Ahad, 1 Ogos 2010

Ibrahim Ali pertahan PERKASA tidak rasis


Datuk Ibrahim Ali tampil ke satu sesi dialog di satu persidangan pemimpin pelajar hari ini bagi mempertahankan bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang diterajuinya bukanlah satu kumpulan rasis.

Bagaimanapun, penjelasannya itu nampaknya tidak begitu meyakinkan kira-kira 600 orang pelajar yang hadir apabila soalan demi soalan diajukan bertalu-talu kepadanya.

Program dialog tersebut merupakan antara tarikan utama dalam persidangan selama dua hari, berakhir hari ini, anjuran Majlis Pelajar United Kingdom dan Eire (UKEC).

Antara soalan yang diajukan daripada seorang pelajar jurusan kewartawanan yang mahu Ibrahim menjelaskan mengapa pemimpin PERKASA tidak diheret ke penjara bawah undang-undang ISA, atas kenyataan didakwa rasis yang dikeluarkan mereka.

Tidak cukup dengan itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas juga terpaksa menadah serangan daripada dua lagi anggota Dewan Rakyat -- Khalid Samad dan Khairy Jamaluddin yang berkongsi pentas dengannya.

Beliau juga mengumumkan bahawa Khairy bukan lagi "anaknya", biarpun beberapa minit sebelum itu Ibrahim menganggap Khairy demikian.

Dengan nada berjenaka, Ibrahim sebelum itu berkata, beliau menganggap Khairy sebagainya anaknya disebabkan ketua pemuda Umno itu kini baru berusia 34 tahun, namun beliau sudahpun mencecah usia 59 tahun.

Katanya lagi, beliau juga telah dua kali ditahan bawah ISA malah merupakan seorang pemimpin pelajar yang lantang memperjuangkan nasib rakyat ketika Khairy belum lahir lagi.

Katanya lagi, setakat ini belum ada apa-apa laporan polis dibuat ke atas pertubuhan itu dan PERKASA hanya memperjuangkan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan.

"Tapi adakah kenyataan yang kami keluarkan supaya (kerajaan) mengabaikan hak orang lain?," soalnya.

Malah, beliau juga berkata faktor keselamatan negara perlu diutamakan supaya peristiwa berdarah 13 Mei tidak lagi berulang.

Perkara tersebut diulangnya beberapa kali, yang mengundang cemuhan daripada Khairy.

Khairy berkata, para pelajar kini tidak lagi boleh dimomokkan dengan undang-undang ISA dan peristiwa 13 Mei dan mereka telah berani bercakap soal melibatkan isu kaum dengan berkeyakinan.

Khairy ketika menjawab soalan berkenaan juga berkata beliau tidak ingin memanjangkan lagi isu di antara beliau dengan PERKASA.

Katanya, dalam kedudukannya sebagai ketua pemuda Umno, beliau membuat percaturan politik yang berisiko besar apabila mengambil pendekatan inklusif dalam menghadapi soal isu kaum.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Ibrahim sebelum ini bahawa beliau tidak dapat mempertahankan seorang setiusaha politik perdana menteri, Datuk Nasir Safar.

Nasir didakwa telah mengeluarkan kenyataan perkauman apabila menyifatkan kaum bukan Bumiputera sebagai pendatang.

Namun, jelas Khairy, tindakan itu sememangnya tidak dapat dipertahankan dan beliau telah membaca transkrip ucapan tersebut yang "sememangnya rasis."

Istilah "pendatang" tidak lagi boleh digunakan ke atas golongan bukan Melayu dan bumiputera kerana mereka sememangnya telah dibesarkan dan dibesarkan di negara ini, kata Khairy lagi.

Bagaimanapun, Ibrahim kemudiannya bingkas mempertahankan dirinya dan berkata, dakwaan bahawa Umno lemah tidak ada kena mengena dengan kegagalannya mempertahankan Nasir Safar.

Namun, ini disebabkan kelesuan pemuda Umno dalam mendepani isu-isu semasa melibatkan negara.

"Pemuda Umno bukan lemah disebabkan tidak defend (pertahan Nasir Safar), tapi disebabkan Pemuda Umno memang lemah," katanya.

Tanpa diduga, Ibrahim juga sempat mengambil peluang untuk menyindir Khairy berhubung dakwaan hubungannya dengan aktres jelita Maya Karin.

Perkara tersebut tidak diendahkan oleh Khairy yang sekadar tersenyum dan memulangkan semula paku buah keras kepada "bekas ayahandanya" itu.

Katanya, beliau lebih suka mempertahankan idea yang dipegangnya pada usianya sekarang, berbanding pandangan yang dipegang Ibrahim pada usia 59 tahun.

"Anda kata sebab tak ada laporan polis (bermakna PERKASA tidak melakukan kesalahan). Tapi hanya sebab tidak ada laporan polis, tidak bermakna anda tidak rasis," kata Khairy lagi.

Ibrahim kemudiannya turun dari pentas, dengan alasan untuk memulakan perjalanan ke Seremban bagi satu program PERKASA, sementara Khairy menyambung dialog bersama seorang lagi ahli panel Khalid Samad.

Gegar Felcra: 30 ditangkap, kawasan himpunan dikepung

Gambar: Pelancaran risalah Felda bankrap? pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan pagi tadi

Harakahdaily | PASIR SALAK, 1 Ogos: Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis sehingga lewat petang ini yang dimulai kira-kira jam 4.00 petang ini sementara seluruh kawasan Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, di sini dikepung.

Tangkapan turut dilakukan terhadap mereka yang memakai pakaian beridentitikan penganjur program.

Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah.

Tangkapan rambang di luar kawasan itu dibuat sewaktu peguam Wan Rohaimi Wan Daud membentangkan kertasnya sebagaimana yang dijadualkan.

Wan Rohaimi adalah peguam yang memenangkan kes saman Felda oleh para peneroka Kemahang 3.

Pihak polis mengetatkan kawalan sekitar kawasan itu termasuk mengadakan sekatan jalan raya sekitar jam 3.00 petang bagi menghalang orang ramai daripada memasuki tapak himpunan.

Dua buah trak Black Maria turut kelihatan berada di situ.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga sudah berada berhampiran kawasan himpunan itu.

Para hadirin termasuk mereka yang keluar pada waktu rehat sebelum ini juga tidak dapat memasuki kawasan itu khususnya bagi mengikuti majlis penutup yang dijangka dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Ekoran situasi itu, Mohamad Sabu juga terhalang daripada merasmikan majlis penutup itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan himpunan kali pertama itu mencapai matlamat melalui pembentangan dua kertas kerja termasuk oleh aktivis Felcra Lubok Sireh, Razi Mustafa serta ucaptama oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan ulasan isu oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, ekoran tindakan pihak keselamatan yang mengepung kawasan himpunan, suasana yang tidak mengizinkan, 30 orang telah ditangkap, nasib orang awam dan para peniaga membimbangkan, maka majlis ceramah perdana pada malam ini yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayu dan Mohamad Sabu dibatalkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Jika Menang Pru-13

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju memilih Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) sekiranya sokongan rakyat menyebelahi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan itu diputuskan seawal Pilihan Raya Tahun 1999, sejak gabungan parti pembangkang antara tiga parti dipanggil Barisan Alternatif (BA).

“Pada masa itu, ketiga-tiga parti bersetuju sekiranya sokongan rakyat menyebelahi PR, Anwar akan diangkat menjadi PM. Persefahaman ini telah dipersetujui seluruh anggota parti dan ia konsisten sehingga ke hari ini.

“Buat masa sekarang pun, apabila PR berada dalam parlimen, ketiga-tiga parti tetap setuju Anwar menjadi Ketua Pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung jawatan PM lebih sesuai digalas calon dari parti Pas berbanding Anwar, Saifuddin berkata, Presiden MCA itu sepatutnya menumpukan hal ehwal ‘rumah tangga’ MCA terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan dalaman parti lain.

“Sepatutnya, beliau perlu kukuhkan kembali MCA kerana parti itu sedang porak-peranda sekarang. Kenyataan beliau itu tidak lain tidak bukan bertujuan menjauhkan sokongan komuniti khususnya kaum Tiong Hua terhadap PKR.

“Pemikiran politik takuk lama seperti ini berterusan kerana mereka mahu tunjukkan kepada masyarakat bahawa UMNO sebuah parti yang baik dan Pas parti yang lemah. Pemikiran seperti ini sudah tidak mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Presiden MCA itu tidak perlu buang masa dan harus berhenti mengadu domba antara parti komponen dalam PR.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, PR tidak pernah berbincang mengenai calon selain Anwar sekiranya parti itu menang pilihan raya akan datang kerana misi utama mereka menumbangkan BN terlebih dahulu.

“Jawatan tidak berapa penting dalam pimpinan kerana masalah rakyat lebih utama sekarang. Kita mahu menyelamatkan rakyat daripada kehancuran ekonomi negara supaya rakyat terbela dan negara terjaga.

“Jawatan itu hanya sebagai pengemudi dalam kepimpinan. Sesiapapun pun tiada masalah memegang jawatan sebagai pemimpin, katanya.

Badan Dunia Desak Kerajaan Malaysia Serah Dokumen, Bahan Bukti Kepada Anwar Segera

|

Badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) berkata pihak pendakwa raya dalam kes perbicaraan Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menyerahkan dokumen dan bahan bukti berkaitan kes tersebut kepada pasukan pembelaan sebelum prosiding bersambung Isnin depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lepas HRW menegaskan tindakan daripada pihak pendakwa raya adalah perlu bagi menjamin perbicaraan tersebut berjalan secara adil dan telus.

Sambil membidas undang-undang warisan era kolonial yang digunakan dalam pendakwaan terhadap Anwar yang membawa hukuman 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan, badan antarabangsa yang dihormati itu berkata tokoh politik yang disegani itu juga berhadapan disekat daripada bertanding di dalam pilihan raya walaupun dihukum penjara sehari atau didenda RM2,000.

"Sifat asas perbicaraan yang adil memerlukan pihak pendakwa raya menyerahkan dokumen dan bukti supaya Anwar mampu mempertahankan diri beliau.

"Malangnya pihak pendakwa raya di Malaysia telah tidak berlaku adil kepada Anwar dengan menafikannya dokumen penting yang diperlukan oleh pasukan pembelaan beliau," kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia.

Ujar HWR lagi, kerajaan Malaysia masih belum menunaikan janji yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang berkata, 'hak pengadu dan yang tertuduh akan dihormati dalam perbicaraan Anwar'.

Kenyataan itu menambah sejak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ditahn pada 16 Julai 2008, kes tersebut telah mempamerkan beberapa keputusan pihak mahkamah yang menafikan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan bahan bukti setiap kali permohonan dibuat.

"Mahkamah telah menafikan skses kepada senarai saksi pihak pendakwa raya dan kenyataan mereka yang dicatat termasuk kenyataan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Mahkamah juga telah menyekat akses kepada rakaman video keselamatan daripada kondominium di mana kejadian liwat didakwa berlaku.

"Anwar juga terus dinafikan untuk mendapatkan nota perubatan dan catatan lain, laporan, material dan juga spesimen berkaitan pemerikasaan perubatan ke atas Saiful oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang dilakukan pada 28 Jun 2008, dua hari selepas dakwaan liwat berlaku," tegas HRW lagi.

Badan itu berkata Anwar terus dinafikan untuk mendapatkan laporan penuh perubatan Saiful, dokumen berkenaan kelayakan doktor dan pengalaman mereka, dan peralatan yang digunakan dalam pemeriksaan serangan seksual.

"Pakar forensik yang dipanggil oleh pihak pembelaan mengadu beliau tidak mampu membantu dalam sesi soal balas terhadap tiga doktor HKL sekiranya tidak dibekalkan dengan bahan-bahan bukti tersebut," kata HRW.

Dalam perkembangan mutakhir, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Ogos untuk mendengar rayuan terhadap permohonan untuk mendapatkan akses kepada laporan perubatan, beberapa hari selepas tiga doktor HKL dijadual disoalbalas oleh pihak pembelaan.

HRW berkata amalan biasa di Malaysia ialah pihak pendakwa raya akan membekalkan semua bahan bukti dan dokumen kepada pihak pembelaan semasa tempoh pra perbicaraan.

Dalam kes yang melibatkan Anwar, mahkamah memutuskan pihak pembelaan dibenarkan membuat permohonan tersebut semasa prosiding sedang berjalan.

Walau bagaimanapun ketika perbicaraan bermula pada 2 Februari lalu, pihak pembelaan telah membuat permohonan berkaitan namum mahkamah memutuskan ia terhalang oleh keputusan sebelumnya ketika pra perbicaraan.

Akibatnya satu-satu sumber maklumat yang mampu diperolehi pihak pembelaan ialah keterangan yang diberikan oleh saksi pihak pendakwa raya dalam mahkamah.

"Pasukan peguam Anwar terpaksa membela anak guam mereka dengan satu tangan diikat dibelakang.

"Dengan menafikan bahan bukti yang kritikal dalam kes ini, tindakan mahkamah dan pendakwa raya ini akan hanya menimbulkan keraguan terhadap keadilan dalam perbicaraan ini dan seterusnya membuktikan dakwaan terhadap Anwar adalah bermotifkan politik," kata Robertson.

HRW berkata prosiding dilihat bercanggah dengan Seksyen 51A, satu pindaan yang dibuat pada Mac 2006 untuk membuka ruang yang lebih luas bagi pihak pembelaan untuk mendapatkan bahan bukti dalam sesuatu perbicaraan.

Seksyen ini mempunyai peruntukan bahawa pihak pendakwa raya seharusnya membekalkan "apa-apa" dokumen yang boleh digunakan sebagai bukti dan juga kenyataan fakta yang menyebelahi pihak pembelaan kecuali yang bertentangan dengan kepentingan awam.

"Kerajaan Malaysia meminta masyarakat antarabangsa menghormati sistem demokrasi dan komitmennya terhadap prinsip negara hukum tetapi terdapat perbezaan besar antara retorik semata-mata dan realiti.

"Sekiranya kerajaan ikhlas untuk menjamin perbicaraan yang adil maka amat perlu pihak pendakwa raya menyerahkan semua dokumen dan bahan bukti kepada pasukan pembelaan dengan segera," tegas Robertson lagi. -SK

Ulasan GB

Pertama kita jadi hairan mengapa pihak pendakwa dan mahkamah enggan untuk menyerahkan dokumen dan bahan bukti kepada defendan (DSAI). Alasan mahkamah mudah, tidak ada peruntukan untuk mewajibkan pendakwa menyerahkan bahan bukti. Sementara pendakwa pula menyatakan penyerahan dokumen dan bahan bukti mendedahkan saksi diganggu oleh pihak defendan.

Setelah sekalian ribu kes berjalan di mahkamah di negara ini, telah menjadi satu teladan untuk pihak pendakwa menyediakan dokumen dan bahan bukti kepada defendan demi untuk keadilan dan ketelusan penghakiman, tetapi kekecualian ini berlaku di dalam kes liwat2.

Keadaan tersebut menjadikan persepsi masyarakat bahawa kes liwat 2 itu adalah KONSPIRASI PERINGKAT TERTINGGI kerajaan UMNO BN di bawah Najib terhadap bekas Tim Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menjadi semakin benar.

Malah dengan prosiding kes sejak pertama menunjukkan bahawa hakim telah bertindak secara berat sebelah dimana tuntutan-tuntutan defendan tertolak, manakala tuntutan plaintiff sentiasa diberikan laluan. Ia perulangan kepada kes liwat 1 dimana demikianlah cara hakim Augustine Paul menghakimi kes berkenaan.

Terdapat seperti "tangan ghaib" di belakang skrip. Siapa lagi jika bukan Peguam Negera bernama Gani Patail, pengarah keseluruhan skrip bersama Ketua Polis Negara, Musa Hassan, untuk menempatkan masing-masing di hati Najib.

KEBENARAN DAN KEADILAN SUDAH MATI DI BAWAH UMNO BN!

Ceramah PKR di Rengit Di Serbu Polis

Harakahdaily | BATU PAHAT, 1 Ogos: Sekurang-kurangnya 50 anggota unit simpanan persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas Ceramah Pakatan Rakyat di Rengit di sini.

Serbuan dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah dipantas itu malam tadi.

Polis bertindak mengosongkan pentas, merampai pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.

Akibat sebuan itu sehingga jam 12.30 pagi tadi difahamkan sekurang-kurangnya sembilan ditangkap terdiri dari tujuh lelaki dan dua wanita.

Kesemua yang ditahan kini dibawa ke balai polis Rengit.

Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Turut ada ketika serbuan adalah Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya dan Pengerusi Perhubungan Negeri johor, Datuk Chua Jui Meng.

Sehingga berita ini ditulis, Lathefaa yang juga peguam masih berada di balai polis menguruskan mereka yang ditahan.

Penyokong juga difahamkan mula memenuhi perkarangan balai polis, dan tidak mahu berganjak walaupun diarah bersurai oleh pihak polis.
Related Posts with Thumbnails