh rasuah, penyamun dijadikan pejuang, yang baik dimasukkan penjara," katanya dalam Ceramah Perdana 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' di Dewan Serbaguna Taman Ehsan.


Pada ceramahnya malam semalam itu, Anwar juga mendakwa usaha mengheret bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling liong Sik ke mahkamah atas percubaan menipu jemaah menteri pada 2002, hanya percubaan mengaburi mata rakyat.

Ditambah dengan wang ikat jamin RM1 juta yang dikenakan ke atas Ling, Anwar berkata pihak berkuasa cuba menunjukkan seolah-olah mereka serius dalam usaha membanteras rasuah.

"Semasa di Pulau Pinang, rakyat kata: 'Aiyo... RM1 juta begitu tinggi tapi saya kata jumlah itu terlalu kecil bagi Ling,” kata Anwar.

Sambil mengajuk bekas presiden MCA itu, Anwar berkata: "Huh? RM1 juta? Maksud anda RM10?"

Menurut Anwar lagi, terdapat dalang lain yang turut terbabit dalam skandal RM12 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang yang masih bebas.

"Penyelewengan PKFZ adalah antara keuntungan kecil kepada BN. Terdapat banyak lagi penyelewengan besar yang tidak diketahui umum tetapi saya tahu.

"Banyak lagi pemimpin BN tidak ditangkap dan disiasat tetapi masih terus diberi jawatan tertinggi untuk sama bantu mengorek keuntungan agar dapat dibahagikan bersama pemimpin-pemimpin BN lain," kata Anwar.

FDI-Sudah Merudum 430 Peratus Masih Nak Perbodohkan Rakyat!


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyanggah alasan bahawa pelabur asing tidak ada wang untuk melabur sebagai punca kepada penurunan mendadak pelaburan langsung asing (foreign direct investment-FDI) ke negara ini. Alasan yang tidak matang ini tidak boleh digunakan oleh Tun Mahathir Mohamad sekalipun beliau cuba untuk membela kepimpinan anak didiknya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal memanfaat perlantikannya sebagai Perdana Menteri untuk menarik sokongan pelaburan asing.

PAS mempersoalkan keseriusan pengurusan ekonomi kerajaan pimpinan Najib yang menyebabkan FDI Malaysia jatuh sebanyak 430 peratus. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.

Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.

Indonesia hanya mengalami kejatuhan sebanyak 91 peratus dengan nilai FDInya masih lebih tinggi dari Malaysia pada 2009 iaitu USD4, 877 juta berbanding USD9, 318 juta pada 2008. Thailand yang bergolak pada tahun lepas pula alami kejatuhan sebanyak 44 peratus iaitu dari USD8, 570 juta pada 2008 kepada USD5, 957 juta pada 2009.

Alasan bahawa pelabur asing tiada duit disanggah dengan peningkatan pelaburan ke negara jiran Malaysia iaitu Singapura yang memperoleh peningkatan sebanyak 32.87 peratus dengan nilai FDI 2009 berjumlah USD16, 256 juta berbanding USD10, 912 juta pada 2008.

Filipina turut mengalami peningkatan walaupun disibukan dengan isu pengganas dan proses pilihanraya. Negara jiran ini mengatasi Malaysia dengan memperolehi USD1, 948 juta pada 2009 berbanding USD1,544 juta pada 2008 dengan kadar peningkatan sebanyak 20.74 peratus.

Kita tidak lupa bahawa FDI Malaysia pada 1998 lebih rendah berbanding Thailand. Kemudian jatuh lagi pada 2005 iaitu lebih rendah dari Indonesia. 2008 FDI lebih rendah dari Vietnam dan tahun ini terus merosot, lebih rendah dari Filipina. Jangan pula selepas ini FDI Malaysia jatuh lebih rendah dari Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar yang secara puratanya di bawah USD500 juta sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Data-data di atas, sekaligus membuktikan bahawa alasan yang dikemukakan oleh Mahathir adalah tidak releven dan cuba memperbodohkan rakyat.

PAS menyakini bahawa kejatuhan ini berpunca dari beberapa tindakan huru hara yang dicetuskan oleh BN sendiri bermula dengan perampasan kuasa dinegeri Perak yang menyaksikan para pelabur hilang keyakinan terhadap kestabilan politik di negara ini.

Seterusnya Najib juga gagal menjamin tahap keselamatan negara apabila dua enjin pesawat TUDM dicuri, dan kapal selam Scorpene yang dibeli gagal berfungsi dengan baik. Kes rasuah yang turut membabitkan nama Perdana Menteri Malaysia sekarang semasa dalam pembelian kapal ini pula mula disiasat Perancis akhir tahun lepas dan ini mencemarkan imej negara kerana kes ini mulai memasuki mahkamah tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, kemasukan secara rahsia mantan Perdana Menteri Thailand dalam buruan, Thaksin Shinawatra yang gagal dikesan Polis Malaysia menimbulkan keraguan kalangan pelabur berkaitan keseriusan kerajaan melindungi negara ini. Malah Malaysia dikatakan menjadi negara transit kepada aktiviti pengedaran dadah, pelacuran, pemerdagangan orang dan pengganas. Imej buruk ini amat menakutkan pelabur asing. Ini tidak termasuk lagi dengan faktor kes jenayah dalam negara.

Tahun 2009 juga menyaksikan Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang cuba diheret ke mahkamah dengan isu liwat. Kredibiliti beliau yang dihormati ramai pihak ini menjadi sebab pelaburan asing tertahan.

Selain itu pembabitan beberapa pemimpin BN dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga menjadi tumpuan kerana ia melibatkan aset fasiliti perdagangan negara. Ketirisan yang berlaku dalam projek ini amat menakutkan pelabur asing kerana mereka juga boleh jadi mangsa kebuasan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab jika melabur dinegara ini.

PAS menyarankan agar kerajaan dibersihkan dari pemimpin-pemimpin yang korup dan tamak bagi meningkatkan keyakinan para pelabur dan rakyat terhadap potensi negara ini. PAS juga mahu agensi yang mempromosikan pelaburan ke dalam negara berusaha memikat perhatian pelabur asing dari Australia, New Zealand, India, Afrika, Rusia, Kanada dan negara-negara latin di Amerika Selatan. Dalam masa yang sama pelaburan dari Amerika Syarikat, Jepun, China dan sekitar negara ASEAN dipertingkatkan.

PAS juga yakin bahawa pelaburan dan nilai perdagangan mampu meningkat lebih tinggi walaupun tanpa perjanjian FTA.

PAS juga mengingatkan Mahathir agak tidak mengambil inisiatif yang membuta tuli membela Kerajaan BN dalam isu ini hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Kerajaan BN juga haruslah ikhlas dalam membantu negeri-negeri Pakatan bagi mempromosikan program pelaburan mereka ke negara luar. Sehinga ke hari ini program NCER dan ECER belum lagi menunjukan kesan yang besar kepada negeri-negeri yang terbabit, apatah lagi bila ianya sudah dikuasai Pakatan. Tahap keinginan BN untuk memajukan negeri berkenaan begitu rendah. FDI negara akan terus jatuh merundum jika BN tidak mahu menerima hakikat yang mereka perlu bekerjasama dengan Pakatan dalam memajukan negara ini terutamanya melalui negeri-negeri yang dikuasai Pakatan.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Mahkamah tangguh ekoran kes hubungan romantis

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Ekoran dakwaan hubungan sulit antara Saiful Bukhari Azlan dengan seorang timbalan pendakwaraya (DPP) yang menjadi salah seorang anggota pasukan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini ke 9 Ogos.

Penangguhan ini dibuat ekoran permohonan pasukan pembelaan Anwar yang memohon mahkamah membuang kes ini ekoran dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Peguam Negara telah menggugurkan timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif dari pasukan pendakwaan terhadap Anwar ekoran dakwaan itu.

Mengikut jadual, Dr Mohd Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur sepatutnya memberi keterangan dan disoal balas.

Namun 'hubungan romantis' antara saksi utama, Mohd Saiful dengan salah seorang pendakwa itu mencuri tumpuan mahkamah hari ini.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh, yang sebelum ini cuti sakit selama 15 hari sehingga menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan sementara, hadir hari ini.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail Isnin lalu memutuskan Farah Azlina digugurkan dari pasukan pendakwaan agar 'hubungan romantisnya' tidak akan menjejaskan kes itu.


Beliau juga telah dipindahkan dari bahagian pendakwaan, pejabat peguam negara. Sebelum ini, Saiful pernah dilaporkan telah bertunang dengan seorang pembaca berita. Namun, pendedahan beliau mempunyai hubungan dengan DPP itu mengejutkan banyak pihak selepas beliau mendakwa diliwat oleh Anwar.

(Gambar: Saiful bersama tunangnya, seorang pembaca berita)

Perbicaraan hari ini dimulakan dengan Karpal memfail permohonan supaya pendakwaan terhadap ketua pembangkang itu digugurkan.

Hujahnya - hubungan romantis Farah Azlina dengan Mohd Saiful mempengaruhi kes berkenaan.

Bagaimanapun, ketua pendakwa raya membantah permohonan berkenaan tetapi bersetuju supaya kes itu ditangguh seketika.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju untuk mendengar permohonan Karpal tetapi disebabkan peguam belum bersedia, perbicaraan ditangguh seketika.

Sebelum itu, seorang lagi peguam Anwar -- Sankara Nair mendesak Peguam Negara memberikan maklum balasnya berhubung dakwaan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, bahawa Farah Azlina mempunyai hubungan dengan Saiful.

Dalam pada itu, Anwar akan membuat laporan polis berhubung hubungan kedua-dua individu berkenaan.

Anwar tiba di mahkamah pada jam 9 pagi ini dengan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR termasuk, Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar.

Selain Karpal, peguamnya yang lain yang turut hadir adalah Param Cumaraswamy dan Sankara Nair.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Skandal PKFZ: Dakwa semua yang terlibat - William Leong

MerdekaReview | Pihak polis dan Peguam Negara telah mengambil masa lebih tiga tahun untuk membuat pendakwaan terhadap mantan Menteri Pengangkutan dan mantan Presiden MCA atas tuduhan menipu Kerajaan supaya membeli tanah-tanah PKFZ dengan nilai lebih daripada harga patutan. Akhbar The Sun telah mendedahkan skandal tersebut pada Ogos 2007 dan hanya pada tarikh 29 Julai 2010 mantan menteri tersebut didakwa.

Alasan yang diberikan oleh pihak-pihak berkuasa dalam menunda pendakwaan tersebut adalah tidak meyakinkan. Penangguhan telah menimbulkan kecurigaan rakyat, iaitu samada kerajaan betul-betul mempunyai keazaman politik (political will) untuk mengatasi rasuah terutama oleh pihak pemegang-pemegang jawatan tinggi yang berkuasa dan berpengaruh atau ia sekadar gimik sahaja (The delay has given rise to suspicions by the people as to the political will of the Government to tackle corruption especially by those holding high positions of power and influence.)

Banyak laporan yang dikeluarkan oleh pelbagai badan bertindak dan jawatankuasa yang ditubuhkan sejak beberapa tahun ini yang menghebahkan bahawa selain daripada Ling Liong Sik dan bekas pengurus besar, OC Phang terdapat ramai lagi tokoh terkenal yang terlibat.

Semua pihak yang terlibat tidak kira jawatan dan kedudukan perlu didakwa dan dibicara atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam menyalahgunakan jawatan dan kedudukan yang diamanahkan kepada mereka atau dalam menipu Kerajaan. Pihak yang membantu atau menerima manfaat daripada jenayah-jenayah ini juga harus didakwa, dibicara dan dihukum atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Polis, MACC dan Peguam Negara tidak harus berlengah-lengah lagi dalam mendakwa semua pihak-pihak yang terlibat. Kegagalan untuk melakukan hal sedemikian akan menimbulkan isu bahawa pihak-pihak berkuasa mengamalkan pilihan pendakwaan tertentu.

Satu perbicaraan yang adil harus diadakan supaya keadilan dapat ditegakkan. Ling Liong Sik, OC Phang dan mereka yang telah didakwa dan yang akan didakwa adalah berhak dibicarakan secara adil diberikan peluang untuk membela mereka. Perbicaraan yang adil juga bermakna pendakwaan mesti dilakukan secara profesional dan cermat ke atas kes tersebut. Ada terlalu banyak kes yang melibatkan pihak berprofil tinggi yang telah terlepas daripada hukuman kerana sebab-sebab teknikal atau bukti yang tidak cukup.

Demi membina semula keyakinan rakyat terhadap agensi-agensi Kerajaan, semua pihak yang terlibat dalam skandal PFKZ mesti didakwa tanpa penangguhan dan pihak pendakwaan mesti mengadakan satu perbicaraan secara profesional dan cermat. Saya menyeru kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang perlu untuk membawa penutupan yang tepat/betul dalam skandal PKFZ yang mungkin akan menyebabkan para pembayar cukai Malaysia membayar RM12.5 bilion.

*Kenyataan media oleh William Leong Jee Keen selaku ahli parlimen Selayang, merangkap Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat.

Mahkamah Dengar Permohonan Gugur Kes, Anwar Buat Laporan Polis


TVSelangor | Perbicaraan kes konspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bermula dengan Karpal Singh memfail permohonan supaya pendakwaan terhadap ketua pembangkang itu, digugurkan.

Hujah peguam utama Anwar itu, skandal percintaan antara Timbalan Pendakwa raya, Farah Azlina Latif dengan pengadu dalam kes berkenaan, Saiful Bukhari Azlan mempengaruhi kes berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pendakwa raya membantah permohonan itu tetapi bersetuju supaya kes berkenaan ditangguh seketika.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju untuk mendengar permohonan Karpal tetapi disebabkan peguam belum bersedia, perbicaraan ditangguh seketika

Dalam pada itu, Anwar membuat laporan polis berhubung skandal kedua-dua individu berkenaan.

Anwar didakwa mmeliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Seseorang individu yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.
Related Posts with Thumbnails