Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak RM222 juta diperuntukkan sebagai kos permulaan bagi melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk memastikan sistem itu dapat dilaksanakan di Malaysia dengan lancar, teratur dan berkesan.
Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan itu meliputi kos pembangunan sistem perkomputeran GST sebanyak RM139 juta dan tambahan kos operasi kepada agensi pelaksana GST iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebanyak RM83 juta.
“Kos penyelenggaraan bagi setiap tahun dianggarkan sebanyak RM8.5 juta,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Teo Nie Ching (DAP-Serdang) di Dewan Rakyat, semalam yang bertanya mengenai anggaran kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan untuk lima tahun pertama dalam pelaksanaan GST termasuk kos pembangunan sistem, kos penyelenggaraan dan kos operasi.
Menjawab soalan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan), Najib berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah memfailkan saman terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Gan Boon Aun dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Lo Chok Ping.
Langkah yang sama juga telah diambil oleh pihak pengurusan baru Transmile sendiri ke atas Boon Aun dan Chok Ping.
~Bernama