Isnin, 2 Ogos 2010

Zeti Didesak Jelas Skandal Rasuah Cetak Mata Wang Libatkan Kroni Umno-BN


Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 2 Ogos - Senator Tunku Abdul Aziz mahu Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz membersihkan nama baik institusi itu yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah mencetak mata wang negara yang didalangi oleh kroni Umno-Barisan Nasional.

Malah lebih serius skandal rasuah itu juga didakwa melibatkan kegiatan mencetak wang berganda untuk kegunaan Umno-BN merasuah pengundi ketika kempen pilihan raya.

Lambakan wang kertas ini akibat pencetakan wang berganda akan menyebabkan nilai matawang negara jatuh dan bakal mengheret negara kepada inflasi kata Tunku Abdul Aziz.

Beliau berkata amalan rasuah kini sudah menular ke institusi kewangan negara sehinggakan tahap integriti dan urus tadbir BNM kini turut diragui.

"Sekarang, korupsi telah menguasai perjalanan pentadbiran di kedua-dua sektor; swasta dan kerajaan. Malang sekali buat negara kita, rasuah telah menjadi amalan hidup kita," ujar beliau ketika berucap dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 di Dewan Negara.

Beliau yang juga bekas pengerusi Transparency International Malaysia merujuk skandal berhubung komisyen bernilai RM11.4 juta yang diterima seorang usahawan tempatan daripada syarikat membekal bahan polimer untuk mencetak wang kertas, Securency International dan Note Printing Australia.

Dua anak syarikat Reserve Bank Australia itu didakwa merasuah usahawan tersebut, yang mempunyai kaitan rapat dengan Umno, yang bertindak selaku orang tengah bagi memenangi kontrak mencetak dan membekalkan mata wang negara antara 1990 hingga 2005.

Skandal itu sebelum ini turut menggemparkan masyarakat antarabangsa apabila syarikat itu dikatakan turut merasuah Timbalan Gabenor Bank Pusat di sebuah negara Asia dengan menawarkan khidmat pelacur Asia. Antara nama negara yang disebut termasuk Malaysia, Nigeria dan Vietnam.

Naib Presiden DAP itu juga mempersoalkan mengapa kontrak percetakan mata wang negara yang membabitkan perbelanjaan awam itu dilakukan melalui pihak ketiga.

Tegasnya, Zeti sebagai pihak yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan berhubung isu itu.

"Saya kira, bagi berlaku adil serta melindungi nama baik dan reputasi beliau dan Bank Negara di mata dunia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu memberi komen terhadap laporan ini. Hanya dengan cara ini, beliau boleh menyelamatkan nama beliau.

"Kita tahu pihak berkuasa Australia telah membawa perkara ini kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah bagi menyiasat dakwaan ini yang mana nilai rasuah dengan penglibatan agen bernilai sehingga A$47 juta.

"Persoalan yang kita ingin penjelasan ialah mengapakah perolehan awam seperti wang plastik RM5 ini kita memerlukan agen yang bertindak bagi pihak kerajaan?," soal Tunku Abdul Aziz yang terkenal dengan penulisan buku mengenai integriti dan perjuangannya menentang rasuah.

Menurut beliau, skandal kontrak mencetak mata wang negara itu menyerupai pembelian peralatan ketenteraan yang menjurus kepada amalan rasuah ratusan juta ringgit seperti mana yang berlaku dalam pembelian kapal selam Scorpene.

"Sekiranya pihak kerajaan serius dan jujur dalam mewujudkan sebuah negara yang bebas rasuah, 'accountable' dan telus maka kita perlulah mengamal serta menerapkan ciri-ciri sedemikian," ujar beliau.

Pelabur asing tidak ada wang untuk melabur - Dr. Mahathir


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.

Bekas Perdana Menteri memberitahu, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS.

''Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.

''Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain,'' katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi The Loaf berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan cawangan keempat The Loaf di IOI Boulevard di Puchong dekat sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengarah Urusan The Loaf, Jiro Suzuki.

Dr. Mahathir mengulas mengenai Malaysia mencatat kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39 bilion) pada 2008 yang merupakan rekod terburuk dialami negara sejak 15 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengkaji bagi meningkatkan pelaburan dalam negeri seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.

Sementara itu, mengenai The Loaf, Dr. Mahathir memberitahu, kedai roti premium berasaskan resipi Jepun itu menerima banyak permohonan untuk memfrancais jenama kedai tersebut termasuk dari Singapura dan Indonesia.

''Memang menjadi hasrat The Loaf untuk memfrancais perniagaan tetapi masanya belum tiba, memandangkan pihak pengurusan perlu mendapatkan data yang tertentu bagi memastikan ia akan memberi keuntungan mencukupi.

''The Loaf perlu memastikan bahawa jenama ini mampu menarik pelanggan setiap masa dan dapat mencatatkan keuntungan yang maksimum, bagi memastikan setiap kedai francais yang dibuka akan dapat keuntungan sewajarnya,'' katanya.

Beliau memberitahu, usaha untuk memfrancais The Loaf akan dibuat secepat mungkin selepas semua data dan jenama itu mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada pelanggan.

Dr. Mahathir memberitahu, adalah tidak rasional untuk The Loaf mengendalikan semua cawangannya dan cara terbaik ialah melalui francais yang dilakukan pada masa yang sesuai.

The Loaf juga akan membuka cawangan kelima di Bangsar sebelum akhir tahun ini.

Zahid Dan Khaled Nordin Tidak Sehaluan


Mahasiswa perlu didedahkan kepada politik - Zahid

Bernama | KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Golongan mahasiswa yang merupakan bakal pemimpin pelbagai organisasi di peringkat kebangsaan perlu didedahkan dengan aktiviti politik, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya langkah itu sebagai persediaan mahasiswa memimpin sesuatu organisasi selepas mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Sebagai pemimpin, golongan itu juga mempunyai peranan untuk membina negara bersama pemimpin kerajaan yang lain," katanya kepada pemberita selepas program merakyatkan seni budaya bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) sempena Bulan Kemerdekaan, di sini.

Beliau mengulas mengenai cadangan supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terbabit dalam politik.

Ahmad Zahid bagaimanapun berharap jika akta itu dipinda dengan memberi kelonggaran kepada golongan mahasiswa terbabit dalam politik, ianya tidak disalahgunakan oleh mereka.

Rabu lepas, anggota Majils Tertinggi UMNO Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, berkata sudah tiba masa supaya AUKU dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terbabit dalam politik.

Katanya beliau akan membawa usul itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan datang.


Pensyarah, Mahasiswa Tak Boleh Berpolitik - Khaled

Bernama | JOHOR BAHARU, 31 Julai — Cadangan Pergerakan Pemuda Umno supaya kerajaan turut membenarkan pensyarah dan mahasiswa melibatkan diri dalam politik seperti yang diberikan kepada guru perlu dipertimbangkan secara mendalam.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata universiti dijadikan sebagai gelanggang politik dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang.

"Proses mempengaruh akan berlaku sekiranya universiti itu dijadikan gelanggang politik. Walaupun cadangan itu disertakan dengan syarat iaitu pensyarah perlu beri perhatian mengajar dan pelajar beri perhatian untuk belajar, namun, tetap akan menimbulkan masalah," katanya pada majlis penyampaian hadiah golf amal anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Parlimen Pasir Gudang, di sini, pada Sabtu.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan golongan mahasiswa untuk aktif berpolitik.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata pensyarah yang mempunyai pegangan politik akan berusaha sedaya upaya supaya pemikiran dan pendiriannya menjadi ikutan dan disokong semua pihak.

"Kalau kita benarkan pelajar berpolitik dalam universiti, pensyarah pun hendak berpolitik juga. Kalau kita benarkan kedua-duanya berpolitik, bayangkan kalau pelajar itu orang Umno dan pensyarahnya pula daripada Pas, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah. Macam-macam boleh timbul," katanya.

Menyifatkan cadangan Pemuda itu sebagai populis, beliau berkata Pemuda perlu mengemukakannya kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi mendapatkan keputusan.

"Kalau MT buat keputusan, saya sebagai ahli Umno akan patuh sahaja tanpa banyak soal. Jangan berkokok di luar, bawa dalam mesyuarat MT dan tengok apa keputusannya," katanya.

Ahad, 1 Ogos 2010

Skandal PKFZ: Tun Ling Liong Sik Boleh Tidur Lena


Zaid Ibrahim | Bila saya baca pertuduhan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik bahawa dia telah menipu Kabinet mengenai harga tanah dari Kuala Dimensi Sdn Bhd untuk projek PKFZ, saya tidak tahu sama ada patut menangis atau ketawa.

Ini mungkin kali pertama di dunia di mana seorang bekas menteri — seorang individu yang berjawatan tinggi di dalam pentadbiran kerajaan — telah dikenakan tuduhan sedemikian. Tetapi di Malaysia, semua boleh.

Mengikut pertuduhan, tanah seluas 1,000 ekar itu bernilai RM25 satu kaki persegi. Tetapi pendakwa akan membuktikan yang Tun Ling tidak memberitahu Kabinet Malaysia bahawa harga itu termasuklah kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setiap tahun untuk tempoh pembayaran ansuran selama 15 tahun berdasarkan kaedah deferred payment (bayaran tertangguh).

Kononnya, Tun Ling telah menipu Kabinet, kerana perjanjian yang telah difahamkan adalah bahawa RM25 skp itu termasuklah faedah yang dikenakan. Namun, Ling telah meminta kelulusan Kabinet untuk membeli tanah itu pada kadar RM25 skp DAN juga membayar faedah 7.5 peratus yang dipersetujui.

Sebenarnya, Tun Ling tahu bagaimana mengatasi pertuduhan ini dengan mudah sekali. Sebab itulah dia nampak tersenyum dan relaks sahaja.

Saya berasa sedih kerana skandal melibatkan wang rakyat ribu juta ini dimain-mainkan oleh kerajaan.

Saya ingin menujukan beberapa soalan mudah untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka menteri yang senior, dan malah, Najib berpangkat timbalan menteri pada masa itu.

Jadi, jawab lah.

Pertama: Projek ini diluluskan di bawah pentadbiran Tun Mahathir pada tahun 2002 atas kepercayaan yang ianya boleh untung besar tanpa duit kerajaan (self financing) dan tidak memerlukan perbelanjaan Kerajaan. Senario yang kini wujud adalah satu bebanan kepada rakyat yang dianggarkan mencecah RM12 ribu juta - bagaimanakah situasi sebegini berlaku?

Kedua: Kabinet pada awalnya meminta tanah 1,000 ekar itu diambil alih melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 pada kos RM10.16 skp. Adakah patut tanah itu dibeli dengan harga RM25 skp jauh dari harga pasaran, termasuklah caveat dan cagaran?

Ketiga: Surat Sokongan (letters of support) oleh Tun Ling dan bekas timbalan presiden MCA Chan Kong Choy untuk kontraktor KDSB yang dikeluarkan tanpa kebenaran ataupun kelulusan Kementerian Kewangan. Bahkan Peguam Negara juga tidak terlepas butiran ini. Mengapakah Kabinet telah memberi kelulusan secara retrospektif terhadap perkara ini dan meluluskan kos dan perbelanjaan projek tersebut yang kini melambung kepada RM4.6 ribu juta?

Kalaulah sudah dihalalkan segala kepincangan, legal violations, cost overruns dan memberikan kelulusan untuk projek tersebut, mengapakah harga sebenar tanah tersebut masih tidak diketahui?

Mustahil Kabinet tidak tahu yang pembayaran tanah itu adalah secara beransur (deferred payment) selama 15 tahun. Takkan menteri-menteri yang pintar tak sedar bahawa bila ada deferred payment, faedah tentu akan dikenakan?

Mustahil harga tanah sebenar tidak boleh dinilai, dan mustahil laporan Valuation Department tidak dikembarkan dalam Kertas Kabinet PKFZ!

Pada pendapat saya, Tun Ling boleh tidur selesa dan tidak perlu kecewa walaupun Chan Kong Choy tidak dituduh.

Tun Ling pun tidak sihat, jadi mesti banyak berehat; tetapi peguam peguam beliau sudah tentu bersedia.

Agaknya, ini akan jadi seperti kes Perwaja lagi wahai rakyat!

Kekerasan FRU di Rengit, Chua Anggap Langkaui Polis Zaman British


TVSelangor | Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Chua Jui Ming menyifatkan tindakan Polis menyerbu ceramah Pakatan Rakyat di Rengit, Batu Pahat mengesahkan betapa negara ini sudah menjadi negara polis.

Ia berikutan sekurang-kurangnya 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas ceramah dan menghalau ribuan rakyat daripada mendengar ceramah itu.

Serbuan pula dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah di pentas itu.

Bercakap kepada TV Selangor, Chua Jui Meng kecewa dengan tindakan zalim pimpinan UMNO-BN yang memperalat politik demi menafikan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.

Beliau menganggap perkembangan ini membuktikan UMNO di Johor semakin kalut dan panik dengan kemaraan deras Pakatan Rakyat di Johor.

Katanya, tindakan polis pula melampaui batas dan melangkaui gelagat penjajah Britih pada masa lalu.

“Saya kesal sama sekali. Negeri ini dulu ada demokrasi di Johor. Pada zaman penjajah British, (Datuk) Onn Jaafar mengumpulkan orang-orang Melayu di Johor di Batu Pahat pada 1946. Polis di bawah penjajah British tidak menghalang, tidak memerintah mereka bersurai, tidak menggunakan kekerasan terhadap mereka.

"Akan tetapi, bawah UMNO sekarang yang korup dan angkuh, mereka tidak benarkan walhal Brirish sebagai penjajah memberikan laluan kepada orang Melayu berhimpun di Batu Pahat.

"Kali ini, di Batu Pahat juga kumpul beribu-ribu orang tidak dibenarkan dan diancam dengan FRU yang begitu ramai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menganggap kekerasan polis, ditambah pula cengkaman terhadap institusi mahkamah menyukarkan mereka mengambil tindakan balas tetapi pimpinan parti tidak patah semangat dalam membela rakyat.

“Panel peguam kita akan ambil tindakan mahkamah, mengapa di markas PAS juga perhimpunan aman dilarang sama sekali? Malah diancam dengan kekerasan FRU. Kita akan bawa perkara ini ke muka keadilan.

"Kita tahu mungkin susah tetapi kita mahu tunjuk kepada rakyat, ini bukan negara demokrasi lagi. Tidak ada kedaulatan undang-undang, polis tidak dibenarkan bertugas secara profesional, secara berkecuali dalam hal politik,” katanya.

Sungguhpun begitu, Chua Jui Ming percaya kekerasan polis hanya membakar semangat untuk menumbangkan UMNO pada pilihan raya umum akan datang, sekalipun parti pemerintah itu masih taksub dengan mitos bahwa Johor adalah kubu kuat yang tidak mungkin tumbang.

"Bagi Pakatan Rakyat dan PKR di Johor, ini akan menambahkan keinginan kita untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah terdesak ini di Johor,” katanya lagi.
Related Posts with Thumbnails